Saturday, August 20, 2016

Kecerdasan vs Common Sense



Apabila disebut kecerdasan kita selalu kaitkannya dengan keupayaan berfikir yang menjangkau jauh. Lebih tajam pemikiran. Lebih dalam dan luas dasar berfikirnya. Mungkin kreatif. Banyak yang dikaitkan dengan kecerdasan. Kecerdasan minda, kecerdasan matematik, kecerdasan al-Quran, kecerdasan emosi dan banyak lagi. Terlalu banyak. Bukan satu sahaja seperti yang kita ketahui sebagai intelligent quotient. Namun begitu perlukah kesemua kecerdasan itu? Atau cukupkah kita berbicara mengenai teori, proses dan situasi-situasi tertentu mengenai kecerdasan? Atau bagaimana sewajarnya kita berinteraksi dengan kecerdasan. Teruja dengannya. Kagum. Ta’ajub. Atau bagaimana lagi? Dalam zaman muthakhir ini masing-masing ingin jauh di hadapan dari segi kecerdasan. Dunia perlukan mereka yang kreatif. Yang proaktif. Namun dalam kesemuanya itu kita jangan lupa mengenai kemanusiaan. Kecerdasan tanpa kemanusiaan hanya robot tanpa perasaan.

Walau apapun yang kita bincangkan, akhirnya kita kembali kepada fitrah manusia. Kita berinteraksi dengan manusia lain. Kita berinteraksi dengan Allah Yang Maha Pencipta. Kita berinteraksi dengan persekitaran kita. Di sinilah ujian sebenar kecerdasan manusia.  Ia bukan sesuatu yang abstrak. Yang dilihat awsome. Kecerdasan adalah sesuatu yang berpijak di bumi nyata. Walaupun kecerdasan dikatakan sebagai bakat individu tetapi ianya berkait rapat dengan pendidikan, amalan sosial, asuhan kedua ibu dan bapa. Mereka yang yang paling awal mengenalpasti kecerdasan anak-anak adalah kedua ibu dan bapa. Tidak orang lain. Bukan doktor yang menyambut kelahirannya dan bukan jururawat yang merawatnya. Bukan juga guru yang bersemuka dengan pelajar pada kali pertama di tadika. Bukan juga guru yang mengajar di sekolah kebangsaan sewaktu kanak-kanak berumur tujuh tahun.

Ibu dan bapa bukan kisah sangat kecerdasan anak-anak mereka. Anak yang cerdasnya melampaui jangkaan sekalipun diperlukan untuk menjadi anak. Mengikut peraturan agama, sosial dan adat. Mereka yang cerdas bukan diberi pengecualian khusus. Mereka masih perlu mengemas katil.  Makan di meja. Menggunakan tangan. Menjaga kebersihan. Membuang sampah. Membasuh pakaian. Mandi bersabun. Memberus gigi. Maksudnya anak yang cerdas masih perlu untuk menjadi anak yang normal. Dilatih untuk menjadi manusia biasa. Malang sekali jika ada ibu dan bapa yang menganggap kecerdasan adalah suatu keistimewaan sehingga anak-anak dikecualikan untuk menjadi manusia biasa. Melalui zaman kanak-kanak biasa. Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Mereka perlu belajar untuk menjadi anak. Menjadi bakal ahli masyarakat. Bakal warganegara.

Realiti ini sukar diterjemahkan dalam alam realiti. Ramai ibu dan bapa yang terlalu sibuk. Anak-anak dahagakan diri mereka sebagai anak. Maksudnya, anak-anak tidak mendapat bimbingan untuk memasuki dunia remaja dan dewasa yang wajar. Di luar sana ibu bapa keliru mengenai pilihan terbaik untuk anak-anak mereka.

