Hari ini 16 Mei. Ia datang lagi. Setiap tahun ia datang. Selepas itu ia pergi. Setahun yang akan datang tiada siapa peduli. Hari apa ini? Minggu apa ini? Tahun apa ini? Selama ini hari apa? Sudah 42 kali rasanya saya bersua dengan hari ini. Tidak ada kelainan yang saya rasa. Tiada impak besar yang saya terima. Saya kekal menjadi guru. Darah daging saya. Saya rasa begitu juga rakan-rakan guru yang lain. Yang dalam dirinya hanya ada sifat itu. Walaupun ada yang terpilih untuk menjadi guru. Walaupun ada yang memang memilih untuk menjadi guru. Ada pula yang terpaksa untuk menjadi guru. Saya kira akhirnya kita semua jatuh cinta dengan profesion ini. Dengan kerjaya ini.
Kita sudah difitrahkan untuk menjadi guru. Banyak yang telah dilalui. Tidak pula minta balasan. Tidak pula mengemis imbuhan. Tidak juga mahukan sanjungan. Kita hanya pelakon-pelakon hidup. Melaksanakan suatu fitrah Allah. Menjalankan sunnatullah. Mengajar adalah tugas mulia. Dituntut sepanjang masa. Suatu lintasan dalam hidup yang ingin terus dimanfaatkan. Di sini hidup dan mati. Untuk Allah. Demi Allah. Kepada Allah diserahkan. Moga-moga redha Allah sahaja yang dipohon.
Pagi-pagi lagi hari ini sudah berdering sms. Masih ada yang ingat. Saya sendiri tidak pernah beria-ia untuk mengingat. Apalah sangat. Tugas biasa.Di facebook juga begitu. Ramai yang ingat. Seperti dalam lain-lain hal tentu ramai yang tidak perlu ingat. Guru telah bertugas menjadi guru. Itu tanggungjawabnya. Itu kewibawaannya. Tidak perlu dikenang. Tidak perlu diingat. Tidak perlu nostalgia. Tidak perlu diingat sangat. Banyak lagi keutamaan lain. Lagipun guru telah dibayar. Bukan percuma. Mana ada yang percuma. Masyarakat telah membayar guru kerana tugasnya. Ia profesional yang hidup kerana dibayar tugasnya. Meminta balasan adalah sesuatu yang tidak profesional. Tidak beretika. D luar perjanjian sosial sewaktu menerima watikah sebagai guru. Di institusi tempat latihan juga tidak pernah di sebut pentingnya hari guru. Ia adalah hari-hari biasa bagi seorang guru.
Pagi tadi sewaktu bangkit dari tidur hari yang saya tatap tetap sama. Matahari masih kekal setia patuh kepada perintah Allah. Tetap terbitnya dari timur. Cuma kecondongannya berkisar kerana perubahan antara the soltices ke utara atau ke selatan. Waktu ini bumi berganjak ke utara. Di utara mula panas. Barangkali tahun 2011 ini summernya akan lebih panas. Di Khatulistiwa seperti Malaysia sudah terasa bahangnya. Pencairan di Kutub Utara akan menjadi-jadi. Pemanasan global yang semaki panas. Petang nanti matahari kekal terbenam ke arah barat. Qiblat solat kita kekal antara 80º dan 85º. Bergantung di mana kita berpijak. Di bumi Malaysia juga. Tempat kita menjunjung kasih. Tempat menabur bakti. Tempat membina bangsa. Tempat membina negara. Tempat memartabatkan profesion keguruan.
Apa yang lainnya? Sekadar memberi ucap selamat sangat biasa bagi saya. Tetapi ada sedikit tinge in my heart. Menerima ucapan bukan untuk sebarang guru. Yang memberi kerana telah menerima sesuatu yang ada nilainya. Format sambutan hari guru tetap sama. Entahlah. Sesuatu yang ironis kerana sambutan hari guru diuruskan oleh guru. Dihadiri oleh guru-guru. Itupun kadang-kadang bukan dengan kerelaannya. Guru lebih senang dan santai berada di kelas. Berhadapan dengan anak-anak didik yang ingin dijadikan manusia. Yang ingin nanti mampu menggantikan guru itu bila tiba masanya. Guru tidak selesa melakukan yang bukan-bukan. Bukan core business mereka. Apatah lagi yang tiada kaitan dengan tugasnya. Jangan terkejut sambutan hari guru kadang-kadang bukan untuk meraikan guru. Bebrapa tahun yang lalu saya menghadiri sambutan hari guru di sebuah daerah. Perasmi yang datang seorang pemimpin kerajaan. Saya kira ramai guru yang terkilan. Tersentuh. Terguris lebih tepat.
