Monday, July 12, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab 6

Meninggalkan isteri dan anak-anak di kampung terlalu banyak mengorbankan perasaan. Paling tersayat ialah makan dan minum mereka. Pakaian anak-anak tidak menjadi masalah. Sewaktu di Kuala Terengganu dulu saya dan isteri belikan yang agak alah membeli dan menang memakai. Lagipun isteri saya pandai menjahit. Jahit menjahit, potong memotong dan upah menjahit boleh belaka ketika itu. Waktu senggangnya banyak. Waktu lapangnya banyak. Waktunya belum sibuk seperti sekarang. Dalam usianya 60 tahun sekarang ini dia masih ligat putaran dan kitaran hidup dan aktivitinya. Belum nampak akan mengurang. Bak gasing, Urinya masih boleh mati berdiri. Tumbang tidak sekali. Masih banyak yang belum selesai.



Oleh kerana saya pulang ke kampung sekali sebulan maka saya tinggalkan bekal untuk cukup sebulan. Namun dalam keadaan tidak kecukupan saya terpaksa berikhtiar lain. Keluarga tidak pernah diberitahu. Tidak pernah diminta bantuan. Tanggung sendiri. Di kampung sebelah (Parit Puasa) ada dua buah kedai runcit. Sebuah kedai Malbari dan sebuah kedai Melayu. Kedai Malbari itu sangat sinonim dengan keluarga saya. Sudah kenal dari arwah datuk saya lagi. Berpuluh tahun keluarga saya mengenalinya. Maka berundinglah saya dengan pemiliknya. Nanti isteri saya mendapatkan keperluan di kedai itu. Cukup bulan saya datang membayarnya. Setiap bulan saya tidak gagal membayarnya walaupun kadang-kadang sedikit lewat. Maka makan dan minumlah isteri dan anak-anak saya bersama arwah ibu saya kerana saya tinggalkan isteri dan anak-anak bersama arwah ibu. (Kedai itu sudah tiada lagi. Peniaga Malbari itu menjualnya kepada peniaga Melayu. Tetapi tidak panjang usianya).



Saya buat juga perjanjian dengan pemilik kedai yang sebuah lagi, pekedai Melayu. Tetapi maaflah bila lambat sedikit banyak omelnya. Bukan bantunya. Sesungguhnya orang Melayu masih jauh tertinggal berbanding dengan budaya orang Arab atau India atau Cina dalam hal membantu keluarga atau bangsanya. Di Batu Pahat umpamanya, tiada orang Arab yang susah atau merempat. Setiap orang ada kerja. Yang berniaga memberi kerja. Yang tidak berniaga membantu memberi tenaga. Hatta yang janda sekalipun anak-anak mereka dibela secukupnya. Jangan dikira belanja persekolahan dan makan minum. Begitu juga pakaian. Lihatlah betapa majunya keluarga Bajrai di Batu Pahat. Mereka ada kedai runcit, karpet, buku, pakaian, kain, farmasi, pelancongan, pemaju perumahan, aktif politik dan sebagainya.



Entahlah, bilakah agaknya orang Melayu tulen akan mencapai keperihatinan sebegitu. Bagi orang Melayu jika kurang meminta, lebih suka pula makan sendiri. Melebihkan untuk diri sendiri. Sifat memberi sangat lambat, kurang dan cuba pula dihindarkan. Barangkali ada kesilapan di mana-mana. Ukhwah Islamiah dan Melayuwiyyah banyak di bibir dan di mulut sahaja. Jarang menusuk ke hati. Selagi tidak dibuang sifat iri yang negatif itu mungkin lambat lagi orang Melayu tulen ini akan maju, menuju ke hadapan, membelah kemajuan, menancap ekonomi, menjunjung agama, menjulang sains dan teknologi dan memakmurkan alam dunianya.



Dalam sebuah hadith Rasulullah, mafhumnya, "Dua jenis iri dibenarkan. Pertama iri kepada orang berilmu yang mengamalkan ilmunya dan mengajar orang lain akan ilmunya. Keduanya, iri kepada orang kaya yang menginfakkan hartanya ke jalan Allah." Malangnya orang Melayu masih sangat iri terhadap perkara-perkara yang bukan hak. Fenomena itu ada di mana-mana. Di bandar, kampung, pejabat, sekolah, pasar, luar negara. Hatta di mana sekalipun. Puas saya mengembara dalam negara dan luar negara, iri orang Melayu ada di mana-mana.

Pada tahun kedua di UM (1976) anak-anak saya sudah mula ke Tadika. Jauh juga dari rumah. Setiap pagi isteri saya menghantar mereka berbasikal. Kedua-duanya dibonceng bersama. Waktu pulangnya juga dengan basikal. Walaupun jalanraya sudah luas terbentang, gambaran pohon getah dengan akar banirnya yang licin, tanahnya yang becak, lekit dan hitam gambut masih tetap terbayang. Laluan isteri dan anak-anak saya itu adalah laluan yang sama. Laluan yang saya rentas setiap hari waktu di sekolah kebangsaan dahulu. Kebetulan tadika itu di sebelah sekolah saya dahulu. Sekolah Kebangsaan Seri maimun, Parit Othman, Parit Sulong, Batu Pahat. Walaupun kepayahan dahulu sudah tidak ada, jalan merentas itu tetap menjadi nostalgik. Pahatan ingatan yang tidak boleh padam. Datang dan pergi di mata.

