Wednesday, September 17, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Garam di Padang Pasir

Tasik garam dilihat dari atas Jabal Mauta. Mountain of the Dead. Memutih garamnya.


Dalam Geografi kita belajar bahawa hanya di Laut Mati sahaja yang airnya masin. Laut yang berada 400 meter di bawah paras laut itu masin sejak mendap ribuan tahun dahulu semasa Allah mengazab kaum Nabi Luth. Air yang masuk ke dalam Laut Mati mati di situ sahaja. Tidak keluar ke mana-mana. Kadar masinnya pula tersangat tinggi sehingga tiada kehidupan di dalamnya. Di Siwa penulis mendapat input baru bahawa ada tasik lain selain dari Laut Mati yang airnya masin. Kuasa Allah yang menjadikan sessuatu hanya dengan kun fayaqun sahaja. Di tengah padang pasir terdapat sebuah tasik yang masin airnya. Wadi itu penuh dengan air tawar di buminya. Di sekeliling Siwa terdapat beberapa tasik. Begitulah Allah menunjukkan kuasanya ke atas sesuatu. Di padang pasir yang jauh dari laut terdapat tasik air masin.

Mungkin ada sejarahnya yang tersendiri tetapi belum ada yang memberikan jawapan kenapa air itu masin. Sama masin seperti air di Laut Mati di Jordan. Tiada kehidupan di dalamnya. Mereka yang berada di dalamnya tidak tenggelam. Tentu sahaja tasik ini menjadi tarikan pelancong. Kedudukannya seperti tidak memungkinkan adanya air masin. Di tebing tasik kelihatan garam yang sudah mengering disejat matahari. Sumber garam bagi rakyat tempatan. Proses sahaja seadanya. Boleh dibuat pada bila-bila masa terutamanya pada musim panas. Kepada umat Islam ianya bukan suatu keajaiban. Anugerah Allah ke atas hambanya. Untuk kita mengerti. Menyembahnya tanpa syarat. Garam bukan musibah. Bukan memusnahkan. Ianya menyumbang kepada diversity di Siwa.

Ada sesuatu yang luarbiasa sebagai tanda-tanda kebesaran Allah di tasik air masin Siwa. Menurut pemandu pelancong yang bersama kami, ada bahagian-bahagian tasik air masin itu yang airnya segar dan enak. ﺣﻠﻮ . Terjemahannya bermakna manis. Tetapi lebih tepat enak dan menyegarkan. Mungkin kerana berlawanan dengan masin terasa pula seakan-akan manis. Hanya Allah sahaja yang berkuasa mengadakan sesuatu di luar kotak pemikiran manusia seperti kita yang daif ini. Setelah puas menelusuri ladang kurma di Siwa kami ke tasik garam. Melalui jalanraya yang belum sempurna dan belum diturap. Malangnya di pertengahan jalan untuk menuju ke bukit garam jalan tidak boleh dilalui kerana sedang dibaiki. Bas terpaksa mengundur kira-kira sekilometer jauhnya sebelum menemui jalan pintas untuk kembali ke pekan Siwa.

Agak malang kerana destinasi sebenar di bukit garam tidak dijejaki. Walau bagaimanapun kami sempat berhenti di tepi tasik. Merasakan airnya. Ada yang bergambar. Ada pula yang lainnya merendamkan kaki untuk merasakan garamnya apabila kering nanti. Tidak kelihatan industri kosmetik atau komersil di tepi tasik seperti Israel mengeksploitasi Laut Mati menjadi industri kosmetik yang berbillion dollar nilainya setahun. Bukan sahaja Mesir, Jordan juga tidak memanfaatkan kehadiran garam di tengah negaranya. Jika ada sekalipun hanya secara kecil-kecilan. Itulah bezanya antara mereka yang ada sifat opportunistic dengan mereka yang apathy tentang alam sekelilingnya. Selain dari minyak banyak lagi sumber kekayan alam yang diidamkan oleh Israel. Kesemuanya ada di bumi Syam. Di bumi Anbia’. Lihatlah ambisi Israel. Mereka ingin menguasai keseluruhan bumi di sekeliling negara mereka. Setakat ini hanya Hamas yang menyedarkan mereka bahawa tidak semudah itu hasrat mereka untuk dipenuhi. Allah menghalang kerakusan mereka.

