Ibu dan bapa memiliki mata untuk mengamati. Hidung untuk menghidu. Telinga untuk mendengar. Lidah untuk berkata yang benar dan hak. Jangan lupa ibu dan bapa memilki deria indah. Deria halus yang sangat dekat dengan anak-anaknya. Sedekat tali pusat yang bersambung dari dalam rahim hingga lahirnya. Yang dikerat hanya kerana keperluan fitrah manusia yang perlu dipisahkan kerana nyawanya sendiri sudah ada. Sudah perlu hidup sendiri. Bernafas sendiri. Tetapi naluri ibu tiada tandaingannya. Deria rasanya selalu ada. Halus. Terus. Telus. Antaranya dan anak-anaknya sangat-sangat terlalu dekat. Kasih yang mendekat. Sayang yang merapat. Hati yang selalu bertaut. Aduhai hati ibu. Hati ibu. Hati ibu. Hati bapa yang selalu membantu. Atas tanggungjawab ketua keluarga. Bapa kepada anak-anaknya. Suami kepada seorag isteri.
Keterikatan itu usah diusai. Usah diurai. Harus diperteguh dengan lebih perihatin. Anak-anakmu pasti sampai masanya menjadi remaja. Zaman yang penuh dengan pancaroba. Zaman mereka kehilangan diri dan identiti. Malah ramai yang hilang jatidiri. Lihatlah pada usia yang datang remajanya, dia berubah wajah. Tubuhya membentuk sosok kewanitaannya. Menjadi wanita yang sudah dijamin wanitanya. Anak remajamu menjadi kelangsungan keluargamu. Tubuhnya membentuk. Tingkahlakunya berubah. Emosinya berubah. Psikologinya juga berubah. Dari anak kecil yang tiada apa-apa, anak itu mula membesar menampakkan kewanitaannya. Emosinya bergejolak. Kehendaknya bercapah. Inginnya terlalu besar. Peribadinya berubah. Ada sesuatu yang tidak semudah beresnya. Ada yang ibu perlu lebih mengamati. Dilihat dengan terus mata. Deria seorang ibu. Ibu dan bapa seharusnya very protective. Menjaga dan melindungi. Memberi faham kepada anak bahawa mereka harus dilindungi. Diselamatkan dari malapetaka yang selalu mengancam. Datangnya dari semua penjuru. Payah hendak ditepis jika tiada tahu.
Setiap hari, ibu khususnya, hendaklah jangan sekali terlepas pandang. Hendaklah dilihat mereka dengan mata halus. Mata hati. Dengan deria. Dalam usia remaja mata kasar bukan penentu. Telinga bukan juga penentu. Hidung bukan lagi penentu. Lidah bukan sebagai penentu. Hati ibu mestilah selalu bimbang. Mesti ada cemburu. Ada wasangka. Ada rasa tidak enak di perut. Ada yang selalu mengganggu di mata. Perhatikan emos anak. Amati tubuh badannya. Perutnya. Dadanya. Pinggangnya. Tingkahlakunya. Apa ada dalam diamnya. Apa ada dalam tingkahnya. Emosinya yang turun naik pasti memberi petunjuk tentang dirinya. Hanya mata ibu. Hanya deria ibu yang pasti dapat menghidu. Bukan lagi hidung. Bukan lagi telinga. Deria ibu. Tanpa deria itu ibu dan bapa pasti mengorbankan anak perempuannya. Memusnahkan maruah. Menghilang harga diri.
Banyak kes yang tersembunyi di dalam baju. Rasanya pakaian tidak terlalu banyak menyembunyikan rahsia. Perhatikan apabila dari jean anak menukar ke baju kurung. Dari yang ketat menjadi longgar. Dari selalu terbuka menjadi pula tertutup selalu. Dari lincah menjadi pendiam. Tidak banyak bergerak. Tidak selincah dahulu. Banyak diam dari gerak. Ketika perubahan seeprti itu berlaku siagalah kerana mungkin ada masalah besar yang sedang melanda. Petaka yang mungkin menimpa. Bencana yang mungkin menjelma. Tidak mungkin seorang anak bertukar wajah. Bertukar rupa. Bertukar lakunya. Bertukar perawakannya. Kecuali ada sesuatu yang signifikan sedang belaku. Sedang ditanggungnya. Detik hati ibu boleh mengenal itu. Pada mata anak itu ada tanda-tanda yang tidak dapat disembunyikan. The eyes would reveal everything.
