Tuesday, August 20, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Masa Yang Debarnya Menanti



Hari ini Selasa 20 Ogos 2013. Sekarang pukul 10.00 malam waktu Kaherah. Gelombang yang mendebar selama beberapa hari ini bertambah tingginya. Rasanya terlalu memuncak. Sehari dua ini langit Kaherah banyak mendungnya. Seperti ada kesayuan yang mengapung di angkasa. Terasa sesuatu akan jatuh menimpa. Hati semakin berat menghiba. Ada gundah yang menggema. Sukar untuk diceritakan. Di hadapan mata tiada apa yang memanas dan membakar. Namun suasana bak api dalam sekam. Selepas satu babak yang mengeri dan mengharu ada babak lain yang datangnya tidak diduga. Sesuatu yang miungkin tidak terfikir sejak tahun 2011 dahulu. Sesuatu yang telah dibuang pastinya diletakkan semula di tempat yang tidak ingin dilihat lagi. Tetapi itulah percaturan. Dalam permainan catur selagi raja belum gugur selagi itulah bidak-bidak bergerak mencari laluan untuk menyusup masuk dan keluar. Mencari ruang untuk memberi onar.

Hari ini bermula episod yang selalunya apabila perlu. Evakuasi. Makin kerap digunakan istilahnya. Rakyat Malaysia akan dikendung pulang ke tanahair. Untuk dikelek selamat dari mara bahaya. Dihindar dari segala ancaman yang mengganggu. Maka

1        Pembelajaran tertangguh sementara.
2        Tempat jatuh tetap dikenang.
3        Teman dan rakan ditinggalkan.
4        Kaherah di kejauhan.
5        Bahang yang dihindar seketika.

Kembali banyak juga baiknya:

1        Ibu bapa ingin menghilang rindu. Dewasa bukan ukuran rindu. Anak tetap anak. Rindu tetap rindu.
2        Anak-anak rindu juga dengan wajah-wajah yang lama hilang. Hanya dunia realiti menghubung.
3        Cucu yang bertanya ingin ditatap. Sudah banyak besarnya. Sudah Nampak tingginya. Sudah berat bertambahnya.
4        Cucu yang kecil belum ditatap. Yang akan lahir ditunggu.

Apabila tidak di hadapan mata memang selalu banyak bimbangnya. Ibu bapa yang jauh dibimbangi anak-anak. Mereka lebih bimbangkan keselamatan. Manusia selalu begitu.

1        Anak-anak dibimbangi apabila tidak di hadapan mata.
2        Ibu dan bapa dibimbangi apabila tidak di hadapan mata.
3        Orang yang haling dari pandangan selalu dibimbangi di dalam hati.
4        Yang hilang di mata banyak rindunya.

Melancong santai perjalanannya. Musafir mungkin serius langkahnya. Diangkut pulang cemas hati di dalam. Malam ini bermulalah perjalanan kumpulan pertama yang akan menjengah kampung halaman. Tidak diminta tetapi ketentuan begitu jadinya. Walapun tidak berhasrat untuk pulang, takdir menentukan segalanya. Keadaan memberi laluan untuk pulang. Maka perjalanan diatur secara pantas. Berperingkat-peringkat. Mungkin transitnya banyak. Dari rumah ke asrama. Ke lapanganterbang. Di lapanganterbang tentulah sangat lama menunggu untuk masuk ke pesawat. Rasanya dari sebelum pukul 7.00 malam hingga dinihari. Lapan hingga 10 jam. Dalam keadaan seperti sekarang hanya perlukan kelas ekonomi. Yang paling kurang kosnya. Sebelah pagi. Antara tengah malam hingga sebelum solat Fajr. Orang di sini tidak menyebut solat Subh. Istilah Subh ada. Sobahan ada. Solat Subh seperti tidak ada. Mereka menyebutnya Solat Fajr. Pada waktu fajr. Lain bangsa lain bahasanya. Di Jordan juga disebut Solat Fajr. Mungkin perlu kajian mengapa di Malaysia disebut Solat Subh. Bukan Fajr.

Dalam situasi genting apa sahaja adalah yang terbaik. Yang pastinya tubuh badan dalam keadaan letih lesu. Peluh dan berlengas. Makan dan minum tidak menentu kecuali dalam penerbangan yang jadual makannya tersenarai indah. Mandi bukan dalam senarai. Solat qasr dan jama’ kerana perjalanan jauh. Perjalanan cemas ini tidak santai seperti diharap. Tidak memberi ruang untuk terlalu berlegar. Tidak boleh buat hal sendiri. Kelompok yang sama harus bergerak dalam kelompok itu. Tidak ada istilah jika tertinggal kapalterbang tunggu penerbangan berikutnya. Kerana itu setiap ahli perlu sentiasa banyak bersama. Bergerak bersama. Berkelompok. Jika ada urusan perlu dimaklumkan kepada yang lain. Wajib dimaklumi. Alangkah besar masalahnya jika ada ahli yang tiba-tiba hilang dari kelompok. Menyusahkan yang lain. Bukan individu yang susah. Negara yang kesusahan.

Sebenarnya kami di sini  tidaklah gusar sangat dengan keadaan semasa. Tempat kami tinggal aman dari gangguan semasa. Cuma kebimbingan tetap ada. Mungkin apa sahaja boleh berlaku. Keadaan mungkin semakin parah. Banyak kebimbingan yang difikirkan. Kembali kepada persoalan yang sama. Antara kebimbangannya ialah:

1        Semua laluan terputus kerana perintah darurat.
2        Tiada bekalan makanan.
3        Tiada bekalan air.
4        Tiada bekalan gas.
5        Tiada bekalan minyak.
6        Tiada bekalan elektrik.
7   Tiada bekalan perubatan.
8   Tiada jaminan keselamatan.

Mungkin sahaja berlaku anarki. Keadaan yang terlalu tidak terkawal. Mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk berbuat apa sahaja. Akan menjadi lebih menyulitkan.

1        Keselamatan awam tiada yang menguasai lagi.
2        Tentera dan polis mungkin gagal mengawal keadan.
3        Pecah rumah, pecah kedai dan pecah gedung berleluasa.
4        Kecurian dan ragut tidak menentu.
5        Pembunuhan tanpa sebab dan tanpa hak.
6        Istilah selamat tidak ada lagi.


Sekarang ini masih ada sandaran pada tentera dan polis. Tidak tahu berapa lama kerana berbagai perkara boleh berlaku. Maka kerana itu rakyat asing dibawa pulang ke negara masing-masing. Sementara kegawatan belum bertambah gawatnya. Sementara masih banyak jalan keluar. Sementara laluan masih terbuka. Sementara masih ada yang boleh dibawa berunding. Ketika ini tidaklah boleh berkeras mengikut kehendak hati. Ibarat ayah dan ibu.  Pintanya dipenuhi. Menolak tentunya menghampakan semua orang. Itu satu hal. Tentulah lebih membimbangkan orang lain. Sanak saudara yang ingin melegakan perasaan. Rakan-rakan yang ingin melapangkan tarikan nafas. Tidak ada sesiapa yang seharusnya dikelurkan dari senarai pulang. Ayah dan ibu tidak akan tergamak meninggalkan anak-anaknya di tengah kegelapan yang bukan aman. InsyaAllah. Bumimu akan dijejak lagi oleh kaki ini.