Dalam winter itu saya mendaftarkan anak-anak ke sekolah. Yang sulung di Gred 8 dan yang kedua di Gred 7. Kira middle school. Menengah rendah di Malaysia. Yang ketiga di tadika sebab umurnya 5 tahun. Adiknya yang keempat di headstart. Untuk kanak-kanak yang berumur 3 tahun. Sistem persekolahan di US dari K – 5 untuk sekolah rendah. K bermaksud kindergarten. 6 – 8 untuk middle school. 9 – 12 untuk high school.
Tadika bagi yang berumur 5 tahun dikira sebagai sebahagian dari sistem sekolah rendah. Sekolah rendah berakhir dengan Gred 5 sewaktu kanak-kanak berumur 10 tahun. Berbanding dengan kita, kanak-kanak di sana memulakan sekolah secara rasmi sewaktu berumur 5 tahun. Kita pula memulakannya sewaktu kanak-kanak berumur 7 tahun. Dua tahun lebih muda. Yang bermakna dua tahun tertinggal. Dua tahun kurang matang. Dua tahun belum digilap. Dua tahun belum diperkembangkan minda dan IQnya (intelligent quotient – kecerdasan minda) . Itu tidak termasuk dari segai EQ (emotional quotient – kecerdasan emosi), SpQ (spiritual quotient – kecerdasan rohani), SQ (social quotient – kecerdasan social), AQ (adversary quotient – kecerdasan semangat). Belum cerita tentang ScQ (science quotient - kecerdasan sains). MQ (mathematical quotient – kecerdasan matematik) dan kecerdasan-kecerdasan yang lain. Anak saya yang ketiga berada dalam zon ini.
Rakan-rakannya benar-benar antarabangsa. Ada orang putih, anak orang hitam, Melayu, Arab, Cina, Latin. Termasuk juga anak dari Indonesia. Bertemulah mereka dalam kelas itu. Tentulah pada mulanya seperti ayam, itik dan angsa. Macam kambing dan lembu serta kerbau. Tetapi sekejap sahaja mereka sudah boleh berkomunikasi. Boleh berinteraksi. Boleh bercakap. Gurunya bukan calang-calang orang. Hanya mengajar kelas tadika. Dia memiliki ijazah sarjana. Masters degree in kindergarten. Tentulah lebih professional. Down to earth tetapi mengetahui serba serbi tentang tugasnya.
Anak ketiga, Nurul Najwa, nombor 2 berdiri dari kiri di barisan belakang sekali. Sekarang pensyarah di Politeknik Merlimau Melaka. Begitulah kombinasi antarabanagsa rakan-rakan sekelasnya. Gurunya Ms Kellay memiliki Sarjana Pendidikan Tadika.
Anak keempat, Nurin Naurah, memakai kemeja-T berwarna merah. Duduk nombor 5 dari kiri barisan kedua. Sekarang jurutera di sebuah syarikat swasta di KL. Rakan-rakannya juga antarabangsa. Waktu itu terlalu kecil saiznya. Hingga sekarang dia yang paling kecil antara adik beradiknya. Gurunya Ms Couch sangat sayang kepadanya. Waktu hari terakhir saya ambil Nurin sebelum pulang ke Malaysia, bukan sahaja Nurin yang dicium, Ms Couch turut mencium pipi saya. Apa nak buat. Hadiah. Hendak mengelak tidak sempat. Terima kasih dan bye-bye sahaja yang dapat diberikan.
Adiknya yang berumur tiga tahun berada dalam kelas headstart. Sekarang baru diperkenalkan di Malaysia. Program Permata Hatiku yang banyak kontroversinya itu. Middle school adalah dari gred 6 – 8. Ianya bagi kanak dari umur 11 hingga 13 tahun. Anak saya yang sulung layak ke Gred 8. Sementara adiknya di Gred 7.
Sekolah rendah dan sekolah menengah berada dalam lokasi yang bertentangan. Sekolah menengah kira-kira satu kilometer. Sekolah rendah kira-kira dua kilometer. Yang sekolah menengah boleh pergi sendiri dengan berjalan kaki. Setiap hari mereka berjalan kaki. Pergi dan balik. Tiada apa yang menyusahkan. Mereka ke sekolah dengan berlenggang kangkung sahaja. Tidak perlu membawa beg. Tidak perlu membawa buku. Kesemua buku ditingalkan di sekolah. Setiap pelajar ada pigeon-hole masing-masing. Jika winter mereka memakai baju tebal. Jika summer pakailah baju biasa sahaja.
Sistem persekolahan menengah di US bermula dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 3.00 petang. Makan tengahari di sekolah. Yang kaya membayar tetapi yang miskin (pelajar Malaysia dikira miskin kerana biasiswa yang diterima di bawah paras kemiskinan di US) percuma. Anak yang tadika balik pukul 11. Masuk pukul 8.00. Tiga jam sahaja. Tetapi dia tidak ada makanan. Kena sarapan di rumah. Atau balik ke rumah baru makan. (Ketika menulis ayat ini terbayang sangat waktu mengurus anak-anak yang dua orang ini). Terlau pantas masa berlalu. Sudah 26 tahun yang lalu.
