Monday, February 21, 2011

Pelajar Nakal Episod kedua


Terima kasih kerana masih ada yang menghubungi saya. Tentunya bila ada pertanyaan, kesnya pasti rumit. Ada sahaja yang baru untuk dihadapi. Untuk diterokai. Untuk digarap. Untuk diselesaikan. Untuk meneruskan amanah mendidik dengan gusto. Dengan semangat membara untuk menjadi pendidik yang berwibawa. Seperti kata orang untuk menjadi guru yang boleh digurui. Tentulah termaklum apabila kita melakukan sesuatu yang baru maka banyaklah ragam yang belum diketahui. Banyaklah karenah yang belum pernah dihadapi. Keupayaan kita selalunya terbatas. Pengalaman kita perlukan masa yang panjang. Perlu banyak terlibat. Mata, telinga dan deria yang lain belum tentu memahami situasi yang bakal kita hadapi. Kata orang tua-tua, berapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Melihat hanya cuba membayangkan beratnya. Yang memikul terasa benar beban yang dipikul. Bahunya yang pedih. Hatinya yang merasa sakit. Tubuhnya yang seksa.

Dalam menjalankan tugas ada sahaja yang baru. Yang sebelumnya belum pernah dialami sendiri. Mungkin pernah dialami oleh orang lain. Orang lain tidak dapat memindahkan pengalaman itu. Boleh dikongsi tetapi tidak mencapai hajat yang sebenar. Situasi biasanya lain. Variabel biasanya berbeza. Kehidupan kita tidak sunyi dari berhadapan dengan sesuatu yang baru. Namun  begitu jika situasinya sama sekalipun masih terdapat perbezaan-perbezaan yang dikira kritikal. Lalu sewaktu berhadapan dengannya harus ada kewaspadaan bahawa apapun yang ada di hadapan kita adalah sesuatu yang unik. Tidak ada samanya dengan hal yang lain. Sama tetapi tidak serupa. Kelainan-kelainan itu boleh dikenalpasti jika kita mengamatinya. Jika kita membuat pengamatan yang tajam. Jika kita menganalisis apa yang ada di sebaliknya. Apa yang tersirat. Yang lahiriah itu mungkin hanya symtomnya sahaja. Yang sebenar tidak terlihat. Tersembunyi di sebalik gambaran-gambaran penuh warni.

Tidak ramai orang yang boleh berhadapan dengan semua situasi. Tidak mungkin penuh pengalaman. Pengalaman kita sebenarnya relatif. Ada sedikit lebih dan ada banyak kurangnya. Mungkin kita kena belajar untuk menggarap pengalaman semua orang. Mengharmonikan perbezaan-perbezaan yang ketara. Menjadikannya sesuatu yang terhimpun. Yang padu. Yang dilihat sebagai satu. Bukan yang berbagai. Kita perlukan acuteness. Kita perlukan kehalusan berfikir. Kemahiran melihat dengan menusuk ke dalam. Ke dasar sesuatu permasalahan. Melihat warna, bentuk dan bahan sahaja tidak mencukupi. Banyak hal yang tersembunyi. Yang sukar difahami oleh manusia biasa. Seperti kita memandu kenderaan akan sentiasa terdapat blind spot – pandangan haizat. Ada tetapi tidak dilihat oleh pemandu.

Kebetulannya saya berpengalaman berada di sekolah yang hampir 99.99% pelajarnya adalah kaum Cina. Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu. Dari tahun 1969 hingga akhir tahun 1974. Saya agak masak dengan tingkah laku pelajar-pelajar di sekolah itu. Mereka tidak sama dengan  pelajar Melayu. Tidak dinafikan yang namanya kanak-kanak itu ada kenakalannya. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Tetapi bagi saya setiap kaum ada keunikannya tersendiri.  Apapun, pengalaman saya adalah peribadi. Itu yang saya alami. Mungkin tidak kepada orang lain. Walaupun mereka mengajar di sekolah yang sama. Ada pepatah Inggeris yang berbunyi, “If you cannot beat them, join them.” Jika anda tidak dapat mengalahkan mereka, jadilah sekutu mereka.

Pepatah ini bukan bermakna jika kita gagal mengalahkan kejahatan lalu kita menjadi jahat seperti kejahatan yang sedang kita perangi itu. Maksudnya dalam. Untuk mengalahkan musush kita kena tahu kelemahannya. Kita kena tahu lompang-lompang pertahanannya. Kita kena tahu alahannya. Kita kena tahu soft spotnya. Kita kena mencari jalan-jalan yang selalunya dialpakan. Kesemua peluang-peluang itu digunakan untuk menembusikan pertahanan musuh. Dari dalam kita pecahkan tembok pertahanannya. Kita patut belajar dari falsafah Kuda Kayu. Terkenal ceritanya dalam peperangan antara Troy dan  Achaeans (Greeks). Troy kalah kerana kepintaran orang Greek. Secara terang mereka gagal mengalahkan Troy. Lalu helah dicari. Cipta kuda kayu yang besar. Di dalamnya penuh dengan askar yang gagah perkasa. Kuda itu dihadiahkan kepada pemerintah Troy. Tanda berdamai. Pada malamnya. Kuda kayu itu hidup. Perutnya terbuka. Keluarlah askar-askar yang bersembunyi di dalamnya. Pintu kota dibuka. Menyerbulah askar-askar lain yang mengepung kota Troy. Sedikit rencah cerita. If cannot beat them, join them. Apabila orang Greek menjadi sebahagian orang Troy, kemenangan yang mereka capai.

