Friday, November 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Kisah Seorang Bapa



Istilah bapa penulis berikan dalam dua konteks sahaja:
1                    Suami kepada ibu. Insan yang dengannya kita dibin atau dibintikan. Nasab keturunan. Darah daging seorang anak.
2                    Seseorang yang dipertanggungjawabkan menjadi pemimpin kelompok, masyarakat, mukim, daerah, negeri dan negara. Kita boleh turun kepada pemimpin taman, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau, pemimpin kelab dan persatuan dan pemimpin-pemimpin dalam kapasiti yang lain.

Seorang bapa kandung adalah mutlak. Dia sahaja bapa kandung. Tidak boleh ditukar. Tidak boleh diganti. Tidak boleh diwakili. Tiada sesiapapun yang boleh mengambil alih tugas dan tanggungjawab seorang bapa kandung.
1                    Bertanggungjawab memberi nafkah hidup.
2                    Menyediakan tempat tinggal.
3                    Membelikan pakaian.
4                    Mengurus kesihatan.
5                    Memberi didikan dan pelajaran serta akhlak yang mulia.
6                    Mendidik bermasyarakat.
7                    Mempastikan anak mengamalkan ajaran Islam.
8                    Menjaga kebajikan dan kesejahteraan.
9                    Menjaga keselamatan.
10               Merancangkan masa hadapan anaknya.

Andainya mana-mana tugas yang tersenarai tidak berjaya dilaksanakan maka bapa itu dianggap gagal menyempurnakan tugasnya. Tanggungjawab bapa itu tidak tergalas di bahunya. Dia dianggap seorang bapa yang tidak mampu menjadi bapa yang terbaik. Andainya kesemua tanggungjawab dapat dilaksanakan maka bapa itu berjaya menjadi bapa yang diharapkan. Dalam konteks bapa sebagai ketua keluarga ini sama ada dia berjaya atau gagal dia tetap bapa. Seorang bapa dengan segala kekurangannya. Sekiranya dia telah berusaha, tiada siapa yang dakwa mendakwanya. Jika berjaya, dia menjadi model atau contoh atau mungkin idola kepada orang lain. Pendapatnya dirujuk. Kehidupannya diberi perhatian. Orang lain ingin belajar dari pengalamannya.

Ini tidak terjadi kepada bapa yang menjadi gelaran kepada seseorang pemimpin. Tidak kira besar atau kecil. Tinggi atau rendah. Tanggungjawabnya sama tetapi berskala besar. Untuk kelompok yang lebih besar hingga akhirnya untuk seluruh rakyat negara yang dipimpinnya. Bapa yang baik sentiasa memikirkan yang terbaik kepada anak-anaknya. Yang terbaik dalam konteks positif. Tidak terancam, tiada  kesan negatif, selamat, tiada keraguan, mengambil berat, peka dan sentiasa ingin membantu. Bapa dalam kategori ini bukan mutlak. Mereka dijadikan bapa untuk tujuan tertentu. Untuk jangkamasa tertentu. Cukup masanya bapa ini akan mengundurkan diri. Atau diundurkan. Atau tugasnya diberikan kepada orang lain yang dijangka lebih berupaya menyempurnakan tenggungjawab yang diamanahkan. Tugas dan tanggungjawab seorang bapa ini adalah sangat berat. Tanggungjawabnya luas. Banyak. Rencam. Tiada had kuantiti dan kualitinya. Dia tidak boleh gagal walau sedikitpun kerana natijahnya negatif. Implikasinya besar. Dia perlu menjawab mengapa kegagalan berlaku dalam amanahnya. Dalam sebuah hadith Rasulallah saw bersabda:


كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya:
Kamu semua adalah pengembala (ketua) dan kamu semua akan   dipertanggungjawabkan terhadap gembalaanmu (orang-orang yang menjadi tanggungan kamu.)


Bagaimanakah kita menilai seorang bapa seperti berikut:
1                    Membunuh anaknya yang tidak sah taraf sedangkan dia adalah bapa yang tidak sah taraf.
2                    Membiarkan anak-anaknya tanpa nafkah hidup yang mencukupi mengikut kadar kemampuannya.
3                    Mendera anak-anaknya sama ada secara fizikal, secara psikologi atau secara mental.
4                    Membiarkan anak-anaknya menguruskan kehidupan mereka sendiri sedangkan bapa mereka sangat berkemampuan.
5                    Bapa yang bermewah-mewah tetapi sangat berkira dengan anak-anak.
6                    Mendenda dan menghukum anak-anak melebihi had. Hilang kasih sayang dalam hati bapa.
7                    Mempermain-mainkan perasaan anak-anak. Mereka pula tidak boleh bersuara. Tidak boleh  memberi pendapat.  Apa-apa suara yang keluar dari mulut anak dianggap sebagai melawan, menghasut dan tidak berterima kasih. Tidak bersyukur.
8                    Apa-apa yang didapati benar dikatakan membuka rahsia.

