Pengalaman mengurus pelajar bukan datang begitu sahaja. Ketua-ketua di atas mestilah menaruh keyakinan yang kita boleh menjalankannya. Kemahiran yang kita perolehi tidak semestinya born. Tidak ramai antara kita yang dilahirkan memiliki kemahiran khas yang tidak perlu dipelajari. Lahir sahaja sudah ada bakat kepimpinan. Bila dewasa terus sahaja boleh memimpin. Lazimnya tidak pernah begitu.
Dalam diri kita ada dua unsur yang saling berkait. Yang satu memang sudah ada. Warisan keluarga yang dibawa melalui DNA dari nenek moyang hingga ke anak cucu segala keturunan yang berikutnya. Mungkin tidak terserlah tetapi sudah ada terpendam. Menunggu untuk dipetik suisnya. Menunggu untuk diusik supaya terjana bakat itu. Mungkin mengambil masa yang lama. Mungkin hanya sesingkat masa. Warisan itu kekal sama ada diserlahkan atau tidak. Individu yang empunya diri yang menggerakkannya. Hasratnya dari dalam yang membentuknya. Dia yang mengolahnya. Dia yang nanti memanfaaatkannya apabila diperlukan.
Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa diri individu itu adalah milik alam. Milik manusia lain. Milik alam persekitarannya. Input-input agama, sosial, muamalah, pendidikan dan alam semesta mempengaruhi dirinya dari sejak lahir hinggalah pengakhir hayatnya. Sepanjang perjalanan itu ia dipengaruhi oleh alam persekitarannya sama ada sedar atau tidak. Sengaja atau tidak. Tahu atau tidak. Hendak atau tidak. Suka atau tidak. Redha atau tidak.
Bentuk fizikal yang merangkumi berat dan tinggi, warna kulit, sifat-sifat peribadi, bakat dan sikap, penyakit dan kesihatan, paras rupa dan faktor-faktor lain lazimnya adalah warisan keluarga. Ciri-ciri itu ada pada keluarga. Pada ahli keluarga. Namun begitu persekitaran yang berbeza menjadikan ahli keluarga akhirnya memiliki perbezaan-perbezaan yang ketara kerana masing-masing disepuh dengan ramuan-ramuan yang berbeza. Diadun oleh tempat dan masa yang berbeza. Menerima didikkan dan asuhan dari orang yang berbeza. Sifu-sifu mereka berbeza pengalaman, kelayakan, kebestariannya. Suasana dan persekitaran fizikal yang bebeza.
Manusia di sekeliling kita besar pengaruhnya. Gaya perbadi mereka mungkin terserap dalam diri kita. Lama nanti kita sedar bahawa kita meneruskan legasi orang-orang yang telah terlebih dahulu mempengaruhi kita. Dalam diam rupanya kita telah belajar. Kita telah menerima sesuatu yang difitrahkan untuk kita menerimanya. Mungkin ada jodoh untuk menerima warisan mereka. Ilmu mereka. Buah fikiran mereka. Cetusan-cetusan peribadi mereka. Serpihan-serpihan kebaikan mereka. Tidak kurang juga cebisan-cebisan sifat negatif mereka.
Hubungan dengan persekitaran membawa kita kepada manusia lain, haiwan, tumbuhan, air, udara, iklim dan apa sahaja yang ada di sekeliling kita. Panas dan hujan. Sejuk dan banjir. Air pasang dan surut. Semuanya mempengarui peribadi dan tingkah laku kita. Semuanya mencipta mood yang berbeza. Tanpa mengira siapa kita, mendung dan mega ada kesannya. Malam dan siang ada kesannya. Terang dan gelap ada kesannya.
Allah menciptakan manusia serupa tetapi secara terperincinya sangat berbeza dari seorang kepada seorang yang lain. Terlalu naif untuk mengatakan semua orang adalah sama. Semua orang boleh belajar. Semua orang boleh menjadi baik. Semua orang boleh berjaya. Semua orang boleh itu dan ini. Allah berfirman bahawa semua manusia adalah sama. Yang berbeza adalah taqwa mereka. Sepintas lalu memanglah serupa tetapi penelitian menunjukkan manusia itu banyak bezanya.
