Tuesday, February 4, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Di Mana Lagi Mencari Asma’ Bintu Abi Bakar



Pemilik nama ini jarang disebut. Mungkin sudah terlalu lama kisahnya. 1435H tahun yang lalu. Mungkin tidak sebaris dengan pejuang Islam yang lain. Mungkin kerana ia seorang wanita. Tenggelam dalam ribuan syuhada’. Terlipat sejarahnuya dalam dakapan dada mereka yang gugur. Sesungguhnya Asma’ adalah anak dara sunti Abu Bakar. Usianya ketika itu sekitar 12 tahun. Jiwanya besar. Kecerdikannya luarbiasa. Pemikirannya melampaui zaman. Tindakannya melebihi segala pejuang. Beraninya mengalahkan hulubalang. Tekadnya bukan kepalang. Akalnya panjang tiada penghalang. Gadis sunti ini adalah antara ramai pejuang Islam. Namun ketika itu dia hanya bersendirian. Tiada pembantu. Segala-galanya diserahkan kepada Allah. Begitulah sabda Rasulallah kepada Sayyidina Abu Bakar yang berasa takut sewaktu di dalam Gua Thur. لَا تَحْزَنْ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا. Janganlah kamu bersedih. Sesungguhnya Allah bersama kita. Muslimah sunti ini mempertaruhkan dirinya demi melindungi Rasulallah dan bapanya dari ancaman musuh. Kaum Quraisy berkeliaran mencari mereka berdua.

Sepanjang perjalanan Nabi berhijrah ke Yathrib (Madinah al-Munawarrah), banyak kisah yang selalu tidak disingkap. Yang kita tahu hanyalah bagaimana kaum Quraisy memusuhi Nabi hingga berikrar untuk membunuh Baginda. Kisah-kisah yang lain tidak diberikan tumpuan sedangkan kisah-kisah itu besar ertinya dalam perjuangan menegakkan agama. Dalam dakwah. Dalam mencari keredhaan Allah. Tidak mengapalah. Mungkin kisah berikut yang sedikit ini sama-sama kita insafi dalam membina akhlak mulia di kalangan Muslimah khususnya yang masih sunti dan muda. Kita ingin menjelmakan semula semangat Asma’ dalam jiwa mereka. Jiwa yang besar menggunung untuk sama-sama berjuang dalam menegakkan agama. Membesarkan agama. Bekerja untuk agama. Untuk meletakkan agama melebihi dari segala-galanya. Untuk memberi kelebihan kepada pejuang-pejuang agama. Membantu bukan semestinya besar. Ramai orang yang tidak memandang usaha yang kecil sedangkan usaha kecil itu besar impaknya kepada kejayaan keseluruhannya. Besar signifikannya jika ditelusuri manfaatnya. Tanpa usaha kecil itu tiada kejayaan besar dengan izin Allah.

Alhamdulillah bagi mereka yang telah lama mengenal Asma’. Yang telah lama mengambil semangatnya. Untuk yang belum mari sama-sama kita kembali ke zaman itu. Suatu ketika dalam sejarah apabila Rasulallah diancam akan dibunuh oleh 100 pemuda Quraisy yang gagah perkasa. Yang ganjarannya kira-kira 100 ekor unta. Sayyidina Ali yang ketika itu juga masih kecil mengambil tempat di katil Rasulallah. Dengan izin Allah keluarlah Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar menuju Gua Thur. Orang Quraisy mahir ilmu falaq. Mereka maklum gua yang terdekat adalah Gua Thur. Gua itu kecil. Sekiranya ada antara orang Quraisy yang menundukkan kepala nescaya terlihat kehadiran Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Allah melindungi kekasihNya. Tidak ada orang Quraisy yang tergerak hatinya untuk menundukkan kepala. Hatta jika mereka memandang kaki mereka sendiri besar kemungkinannya akan terlihat Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar dengan ekor mata mereka. Allah memungkinkan burung merpati mengeram di hadapan pintu gua dalam masa yang singkat. Pada pintu gua kecil itu juga terdapat sarang labah-labah yang sifatnya seperti sudah berzaman. Akal logik kaum Quraisy tertutup. Tidak mungkin kedua makhluk Allah itu hadir jika ada orang di dalam gua itu. Itulah yang tersemat dalam minda mereka. Allah menyelamatkan kekasihNya.

