Benarkah suka tandanya sayang? Benarkah menolak itu benci? Bijaksana harus boleh menilai kebenaran antara keduanya. Atau mungkin boleh diharmonikan antara keduanya. Kebersamaan dua ekstrim yang kadang-kadang menyusahkan. Ada masanya ia mungkin menyenangkan jika kita boleh berlapang dada. Semuanya berada di minda. Minda yang bersangkut dengan psikologi dan mungkin sedikit falsafah.
Dalam hidup ini kita banyak memberi dan menerima. Di manapun kita berada, memberi dan menerima menjadi suatu kebiasaan. Lumrahnya orang kita. Memberi tentulah jika ada kelebihan-kelebihan. Menerima jika kita ada kekurangan-kekurangan. Namun begitu memberi dan menerima boleh berlaku dalam perspektif yang berbeza. Kita boleh memberi penilaian yang berbeza. Memberi erti yang berbeza. Ia bergantung kepada orang yang memberi dan yang menerima pada masa yang sama.
Biasalah naluri kita memberi kepada orang yang kita suka. Menerima dari orang yang kita suka. Pernahkah kita fikirkan teori dan praktiknya? Memberi hendaklah kepada orang yang selayaknya. Menerima juga dari orang yang selayaknya. Pemberian mungkin dalam bentuk yang berbagai. Kriteria penerimanya juga berbagai. Jika zakat atau sedekah tentulah kepada mereka yang berhak menerimanya. Ada tuntutan hak di situ. Tidak boleh ikut suka di hati. Tidak boleh ikut naluri. Atau ikut ilham. Agama telah tentukan mereka. Mungkin fakir miskin. Mungkin yang berhutang kerana hendak hidup. Bukan untuk bermewah-mewah. Untuk keperluan pendidikan. Sekadar contoh.
Begitu juga sedekah. Ada yang berhak menerimanya. Yang daif. Yang uzur. Yang kehilangan mata pencarian. Termasuklah juga yang fakir dan yang miskin. Walau bagaimanapun jangan sekali-kali lupa bahawa dalam bersedekah jangan abaikan sanak saudara dan jiran tetangga. Jika zakat ada peruntukannya sendiri, sedekah ada pula hak-haknya yang lain. Bagi seorang lelaki sedekah itu kepada anak dan isterinya dahulu. Kaum kerabatnya. Barulah keluar kepada jiran tetangga, fakir miskin dan sebagainya.
Timbul persoalan, perlukah kita memberi kepada orang yang tidak sudi menerimanya? Atau perlukah kita menolak pemberian dari orang yang kita tidak suka? Tidakkah kita ada hak untuk menolak dari orang yang kita suka? Kita sedar kita tidak layak menerimanya. Tersangat banyak contoh yang boleh kita lihat. Bila ada program pemberian percuma, ramai yang menerimanya bukan mereka yang layak. Yang kaya, yang berada, yang mewah, yang tidak pernah kekurangan berebut-rebut untuk mendapatkannya. Ironinya mereka yang kayak segan untuk berebut-rebut. Segan untuk menunjukan batang hidung. Kita harus tahu bahawa orang yang berada dalam zon kekurangan ini merasakan diri mereka tidak layak utnuk berada dalam khalayak.Subhanallah. Mengapa jadi begitu?
Sebenarnya mereka perlu dicari dan didekati. Outreach. Mereka tidak boleh dinanti. Malulah nanti. pakaian mereka tidka cantik. Tidak kemas. Tidak bersih. Tidak licin. Tidak berfesyen. Tidak berbau wangi. Mana mungkin mereka berada dalam majlis yang gilang gemilang. Kita selalu tidak peka. Untuk memberi kita majlis-majliskan. Kita buat besar-besaran. Bagi yang hendak menerima menjadi kepayahan. Kena beli pakaian baru. Kena siapkan diri. Banyak urusan yang tiada kena mengena dengan pemberian yang hendak disampaikan. Banyak protokolnmya pula.
Pergilah ke rumah mereka. Hantar sendiri. Hulur dengan tangan sendiri. Unjuk sendiri. Kita selalu mengukur orang lain mengikut perspektif kita. Kita melihat diri kita. Kita mahu orang lain menyesuaikan diri dengan kita. Ini menjadi masalah besar. Perbezaan indiviru selalu kita abaikan. Tidak menghormati yang kita berbeza dengan orang lain. Pertimbangan pribadi ini selalunya menyulitkan kepada penerima. Mereka tida boleh menjadi diri mereka sendiri. Mereka pula tidka boleh dan todak mempu keluar dari kepompong diri mereka sendiri. Apatah lagi mereka dipaksa-paksa untuk menerima mengikut perspektif kita yang hendak memberi.
Peyelewengan banyak berlaku. Hukumnya jelas. Mengambil yang bukan hak bukan wajib. Bukan sunat. Bukan harus. Tidak mungkin juga makruh. Ia menjurus kepada haram. Aduh. Berat dan sangat berat. Orang yang menerima musibah banjir menerima bantuan ala kadar. Mereka yang tolong urus bantuan banjir lebih mewah dari mangsa di pusat pemindahan. Catuannya seperti mereka orang tahanan. Yang memberi bantuan mencurahkan semua yang diperlukan. Yang sampai kepada mangsa hanya sebahagiannya sahaja.