Syadina Ali pernah diminta pendapatnya. Mengapakah umat pada zamannya banyak menimbulkan masalah. Banyak karenah. Tidak mudah puas. Banyak pula soal dan tanyanya. Kenapa berbeza dari umat terdahulu. Mudah sahaja Sayidina Ali menjawab. Umat terdahulu adalah individu-individu seperti ana. Umat sekarang pula adalah orang-orang seperti anta. Umat dahulu sangat tinggi darjah kepatuhannya kepada Rasul dan agama. Umat sekarang banyak mempersoal mengikut logik akal.
Agama itu mudah. Tetapi tanpa akal yang tajam kesemua perkara menjadi tidak logik. Apatah lagi falsafah barat banyak mendorong supaya manusia berfikir mengenai logik. Lebih kepada empirisism. Pentingkan bukti experimen. Bukti-bukti saintifik. Beredarnya falsafah dari idealism kepada realism menyumbang kepada perubahan-perubahan dasar tentang teology orang Kristian. Bila mereka menjadi secular mereka lari dari agama. Hingga larut kini di barat banyak kumpulan yang anti agama. Anti Christ. Ani bible.
Kita selalu menterjemah tanpa mengerti. Memindahkan fakta tanpa memahami. Orientalis menjadi sekular. Mereka mempersoal agama. Mempersoal segala benda yang dianggap tidak wujud secara fizikal. Persoalan dan isu maujud perlukan eksperiman. Malangnya Pak Kaduk. Bagaimana kita boleh menterjemah kesemua persoalan itu kepada agama kita. Permasalahan teology kita pindahkan menjadi permasalahan akidah. Tauhid. Lalu goyahlah minda-minda muda yang rapuh kerana tiada dahan kukuh untuk digayut. Pendidikan agama hanya satu subjek untuk lulus periksa. Bukan untuk lulus ke akhirat.
Bagaimana anak-anak muda kita membenci agama. Banyak sangat yang tidak serasai pada minda mereka. Hedonism yang terlalu kuat mendasari minda mereka menjadikan agama sangat tidak menyenangkan. Menjadi hambar. Tiada nikmat dan kelazatan beragama. Tawar dan hambar semata. Ada orang berzikir dengan lazat kerana rindunya kepada Allah. Kerana dapat mendekatkan diri kepada Allah. Kerana sentiasa berada dalam naungan Allah. Kerana inginkan magfirah Allah. Kerana sentiasa inginkan perlindungan Allah.
Orang barat tiada cinta lagi kepada Christ. Nabi Kristian mereka. Entahlah, bolehkah kita samakan Christ dengan Nabi Isa. Jika Allah menyebutnya sebagai Nabi Isa tentu tidak wajar kita menyamakan Christ dengannya. Bila orang barat anti-Christ orang kita jadi sasau kerana mereka pusing fakta menjadi anti-Muhammad pula. Orientalis barat menghina Rasulullah. Orang Malaysiapun ada yang termakan fitnah. Mereka tidak melihat Rasulullah dengan kacamata agama. Tidak melalui wahyu. Mereka melihat baginda dengan logik akal. Sangat menghairankan apabila ada orang Malaysia Islam dan Melayu yang anti al-Quran. Terjemahan melulu dan sembrono yang dipengaruhi oleh orang barat yang anti-bible.
Ada sesuatu yang mengganggu fikiran saya. Ibu bapa yang terpelajar, yang dekat dengan agama dapat mengawal anak dengan wajar. Mereka bermaklumat. Mereka tahu butiran-butiran salah dan mengancam dari luar. Mereka tahu kaedah menangani permasalahan akidah. Permasalahan sosial. Permasalahan maksiat lain. Pokoknya ada sandaran agama. Ada kemahiran beragama. Mereka memiliki rangkaian teman. Ramai sahabat handai. Luas pembacaan. Boleh menilai. Tahu bertindak dengan bijaksana.
