Friday, March 19, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketujuh Belas

Dari sejak kecil saya lebih banyak berdikari. Mungkin persekitaran saya menjdikan saya begitu. Pengaruh baka keturunan dan persekitaran membentuk diri saya. Seperti dalam pos yang lain saya seorang introvert walaupun secara lahiriahnya saya seperti seorang ekstrovert. Barangkali amvibert lebih tepat. Tetapi tidak, secara peribadi, jauh dalam sudut hati saya, saya memang seorang introvert. Bertuah orang yang dapat menembusi tembok sunyi saya yang sudah terbina sejak saya dibesarkan di kampung masa dulu-dulu.

Makan dan minum saya jarang berhidang. Sejak dari kecil saya begitu. Sesudah berumahtangga, saya tidak minta dilayan. Kecuali sesekali bila ingin bermanja. Saya memasak sendiri bila ada kesempatan. Waktu ibu saya masih hidup, jika ada kesempatan saya memasak. Bolehlah setakat kari, opor, gulai, sup, kukus, rebus, bakar, goreng dan celur. Ada makanan istimewa yang sangat senang menyediakannya. Resepinya memerlukan cili kering, bawang merah, bawang putih dan bawang besar. Tambah dengan ikan bilis dan belacan. Tambah lagi dengan telur. Boleh tambah kicap jika mahu. Garam, tunggu dulu. Jika belacamnya lebih maka tidak perlu garam. Walau bagaimanapun buatlah penilaian tentang kadar masinnya.

Cili kering barang 10 biji dipotong-potong. Dengan tanganpun boleh. Buang bijinya lebih baik. Segala jenis bawang dimayang. Bawang merah barang 10 labu. Bawang putih dua gugus. Bawang besar 3 labu. Ikan bilis segenggam dan belacan separuh tapak tangan. Goreng ikan bilis dahulu sebab ikan bilis perlu garing baru sedap dimakan. Bila garing masukan cili. Kemudian masukkan bawang. Akhir sekali masukkan belacan. Bila semuanya sudah masak masukkan dua biji telur. Gaullah barang dua minit. Matikan api dan siapkan untuk dihidang. Sangat baik untuk orang bujang atau yang tinggal membujang. Kebiasaan memasak sejak dari kecil dahulu masih terbawa-bawa hingga sekarang. Memasak tidak perlu yang kompleks seperti Datuk Chef Wan. Cukuplah sekadar menukar selera. Jaga kolestrol. Jaga darah tinggi. Jaga kencing manis. Penyakit yang berkembar-kembar perlulah dihormati dan dijaga. Ancamannya besar. Jadi makanan kena jaga.

Itu hal makan. Pakaian, lain pula ceritanya. Saya biasa membasuh pakaian, menyidai, melipat, menyusun dalam almari dan menggosok baju. Jika lelaki tidak boleh melakukan semua ini, sukarlah isteri terkejar-kejar mahu sempurna. Hidup berumahtangga banyak komprominya. Bukankah memberi lebih baik dari meminta. Seorang isteri tidak cantik dan sihat sepanjang masa. Banyak uzurnya. Waktu-waktu mengandung, bersalin, mengurus bayi dan sakit, seorang suami hendaklah mengambil alih tugas isteri. Masa itulah tahu langit tinggi. Jika tidak dibiasakan akan menyusahkan diri pula. Kalau minta dilayan setiap masa, pergilah hotel lima bintang. Istimewa layanannya. Di rumah suami tidak perlukan layanan lima bintang. Lebih baik tengok bintang yang tinggi dan bergemerlapan. Tenang hati.

Sudah jadi kebiasaan saya, membasuh pakaian saya buat jika tidak ada kesibukan lain. Balik kerja uruskan mesin basuh dulu. Membasuh ada pula peraturannya. Yang putih basuh dulu supaya tidak terturun warna baju lain. Selesaikan dulu yang putih. Disusuli dengan pakaian warna lain tetapi yang tidak luntur. Yang luntur asingkan untuk dibasuh kemudian sekali. Lazimnya paling akhir ialah tuala mandi. Jika dicampur dengan pakaian lain habis bulunya dipindah-pindahkan. Jenuh hendak membersihkannya. Oleh kerana masa saya di rumah pada waktu malam sahaja, maka pada kebanyakan masa saya membasuh pada waktu malam juga. Sesudah dikeringkan saya sidai. Itu yang saya buat sidai di teres rumah. Hujan atau panas tidak menjadi kerisauan. Hanya apabila anak cucu semua berkumpul barulah banyak sidaian kain di merata tempat. Bila hujan, bergegasanlah mereka mengangkat kain.