Pada akhir zaman ini ramai orang yang lupa bahawa dirinya akan dikembalikan kepada Allah. Akan diminta memberi penjelasan. Akan ada soalan tunjuk sebab. Malangnya mulut akan terkunci. Tidak akan ada pembohongan. Tidak akan ada helah. Tidak akan ada alasan. Tidak akan ada dalih. Tangan akan mengaku. Tekak akan mengaku. Usus akan mengaku. Perut akan mengaku. Tubuh badan akan mengaku. Minta maaf, mulut sudah tidak mampu untuk memberi madah berhelah lagi. Kerap sangat mulut itu tidak menjalankan fungsinya. Untuk berkata yang benar. Yang memberi manfaat telinga dan minda. Juga hati. Anggota tubuh badan yang lain setia dan patuh kepada perintah Allah. Semuanya berkata benar.
Sejarah Islam memberikan keyakinan kepada umat terdahulu supaya banyak memberi walaupun mereka tidak punya apa-apa. Yang mereka terima, digunakan sekadarnya untuk hari itu. Bakinya dikira berlebihan. Disedekahkan untuk maslahah umum. Maslahah umat. Menjaga kepentingan Islam. Abdul Rahman bin Auf adalah orang yang dianggap paling kaya di Madinah. Hartanya melimpah ruah. Pakaiannya pada sesuatu ketika mungkin bernilai 10,000 dirham. Sangat mewah pada zaman itu. Tetapi dia sangat-sangat layak untuk berpakaian begitu. Rasulullah tidak melarang.
Namun dia tidak melupakan tanggungjawab sosialnya. Tanggungjawab agamanya. Banyak hartanya yang diinfaqkan kepada jalan Allah. Namun Rasulullah masih mengatakan kepadanya bahawa ia lambat masuk ke syurga. Alangkah terkejutnya Abdul Rahman. Maka digandakan lagi usahanya menginfaqkan hartanya. Yang diinfaqkan adalah harta-hartanya khususnya tanah-tanah ladangnya yang paling baik. Yang paling subur. Yang paling lebat buahnya. Yang paling banyak hasilnya. Yang dicari ialah keredhaan Allah dan RasulNya. Harta ini hanyalah pinjaman daripada Allah untuk sementara hidup di dunia. Berapa lama? Mungkin 20 tahun. Mungkin 50 tahun. Tidak mungkin 100 tahun. Apatah lagi 1,000 tahun. Mulut sahaja yang selalu berhelah. 1,000 tahu kan ku tunggu jua. Kan ku tunggu di pintu syurga. Tiada hakikat langsung.
Menerima tidak semestinya suka. Menolak tidak semestinya benci. Bukankah hak itu mesti dihormati? Bayangkan sayangnya sahabat Ansar kepada sahabat Muhajirin. Sahabat Ansar sanggup menghadiahkan isteri mereka kepada sahabat Muhajirin. Boleh pilih pula yang mana berkenan. Ukhwah Islamiah yang sangat kental. Sangat menebal. Iman yang menjadikan mereka begitu. Tetapi Abdul Rahman bin Auf menolak hadiah tersebut. Yang dia mahu ialah tunjukkan aku jalan ke pasar.
Begitulah jiwa keusahawanan yang ada pada Abdul Rahman bin Auf. Ia tidak perlukan isteri ketika itu. Ia perlu hidup berdikari. Hartanya yang banyak telah ditinggalkan di Makkah demi mengejar keredhaan Allah. Demi hijrah yang mesti dituruti. Kebersamaan dengan Rasulullah. Dari jalan ke pasar itulah Abdul Rahman bin Auf membina empayar perniagaannya. Menjadi usahawan terbilang. Kaya raya di zaman Rasulullah. Namun matanya tidak gelap dengan meterial. Infaqnya mengatasi kebanyakan orang.
Abdul Rahman tidak membenci sahabat Ansarnya. Ia menolak hadiah isteri bukan kerana benci. Ukhwah Islamiah pada dirinya sangat kuat. Padanya isteri bukan keutamaan ketika itu. Bukan yang paling utama ketika itu. Bukan itu matlamat hidupnya yang utama. Dirinya cenderung membangunkan diri sendiri. Ia cenderung berada dalam berkeupayaan untuk memberi. Ia tidak suka berada dalam mod meminta atau menerima. Itu bukan jiwanya.
Memberi atau menerima tidak pula boleh disamakan dengan meminta. Meminta ada konotasinya yang tersendiri. Sebab itu tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah. Yang memberi sentiasa berada di atas. Tinggi kedudukannya. Akan dibalas dengan hisab yang tinggi juga. Syaratnya ikhlas. Tawaduk. Yang menerima bukan hina dina. Tetapi hina pada mata yang memandang kerana ia dianggap serba kurang. Daif. Maka kekurangan meletakkan seseorang itu di bawah. Tempatnya rendah. Di paras bawah.
Itulah sebabnya Islam manggalakkan umatnya mencari kekayaan. Keupayaan hidup dalam menghadapi apa jua maslahah perlukan kekayaan. Keupayaan harta benda. Untuk dipandang tinggi penguasaan ekonomi menjadi fardhu. Satu keperluan. Tanpa penguasaan itu Islam menjadi hina. Dianggap peminta sedekah sepanjang zaman. Dari dulu hingga sekarang. Apabila ada bencana menimpa, saudara sesama Islam seolah-olah tidak mampu untuk membantu.
Jangan pula kita lupa tentang hadiah. Jika zakat ada syaratnya, jika sedekah ada batasnya, hadiah agak terbuka dan bebas. Hadiah boleh diberikan kepada siapa sahaja yang kita suka. Sebut terang-terang ini hadiah dari saya. Bukan zakat dan bukan sedekah. Siapapun boleh menerimanya. Tanpa batasan. Kita sahaja yang harus membatasi diri kita. Hadiah itu menjadi nikmat pemberian. Menjadi nikmat menerimanya. Ciptalah suasana supaya menerima itu tidak semestinya suka. Menolak pula tidak semsetinya benci.