Penulis rasa terpanggil mengenai
banyaknya gejala dalam masyarakat Islam sekarang ini. Kita mengalami konflik
nilai yang berbagai dan sukar dirungkai. Ibarat sebuah gunung, apabila
puncaknya tidak terurus secara Islamik maka lereng dan kaki gunung itu lebih
dahsyat kecamuknya. Lebih sukar diurus. Penulis ingin kembali mengenangkan
sejarah Umar Abdul Aziz. Khalifah yang sangat-sangat bertaqwa kepada Allah
bukan sahaja dihormati oleh manusia bahkan haiwan ganas tunduk menghormatinya. Serigala
tidak sewenang-wenangnya memakan haiwan ternakan. Kembara kita di alam maya ini
sukar menemukan lagi mereka yang alim seperti zaman sahabat. Seperti Umar Abdul
Aziz. Islam sangat subur dan kuat. Menyerlah hingga pancaran dakwahnya
menyerkap peradaban manusia ketika itu. Ribuan tahun Islam membina tamaddun
hingga Barat celik mata. Celik minda.
Namun begitu seperti kata Golda Meir,
Perdana Menteri Israel ke-3, kita adalah umat Islam yang menjadi menjadi umat
yang sangat lena. Tidur nyenyak dan sukar bangunnya. Tenggelam dalam mimpi
indah mengenang zaman. Banyak mengenang yang lama tanpa melakukan yang
sewajarnya untuk terus mengungguli zaman. Israel melakukan terlalu banyak
penghinaan ke atas umat Islam. Kita hanya pandang dan dengar. Mungkin hanya
hati yang berkata-kata. Tiada apa-apa tindakan. Apabila Allah hantar Flexia
Yeap ke khalayak Islam Allah Yang Maha Mengetahui memaparkan kepada kita bahawa
nilai-nilai Islam yang baik itu dimaklumi oleh mereka yang bukan Islam. Kesediaan
mereka menerima pakai nilai Islam tentulah ironis kerana yang Islam menolak
untuk berbuat demikian.
Kewajaran Muslimah menutup aurat seperti
tidak mendapat tempat di hati. Pakaian Barat yang bercanggah dengan syariah
juga yang dikatakan hebat. Dikatakan anggun. Dikatakan menarik. Flexia Yeap
memberikan kita suatu tanggapan bahawa ianya pengajaran. Boleh juga tempelak
Allah kepada kita. Boleh juga amaran bahawa zaman akan berakhir tidak lama
lagi. Zaman manusia melupakan Allah. Zaman manusia menolak Allah. Zaman manusia
tidak lagi mahu tunduk kepada kekuasaan Allah. Di Barat berbondong-bondong
cerdik pandai mereka memeluk Islam. Mengetahui bahawa yang benar hanyalah
Islam. Yang indah itu Islam. Yang mendamaikan itu Islam. Dunia Islam menjadi
terbalik apabila yang Islam lari dari yang hak. Mencari mencari alternatif yang
selamanya tidak layak dicari. Tidak layak dianuti kecuali Islam yang sudah
Allah sempurnakan ke atas Rasulallah dan umatnya ribuan tahun dahulu.
Kita hilang malu apabila berhadapan
dengan realiti. Kita menganggap yang tulen sebagai kaca. Yang berlian dikata
batu. Yang hak tidak dipercaya. Yang dicari adalah hal-hal sampingan yang remeh
tanpa ada nilainya di sisi Allah. Tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad. Tidak
pernah dipanjangkan oleh sahabat. Tidak juga ajaran Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in.
Rasanya puas ulamak mengingatkan akan perlunya Muslimah menutup aurat. Menutup
selengkapnya tubuh badan mereka kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dengan
pakaian yang longgar untuk melindungi bentuk susuk tubuh. Bak kata umalak,
apa-apa yang dibungkus cantik tentulah lebih cantik dari yang tidak dibungkus.
Malah yang dibungkus ala kadar tidak juga menarik. Mungkin melihat isi di dalam
itu ada manfaatnya tetapi itu cukup untuk barangan yang bukan tubuh manusia.
Tubuh manusia ada hadnya dan ada haknya.
Kita terpanggil untuk melihat ke dalam
persekitaran Islam kita. Dari luar kita diasak dengan berbagai himpitan kebudayaan
yang bukan Islamik. Yang memperlihatkan kecantikan luaran yang gemerlapan.
Pancawarna yang melampaui warna pelangi. Tetapi tiada nilainya di sisi Allah.
Begitu juga kita meronta-ronta dari dalam. Nafsu kita kalah kepada kewarasan
berfikir. Lalu kita melakukan hal-hal yang di luar kewajaran. Nafsu kita yang
kuat mengkehendaki yang bukan haknya. Akal kita lemah untuk membuat piilihan.
Kenapa?
1
Kita lemah dari segi pendidikan akal. Lemah intelek. Lemah mendidik
akal.
2
Kita lemah dari segi pendidikan
agama. Kawalan persekitaran agama juga
gagal disemarakkan.
3
Sosial kita sudah lama runtuh. Orang dewasa tidak ramai yang mahu
mengasuh. Orang muda pula gagal diasuh.
Mencari redha Allah ada jalannya yang
tersendiri. Ada syariatnya. Ada
prosedurnya. Ada ilmu yang mutawatirah dari dahulu hingga sekarang. Ramai
ulamak yang boleh membimbing. Tetapi seperti suatu yang ganjil apabila yang
selalu dirujuk adalah mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Perbincangan
mengenai agama selalu sangat dirujuk kepada mereka yang bukan dalam bidang
agama. Logik akal tidak boleh mengatasi logik agama. Ilmu agama memiliki
kecedasannya yang tersendiri. Ada kaedah untuk memahami mengikut caranya yang
tersendiri. Ulamak selalunya mengerti limitasi diri mereka sendiri. Mereka
menghadkan bicara kerana takut tergelincir dari apa yang mereka faham. Bukan
apa yang mereka tahu. Yang bukan ulamak pula terbuka menyandarkan hujjah kepada
logik akal semata-mata. Logik Allah seperti dicatat dalam Al-Quran tidak
dipakai.
Maka yang kita lihat ialah penganut
Islam dengan segala kepincangannya. Seperti kata seorang sahabat penulis,
seorang mualaf, “Jika saya melihat orang Islam saya tidak tertarik untuk
memeluk Islam. Saya memeluk Islam kerana melihat kebaikan dalam Islam.” Perit
juga telinga dan hati mendengar hujjah sebegitu. Itulah realitinya. Mereka yang
bukan Islam tidak tertarik dengan ciri-ciri kita yang Islam. Terlalu banyak
negatifnya. Mari kita lihat situasi berikut:
1
Ramai
pemuda Islam tertarik kepada nafsu jahat terhadap wanita Islam. Di mana
silapnya?
2
Ramai
wanita Islam tidak tertarik kepada pemuda Islam. Di mana silapnya?
3
Ramai
anak muda Islam tertarik dengan ajaran agama lain. Kenapa?
4
Ramai
pula anak muda yang bukan Islam tertarik dengan Islam. Bagaimana hal sebegitu
boleh terjadi?
Apakah kita hilang jatidiri Islam? Apa
lagi yang boleh dipertahankan. Kembalilah kepada pewaris anbia. Sementara mereka
masih ada. Kita belum terlambat sebelum mereka diangkat Allah meninggalkan kita
tanpa guru. Tanpa pengasuh. Tanpa pembimbing. Tanpa pendidik. Semoga Allah mempermudahkan
kita.