Penulis teringat sewaktu bertugas di Kuala Trengganu dari tahun 1969 hingga 1974. Cuti hujungh minggu ialah hari Jumaat dan Sabtu. Pada hari Jumaat adalah cuti sepenuhnya. Semua pejabat kerajaan, sekolah dan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan yang lain ditutup. Hanya hospital, bomba, polis dan perkhidmatan kecemasan yang lain sentiasa dibuka. Hari Jumaat dipatuhi sebagai hari cuti. Kesemua premis perniagaan seperti bank juga ditutup. Hanya perniagaan yang memenuhi keperluan umum setiap masa seperti kedai makan dan gerai dibuka pada hari Jumaat. Walaupun perniagaan dan pentadbiran seperti terhenti tetapi kegiatan pelancongan tidak pernah surut. Sentiasa ada. Lagipun Negeri Terengganu menawarkan banyak peluang dan produk pelancongan kepada rakyat Malaysia atau kepada pelancong asing. Cuti pada hari Jumaat banyak pula nikmatnya. Begitu juga di Negeri Kelantan dan Kedah. Sekarang kita kembalikan hari Jumaat kepada haknya di Negeri Johor.
Dunia selalu berputar. Kita dahulu menerima Islam sepenunyya. Agama yang sempurna dan diredhai Allah. Tiada pilihan lain. Namun kita terperangkap dengan pandangan yang tidak Islamik. Maka untuk menyaingi kemajuan dunia bukan Islam kita dituntut supaya selari dengan kehidupan mereka. Budaya mereka. Sistem mereka. Tanpa mengikut mereka kita dianggap kolot. Berzaman lamanya kita terpedaya dengan gagasan minda kita sendiri. Lalu hari yang mulia setiap minggu itu kita ketepikan dahulu. Kita ganti dengan hari lain yang bukan milik kita. Sorot semula sejarah beragama. Ada agama memuliakan hari Ahad. Ada pula yang memilih hari sebelumnya iaitu hari Sabtu untuk menjadi di hadapan. Islam datang memuliakan hari Jumaat. Ada perhimpunan mingguan yang memfardhukan semua lelaki Islam yang baligh dan mukalaf untuk hadir di masjid. Kita memuliakan penghulu hari dengan mendengar khutbah dan solat Jumaat berjemaah.
Datang fikiran-fikiran yang tidak terbendung dengan agama. Kita tidak selari dengan dunia. Semua orang lain bercuti pada hari Ahad. Kita pula pada hari Jumaat. Di negara Islam yang lain khususnya di negara-negara Arab perbezaan hanya pilihan dua hari yang dicutikan. Di Arab Saudi umpamanya cuti hujung minggu pada hari Khamis dan Jumaat. Sabtu dikira awal mingggu. Di negara Arab yang lain seperti Mesir hujung minggu bermakna pada hari Jumaat dan Sabtu. Ekonomi sesebuah negara bukan bergantung kepada hujung minggu mereka. Kesemuanya dengan izin Allah. Kita yang bercuti hujung minggu pada hari Ahad tidak juga terkehadapan bersama dengan negara-negara maju. Masih banyak kekurangan keupayaan memperkasakan ekonomi. Masih ramai yang tidak mampu untuk memiliki rumah. Itu sekadar satu contoh hakiki. Kit atelah tinggalkan lambing Islam. Kita memilih yang lain tetapi akhirnya kita tetap akur bahawa hari Jumaat perlu dihormati. Kita kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah.
Kelainan yang telah diciptakan pada hari Jumaat ialah petugas lelaki memakai pakaian kebangsaan. Siap bersamping dan bersongkok. Mulai minggu hadapan hari Jumaat adalah cuti hujung minggu bersama dengan hari Sabtu. Selepas ini sukar untuk melihat petugas dan penjawat memakai baju kebangsaan. Mungkin pada majlis-majlis tertentu yang diatur supaya yang hadir memakai baju kebangsaan. Banyak pakaian kebangsaan yang berehat. Rasanya bukan membazir. Secara positifnya pakaian yang sama akan dipakai untuk berjemaah di masjid. Bukankah hari Jumaat adalah hari raya mingguan. Berpakaian cantik berwarna warni tentu menambahkan keceriaan pada hari cuti hujung minggu. Pergi awal ke masjid. Solat sunat seberapa banyak sebelum dan seleps solat Jumaaat. Membaca al-Quran sebanyak-banyaknya. Atau berzikir. Hari yang dinamakan cuti ini hanya cuti dari bekerja untuk makan gaji. Namun begitu ambillah peluang ini untuk berniaga dengan Allah. InsyaAllah tidak akan pernah rugi.
