Beraya di
perantauan bukan selalu. Bagi mereka yang tidak pernah berada jauh dari kampung
halaman tidak akan dapat merasakan apa-apa perbezaan pengalaman. Ada baik dan
ada kelesuannya yang tersendiri. Bila diamati tentu banyak juga keindahannya.
Yang pastinya hanya orang Malaysia dan orang Nusantara sahaja yang
merayakannya. Sewaktu di Pittsburgh, USA dahulu merasa sekali sahaja suasana
harirayanya. Itupun pada sebelah petangnya saya ada kelas. Pada hari-hari
berikutnya dapat jugalah ke rumah sahabat-sahabat yang lain. Yang pastinya
ramai orang Islam berkumpul di park untuk bersama-sama kenalan dan keluarga.
Makan-makan dan berbual santai melepaskan kerinduan terhadap saudara mara dan
kampung halaman. Hanya beberapa jam. Bawa makanan sendiri. Kongsikan dengan
rakan-rakan yang lain. Bergambar dan bersurai membawa kenangan untuk disimpan lama
dalam ingatan.
Kali kedua di perantauan
saya beraya di London. Pada hari raya pertama saya dan keluarga berada di London.
Kami transit dalam perjalana pulang ke Malaysia setelah tamat belajar di
Pittsburgh. Beberapa hari sebelumnya kami berpuasa dan berbuka di sana. Sahur
kira-kira pukul 2.00 pagi dan berbuka kira-kira pukul 10.00 malam. Lama? Memang
lama. Tidak haus dan lapar ke? Kami rasa biasa sahaja. Allah Maha Kaya. Masa
dan tempat berbeza tetapi pengalaman berpuasa seperti biasa sahaja. Niat
berpuasa telah mengunci minda dan perasaan supaya sentiasa tahan berpuasa. Haus
dan lapar boleh dikawal oleh minda kita sendiri. Seperti kata seorang sahabat,
beraya di perantauan kadang-kadang lebih nikmat. Bukan nikmat beraya sakan
tetapi kita melalui musim yang berbeza. Bagi yang lama bertahun-tahun di
perantauan hari raya dialami dalam musim yang berbeza. Ada masanya dalam musim
panas seperti sekarang. Akan beredar ke musim sederhana dalam musim luruh,
sejuk pada musim sejuk dan nyaman pada musim bunga. Rasanya tidak ada agama
yang hari rayanya berubah musim. Allah Maha Besar. kita ditentukan dengan bulan
qamariah. Bukan syamsiah.
Tahun ini saya
bercadang berhari raya di Jordan. Apakan daya keadaan memisahkan saya dan
Jordan. Alhamdulillah berpuasa dan berhari raya di Kaherah, Mesir pula. Seperti
biasa beraya di perantauan hanya di rumah sahaja. Orang tempatan tidak beraya.
Mereka berehat dari berpuasa Ramadhan. Esok mereka sambung semula puasa Syawal.
Cuma kebetulan ada teman-teman anak dan menantu saya tidak kembali ke Malaysia.
11 orang daripada mereka berada di Kaherah. Di asrama Amanah Raya Berhad (ARB).
Pada petang Rabu mereka menjemput saya dan isteri untuk bersama dalam majlis
jamuan hari raya mereka. Majlis diadakan selepas waktu Isya’. Cantik. Kami berbuka
ala kadar. Meluangkan sedikit ruang perut untuk diisi lagi dengan juadah yang
mereka sediakan. Kami tidak menjangkakan yang terlalu istimewa. Rasanya tentu
mereka hanya melepaskan kerinduan kepada juadah kampung seperti selalunya.
Majlis bermula
hampir pada pukul 11.00 malam. Almaklumlah, apabila mengadakan majlis seperti
itu kawalan waktu mungkin kurang diperhatikan. Dalam apa keadaan sekalipun
faktor adalah penentu kepada banyak perkara. Semua yang menyangkut adalah
penting. Waktu adalah jadual kehidupan. Menjaga waktu suatu keperluan. Mengawal
waktu suatu kefardhuan. Menyanyangi waktu suatu kerinduan yang memanjang
indahnya. Dari masa ke semasa kita perlu akur bahawa masa perlu diatur
serapinya untuk merealisasikan kualiti hidup yang berdisiplin. Teratur. Penuh
hati-hati. Berhemah. Banyak jangkaan yang dapat dibuat apabila waktu dapat
dikawal. Kita boleh merancang waktu sebelumnya dan waktu selepasnya. Maknanya
aktiviti berlaku dalam lingkungan yang tertentu. Orang lain dan diri kita
sendiri dapat mrencanakan aktiviti
seterusnya. Hidup kita sentiasa beraktiviti. Tanpa henti. Tidur bukan rehat
tetapi selingan waktu untuk menyusun strategi berikutnya.
Kebetulan ada
permintaan untuk saya berucap. Spontan. Mereka minta yang tua memberi input.
Alhamdulillah pengalaman menjadi pendidik selama berpuluh tahun memudahkan
lidah berbicara. Melancarkan minda menyusun isi bicara. Pengalaman memang
sentiasa tersedia untuk dikongsi. Saya ambil peluang untuk memberi sedikit tip.
Mereka semua bakal menjadi pegawai di Malaysia nanti. Bukan orang di bawah.