Bagaimana dengan ibu bapa yang kekurangan dalam banyak hal. Yang tidak dapat melihat perkembangan global village yang semakin lama semakin mengecil ini. Yang semakin sempit menghimpit ini. Dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ini membawa banyak unsur negatif ke dalam persekitaran hidup orang Islam. Ibu bapa tidak berkeupayaan untuk menyaring yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana boleh dan yang mana tidak boleh. Saya ingin kembali kepada persoalan 6F yang pernah saya nukilkan. Yang melibatkan FAITH, FASHION, FOOD, FESTIVAL, FREEDOM DAN FINANCE.
Keesemuanya membelenggu umat Islam. Umat Melayu. Orang Malaysia. Apabila pelajaran agama dipandang dengan sebelah mata, sekarang kita menerima akibatnya. Ramai anak muda yang tahap literasi agamanya sangat rendah. Sukar dibentuk menjadi Muslim yang berwibawa. Mereka yang berada dalam bidang ‘agama’ menjadi minoriti. Tempat mereka semakin kurang. Mereka menjadi terpinggir. Suatu pengabaian yang saya kira melampau. Hidup kita dan mati kita dalam beragama. Mengabaikan mana-mana satu bahagian mencederakan keindahan beragama. Mencacatkan laluan ke syurga. Laluan ke akhirat. FAITH – akidah menjadi dagangan yang tidak menguntungkan. Semuanya dinilai dengan keuntungan dunia.
FASHION –fesyen pakaian orang Islam sudah menjadi caca marba. Kita tidak lagi melihat hukumnya. Tidak lagi dilihat fungsinya. Tidak lagi dirujuk falsafahnya. Tidak lagi bersandarkan agama yang dianuti. Yang dipercayai. Yang diimani. Yang menjanjikan keselamatan. Yang menjanjikan kedamaian. Yang menjanjikan kesempurnaan. Kita banyak merujuk pakaian yang sedap dipandang. Yang sedap dipakai. Pakaian yang bersandarkan agama dianggap kolot. Ketinggalan zaman. Jumud. Statik. Beku. Mati. Layak untuk Orang Utan.
Mereka yang trendy dianggap terkehadapan. Morden. Entah berapa orang yang faham perkataan morden. Istilahnya telah diperkenalkan 600 tahun dahulu. Apa sahaja yang yang lebih baik dikatakan modern. Ya 600 tahun dahulu apabila barat menemui cahaya. Zaman cerah. Mereka gelap ilmu selama 1,000 tahun. Selepas Perang Salib mereka menemui ilmu Islam. Ilmu dan cabang-cabangnya yang telah dibangunkan oleh sarjana Islama selama 1,000 tahun. Sekarang ini kita tidak lagi dapat menentukan agama, bangsa dan kaum dengan melihat pakaian. Menghairankan, kadang-kadang yang bukan Islam lebih sopan pakaiannya. Lebih Islamik walaupun mereka bukan Iskam.
Lihatlah wanita luar bandar di Italy, Spain, Portugal, France, Germany, Poland, Hungary, Bosnia, Rusia, Greece, negara Balkan yang lain. Negara Eropah Timjur yang lain. Hatta di USA ramai ahli masyarakat yang hidup cara tradisi. Tentulah mereka berpakaian tradisi. Wanita mereka memakai tudung. Tradsi turun temurun. Menjadi amalan. Menjaga rambut. Menjaga kepala. Menjaga kewanitaan. Menjaga warisan. Menjaga identiti. Malangkan apabila orang Islam sudah membuang tudung. Gadai tudung untuk mendapat kerja. Untuk trendy. Untuk maju. Untuk modern. Suatu istilah tanpa pemahaman. Tanpa pengertian.