1                     Sistem pendidikan kita adakah yang terbaik? Laporan-laporan yang ada menunjukkan prestasi pendidikan kita jauh tertinggal di belakang. Banyak negara di sekeliling kita yang pendidikiannya lebih maju.
2                     Pendidikan agama seperti terpilih. Menteri sendiri memberi isyarat supaya anak-anak kita tidak dididik menjadi islamik. Anak-anak di bandar lebih mahir mengaji al-Quran berbanding anak di kampung.
3                     Orang Melayu masih lagi gemar majlis makan-makan berbanding majlis ilmu. Majlis ilmu mungkin sejam sahaja. Tetapi aktiviti menyediakan jamuan mungkin memakan masa dua hari. Kita selalu mengaudit siapa yang tidak dapat makan. Siapa yang tidak kenyang. Tiada siapa yang mengaudit siapa yang tidak memahami sesuatu topik ceramah atau tazkirah. Yang tidak mengambil tahu butiran ceramah atau tazkirah. Berapa ramai yang mengamalkan apa yang didengar. Apa yang dipelajari.
4                     Kita sibuk untuk memandaikan anak tetapi kita selalu lupa untuk menjadikan anak-anak kita pandai dalam amalan sivik. Menjadi mereka yang perihatin. Yang sensitif dengan persekitaran mereka.
5                     Banyak amalan anak-anak yang tidak selari dengan amalan yang dituntut agama. Kerana itu ada anak yang bercacah (tatoo) tubuh badannya. Ada anak lelaki yang panjang rambutnya. Itu belum yang menjadi perokok tegar sejak remaja. Menyalahgunakan dadah sejak remaja. Memandu tanpa lesen. Berlumba haram. Bergaul bebas.
6                     Ramai orang Melayu yang melihat media dan dunia hiburan sebagai realiti yang ingin dituruti. Pada hal apabila kita teliti terlalu banyak paradoks antara realiti dengan ilusi. Malang sekali orang Melayu melihat yang negatif tetapi tidak dinilai sewajarnya sehingga ianya diambil in total sebagai the in thing. Kita tidak dididik untuk melihat sesuatu dengan akal budi. Dengan kewarasan yang neraca akhirnya ialah agama.
7                     Politik orang Melalu semakin melalut. Tidak ada fokus untuk menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Agenda pribadi politikus Melayu selalu menuju kehancuran bangsanya. Walaupun politik Melayu yang memerdekaan tanah air ini namun setelah sekian lama Melayu tidka semaju seperti yang direncanakan. Solusinya belum ada.
8                     Dunia hiburan menjadi sinonim kepada orang Melayu. Entahlah, anak-anak sekolah tergila-gila untuk menjadi artis. Kejayaan belum tahu berkekalan. Ramai yang kecundang. Andainya tahap akademik tidak tinggi maka mereka yang berada dalam dunia fantasi ini kecundang dalam masyarakat. Kerjaya tidak ke mana. Bilangan yang berjaya tidak ramai. Yang kecewa bertambah setiap masa. Ke mana akhirnya anak-anak kita. Siapa yang perlu menjawab dilema ini?

Ke mana kecerdasan yang ingin kita bina? Sekolah berasra penuh banyak dibina. Tetapi peratusannya sangat kecil. Yang cerdas mungkin sekitar 5 hingg 10% sahaja dari seluruh warganegara. Yang lain bagaimana? Banyak kisah-kisah duka mereka yang cerdas di tanahair tercinta. Kisah Hang Nadim adalah sejarah. Anak pintar yang dikorbankan kerana kepintarannya. Adi Putera hingga sekarang masih terumbang-ambing. Kita belum lagi menjadi negara mesra anak-anak pintar. Kita terikat dengan birokrasi. Laluan untuk mereka tersekat sepanjang jalan. Adakah mereka yang mengurus negara bukan dari kalangan mereka yang pintar. Bukan pemikir. Bukan berwawasan jauh.


Kita sepi menanti kemajuan sebenar dengan kecerdasan yang sebenar. Memperkasakan agama dan bangsa ke mercu setingginya. Akal budi yang menjulang-julang. Akhlak yang terbilang. Kesemuanya bukan pada nama. Bukan pada kertas putih bertinta. Kesemuanya perlu direalisasikan untuk generasai akan datang. Warisan yang berkesinambungan. Kita yang akan ditanya apabila anak-cucu merana dalam kepok negaranya. Lapar dalam negara yang subur. Miskin dalam negara yang kaya. Layu dalam negara yang ramai Melayu.  Fikirkan. Fikirkan. Sewaktu mereka bertanya kita sudah tiada. Orang terkemudian taidak dapat menjawabnya. Mereka meletakkan kesalahan itu pada bahu kita yang sudah tiada. Seolah-olah benar bahawa generasi terdahulu terlalu banyak kesalahannya. Sejarah berulang-ulang kemabli.