Berada di Siwa adalah suatu pengalaman berzaman-zaman. Di situ terdapat tamaddun Siwa, tamaddun Greek dan tamaddun Islam. Sebagai pengembara penulis rakamkan perjalanan yang unik ini. Sekilas pandang tiada apa yang mengujakan. Tetapi sebagai manusia kita melihat susur galur tamaddun yang silih berganti. Bangsa yang kuat membina tamaddun. Bila mereka sampai di puncak mereka berada di zon selesa. Apabila keadaan itu terjadi mereka tidak merosot perlahan-lahan tetapi jatuh terperosok hina dina kerana kalah kepada bangsa yang lebih gagah. Selepas satu, datang satu lagi yang lain. Janji Allah adalah benar. Bangsa yang leka dan hanya bangga dengan apa yang ada akhirnya binasa. Diganti dengan bangsa yang kuat bekerja. Untuk memakmurkan alam. Bukan untuk menyekutukan Allah. Semoga kita bukan dari golongan itu.
Dari arah yang sama.



Laluan kenderaan yang sempit. Untuk satu laluan sahaja.

Sistem jalanraya di Mesir seperti di Eropah. Di sebelah kanan/ Stereng di sebelah kiri. Untuk pergi satu lorong dan untuk baik satu lorong yang lain.


Garam memutih di pantai tasik.


Airnya pula sama seperti tasik-tasik lain. Riak-riak kecil kerana tiupan angin di permukaan air.


Seorang peserta rombongan sedang ingin bersama air yang unik ini.


Tasik ini luas. Tidak terfikir airnya masin dan bukan tawar.


Bungkah-bungkah garam di tepi tasik.


Luas juga tasik ini.


Di bahagian yang sempit. Tempat pelancong menikmati pemandangannya yang menarik. Di musim dingin lebih sesuai untuk berada di sini.

Bingkisan Dari Kaherah: Air di Padang Pasir


Antara beberapa tasik air tawar di sekeliling Siwa. Sumber airnya banyak. Terlalu banyak bagi kawasan yang relatif kecil. Maka air dari sini dihantar ke kawasan lain di Mesir, Air dari Siwa sangat terkenal.




Padang pasir difahami sebagai tempat yang kering kontang. Tiada air. Panas terik. Kosong dari tumbuhan. Dari kehidupan. Perit dan menyakitkan. Tumbuhan atau haiwan tiada kelihatan. Manusia sukar hidup tanpa kesemuanya itu. Mesir umpamanya negara padang pasir yang kering kontang.  Tanpa air dari Sunga Nil dan wadi atau oasis yang terdapat di sana sini tiada kehidupan. Tidak banyak wadi besar di Mesir. Dikatakan hanya ada lima buah sahaja. Yang paling besar ialah di Siwa. Panjangnya 80 kilometer dan lebarnya 20 kilometer.  Ini bermakna Siwa adalah sebuah wadi yang cukup besar. Kawasan yang seluas itu dipenuhi bumimya dengan air. Kerana itu juga Siwa masyhur dengan kurma dan zaiton. Tetapi yang paling utama di sini ialah air. Air dari bumi yang menghidupkan segalanya di Siwa ini. Tidak ada sungai tetapi terdapat berbagai tasik di sekelilingnya. Kebanyakannya tasik air tawar. Namun begitu terdapat pula sebuah tasik air masin yang menakjubkan.

Siwa terpencil beratus kilometer di tengah padang pasir. Bandar terdekat ialah Matruh sejauh 220 kilometer arah ke pantai Laut Mediterranean. Namun ianya berkecukupan untuk hidup. Self sufficient. Kurma cukup banyak untuk menghidupkan mereka. Alhamdulillah air tidak pernah putus bekalannya. Anugerah dari Allah. Malah tasik garam membekalkan keperluan garam harian untuk mereka. Jika kurma menjadi mercu tanda di Siwa, air juga mercu tanda yang penting. Allah melimpahkan mereka dengan air. Mungkin menakjubkan. Beberapa syarikat air yang besar di Mesir memiliki kilang air di Siwa. Tidak ada kerisauan bahawa air di sini dicemari bahan toksik atau radioaktif. Sumber air dari dalam bumi selamat untuk diminum. Begitulah besarnya kuasa Allah ke atas hamba-hambaNya. Hanya perlu bersyukur dan taat kepadaNya. Yang lain akan dibalas dengan berlebih-lebihan. Di Siwa air bukan sahaja untuk minuman bahkan sumber ekonomi, sumber pekerjaan dan tidak kurang juga sumber politik.