Itu belum lagi yang seluar ketat. Baju singkat dan ketat. Yang jarang berlubang. Yang kadang-kadang menjanggali majlis. Tidak lagi mengetahui taraf dan adat majlis. Tidak mengenal protokol dan etiket. Tidak tahu membawa diri. Pakaian mahal tidak cukup. Pakaian trendy tidak cukup. Sebarang pakaian sahaja tidak cukup. Hendaklah mengetahui jenis pakaian untuk majlis yang berbeza. Tidak sama majlis kenduri tahlil dengan jamuan santai di rumah teman. Tidak sama majlis jamuan kerana perkahwinan dengan hari keluarga. Tidak menasabah memakai Jean ke rumah orang kenduri arwah atau kenduri kahwin atau rumah terbuka hari raya atau majlis agama, atau apa-apa majlis yang ada unsur rasmi atau rasmi-rasmian atau formal.
Tentang FOOD – makanan, kita sudah tidak ambil pusing halal dan haramnya. Suci dan bersih. Yang halalan toyyibah. Yang bermanfaat. Paling baik tentulah memasak sendiri. Membeli bahan-bahan yang diketahui status halalnya. Paling baik tentulah makanan dan minuman yang dibuat oleh orang Islam sendiri. Mereka yang arif tentang agama. Proses penyediaan makanan yang dibuatnya ada jaminan kualiti dari segi Islam. Jika tidak kita akan menelan makanan yang terdapat keraguan padanya. Kita tidak boleh biar orang lain yang perlu menentukannya. Tiap-tiap orang bertanggungjawab untuk mempastikan makanan dan minumannya halal. Apa yang saya alami sendiri, hanya di USA sahaja lebel makanan mencerikatan serba serbi bahan untuk membuat makanan.
Di USA orang Yahudi minoriti. Tetapi mereka menguasai ekonomi. Menguasai politik. Menguasai dasar negara. Orang Islam menumpang pengaruh mereka dari segi makanan. Berapa ramai yang akan percaya jika saya katakan dalam roti (di USA) ada minyak babi. Bentuknya berbagai. Ada lard, animal shortening, animal oil, animal extract, animal glycerine dan banyak lagi. Ada ubat penaik dari babi. Dalam icekrim ada rum atau brandy. Dalam kek ada brandy. Dalam ubat gigi ada pig tallow atau beef tallow. Dalam sabun mandi ada pig tallow atau beef tallow. Dalam makanan lain ada ham. Minyak babi berleluasa. Ada di mana-mana. Di Malaysia saya tidak tahu. Label barangan kita sama seperti di Singapura, Canada atau Britain. Yang difikirkan penting sahaja. Yang tersirat tidak pernah dinyatakan secara tersurat. Kita dihidangkan dengan pengawet dibenarkan. Pewarna dibenarkan. Apa bendanya? Dari mana? Berapa sukatannya? Semua serah kepada pengilang. Haru juga bila difikirkan kerana semuanya dikira halal. Siapa sebenarnya yang menentukan halal? Makanan yang disajikan oleh orang Islam sendiripun belum tentu halal jika tidak diketahui daripada apa bahan mentah yang digunakan terutamanya bahan-bahan yang sudah diproses. Proses biologi. Proses kimia.
FESTIVAL, FIESTA DAN FREEDOM menjadi momokan kepada umat Islam. Hedonism menjadi terlalu lumrah. Baik di TV, radio, video, CD, akhbar dan lain-lain saluran media yang ada. Internet lagilah. Yang ditaja atau tidak. Yang berbayar atau tidak. FREEDOM menjadi modal untuk ekpresi bebas dari segi seks, pergaulan, bersekedudukan dan sebagainya. Lari dari rumah. Bertengkar, menderhaka dan membunuh ibu dan ayah. Keganasan hingga melampau-lampau jadinya. Tiada batas dan sempadan. Pengaruh hedonism yang tidak pernah cuba dibendung. Ramai orang yang letih bercakap tentang ini. Hedonism yang semakin parah.