Saya rimas melihat longgokan kain yang lambat dibasuh. Rimas juga melihat longgokan kain yang tidak dilipat atau digantung. Jika tidak sibuk saya bantu menguruskannya. Jika tidak terpaksa pejam mata tahan Hati. Bila saya outstation tidak pernah saya hantar pakaian untuk didobi. Setiap hari saya basuh pakaian yang saya pakai hari itu. Perah dan tuskan airnya di bilik air. Bila sudah tus dan agak kering, saya sangkutkan di mana-mana di ruang bilik. Pendingin hawa akan menyejatnya. Pagi esok pasti kering. Lepas membasuh petang esoknya saya gosok baju dan seluar. Itu rutin jika saya menginap di hotel. Dengan cara itu, saya hanya membawa pakaian kotor yang saya pakai hari itu sahaja bila sampai di rumah. Isteri saya tidak terbeban. Sayapun tidak terbeban. Sekurang-kurangnya boleh kurang tension. Lebih pula berkasih sayang. Jika isteri saya ikut sekalipun, saya basuh juga pakaian saya. Basuh tetap basuh, jangan tak basuh.

Secara fitrahnya saya tidak suka tidur di rumah orang. Sejak dari kecil lagi saya begitu. Biasalah saya, bila ke rumah saudara mara, jika saya hendak balik saya akan balik walaupun waktu malam. Jauh atau dekat bukan soalnya. Balik tetap balik. Entah masa dulu-dulu macam tidak selesa tidur di rumah orang. Tidak sesuai tempatlah. Tidak sesuai bau bantalnyalah. Ada sahaja alasannya. Namun bila sudah mendewasa dan setelah berumahtangga, saya berkompromi dengan diri saya sendiri. Saya tidak boleh pentingkan diri. Ada ruang-ruang yang saya harus accomodate dan assimilate. No man is an island. Kita hidup sebagai manusia sosial kenalah berkongsi ruang, masa dan suasana. Memang rumah orang bukan rumah kita. Cuma kita kena belajar menyesuaikan diri asalkan tidak mengorbankan harga diri.

Barangkali kita kena belajar bila berama orang lain. Tetamu yang datang bertandang atau bermalam di rumah kita wajib dihormati. Maka berusahalah kita untuk menghormati tetamu. Sebaliknya jika kita menjadi tetamu, kita kenalah menghormati tuan rumah. Kalau nak kira bersembang, semalaman tidak tidurpun tidak mengapa. Boleh sambung dari satu tajuk ke tajuk yang lain. Tidak boleh habis. Tetapi esoknya masing-masing ada urusan. Tuan rumah kena bangun lebih awal lagi sebab hendak menyediakan sarapan. Tetamu kena bangun awal juga sebab tuan rumah sudah menyediakan sarapan awal pagi lagi. Di rumah orang-orang yang rapat dengan kita, hal-hal seperti itu tidak menjadi masalah. Walaupun mesra tetapi mejadi formal. Masing-masing berusaha untuk tidak menyusahkan yang lain.

Di hotel umpamanya, suasanya lebih santai. Tidak ada sesiapa yang perlu melayan kita. Kitapun tidak minta dilayan. Ada sedikit kebebasan. Namun begitu, hati sanak saudara perlu dijaga. Jangan tidak tidur langsung di rumah mereka. Bila perlu dan ada kelapangan tidurlah. Silaturrahim namanya. Untuk membina ukhwah kena ada kompromi dengan diri sendiri.

Sebagai lelaki, kita selalu dilihat memiliki egonya sendiri. Orang perempuan melihat lelaki dengan egonya. Begitu juga sebaliknya orang lelaki melihat orang perempuan dengan egonya. Kadang-kadang persepsi itu jika tidak dikawal akan mencetuskan perang dingin yang tidak diketahui apa puncanya. Pada kebanyakan masa, perbezaan persepsi hanya kerana clash of personality. Tidak ada perkara besarpun. Malang, kerana kita selalu mengambil jalan pintas untuk tidak memahami dan menerima orang yang berbeza dengan kita. Kita pula terlalu sayangkan diri sendiri sehingga orang lain semuanya cacat belaka. Sidrom ini kadang-kadang keterlaluan hingga menyulitkan. Saya masih belum habis membaca Men Are From Mars And Women Are From Venus seperti yang dicadngkan oleh Ustaz Hasrisal. Sesungguhnya lelaki dan perempuan berbeza fitrahnya. Jika masing-masing boleh mengerti akan perbezaan itu, hidup akan menjadi mudah.

Akan bersambung