Untuk pelajar Cina dan India senarionya mungkin berbeza. Bagi mereka Bahasa Melayu bukan bahasa ibunda. Oleh itu penggunaan bahasa hendaklah disesuaikan. Mungkin kesilapan guru. Lazimnya mereka cuba mengunakan Bahasa Melayu secantik mungkin. Berbahasa. Berbunga. Berwarna warni dengan lenggok bahasa yang mungkin. Berperibahasa. Pelajar-pelajar itu tidak memahami bahasa guru. Bukan dalam darah daging mereka. Tidak ada dalam sistem mereka. Bukan budaya yang difahami. Orang Melayu mudah dijinakkan kerana Bahasa Melayu itu bahasa mereka. Mereka jadi lembut kerana bahasa. Mereka jadi alpa kerana bahasa. Mereka terpana kerana bahasa. Mereka terbuai khayal kerana bahasa. Mereka boleh menyembah kerana bahasa. Kerana bahasalah kampung halaman banyak tergadai. Pada sangkaan orang Melayu bahasa yang baik itu dianggap kebaikan. Sopan santun itu budi yang baik. Mereka kalah dengan bahasa.

Pelajar Cina dan pelajar India tidak boleh dilayan seperti pelajar Melayu. Mereka ada  budaya yang berbeza. Anak-anak Melayu meminta dengan sopan. Mereka berkata dengan budaya. Berdiri dan duduk mereka  dengan adabnya. Pelajar Cina dan India tidak perlu dilayan dengan budi bahasa. Yang dewasa sudah memahami budaya Melayu. Layanannya berbeza. Anak-anak yang masih mentah perlu diberikan a taste of culture. Tetapi penyampaian budaya itu dibuat secara terus. Blunt. Direct. Straight to the point. Gunakan bahasa yang mereka faham. Tidak perlukan imbuhan. Tidak perlu digali kosa kata. Tidak perlu dengan nada lembut. Tidak perlu berkias-kias. Berterus terang. Nyatakan sebiji-sebiji tanpa berselindung dengan bahasa. Diungkapkan dengan kasar sedikit. Bukan tidak sayangkan anak didik, tetapi mereka perlu dilayan dengan kelihatan sedikit kasar. Pada peringkat awal ini jangan pukul atau cuba-cuba untuk memukul mereka. Jangan sekali-kali mencarut. Jangan mengeluarkan kata-kata yang sensitif. Marah dan berkasar yang seperlunya. Never over.

Bagi mereka yang baru berada di sekolah yang majoriti pelajarnya adalah kaum Cina dan India cubalah  pendekatan berikut:

1          Besarkan suara. Lebih besar dari biasa. Lebih besar lebih bagus. Impaknya lebih.
2          Kuatkan atau tinggikan pitchingnya
3          Semasa bercakap besarkan mata. Pandang tepat kepada sasaran. Pandang lama-lama yang tajam.
4          Berjalan ke arah sasaran dengan langkah yang sangat teratur. Selangkah demi selangkah. Jangan laju.
Angkat kaki seolah-olahnya kaki itu sangat berat. Lakonan mesti mantap. Mengesankan.
5          Gunakan perkataan yang biasa-biasa sahaja. Jangan gunakan bahasa yang tinggi. Tingkatan satu atau dua terlalu muda untuk memahami bahasa yang teratur dan dilihat berbahasa. Tidak perlu ikut nahu. Dalam pelajaran bahasa barulah elokkan bahasa.
6          Tanya guru Cina, apa perkataan yang tidak suka didengar pelajar Cina. Tanya p
elajar India perkataan yang paling mereka benci. Gunakan semasa memarahi mereka. Bagi orang Jawa umpamanya perkataan goblok dianggap sangat teruk. Orang paling tidak berguna. Orang Inggeris pula menggunakan istilah moron sebagai manusia paling bodoh.
7          Banyakkan aktiviti bukan banyakkan bercakap. Aktiviti itu mestilah yang jelas boleh dilakukan. Pilih yang yang menarik dari segi psikologi mereka. Cuba selami minat mereka melalui bertanya dengan guru-guru Cina dan India yang ada di sekolah itu.
8          Selalu meronda di celah-celah meja mereka. Jangan statik pada sesuatu posisi sahaja.
9          Jangan menyalin nota di papan tulis. Jika ada powerpoint gunakan. Jika tidak cuba buat nota edaran.
10        Menulis hanya jika sangat perlu sahaja. Itupun sambil memandang kepada kelas. Jangan            alihkan pandangan terlalu lama.
11        Semasa pelajar menyalin nota ronda berdekatan dengan pelajar yang nakal.
12        Pelajar yang paling nakal hendaklah diasingkan dengan segera.
13        Minta nasihat dari guru-guru lain yang berpengalaman di sekolah itu.
14        Buat sedikit pemerhatian tentang teknik yang digunakan oleh guru lain semasa mengajar.
15        Bercakap satu-satu. Jangan laju. Pastikan semasa bercakap mereka memandang guru. Pastikan mereka faham.
16        Arahan-arahan yang diberikan mestilah secara mudah dan pastikan difahami.

Ini hanya cadangan. Ianya bukan penyelesaian kepada semua keadaan. Pada akhirnya guru  sendiri yang mesti mencari jalan untuk mengatasi masalahnya. Dia yang berhadapan dengan situasi yang sebenar. Saranan saya ialah guru hendaklah cuba membina kimia dengan anak didik masing-masing. Itu sahaja jalan penyelesaian yang terbaik. Rapport itu penting. Jika tidak perselisihan budaya selalu akan berlaku. Selamat berjuang.