Sunday, August 22, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Ketiga Puluh - Bab 2

Tinggal di kawsaan setinggan ada juga manfaatnya. Seperti saya sebut dahulu, ia adalah iktibar. Kehidupan ini tidak selamanya senang dan indah. Manis dan melegakan. Bahagia dan melapangkan. Rutin saya seharian perlukan pengorbanan. Semangat cekal dan kekuantan tekad. Mengharap kehidupan sementara yang singkat. Mencari sinar di hujung terowong gelap. Sementara hanya sementara. Bersabarlah.

Selama tiga tahun menyewa rumah setinggan rutin hidup saya tidak pernah berhenti. Ia berulang setiap hari. Yang sama hari demi hari. Saya belajar dari pagi hingga ke tengah malam. Peranan saya berganda: pelajar, suami, bapa. Di rumah saya belajar sambil mengurus bekalan airpaip. Kawasan setinggan Sungai Way agak luas, seluas bandar Sunway sekarang. Di sebelah hadapan ialan Kontena Nasional, di baratnya baru dibina ketika itu ialah Subang Jaya. Kawasan itu penuh dengan bekas lombong. Kawasan rumah yang saya duduk tidaklah teruk sangat. Walaupun di setengah rumah setinggan kedudukannya agak sesak tetapi di Sungai Way keadannya agak teratur. Tidak terasa sesak nafas.

Makan dan minum tidak menjadi masalah. Kedai runcit berhampiran rumah. Bekalan elektrik memang tidak ada. Al-maklum kawasan setinggan. Kalau diberi nanti manja pula. Tidak mahu keluar dan bertambah pula yang ingin menjadi setinggan. Untuk menerangkan rumah lampu pam digunakan. Yang menjadi kerumitan ialah air untuk makan minum dan membasuh serta mandi manda. Namun penduduk setinggan inovatif orangnya. Biasanya di kawasan setinggan ada bekalan air publik. Yang sukarnya ialah kedudukannya agak jauh dari rumah. Bagi rumah yang dekat beruntunglah. Paip yang saya maksudnya sejauh kira-kira 400 meter dari rumah. Terpaksalah membeli getah panjang. Setiap malam saya mengambil giliran untuk mendapatkan bekalan air. Waktu siang tentu sahaja tidak boleh kerana saya tiada di rumah. Lagipun waktu siang terlalu ramai yang menggunakan air. Tekanannya menjadi rendah.

Waktu malam damai dan tidak kalut. Kira-kira dua jam baru selesai. Lazimnya pukul 2.00 pagi. Sementara menunggu air penuh dalam tong air saya belajar. Kata orang Putih killing two birds with one stone. Sambil menyelam minum air. Maknanya saya terpaksa meredah malam pergi dan balik untuk memasang getah. Pergi dan balik untuk mencabut getah. Semuanya dilakukan tanpa mengira hujan atau tidak. Ribut atau tidak. Suka atau tidak. Tanpa air itu kehidupan menjadi mati. 70% dari kehidupan kita adalah air. Kurang air kita merana. Badan kurang air kita demam. Terlebih air mungkin nanti paru-paru berair. Begitulah kehidupan yang lain. Hatta laut, sungai dan tasik. Semuanya ingin mengekalkan paras airnya.

Kepayahan di rumah setinggan sebenarnya bukan kes terpencil. Kepayahan seperti itu boleh berlaku di mana sahaja di negara yang tercinta seperti Malaysia ini. Kita dibekalkan air bersih tetapi bila kita guna penapis air, kotoran yang bersama air amat menjijikan. Air yang kelihatan bersih itu rupanya masih tercemar dengan keladak, daki, minyak dan banyak lagi bahan-bahan pencemaran. Saya tidak dapat bayangkan kotoran yang masuk ke paru-paru kita bila kita makan di kedai, bila kita makan dan minum menggunakan air yang tidak bertapis. Bertahun-tahun kita dicemarkan begitu. Benar, air itu sudah dirawat tetapi kotoran itu tetap masuk ke dalam tubuh badan kita. Mungkin tubuh badan kita sebenarnya tong sampah yang plastik dan elastik. Boleh menerima kotoran bersama air yang dibekalkan ke rumah. Yang tiada pilihan lain kecuali itu.

16 Disember 1990 saya bertukar tempat kerja dari Politeknik Ungku Omar di Ipoh ke Politeknik Batu Pahat (UTHM sekarang), di Parit Raja. Saya menyewa rumah di Taman Soga Batu Pahat. Pada hari-hari pertama saya tidak dapat minum kerana apabila isteri saya membuat air teh-O, warnanya menjadi kelabu asap. Bila sampai ke mulut, hidung menghidu sesuatu yang busuk dan meloyakan. Dalam seminggu itu saya terpaksa menyediakan belakan air mineral sehingga saya kelemasan. Mana ada bajet untuk semua itu. Di Ipoh saya rasa aman dari gangguan air. Airnya bersih dan tidak pernah terputus bekalan kecuali ada hal-hal yang luarbiasa seperti paip pecah.

Saya kira saya bergembira kerana dapat kembali ke kampung halaman. 12 tahun saya di Ipoh. Berkhidmat, merantau dan membina kelarga. Cukuplah kata saya. 12 tahun sudah cukup lama. Rupanya kegembiraan itu terpaksa saya bayar dengan kos melepas yang tinggi. Masalah air menghantui saya. Nantilah pada entry yang lain saya akan bercerita lanjut mengenai maslalah air ini.

Kembali ke rumah setinggan. Masalah air hanya mengenai bekalan. Waktu itu orang Malaysia belum pernah sibuk tentang penapis atau sistem merawat air di rumah. Apa yag dibekalkan dianggap bersih dan selamat. Itu yang dijanjikan. Bersyukur juga kerana sebelum itu saya pernah menggunakan air gambut. Nenek saya (sebelah emak) berpuluh tahun menggunakan air gambut. Masakannya enak walaupun tiada resepi tertentu. Tiada sukatan tertentu. Cekut sana cekut sini. Campak sana campak sini. Berpinggan-pingan saya makan. Bila saya ingat kembali, nasi yang dimakan berasal dari beras yang berwarna putih tetapi menjadi perang kerana penangan air gambut. Saya biasa gunakan air sungai dan parit yang dimendapkan. Saya biasa gunakan air hujan yang entah berapa banyak tahi cicak di dalam tempayan dan kolah. Maka air paip dijanjikan bersih dan selamat dari segi kesihatan. Tetapi apabila dilihat kotor dan berbau otak sedar saya jadi keliru. Saya sudah tidak ada bekalan air gambut, air sungai dan parit atau air hujan. Mestikah air paip yang kotor dan berbau itu menjadi pilihan?

Hendak tidak hendak pilihan saya ialah menggunakan penapis air yang paling simple. Untuk mengabui mata dan perasaan. Air yang ditapis nampak bersih dan hilang baunya. Bolehlah menikmati semula air teh-O. Hilang kelabu asapnya. Hilang bau busuk nan meloyakan. Saya kembali menemui ketenangan. Yang penting bajet tidak lari. Rasa selamat menggunakan air terjelma semula. Waktu saya beli saya tawar harganya. kata saya di Ipoh lebih murah. Pekedai itu menempelak saya dengan mengatakan bahawa di Ipoh orang tidak memerlukan penaps air sebab airnya bersih.

Episod air di Batu Pahat panjang berjela. Ada kesempatan akan saya sentuh lagi dalam kisah dulu-dulu saya.