Ucapannya yang berjela panjang. Pentas itu dijadikan wadah untuk mengecam guru. Harapan untuk diraikan dengan penghargaan berkecai. Punah berderai. Hancur luluh bak kaca ditumbuk lumat. Kerana segelintir perbezaan pendapat seluruh profesion guru dikecam oleh pemimpin itu. Guru-guru dikatakan mereka yang tidak berterima kasih. Yang tidak memahami nikmat hidup. Yang tidak berjiwa kenegaraan. Yang pentingkan diri sendiri. Bayangkan apa yang gurn rasa. Dalamnya tentu menggelegak. Tentu parah. Jiwanya diratah dan dihentak. Psikologinya direntap-rentap. Perasaannya dicarik-carik. Guru bukan harapkan sesuatu yang muluk-muluk. Cukuplah sekadar tidak mencaci cela. Cukuplah tidak berkata apa-apa. Cukuplan sekadar memberi isenyum dan tawa. Mungkin sedikit angguk kepala. Yang tidak sukakan guru itu bukan guru. Mereka yang profesionnya bukan guru. Yang tidak mahu tahu tugas guru.
Saya sayangkan guru saya. Seingat saya sudah tidak ada lagi guru saya yang di seklah rendah dahulu. Kesemua mereka telah lama meninggalkan saya. Saya tetap bangga menjadi anak didik mereka . Alfatihah untuk mereka. Seperti ajaran agama kita, ilmu yang baik yang mereka tinggalkan saya lestarikan. Saya panjangkan kepada beberapa generasai yang lalu di bawah asuhan saya. Telah memberi banyak manfaat kepada saya. Telah saya manfaatkan masa yang berlalu. Telah memberi manfaat kepada usia saya. Telah memberi manfaat kepada anak-anak saya. Kepada cucu-cucu saya. Apatah lagi telah memberi manfaat kepada anak didik saya yang jumlahnya ribuan di serata tanah air. Dari Sk Permatang Rengas, Batu Pahat. SMK Munshi Ibrahim, Labis, Johor. SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu. SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Politeknik Ungku Omar, Ipoh. USM, Ipoh. SMT Johor Bahru. UTHM, Batu Pahat. Ada yang masih ingat. Ramai yang lupa. Itu bukan isunya. Saya telah menyempurnakan tanggungjawab itu.
Saya jadi megerti kerana guru saya. Mereka mengajar saya erti sesuatu. Melihat dengan mata kasar. Melihat ke dalam dengan mata hati. Memahami yang tersurat. Memahami yang tersirat. Menjadikan saya orang yang perasa. Yang tahu erti budi. Allah yang memungkinkan kesemuanya. Lantaran bantuan guru saya menjadi seperti saya. Tanpa guru saya bukan saya. Tidak ada orang seperti saya. Saya berguru. Saya mendapat sentuhan ajaib dari guru-guru saya. Saya mendapat suntikan dari mereka. Saya mendapat input-input akademik dan kemanusiaan. Saya mendapat input agama dan beragama. Tanpa guru saya bukan saya. Islam melarang belajar tanpa berguru. Pasti syaitan mengambil peranan itu. Sukar nanti untuk mencari jalan pulang. Sukar menentukan yang mana hak dan yang mana batil. Yang mana benar yang mana salah.