Yang headstart agak istimewa. Datang pukul 8.00 terus makan. Setengah jam lamanya. Masa hendak balik dia makan lagi. Setengah jam juga. Hanya dua jam dia belajar. Kanak-kanak kecil ini dilatih dan diajar. Dibimbing dan diasuh cara makan dan amalan pemakanan yang sesuai dan menyihatkan. Pastinya ada susu segar. Ada jus buah. Ada sayur. Ada buah. Ada roti. Cuma saya catatkan pada profailnya yang dia no chicken and no beef. Orang putih pelik. Chicken dan beef itu penting untuk proses tumbesaran kanak-kanak. Suatu hari saya ditanya oleh pakar pemakanan sekolah. Seorang wanita yang sudah agak berumur. Dalam ramai-ramai bapa, dia masih boleh mengenal saya. Bapa anak keempat saya. Mungkin dia bertanya kepada guru.
Dia bertanya, ‘Why it is stated that your daughter is not taking chicken and beef?’ Saya jawab, ‘We’re Mouslims. We do take chicken and beef but must be slaughtered by Mouslims.’ ‘Do you have them here?’ ‘Oh yes! There are Mouslim’s store around here.’ ‘Ok.’ Dia menerima penjelasan saya. Di sana makanan atas alasan agama tidak menjadi isu. Jika ke pasar ingin menyembelih sendiri ayam yang hendak dibeli, tiada masalah langsung. Ramai pelajar Malaysia pergi ke ladang kambing atau lembu untuk membeli seekor atau dua lembu dan kambing. Sembelih sendiri. Mereka benarkan atas alasan agama. No question asked. No big deal.
Lihatlah. Di sekolah mereka ada pakar makanan. Nutritionist. Kita setakat ada penyelia asrama. Kita harapkan penyelia inilah yang berlakon menjadi pakar makanan. Menentukan khasiat makanan. Imbangan makanan. Piramid makanan. Keperluan asasi makanan pelajar sekolah menengah. Bagaimanalah penyelia ini boleh bertindak seperti pakar sedangkan dia tidak langsung dilatih untuk memahami faktor makanan. Faktor keperluan makanan untuk pelajar sekolah menengah. Bagaimana keperluan kanak-kanak sebelum baligh. Untuk tingkatan satu dan dua. Bagaimana keperluan makanan untuk yang lepas baligh. Bagaimana pula yang berada di hujung remaja. Tidak sama. Proses tumbesarn berbeza. Kematangan berbeza. Kapasiti minda mereka berbeza. Fizikal mereka berbeza. Keperluan makanan bagi pelajar juga berbeza antara pelajar perempuan dengan pelajar lelaki. Di sekolah menengah tidak ada masalah. Anak saya sudah boleh menjawabnya.
Sebenarnya ramai pelajar Malaysia yang membenarkan anak-anak mereka makan apa sahaja hidangan. Ada chicken, makan. Ada beef, makan. Tiada halangan. Tiada sekatan. Semuanya boleh. Saya masih tidak yakin bahawa kesemuannya itu boleh dimakan. Pada saya tidak boleh. Tetapi setelah kembali dari luar negara hal itu saya cari juga jawapannya yang pasti. Bertahun-tahun kemudian semasa mengikuti Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin di Universiti Malaya baru saya dapat jawapannya dengan pasti. Sembelihan ahli kitab boleh dimakan. Tetapi bukan sembelihan ahli kitab di Malaysia. Mereka baru memeluk Kristian. Di Barat mereka sudah Kristian berkurun-kurun. Orang Yahudi memang selamanya ahli kitab. Memang mereka bukan Islam. Itu bukan isu. Yang dibincangkan ialah mereka ahli kitab.
Dari headstart anak-anak mereka dilatih untuk makan makanan seimbang. Kombinasi makanan yang sesuai mengikut umur. Sayur dan buah-buahan adalah kemestian. Daging putih (chicken) dan daging merah (beef, mutton) juga dihidangkan.
Kita ada program makanan tambahan. Untuk mereka yang kurang berada. Cuba Tanya. Adakah mengikut piramid makanan. Adakah mengikut pertimbangan makanan seimbang. Berapa banyak sayurnya. Ada atau tidak buah-buahan. Susu. Jus. Bagaimana kita melaksanakan semua ini tanpa pakar pemakanan. Guru tidak tahu. Pengetua tidak tahu. Orang kantin juga tidak tahu. Yang dihidangkan ialah nasi lemak, mee kasar dan bihun goreng. Itupun banyak keracunan. Penyediaannya? Wallahu ‘alam. Susu juga melewati tarikh guna. Kanak-kanak seharusnya menjadi insuran kita pada masa hadapan. Bila mereka diracun harapan itu musnah.