Ke mana anak-anak harus pergi. Kepada siapa mereka harus mengadu. Apa yang perlu mereka lakukan untuk memperbaiki diri. Siapa yang harus membantu mereka. Memang bapa mereka telah menyediakan berbagai-bagai keperluan untuk mereka. Malangnya mereka perlu pula membayar. Wang saku mereka dipotong setiap masa. Diperlakukan seperti bukan anak kandung. Dilihat orang seperti anak tiri. Kadang-kadang bapa membujuk dengan berbagai helah tetapi yang anak-anak dapat tidak seberapa. Hak mereka sebagai anak dinafikan. Bapa berbelanja untuk hal-hal yang mampu dilihat sahaja oleh anak-anak. Mereka hanya mampu kecur air liur. Hanya mampu berangan-angan. Meminta tetapi tidak dipertimbangkan. Merayu mungkin dapat sebahagian dari yang diperlukan. Hidup anak-anak daif dalam keluarga besar yang sebenarnya mewah. Anak seorang kaya. Berkemampuan untuk menyediakan segala-galanya.

Bapa jenis ini selalu lupa bahawa mereka berada dalam jangka hayat yang terbatas. Duduknya sementara. Keberadaannya sementara. Kerusi empuk itu sementara. Jawatannya sementara. Mereka akan digantikan:
1                    Dengan yang lebih baik.
2                    Yang buah fikirannya lebih bernas.
3                    Yang bicaranya benar tanpa dolak-dalik. Tanpa banyak alasan yang palsu.
4                    Yang usahanya untuk membantu menyenangkan anak-anak.
5                    Yang perihatin tentang keperitan kehidupan anak-anak.
6                    Yang tidak mengugut. Tidak mengancam. Tidak memberi kata dua.
7                    Yang dilihat benar. Tindakannya benar. Bicaranya benar. Janjinya benar.

Bapa kandung adalah darah daging. Tiada peluang untuk menafikan perhubungan yang terjalin. Tiada undang-undang untuk menafikan bahawa dialah bapa kandung. Anak-anak berada di bawah kuasanya sehingga mereka baligh. Namun masih ditanya di akhirat nanti. Bapa yang kedua pula diangkat oleh anak-anak untuk dijadikan bapa. Dipilih untuk menjadi bapa. Dilantik untuk dijadikan bapa. Maka bapa jenis ini boleh diturunkan dengan kuasa yang ada pada anak-anak. Mengikut fitrah alam. Yang baik diangkat. Yang tidak baik diturunkan. Terdapat perbezaan besar antara yang benar dan yang batil. Antara yang baik dengan yang buruk. Sekali pandang malanglah nasib anak-anak diperlakukan dengan tidak sewajarnya oleh seorang bapa yang kurang tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun banyak positifnya. Anak-anak boleh memilih bapa lain apabila sampai masanya. Turunkan dan buang bapa yang tidak bertanggungjawab itu. Yang sudah tidak berminat untuk membela anak-anaknya lagi. Bapa yang bersedia mencuci tangannya sendiri. Yang difikirkan ialah dirinya sendiri.


Bapa yang gagal selalu lupa bahawa anak-anaknya adalah warisannya. Mereka yang akan menyambung zuriatnya. Namun apa yang difikirkan oleh bapa tidak sampai ke situ. Yang penting hanya dirinya. Bukan anak-anaknya. Bukan cucu-cicitnya yang akan datang selepasnya. Bahawa kezaliman yang ditanggungkan ke atas kepala anak-anak sebenarnya akan kembali sebagai kezaliman kepada dirinya sendiri. Yang di atas pasti turun. Yang mewah pasti akan papa. Yang senang pasti akan susah. Yang hidup pasti mati. Setiap orang ada had hayatnya. Mungkin esok, lusa, tulat, langkat, tubin ………pekan, tahun. Masa tetap memburu kehadirannya. Masa juga yang akan menamatkan buruan itu. Ketika itu bapa menjadi buruan masa dan keadaan.