Itu belum cakapnya. Itu belum tutur katanya. Dulu ia becok. Dulu ia tidak diam. Dulu ia banyak cerita. Ada sahaja berita yang disampaikan. Ada maklumat yang ingin dikongsi. Tetapi sekarang jadi pendiam. Lebih banyak membisu. Lidahnya selalu kelu. Semua berita berlalu. Maklumat tiada lagi. Suatu perubahan yang sangat ketara. Mungkin sedikit mendadak. Ia banyak menung. Dari tutur kata yang sudah tidak seberapa pasti, ibu yang peka boleh menyelam sejauh mana sekalipun. Sebarang perubahan ada petandanya. Ada sebab dan musababnya. Lazimnya orang yang bermasalah payah hendak bercakap. Susah hendak bersuara. Menghindar dari berbicara. Menyisih dari bersemuka dengan orang lain. Sukanya bersendiri. Mengelamun. Mungkin bercakap sendiri. Itulah yang terbaik dapat dilakukannya. Sebenarnya anak gadis yang bermasalah tidak pandai menyembunyikannya. Marahnya ada tanda. Rajuknya ada cerita. Segala-galanya ada cerita yang tersendiri. Ibu, lihatlah anakmu. Bapa lihatlah anakmu. Bantulah isterimu mengenal anak-anakmu.
Di dapur mungkin anak tidak selesa. Masakannya tidak sesedap dahulu. Jadual memasaknya tidak menentu. Ramuanya berbeza sedikit. Rasa masakannya berubah garam. Manisnya tidak secukup rasa. Masamnya lari dari biasa. Apabila ada yang mengganggu perasaan maka anak-anak akan menunjukkan pada wajah mereka. Ada yang berkerut dan berkedut. Pipi ada cerita lara. Matanya tidak bersinar seperti dulu. Bahunya sedikit turun kerana hilang ceria. Lagaknya tidak menentu lagi. Anginnya sedikit bertiup kencang. Begitulah emosi yang berubah. Perubahan yang seharusnya dapat dikesan oleh ibu. Seorang ibu yang tajam pengamatannya. Yang telus pandangannya. Yang telinganya mendengar rintihan yang halus. Hidung yang menghidu bau tidak enak di hati anak. Yang penting deria ibu selalu pasti dengan apa yang dirasa.
Ingatkah ibu dan bapa tentang anakmu yang dulu selalu keluar rumah. Yang selalu bertandang ke rumah kawan katanya. Ada parti hari jadi di rumah kawan. Ada majlis di rumah teman. Ada sahaja alasannya. Bila-bila masa sahaja ada helahnya untuk keluar. Ibu dan bapa haruslah bijak membuat pertimbangan yang wajar. Pertimbangan yang bijaksana. Pertimbangan yang menuntut kewarasan. Membiarkan anak bertandang ke rumah rakannya tidak boleh terlalu kerap. Bermalam di sana lagilah sesuatu yang tidak bijak. Kita benarkan anak kita berada di rumah orang. Pernahkah kita fikirkan keselesaan keluarga itu. Bagaimana privacy mereka. Mereka kena berkongsi ruang dengan anak kita. Mereka terpaksa memberi makan anak kita. Ada pula yang membasuhkan pakaian anak kita. Bagaimana dengan elektrik dan air. Sebenarnya ada lagi yang lebih kritikal. Keselamatan anak perempuan kita. Kesejahteraan anak kita.. Lalu kenapa sekarang anak itu jarang keluar. Banyak di rumah. Berkurung pula di dalam bilik. Ada masalah yang dihadapinya. Ibu dan bapa perlu tahu menghidunya.
Jangan benarkan anak ke rumah kawannya kerana itu bukan langkah bijak. Bukankah banyak berlaku bapa rakan yang juga tergamak memperkosa. Itu belum abang rakan sendiri yang juga boleh melakukannya. Adik rakan sendiri juga berpotensi. Tidakkah itu menakutkan kita sebagai ibu dan bapa. Fikirkan. Fikirkan. Hubaya. Hubaya. Yang paling baik ialah anak itu berada di rumah. Di bawah pengawasan ibu bapanya sendiri. Diselamatkan dari bencana yang cenderung menjadi. Di rumah tempat tinggal anak perempuan. Biarkan dia di situ hinggalah ada lelaki yang menjadi suaminya yang berhak membawanya keluar dari rumah itu. Diberi perlindungan dan keselamatannya dijamin oleh lelaki suaminya. Di rumah, anak itu dididik menjadi wanita. Menjadi isteri. Menajdi ibu. Menjadi serikandi yang berwibawa. Yang menyelamatkan arang dari keluarganya. Yang memelihara harga dirinya. Yang menjaga maruahnya. Ibu dan bapalah yang menjamin semuanya terpelihara.