Yang berniaga tanpa menggaji orang lain tidak perlu bercuti. Dalam Islam cuti hanya pada waktu solat. Itu sahaja cuti yang ada. Pada waktu-waktu yang lain bekerjalah kerana Allah. Tetapi jika menggaji pembantu maka mereka perlukan cuti. Hanya sehari dalam seminggu. Hari untuk bersama keluarga. Yang lain bolehlah beribadat sejak dari sebelum solat Maghrib hari Khamis malam Jumaat hingga selepas solat Jumaat. Kita berhari raya untuk beribadat. Yang hendak berjalan atau bermajlis-majlisan sila teruskan. Cuma ingat. Buat semuanya kerana Allah. Mencari KeredhaanNya. Elakkan dari sebarang maksiat. Apabila hendak melakukan sesuatu pastikan ada dalil yang mengharuskan atau membenarkannya. Tanyalah mereka yang alim agama. Mereka yang pakar dalam bidang agama. Yang dipercayai. Yang thiqah dalam bahasa Arab.
Mungkin pada peringkat awal banyak yang perlu diubahsuai. Almaklumlah sudah biasa dengan cuti pada hari Ahad. Bagi mereka yang berhasrat untuk mengadakan majlis pada hari Jumaat sila teruskan. Jangan risau. Syaratnya mulakan majlis lebih awal. Boleh mulakan jamuan dari pukul 9.00 pagi atau pada pukul 9.30 pagi. Tepat pada pukul 12.30 tengahari majlis hendaklah ditangguhkan sementara. Semua orang lelaki sama ada petugas atau tetamu bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Sambung semula majlis pada pukul 2.00 petang. Mungkin hingga pukul 4.00 petang. Seperti biasa majlis berlangsung selama lima jam juga. Ada kebaikannya. Oleh kerana hari Jumaat maka berfikirlah ke arah yang Islamik. Yang syarie. Yang tidak mendekati maksiat. Apapun yang hendak dilakukan dalam majlis itu hendaklah yang dibenarkan dari segi hukumnya. Majlis nikah kahwin adalah majlis agama. Jamuan yang mengiringi juga bersandarkan agama. Kerana itu selalu pegang suruhan agama. Tolak larangan agama yang boleh mencacatkan majlis dari aspek agama.
Elok juga jadinya. Cuti hujung minggu yang barakah. Hari Jumaat penghulu hari. Diisi dengan aktiviti yang mencantikkan agama. Dilihat menyejukkan mata. Didengar menyejukkan telinga. Ada pandangan jauh. Berwawasan taqwa. Meningkatkan keterlibatan agama. Kita sudah lama selalu melebihkan adat. Apabila yang beradat tidak boleh diubah suai. Tidak boleh berkempromi. Kali ini tinggalkan adat. Pakai mana-mana yang tidak bercanggah dengan Islam. Baik pakaian. Baik makanan. Baik masa. Baik pengisian majlis. Baik pergaulan. Dan banyak lagi. Mana yang bercanggah tinggalkan dahulu. Pembaziran umpamanya. Cuba senaraikan mana yang membazir dan mana yang diperlukan. Perelokkan agenda yang wajib, sunat dan perlu. Majlis akad nikah perlu dijaga tatalakunya. Yang mengambik gambar umpamanya hendaklah menutup aurat. Kadang-kadang majlis akad nikah di masjid. Ramai jurugambar amatur yang tidak menutup aurat. Memakai seluar ketat. Baju ketat. Mereka tidak kenal masjid. Sayang. Cacat majlis itu. Masjid menjadi cacat.
Selamat kembali berhari Jumaat.