Lain padang lain belalangnya. Merantau jauh membuka mata
untuk melihat kelainan-kelainan yang Allah ciptakan untuk tatapan kita. Kali
ini penulis mengajak pembaca membuat tinjauan bagaimana warga Mesir membina
karakter pejuang agama di kalangan kanak-kanak mereka. Apa yang penulis lihat
tidak pernah berlaku di Malaysia. Dalam adat kita anak-anak selalunya dijauhkan
dari orang dewasa. Yang dewasa hendak berbual dengan selesa kerana topik
perbualan mereka layak didengar oleh orang dewasa sahaja. Itulah malangnya
sebuah warisan yang tidak ada benarnya. Salah dalam mendidik anak. Kita
mengetahui bahawa anak-anak perlukan bimbingan dari mereka yang dewasa
terutamanya dari ibu-bapa mereka dan sahabat-sahabat ibu-bapa mereka. Tetapi
apabila mereka yang diharapkan selesa dengan topik terlalu khusus untuk orang
dewasa maka anak-anak terpinggir. Tidak diberi peluang menikmati topik-topik
membina minda dan jatidiri warisan mereka.
Banyak topik yang boleh dibincangkan secara ilmiah.
Topik agama umpamanya berbentuk global. Begitu juga teknologi, sains, ekonomi,
sosial, pendidikan, kesihatan dan banyak lagi. Apabila anak-anak hadir dalam
pertemuan-pertemuan santai elakkanlah dari membincangkan topik-topik yang
berunsur mengumpat, mencela, menghina atau topik-topik yang berbentuk fitnah.
Apatah lagi topik-topik yang lucah, ganas dan marah-marah. Banyak topik lain
yang lebih segar. Lebih membina akhlak. Membina minda. Meluaskan skop
pemikiran. Kita tidak perlu sempitkan dengan kebiasaan kita. Kita sepatutnya
sudah lama meninggalkan kebiasaan-kebiasaan yang sia-sia yang menambah dosa
sahaja. Yang hanya menyorot ke belakang keindahan sosial dan generasi kita. Sudah
sampai ketikanya kita berusaha untuk lebih membina minda anak-anak supaya
mereka menjadi warganegara yang memandang ke hadapan. Masa lalu dijadikan batu
lonjakan untuk lebih maju dalam banyak bidang.
Senarionya sangat mudah. Boleh dilakukan pada
bila-bila masa. Malah di mana-mana sahaja.
1
Bawa anak-anak bertemu dengan alim ulamak agama. Biar
mereka mendengar perbualan yang berkaitan dengan agama. Mereka menjadi selesa dengan
sebutan Allah, Rasulallah, Malaikat, al-Quran, Qada’ dan Qadar, Qiamat, Syurga
dan Neraka. Anak-anak ini membesar dalam lingkungan istilah-istilah akhirah dan
bukan dunia sahaja. Nama-nama pejuang agama dan mereka yang syahid menjadi
motivasi untuk berjuang ke arah agama.
2
Bawa mereka bertemu dengan alim ulamak mengenai ilmu
keduniaan seperti doktor perubatan, jurutera, peguam, sosiologis, pakar
motivasi, usahawan dan sebagainya. Buka minda anak-anak supaya berjaya di
dunia. Apabila digabungkan dengan nombor 1 maka terdapatlah gabungan dunia dan
akhirat. Paduan yang tidak boleh dipisahkan.
3
Bawa anak-anak ke majlis-majlis ilmu. Didik mereka
untuk berdisiplin apabila berada dalam majlis-majlis ilmu. Mendengar dengan
taat. Belajar mencatat butiran yang didengar. Balik ke rumah berikan masa dan
peluang anak-anak bertanya dan berhujjah. Betulkan persepsi yang salah. Bantu
dengan menyediakan bahan bacaan yang ilmiah.
Di Mesir, anak-anak selalu ditemukan dengan mereka
yang alim di masjid. Selepas solat Jumaat umpamanya anak-anak bertemu dengan
imam lama. Imam yang masih setia dengan masjid. Walaupun tidak lagi memberikan
khutbah Jumaat, imam tersebut masih menjadi imam solat fardhu. Masih menjadi
muazzin pada hari Jumaat. Imam yang seorang ini sudah tidak boleh duduk untuk
tasyahud awal atau akhir. Ia duduk di kerusi. Walaupun masih boleh bertahan
semasa duduk antara dua sujud tetapi dengan menegakkan badan sambil berlutut
sahaja. Setiap tamat solat ada sahaja anak-anak yang berusia antara lima hingga
12 tahun datang bertemu dengannya. Mereka dipeluk dan dicium. Sewaktu bulan
Ramadhan lebih ramai anak-anak yang datang ke masjid. Termasuk anak-anak
perempuan yang berusia bawah lima tahun. Kerencaman bermazhab mewarnai suasana
masjid. Situasinya berbeza dengan kita.