Sebulan sekali tentu pasti anak ibu bercuti syar’i. Itu fitrahnya sebagai wanita. Sekali dalam sebulan Allah memberi kerehatan kepadanya. Direhatkan sebagai wanita. Seorang ibu perlu perihatin mengenai hal ini. Ia suatu kemestian. Sesuatu yang pasti berlaku. Jika tidak berlaku cuti itu tentu ada sesuatu yang meragukan. Ada masalah besar yang sepatutnya dikesan ibu. Bapa juga tentu tahu akan hal itu. Mana mungkin anak perempuan tidak lagi bercuti syar’i. Hanya yang berbadan dua sahaja yang cutinya ditarik balik. Yang tidak lagi diberi cuti. Ia akan cuti panjang setelah ia melahirkan. Tajamkanlah matamu wahai ibu. Wahai bapa. Hidulah dengan deria yang lebih halus bahawa anakmu ada masalah besar. Nalurimu harus dibangunkan supaya malapetaka ini boleh ditanggapi dengan wajar. Ada masalah besar yang menimpa keluarga. Sekiranya keluarga yang solatnya dijaga, hal itu mudah diperhati. Tetapi, tetapi bagi keluarga yang tiada solatnya, maaflah hal-hal seperti itu tidak dapat dikesan. Yang mudah begitu tidak mungkin tidak dapat dikesan. Malang yang bertimpa-timpa.
Begitulah juga dengan anak lelaki. Pakaian dan tutur katanya ada rahsia. Pandangan dan tingkah lakunya ada cerita. Waktu berjalan dan baliknya ada maklumat. Waktu duduk dan berdirinya ada yang menusuk qalbunya. Waktu tidur ada mimpinya. Waktu jaga ada bayang yang dilihatnya. Anak lelakimu ada bau yang wajar. Hidulah bau itu. Ada mungkinnya bau yang dibawanya pulang mengandungi tanda-tanda musibah. Rokok ada baunya. Dadah tentu sahaja ada baunya yang berbeza. Arak juga ada baunya. Lebih kuat dari yang lain. Hidulah semua bau itu. Anakmu dalam bahaya besar. Hidupnya di hujung jurang yang dalam. Bagaimana dengan kerapiannya. Dengan kebersihannya. Anak lelaki yang bermasalah tidak mengurus dirinya. Pakaiannya bukan sahaja berbau tetapi juga lusuh dan tidak lagi rapi. Rambutnya mungkin juga kusut masai. Berbau. Tidak disyampu.
Matanya mungkin layu. Mati. Tersorot ke dalam. Serinya hilang. Cerianya hilang. Atau mungkin juga matanya selalu berair. Memerah seperti tidak cukup tidur. Lihatlah tidurnya yang selalu gelisah. Yang tidak nenyak. Banyak lakunya dalam tidur. Kalihnya mungkin banyak. Tadi dia keluar seperti malam-malam yang lain. Keluarnya tidak mengira waktu. Begitu juga pulangnya. Ternyata lewat untuk anak sepertinya. Rumah itu seperti hotel untuknya keluar dan masuk sesuka hati. Semua yang di rumah seperti hambanya. Orang suruhannya. Biliknya tidak pernah dikemas. Katilnya lusuh dan banyak baunya. Tidak ada yang tersusun lagi. Semuanya sudah hilang dari peraturan. Dari kebiasaan. Tanda-tanda yang selalu menyesakkan. Ibu, ayah, anakmu dalam musibah. Dalam kepayahan kerana sudah lama masuk kakinya ke jalan yang salah. Tugasmu menjadi semakin payah.
Semuanya harus dimulai dari awal. Belajar dari mereka yang profesional. Banyak membaca. Banyak bertanya. Banyak berinteraksi dengan orang-orang yang lebih arif. Dari mereka yang lebih berjaya. Dari mereka yang memilik pangalaman setara. Anak adalah kesinambungan waruisan keluargamu. Zuriatmu yang membawa obor keluarga. Yang harga dirinya sangat tinggi. Maruah yang bertatah berlian mahalnya. Ibu dan bapalah penentu segalanya. Semuanya harus dari rumah. Dari guru pertama yang namanya ibu dan bapa. Orang lain hanya pelengkap sahaja. Ibu dan bapa yang meletakkan standard. Kualiti. Nilai. InsyaAllah. Amin.