Itu belum lagi freedom beragama. Ada pula yang mendokong liberalism. Belum lagi pluralism. Ramai pula orang yang atheism. Hujjah mereka melampaui hukum hakam yang wajar. Ikut logik akal semata. Agama hanya momokan. Dianggap dogma yang memiskinkan. Yang memundurkan. Yang nampak melarat sahaja. Yang nampak daif sahaja. Ukurannya dunia. Kewangan. Kekayaan. Kemewahan. Glamour. Kita seperti tidak kenal yang mana ria’. Yang mana ujub.
Barangkali FINANCE sangat sukar untuk diapa-apakan. Hendak dibuangkah? Hendak dipeliharakah? Hendak dimajukan lagikah? Hendak hapuskan? Banyak persoalan yang perlu dijawab. Sistem kewangan kita sudah tidak dapat dipastikan jalannya. Kita ingin mengislamkannya tetapi yang conventional masih berleluasa. Pendokongnya ramai. Terlalu ramai. Mereka menyakininya walaupun banyak musibahnya. Pengaruh Yahudi sangat kuat dalam hal ini. Tiada negara yang terlepas dari amalan itu.
Saya bukan melalut. Saya hendak membawa senario realiti kehidupan kita sekarang. Permasalahan di luar itu dibawa oleh pelajar-pelajar ke sekolah. Sekolah mengimport budaya bobrok di luar. Pelaku-pelakunya ada di sekolah. Walaupun punca dan sumbernya bukan di sekolah tetapi pelakon-pelakonnya berada di sekolah. Maka guru-guru berada dalam situasai yang serba tidak kena. Suatu profesion yang terhakis nilainya dan terancam. Ramai guru akhirnya manusia biasa yang banyak kelemahannya.
Arus besar di luar yang tidak selari dengan pendidikan positif yang hendak dibina selalu diserang dengan hal-hal yang tidak selari. Falsafah Pendidikan yang sudah berpuluh tahun digubal dan dilaksana tidak berupaya membendung asakan-asakan gila dari luar. Ibu bapa tidak dapat menilai benar dan salah dari kacamata agama dan kacamata budaya bangsa. Malah guru dan sekolah menjadi musuh mereka. Menjadi belasahan mereka. Menjadi kambing hitam mereka. Ada sahaja yan tidak kena. Bukan lagi rakan kongsi untuk melahirkan anak dan warganegara berwibawa. Anak solehah yang menyambung kelestarian keluarga.
Kekalutan dalam masyarakat dimanifestasikan dengan pelajar-pelejar yang sukar dibentuk. Sukar dikawal. Sukar diajar. Rujukan mereka bukan guru yang dianggap kolot, jumud, lemah ekonomi, kelayakan rendah, terlalu terkongkong dengan pemikiran lama. Ibu bapa mereka terkehadapan. Anak peguam berjaya. Anak ahli korporat yang menjadi. Anak jurutera yang menggunung harta. Anak doktor yang gah segala. Dan kejayaan-kejayaan lain yang berada di sekeliling sekolah dan guru. Akhirnya guru menjadi manusia kerdil yang kadang-kadang lemah dan lemas dengan apa yang ada. Masyarakat di luar, dari atas hingga ke bawah melihat guru sama seperti amah, pembantu rumah, kuli yang boleh disuruh arah. Yang boleh digunakan seperah tenaga. Alar untuk menjaga anak. Pakaian anak-anak, kur semangat. Busana Islam hanya untu pameran dan publisiti. Lihatlah ke atas. Mana ada wanita hebat yang yang ramai berbusana Islam. Yang berbusana Islam adalah wanita-wanita yan tidak punya kedudukan. Yang entah siapa-siapa. Cakap mereka tidak boleh dipakai dalam majlis. Siapa tidak peduli.
Maka pakaian dirujuk kepada artis. Kepada celebrities dari barat. Yang ditiru di sini. Dimajukan di sini. Yang dibanyakkan di sini. Yang dipromosikan di sini. Yang diperagakan di sini. Yang dibanggakan di sini. Fesyen terkini. The in thing. The state of the fashion. Itupun yang mendapat publisiti. Yang diwar-warkan. Yang Islam menyisih ke tepi keran tidak ramai yang peduli. Tidak ramai yang memberinya tempat tinggi.