Dari guru saya belajar bertatih. Saya dibimbing tulis baca. Diajar mengira. Saya masih ingat saya cukup berjaya dalam congak. Ujian secara lisan. Mengeja dan mengira. Kecekapan mendengar dan menganalisis menggunakan minda. Ejaan bukan masalah. Mengira bukan susah. Kecekapan itu saya dapat dari guru-guru saya. Pendidik sekarang memberi kuiz. Soalan pendek. Ujian ringkas. Semuanya bertulis. Banyak variabel yang dinyatakan. Waktu saya dahulu congaklah yang banyak membantu menjadi cekatan untuk berfikir. Semuanya dengan lisan. Dengan perkataan. Dengan ungkapan-ungkapan. Masa yang diberi singkat sahaja. Namun bagi yang terkehadapan congak itu mengukur kemampuannya menggunakan minda. Menangkap apa yang diajar. Yang disampaikan guru. Itulah zaman saya. Zaman yang telah lama berlalu. Tetapi zaman itulah yang membina saya seperti sekarang. Seperti saya.
Saya ingin bertanya. Siapa yang seharusnya menyambut hari guru? Guru ke? Atau orang lain? Kenapa tidak murid yang menyambut hari guru untuk guru-guru mereka? Bebaskan mereka untuk menyatakan isi hati mereka? Tentulah dengan sedikit kawalan. Ada garis panduan. Ada peraturan. Hadkan masa. Hadkan acara. Hadkan majlis. Hadkan jadual. Hadkan apa yang boleh. Hadkan suasana. Hanya untuk mereka yang ingin merayakan guru-guru mereka. Tidak perlu hadiah. Barangkali ucapan terima kasih sudah cukup menyesakkan dada seorang guru. Sebak. Menggenangkan air mata. Menjadikannya syahdu.
Kenapa tidak ibu bapa yang merayakan guru? Bukankah guru telah mengambil alih tugas mereka? Mereka menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik oleh guru. Kenapa tidak luangkan sedikit waktu untuk memandang mata guru. Kunci pandangan empat mata. Mata ibu dan mata guru. Mata bapa dan mata guru. Hulur tangan. Terima kasih cikgu. Jika saya sekalipun saya kira air mata saya ingin menderas turun. Meruntun kasih. (Ketika menulis ayat inpun air mata saya ingin membasahi pipi). Ada sesuatu yang ibu bapa telah hilang. Kepekaan yang sedikit untuk menghargai guru.
Kenapa tidak pemimpin merayakan guru? Bukankah guru telah menjalankan amanah negara? Memandaikan warganegara yang menjadi harapan? Melahirkan pemimpin-pemimpin yang sedia ada dan yang akan datang? Jengahlah guru. Ucapakan terima kasih kepada mereka. Tidak mungkin dilupakan suatu ketika dahulu gurulah yang membasuhkan kencing dan beraknya? Yang menyeka lelehan hingusnya? Yang membelai tangisnya ketika ditingalkan ibu pada hari pertama? Pada minggu pertama? Yang belum tahu eja baca. Yang belum tahu kira. Yang tidak tahu berbelanja dengan wang yang ada. Proses menjadikan pandai dilakukan oleh guru-guru biasa. Yang sangat biasa-biasa. Yang kelayakannya tidak seberapa. Yang hidupnya sangat sederhana. Persaraannya memberi suka dan bahagia. Matinya dalam hening pusara. Dengan mata terkatup rapat. Puas menjadikan ramai munsia.
Persepsi kita tentang hari guru perlu berubah. Guru tidak perlu hari-hari untuk mengenang mereka. Guru banyak perlukan sokongan daripada mereka di luar sana untuk kesempurnaan pendidikan anak-anak yang bakal menggalas tugas-tugas negara. Jika memimpin, mereka menjadi pemimpin berjiwa besar. Jika menjadi rakyat mereka menyumbang untuk membantu pemimpin. Yang memimpin dan yang dipimpin mestilah segerak. Bak aur dengan tebing. Bak isi dengan kuku. Pasangan yang mesti seiring.
Untukmu guru. Tugasmu adalah tanggungjawabmu. Kau telah pilih profesion ini. Ia mulia. Sungguh mulia. Ia menjanjika syurga. Ada nikmat besar yang Allah janjikan. Teruskanlah usaha menabur bakti. Guru tetap guru. Saya tahu dan kau juga tahu. Jiwa kita sebati. Guru tetap guru. Kembalikan kesemuanya kepada Allah. Moga-moga Allah redha dengan apa yang kita lakukan. InsyaAllah.