Bukan orang di atas. Mereka menjadi orang di tengah. Orang di atas dengan arahannya. Dengan
harapannya. Orang di bawah dengan dongaknya. Dengan harapannya juga. Sebagai
orang di tengah mereka harus pandai bermain politik. Bukan politik negara
tetapi politik pejabat dan sosial. Orag di atas mesti dijaga. Mesti dilindungi
kerana pagawai yang di tengah akan sampai masanya berada di tempat itu. Orang
di bawah mesti dijaga kerana mereka yang membantu menyempurnakan semua tugas
unit atau jabatan. Orang di bawah juga perlukan pembelaan kerana pegawai di
tengah yang lebih memahami kedudukan mereka.
Pengalaman berada
di luar negara seharusnya menjadikan seseorang itu lebih fleksibel. Boleh
mengubah keadaan apabila diperlukan. Mindanya lebih terbuka. Selalu berlapang
dada. Tidak ada perkara yang terlalu jumud. Yang terlalu terikat. Apabila
berhadapan dengan sesuatu situasi pantas mengadaptasi diri. Selalunya kita
dikawal oleh dasar, strategi dan perancangan. Namun semuanya perlukan ke
bijaksanaan untuk menyempurnakannya dengan saksama. Suatu hal yang wajib tidak
dilupakan ialah hukum hakam yang melingkari sesuatu tindakan. Syariat jangan
dilupakan. Pengalaman juga sewajarnya membantu kita mengubah paradigma apabila
diperlukan. Tidak ada situasi yang benar-benar serupa pada setiap masa. Pada
keadaan yang berlainan. Kerana itu kita tidak boleh melayan semua perkara dengan
serupa belaka. Mesti ada kelainannya. Contohnya pagi dan tengahari tentulah
berbeza. Petang dan malam juga berbeza. Ramai dan sedikit tentulah berbeza
juga. Apatah lagi antara rasmi dan santai lagilah banyak bezanya.
Kagum juga dengan
beberapa orang pelajar ARB dan yang lain. Ada yang sudah empat tahun tidak
pernah balik ke Malaysia hatta untuk berhari raya bersama keluarga. Barangkali
kebiasaan menjadikan mereka sangat santai dengan perasaan. Jika kembali ke
Malaysia mereka bingung kerana terpisah dengan halaqah ilmu. Tidak tahu apa
yang sebenarnya perlu dilakukan pada hari raya. Mereka tidak pandai berhibur atau membuang masa. Apa lagi untuk
ke hulu dan ke hilir sudah bukan kebiasaan. Mereka selesa di Kaherah kerana
setiap masa banyak pengisian minda dan ilmu. Kuliah-kuliah umum banyak di
mana-mana. Mereka yang sudah arif boleh memilih tempat, masa dan tokoh yang
dituntut ilmunya. Seorang pelajar wanita berada di Mesir sejak usianya13 tahun.
Selepas sekolah Kebangsaan. Ibu dan bapanya letakkan dia di Kaherah untuk
menuntut ilmu di sini dalam Bahasa Arab. Seperti sekolah menengah kita juga.
Ada sains, matematik dan lain-lain
subjek sekular dan agama. Apabila tamat pengajian menengah dia boleh memilih
jurusan yang diminati. Banyak juga institusi pendidikan yang percuma atau
terlalu tidak signifikan yuran tahunannya. Bayangkan 30USD setahun. Atau RM90. Sebulan hanya kira-kira RM7.50.
Sewa rumah,
pengangkutan dan makan minum tidak semahal seperti di Malaysia. Mengkagumkan
kerana sebenarnya ramai ibu bapa Malaysia, Indonesia, Thailand malah dari
negara Cina menghantar anak-anak mereka belajar di Mesir. Di negara asing.
Bukan anak yang besar-besar dan panjang akalnya. Tetapi anak-anak sekitar 13
tahun. Mereka di sini belajar di sekolah menengah bersama anak-anak Mesir.
Anak-anak Arab. Biasa sahaja. Mereka gembira. Santai dan biasa-biasa. Di
Malaysia anak-anak terdedah dengan berbagai pancaroba remaja. Ramai yang gagal
membina pertahanan diri dan pertahanan iman. Hedonism sudah tidak terkawal
lagi. Di Kaherah umpamanya walaupun
resapan budaya barat kelihatan juga tetapi tarikannya masih belum terlalu kuat.
Budaya Islam dan budaya Arab masih dipertahankan. Cuma selalu yang saya
tanyakan jawapannya ialah mengapa anak-anak dari Kelantan, Terengganu, Kedah
atau Perak ramai di sini. Anak-anak dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ada.
Bukan tidak ada. Kadarnya sangat sedikit berbanding pelajar dari negeri-negeri
lain.
Jalan utama Hayyu Sabiq waktu malam. Lampu kedai bergemerlapan.
Sebuah kedia roti yang meriah dengan pelanggan.
Sebuah kedai lain
Di jalan
Asrama Amanah Raya Berhad. Pelajar memasang lampu berkerlipan.
Pengacara. Saya bersama lima orang pelajar lelaki yang tidak pulang ke Malaysia. Empat dalam gambar. Seorang lain menjadi jurukamera.
Bersama pelajar wanita.
Lima pelajar ARB. Yang lain sahabat mereka yang turut sama.
Kenangan di akhir majlis.
Yang wanita.
Jamuan di rumah sewa saya. Jumaat malam Sabtu.
Lima lelaki.
Kira-kira 10 wanita.