Waktu menghantar anak-anak sebelah pagi tidaklah terlalu rumit. Cuaca dan suhu di kampung masih sejuk mencengkam pada waktu pagi. Damai, bersih dan nyaman sepanjang jalan. Kenderan dan pencemarannya belum menyesakkan nafas dan rasa. Cuma waktu kembalinya dari tadika itu, keadaan agak panas dan memenatkan. Mengayuh basikal dengan dua orang anak bukan sesuatu yang memudahkan. Hati dan perasaan isteri saya cukup teruja untuk memandaikan anak-anaknya. Mentarbiahkan mereka untuk lari dari kebiasaan yang biasa-biasa. Untuk mengeluarkan anak-anak dari kepayahan kami berdua. Untuk lari dari amalan konservatif yang memomok dan mengongkong diri. Untuk keluar dari kepompong lama yang merimaskan.

Biasalah anak-anak. Matanya liar nampak itu dan ini. Ada sahaja mintanya. Yang kedua selalu mendahului kakaknya bila meminta. Bila melintas kedai ragamnya meninggi. Rela terjun basikal kerana terasa kehendaknya tidak akan tercapai. Atau isteri saya lambat memberi respon. Allah. Manalah hendak membeli. Saya bukan banyak meninggalkan wang untuk isteri dan anak-anak. Jika ada diguna secermat mungkin. Tersangat berpada-pada. Barangkali anda semua boleh bayangkan. Anak itu yang umurnya sekitar tiga tahun terjerit-jerit di tepi jalan kerana hendakkan sesuatu. Sanggup mencangkung dan berbaring. Gamak terguling-guling. Apalah daya seorang ibu jika tidak mengasihi anaknya. Jika tidak mengalah dengan karenahnya. Jika tidak menyempurnakan hajat anaknya. Jika tidak meredakan ragamnya. Anak sekecil itu apalah yang boleh dipengapakan. Akhirnya kasih sayang juga yang megatasi segalanya. Diturut hendak dan ragamnya. (Sebak juga saya pada saat ini). Anak-anak terpaksa menanggung derita dan merasa penanggungan berat tanpa mereka mengerti erti kepayahan ibu dan bapanya.

Mendidik anak bukanlah sesuatu yang santai. Perlu ada rencana. Perlu ada wawasannya. Perlu ada rentasan waktu di hadapanya. Perlu ada hambatan-hambatan rasa, hasrat, cita dan azam. Semuanya harus menyatu untuk mendambakan yang manis-manis dan muluk-muluk belaka. Mengingat kembali semua ini mengingat semula kepayahan masa lalu yang berulang. Kitaran masa yang timbul tenggelam. Mencari dasar dan tapak untuk teguh kejap berpijak nyata. Yang nyatanya masa dulu-dulu itu adalah pencarian untuk membina masa hadapan. Menongkah waktu dan zaman. Mencari pelangi dan spektrumnya. Mencari indah yang dijanjikan kepada yang mencari.

Untungnya saya dan isteri banyak menyama rasa. Kami tidak membeli jajanan di jalan. Tidak banyak membeli apa yang melintas di hadapan rumah. Kami tidak ajar anak-anak suka berbelanja mengikut selera. Kebanyakan masa makanan dibawa ke rumah. Makan di rumah. Berebut di rumah. Kenyang di rumah. Waktu balik kampung yang lazimnya memakan masa 7 hingga 8 jam kami tidak makan di kedai. Isteri saya menyediakan bekalan untuk kami makan dalam perjalanan. Lauk pauk ringkas dan senang tetapi tetap menyelerakan. Bukan sahaja seperti selalu saya katakan isteri saya cukup sedap air tangannya tetapi faktor ramai, penat dan suasana di luar rumah sentiasa membuka selera. Tetap kecur air liur. Makan kami seperti tidak ada kenyangnya. Ada sahaja selera. Payah hendak patah selera. Kecurnya memanjang.

Aduhai mesih mengingat masa lampau. Zaman-zaman itu sudah lama berlalu. Sekarang kami selalu berdua. Anak-anak yang dulunya di keliling pinggang meninggalkan kami seorang demi seorang. Yang berumah tangga, yang sudah bekerja dan yang masih belajar semuanya jauh dari rumah. Sewaktu teringin membina Taj Mahal dahulu kesemua mereka masih ada. Dirancang supaya mereka seronok di rumah yang cukup selesa untuk mereka. Hakikatnya tidak begitu. Ahkirnya mereka hanya kembali mungkin di hujung bulan atau di hari cuti atau pada majlis-majlis tertentu yang diatur atau pada hari raya.

Seri rumah itu bersinar bila mereka kembali. Ada keriuhan anak cucu. Namun bila mereka kembali tiada, kesunyian itu menghambat kembali. Datang lagi meninggalkan kenangan-kenangan dan keriuhan-keriuhan lama. Alhamdulillah kepayahan dulu-dulu itu tersimpan dalam ingatan. Blog ini akan dibaca oleh anak-anak dan cucu cicit selagi masih boleh dibaca. Mudah-mudahan ia memberi keinsafan bahawa induk mereka dahulu datang dari rentasan masa yang sangat suram dan samar. Sekarang ini mereka dalam cahaya yang terang. Doa saya mereka meneruskan obor terang itu merentas zaman-zaman di hadapan mereka.