Bertemu dengan orang alim memberikan suatu pengalaman
yang tersendiri kepada anak-anak.
1
Mereka belajar hadir bersama orang dewasa. Mencontohi
apa sahaja amal ibadat yang dilaksanakan. Mereka bukan tenggelam dalam teori
sahaja. Praktikalnya dilihat setiap masa.
2
Menumpang aura orang dewasa yang alim dan banyak ilmu.
Berpengalaman dalam masjid dan agama. Ianya memberikan suatu motivasi bahawa
yang alim agama berada di tempat yang tinggi. Dihormati dan disegani. Mereka
pula perlu didekati. Bukan hanya dalam hal-hal penting tetapi pada setiap waktu
dan peluang. Bukan bila hendak bernikah kahwin dan semasa mengurus jenazah
sahaja.
3
Dakapan dan ciuman memberikan kehangatan peribadi
antara mereka yang alim dengan anak-anak. Memberikan mereka sifat berani. Sifat
untuk taat. Sifat untuk mencontohi. Sifat untuk berada pada posisi itu apabila
mereka dewasa kelak.
Kanak-kanak di Mesir dan Jordan tidak ke masjid untuk
berada dalam kelompok mereka sahaja. Berbual dan bersembang. Mereka berada di
saf-saf bahagian hadapan. Ruang-ruang kosong mereka isi sebagai jemaah yang
arif. Bukan main-main. Tiada diskriminasi antara dewasa dan kanak-kanak. Tiada
halangan dari AJK masjid. Tiada gangguan sesiapapun. Apabila mereka berada di
saf orang dewasa mereka tidak membawa rakan-rakan mereka bersama. Mereka
seorang diri bersama orang dewasa. Dengan itu mereka lebih tenang. Lebih
khusyuk. Lebih menjiwai keberadaan mereka di masjid. Melaksanakan amalan agama
bersama mereka yang dewasa. Pelajaran agama mereka disempurnakan dengan amali
bersama orang dewasa. Bukan bersama rakan-rakan mereka sahaja yang lazimnya
terdedah kepada kecenderungan untuk bermain, bergurau senda, mengganggu
rakan-rakan yang tulen ibadatnya.
Bersama orang dewasa banyak manfaatnya.
1
Mereka cepat dewasa. Berada di persekitaran orang
dewasa menjadikan mereka selalu sedar bahawa mereka wajib mencontohi mereka
yang di sekelilingnya. Akhlak mereka terbina. Amalan mereka terkawal. Membaca
al-Quran umpamanya menjadi ringan sebagai amalan.
2
Mematuhi disiplin ibadat. Tidak berbual tanpa hak. Tidak
mengganggu orang lain kerana yang berada di sekelilingnya adalah mereka yang
dewasa.
3
Membetulkan kesilapan tan tanggapan dengan membuat
pengamatan sendiri. Semua contoh itu di hadapan mata mereka sendiri.
4
Membina keyakinan diri. Tidak ramai anak-anak yang
berani bersama golongan dewasa tanpa latihan dan didikan. Membiasakan diri
membina kekuatan diri ke arah itu.
5
Pengalaman mereka lebih luas berbanding dengan
rakan-rakan mereka yang lain. Buah fikirannya dibina melalui mendengar butiran
perbualan orang dewasa. Melalui melihat perbuatan orang dewasa.
Banyak paradigma yang perlu disesuaikan dengan
keadaan. Andainya kita yakin bahawa anak-anak menjadi warisan kita maka mereka
yang berwajib mengenai masjid perlu mengubah cara berfikir:
1
Al-Quran hendaklah diletakkan di tempat dan rak yang
mudah dicapai oleh makmum atau jamaah. Bila ada luang waktu mereka boleh
membaca al-Quran walaupun untuk beberapa minit sahaja. Sementara menunggu azan
atau sementara menunggu waktu.
2
Beri peluang kepada kanak-kanak untuk mengisi ruang
saf di bahagian hadapan walaupun mungkin bukan saf pertama atau kedua. Anak
kecil bersama bapanya. Anak-anak yang sudah baligh atau berakal di celah-celah
orang dewasa. Anggap ianya sebagai didikan dan amali dalam melaksanakan amalan
agama.
3
Adakan aktiviti kanak-kanak di masjid seperti
gelanggang permainan, bilik mengulangkaji dan tuisyen agama dan amalannya.
Bawa anak-anak ke masjid. Tarik mereka. Program reaching
out perlu untuk membina anak-anak zaman yang penuh dadanya dengan agama.
Cintakan Allah dan RasulNya. Sayangkan agamanya. Mudah-mudahan pada akhir zaman
ini masjid menjadi penuh dengan bakal pejuang akhirat. Bentuk mereka di dunia.