Guru yang mengurus pelajar terkapai-kapai mencari kekuatan untuk berhadapan dengan semua ini. Undang-indang dan peraturan selalu dicabar. Pelajar yang mencabar. Ibu bapa pula mendokong cabaran anak-anak. Zaman sudah berubah. Zaman guru memiliki kuasa penuh sudah tiada. Zaman ibu bapa mengupayakan guru untuk memanusiakan anak-anak mereka sudah berlalu. Ibu bapa yang ada sekarang terlalu ke hadapan hingga tidak memandang guru dengan sebelah mata pun. Mereka menuntut guru memandaikan anak mereka. Mereka menuntut supaya anak mereka dicemerlangkan. Pada masa yang sama mereka tidak pedulikan guru itu. Kuli yang berbayar. Yang digahkan dengan nama profesional.
Hanya guru yang terlibat secara langsung mengurus pelajar merasakan panasnya isu anak-anak yang sukar dilentur. Bila dikaji barangkali unsur-unsur yang dibincangkan di atas itulah puncanya. Makan anak. Minum anak. Unsur rezaki. Keperihatinan ibu bapa tentang halal dan haram. Baik dan buruk. Hak dan batil. Himpunan-himpunan itu ada pada anak-anak. Sari patinya ada pada anak-anak. Bagaimana caj-caj negatif itu hendak dipositifkan jika tiada petunjuk positif? Jika condongnya semua ke barat tentulah sukar hendak dialih haluan ke timur. Tidak ramai guru yang bersedia mengurus pelajar. Risikonya terlalu tinggi. Lazimnya guru itu keseorangan.
Pentadbir sekolah tidak akan menyebelahi guru jika ada masalah. Guru-guru lain akan menyimpang dari membantu. Pihak PPD, jabatan hanya mahu menghukum. Ibu bapa jadi gila kerana hal yang kecil sekalipun. Isu kecil dari guru akan jadi besar. Jadi isu masyarakat. Jadi isu politik. Sebabnya senang sahaja. Guru adalah profesion yang sudah dihakis kewibawaannya. Sudah tidak ada serinya lagi. Cahayanya untuk orang tertentu sahaja. Sumbu dan lilinnya terbakar, hangus dan luluh ke bawah. Cair merata tanpa ada rupa. Bentuk dan sifatnya tiada tanda. Hilang dalam segala.
Tidak ramai guru yang bersedia untuk mengurus pelajar. Tidak kira di peringkat mana guru itu. Di universitipun pensyarah takut mengurus pelajar. Pangkat dan kedudukan sahaja yang mewajarkan mereka menerima tugas mengurus pelajar. Rencamnya tidak boleh dicerita. Karenahnya bak anak-anak kecil. Mahu semuanya dilayan. Mungkin bukan salah mereka. Pengalaman di sekolah rendah dan menengah dahulu masih melekat dalam sanubari mereka. Terbawa-bawa ke IPT walaupun mendakwa sudah dewasa.
Sabarlah guru. Sabarlah pendidik walau apapun namanya. Semua orang adalah guru walaupun tanpa latihan. Tanpa tauliah. Tanpa permit mengajar. Ajarlah seikhlasnya. Semampunya. Seupaya yang ada. Kudrat yang ada adalah untuk dihamburkan sebagai jasa yang tidak perlu diingat. Ingatlah kata Usman Awang, di belakang setiap manusia ada seorang guru. Hebat manapun ada gurunya. Berjaya setinggi manapun ada gurunya. Buanglah guru itu, ia tetap guru. Hidupnya, matinya, nafasnya adalah guru. Matinya nanti tetap dipanggil guru. Malah warisnya yang tinggal dikaitkan dengan profesion gurunya. Hartanya yang tinggal juga disebut kerana sifat gurunya. InsyaAllah Allah mengerti jasamu. Hadiahnya di sana nanti. Doa saya untuk semua guru.