Hampir keseluruhan bumi Mesir ini adalah padang pasir. Namun begitu Sungai Nil membekal keseluruhan air yang dibekalkan ke seluruh negara. Di Mesir tidak ada hujan kecuali sekali sekala. Hujan hanya berlaku dalam jangka waktu beberapa tahun. Hujan yang menandakan bergantinya musim hanya rintik-rintik. Atau hujan gerimis yang hanya beberapa minit. Apabila Islam mengatakan hujan adalah rahmat orang di Malaysia tidak dapat memahaminya dengan sebenar-benarnya. Tetapi orang di bumi yang penuh dengn padang pasair sangat-sangat bersyukur apabila turunnya hujan. Walaupun tidak lebat dianggap suatu rahmat yang besar. Air turun dari langit. Membawa bersamanya nikmat dan rahmat. Mereka akan memanjangkan doa sepanjang hujan itu turun. Doa dan berdoa. Dengan hiba dan tangis. Rahmat Allah yang jarang mereka terima. Hujan diterima dengan perasaan penuh nikmat dan syukur.

Kita tidak menghargai hujan dan air hujan. Terlalu biasa. Tidak nampak nikmatNya. Tidak mengkaji rahmatNya. Yang kita lihat hanya ecak dan lopak. Hanya banjir dan bah. Yang tenggelam dan akibat yang terjadi. Dalam banyak air itu kita selalu kekurangan air untuk keperluan hidup. Banyak masalah menguruskan air yang sumbernya banyak. Tempat-tempat takungan air seperti tidak cukup. Dikomersilkan pula sehingga ramai yang yang terpinggir dari menikmati air yang bersih dan mencukupi. Berbeza dengan Mesir. Tiada hujan tetapi air mencukupi. Di negara kita air sungai banyak. Air tasik banyak. Air hujan banyak. Kita seperti tidak tahu untuk mengurus nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Ekonomi berkembang tetapi kita tidak sama mengembangkan keperluan air untuk negara. Lembah Klang umpamanya adalah milik negara. Bukan sekadar milik Selangor atau milik Wilayah Persekutuan. Banyak yang perlu difikirkan dari segi negara. Bukan negeri sahaja. Bukan individu sahaja.

Kepekaan terhadap kemanusiaan kita perlu tinggi. Politik hanya agen pemudahcara dalam banyak hal. Manusia pada keseluruhannya yang lebih penting. Yang menenntukan asas hadapan negara. Yang menentukan keutuhan negara itu sendiri. Apa yang penulis temui di Siwa, Mesir sangat menginsafkan. Sumber air mesti diurus dengan niat kerana Allah. Lillahi Taala. Jika ada niat lain maka niat lain itulah yang merosakkan kita dalam mengurus air untuk negara. Pendidikan mengenai air mungkin perlu diperkenalkan dari sekolah. Dari anak-anak kecil supaya mereka menghormati air. Supaya memikir cara terbaik untuk mengurus air. Pemimpin pula memikirkan kebajikan rakyat yang dipimpinnya dalam mengurus air negara. Mana yang kurang dibetulkan. Dibantu. Mana yang lebih dikongsikan. Kenapa tidak diagihkan seperti bekalan elektrik. Ada pencawang. Ada meter.

Malah di negara-negara maju air adalah keperluan asas yang sangat dijaga rapi. The basis of all needs. Di Barat ada negara yang bekalan air bersihnya adalah percuma. Hadiah negara untuk rakyat. Untuk menghidupkan rakyat. Untuk mempastikan rakyatnya sihat. Sebagai balasan rakyat menyumbang produktiviti kepada negara. Sandar menyandar untuk membina negara. Lagipun rakyat membayar cukai. Pemimpin berusaha untuk mempastikan bahawa rakyat sentiasa sihat. Berkecukupan. Tidak seharusnya ada sebarang halangan untuk menikmati air bersih dari negara. Bekalan elektrik mungkin boleh terputus tetapi bekalan air tidak boleh diputuskan. Tanpa air banyak yang tidak dapat meneruskan kelangsungannya. Sampai masanya kita memikirkan semula  konsep penswastaan air. Ianya perlu menjadi milik negara. Dari negara untuk rakyat. Disumbangkan kembali kepada rakyat. Fikirkan kecekapan pengurusannya. Tingkatkan integriti (amanah) dan akauntibiliti kepada Allah.



Sebuah arca disinari matahari pagi sewaktu kami meninggalkan Matruh dalam perjalanan ke Siwa.


Padang pasir yang kering kontang.


Hanya terdapat rerumput kering yang akan segar apabila ditimpa hujan.


Berkabus.


Matahari berbalam-balam di sebalik kabus.


Tanpa kabus tentunya cahaya matahari ini agak terik walaupun di awal pagi.


Bandar Siwa dilihat dari Gunung Mayat. Jabat mauta. The Mountain of the Dead.


Ladang kurma yang melaut luasnya. Menghidupkan Siwa dan penduduknya.