1                 Jika ada manusia di gua itu tentu burung itu terbang.
2                 Tidak mungkin sarang labah-labah tidak putus dilanggar tubuh manusia. Atau tidak mungkin sarang itu baru kerana kita maklum sarang labah-labah perlukan masa yang lama untuk menyempurnakannya.

Apabila dikatakan gua tentulah agak tinggi untuk didaki. Bagi mereka yang pernah mendakinya ramai yang tercungap-cungap untuk sampai ke atas. Gua itu setinggi hampir setengah kolometer. Jaunya dari kota Makkah hampir lima kilometer. Dalam ukuran lama tiga batu. Baginda dan sahabatnya berada di dalam gua itu selama tiga hari tiga malam untuk meredakan keghairahan kaum Quraisy mencari mereka berdua. Semasa keluar dari rumah Baginda hanya sehelai sepinggang. Makanan dan minuman bukan penting ketika itu. Yang lebih utama ialah menyelamatkan risalah agama yang sangat baru di Makkah. Putiknya ingin dikembangkan dengan subur di Yathrib. Seperkara yang perlu diketahui ialah hijrah Rasulallah bukan tanpa perancagan rapi. Persiapan rapi dibuat dari segi fizikal, mental, perjalanan,  perisikan, siasah dan berbagai lagi. Di sinilah peranan Asma’ r.a.h. gadis sunti Sayyidina Abu Bakar yang tidak langsung dicurigai oleh kaum Quraisy. Mereka tidak menyangka gadis itu berperanan besar dalam proses penghijrahan Baginda. Peranan Asma’ terlalu besar.

1                 Pembawa bekal makanan dan minuman.
2                 Pegawai perisik pada waktu siang. Dirisik apa sahaja sumber maklumat yang dilihat dan didengar dari perbualan kaum Quraisy. Pada waktu malamnya maklumat itu disampaikan kepada Rasulallah dan bapanya.
3                 Penyedia bekalan perjalanan seperti makanan, minuman dan unta sebagai tunggangan.

Perjalanan ke Gua Thur bukan calang-calang. Sangat besar pengorbanannya. Semangatnya berkobar-kobar.

1                 Menjadikan kewajipan itu digalas di atas bahunya.
2                 Kecintaannya kepada Rasulallah pembawa agama yang benar.
3                 Kewajipan memberi bantuan dan perlindungan.
4                 Mencari data maklumat sebagai persediaan perjalanan yang lebih selamat dan tidak banyak halangan.

Cuba pembaca gambarkan suatu senerio padang pasir pada waktu malam yang gelap. Seorang gadis sunti berjalan sendirian tanpa teman. Hatinya fokus untuk membantu kerana hak. Kerana kebenaran. Kerana Allah. Begitu besar pengorbanannya.

1                 Perjalanan lima kilometer pergi dan lima kilometer balik memakan masa kira-kira empat jam. Jalannya berpasir, sukar, berbukit dan berbatu. Tidak mungkin selaju seperti di atas jalanraya yang berturap.
2                 Berjalan berkelit-kelit takut dilihat oleh sesiapa sahaja dari kaum Quraisy yang sentiasa ingin membunuh Rasulallah.
3                 Di samping itu Asma’ membawa makan dan minuman untuk 24 jam berikutnya sehingga malam esoknya.

Asma’ bukan sebarang gadis sunti. Memiliki kebijakasanaan, keberanian dan kekuatan luar biasa. Akalnya sangat panjang dengan izin Allah. Pada malam pertama dan kedua ia memakai jilbab panjang yang melebihi kakinya. Apabila berjalan bekas tapak kakinya hilang disapu kaki jilbab. Orang lain tentu tidak terfikir begitu. Setiap tapak kaki di padang pasir tentu sahaja boleh menimbulkan syak yang nantinya memungkinkan Gua Thur diperiksa oleh kaum Quraisy. Pada malam ketiga dia membawa bekal makanan dan minum serta bekal perjalanan. Tentulah lebih banyak berbanding dengan dua malam sebelumnya. Visualnya tentu perjalanan dari rumahnya yang sangat memberatkan. Memayahkan perjalanan. Lambat mengheret kaki. Itulah Asma’ bintu Abi Bakar.

Dalam sesuatu perkara besar lazimnya ada kelompok yang saling membantu. Telah saling memahami tugas masing-masing. Bersedia menerima isyarat bertugas. Begitulah dalam hal penghijrahan Rasulallah. Ada beberapa nama yang ditugaskan untuk membantu secara sulit. Secara berahsia. Mereka adalah:

1                 Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Saidina Abu Bakar) - bertanggungjawab mejadi perisik di kota Makkah.
2       Aisyah dan Asma’ (dua orang puteri Saidina Abu Bakar)- bertanggungjawab
         menyediakan makanan dan Asma’ yang menghantarnya ke Gua Thur kerana    ia            kakak kepada Aisyah.
3       Abdullah ibn Ariqath - mengembala dua ekor kambing di sekitar Gua Thur 
         untuk membekalkan susu kambing  kepada Baginda berdua.
4       Amir bin Fuhairah – dikatakan belum Islam tetapi dijadikan juru pandu hingga ke            Madinah.

 Mereka berlima bertindak sebagai jawatankuasa logistik kepada Rasulallah dan Sayyidina Abu Bakar. Peranan Asma’ agak besar kerana ia gadis sunti. Kehadiran Abdullah ibn Ariqath dan Amir bin Fuhairah membantu keselamatannya sepanjang tugasnya berulang alik ke Gua Thur. Lelaki berdua itu berperanan menghapuskan bekas tapak kaki Asma’ menggunakan kaki kambing yang berkais-kais sepanjang perjalanan. Kadang-kadang dalam sesuatu kerja besar kita tidak perlukan orang yang terlalu tinggi ilmunya. Tidak perlu mereka yang banyak pengalamannya. Tidak perlukan orang berpengaruh.

1                 Cukup dengan orang-orang yang boleh dipercayai.
2                 Mereka yang setia.
3                 Istiqamah dalam tugas.
4                 Kepada Allah berserah.

Bagaimana kita dapat membangkitkan semangat Asma’ dalam sanubari gadis-gadis kita. Yang sunti-sunti lagi. Kita kembali kepada ibu dan bapa.

1                 Hayati semangat juang Asma’ dalam menegakkan agama dan membantu menyelamatkan Rasulallah dan bapanya.
2                 Iman perlu kukuh dalam menjalankan tugas agama. Mencari redha Allah.
3                 Semangat Islam ditegakkan dalam dada mereka sejak kecil.
4                 Bina suasana Islam yang kondusif dalam rumah dan dalam persekitaran.
5                 Tanam semangat cintakan agama.
6                 Tanam semangat jihad terhadap kebaikan.

Ya Allah jauhkanlah umat Islam dari kelekaan terhadap hiburan. Terhadap muzik. Terhadap nyanian. Terhaap tarian. Terhadap apa-apa sahaja yang tidak Islamik. Yang tidak membantu ke arah Islam. Tanamkanlah di dada anak-anak muda kami dengan iman dan semangat cintakan Allah dan RasulNya. Terhadap agama yang Allah wahyukan kepada mereka. Lahirkanlah di kalangan mereka semangat Asma; bintu Abi Bakar. Seperti Sayyidin Ali bin Abi Talib semasa ia masih kecil lagi. Semangat keluarga Yassir. Semangat Ammar ibn Yassir.


Islam dahagakan anak-anak muda yang semangatnya untuk Allah. Berjuang membebaskan diri dari kemungkaran. Menegakkan yang hak. Menyampaikan yang baik walaupun sedikit. Dalam dunia yang penuh kacau sekarang ini anak-anak mudalah harapan kita. Tetapi tanggungjawab membangunkan mereka bukan lagi di bahu siapa-siapa. Ibu dan bapalah yang wajib menggalasnya. Tanamlah semangat Islam sejak anak-anak masih rebung. Semasa ubun-ubun mereka masih lembut. Semasa minda mereka belum cemar. Semasa mereka mudah diatur. Semasa mereka mendengar kata. Semasa mereka patuh kepada ibu dan bapa. InsyaAllah anak-anak kita menjadi pejuang agama.  Amin.