Sukar dipercayai jika ada jemaah haji yang tidak menziarahi makam Rasulullah. Letaknya di sebelah ruang Raudhah. Lagipun setiap ruang Raudhah itu adalah bekas tapak kaki Rasulullah. Itulah taman-taman syurga. Hampir setiap lepas solat waktu saya akan melalui makam Baginda. Bagi jemaah leaki rasanya sangat mudah untuk melalui letaknya makam itu. Dari Bab al-Salam hingga Bab al-Baqi’ lurus tegak ke hadapan. Dari arah belakang Masjid Nabawi belok ke kiri selepas sahaja melewati penyekat yang melindungi Raudhah. Sekatan itu untuk melindungi jemaah wanita yang sedang menziarahinya dan menziarahi makam Rasulullah. Terlindung dari pandangan mata jemaah lelaki.
Kali pertama menziarahinya adalah selepas solat Zohor pertama. Allahu Akbar ramainya orang. Berasak-asak. Berhimpit-himpit. Masa itu belum kenal Raudhah. Belum menjejak kaki di situ. Saya hanya mengikut arus. Tidak dapat menelah jauh atau dekat. Mudah atau susah. Sampai juga akhirnya. Apa yang saya lihat sebenarnya? Tidak nampak apa-apa. Makam itu dilindungi langsir. Hendak mendekat tidak boleh. Hendak lama-lama juga tidak boleh. Hati terlonta-lonta ghairah. Air mata mula menggenang. Mula luruh satu persatu. Sebak yang tidak menentu. Rindu, rindu dulu. Rindu lama yang tidak boleh terungkap. Di sini, di sini saya di samping kekasih Allah yang paling agung. Penghulu segala Rasul. Nabi akhir zaman. Yang terakhir dan yang tidak ada selepasnya.
Sayu menggamit hati dan rasa. Air liur tertelan beberapa kali. Walaupun sudah dirancang. Sudah dijangka. Tiba saat pertemuan dan ziarah itu tergamam juga. Tergamam bertemu kekasih hanya kelu lidah untuk berbicara. Tetapi bertemu Rasulullah di makamnya memberikan impak perasaan yang berlainan. Tidak dapat dibayangkan rasa kasih. Rasa sayang. Rasa mennusuk qalbu kerana ini adalah kekasih Allah paling agung. Bukan sebarang manusia. Manusia yang paling agung Allah ciptakan. Air mata sukar dibendung. Saya biarkan ia mencurah. Itulah kerinduan yang sangat lama. Bertahun-tahun dinantikan masa dan saatnya. Kerinduan orang akhir zaman. Umat yang tidak bertemu Rsulullah dan Baginda juga tidak pernah bertemu kita.
Itulah yang disabdakan Rasulullah kepada para sahabatnya. Dalam bersahaja Baginda bertanya, siapakah antara kamu yang sangat sayang kepadaku? Masing-masing mengaku merekalah yang paling sayangkan Baginda. Tersenyum Baginda sambil menggelengkan kepalanya. Tidak. Kamu semua melihat aku. Bersama aku. Menyentuh kulitku. Mendengar bicaraku. Melihat seluruh hidupku. Tetapi nanti di akhir zaman ada umatku yang kasihnya kepadaku melebihi kasihmu. Terpegun sahabat. Siapa mereka ya Rasulullah? Mereka umatku. Saudaramu. Mereka tidak pernah melihatku. Mereka tidak pernah bersamaku. Mereka tidak mendengar bicaraku. Namun mereka mencintaiku. Mereka berselawat ke atasku. Mereka memuji-mujiku. Mereka mendoakanku.
Itulah lamunan saya ketika itu. Sejarahnya yang panjang. Hidupnya yang penuh cubaan dan cabaran. Ujian-ujian yang silih berganti demi Islam. Demi Allah yang dicintainya. Demi Allah yang sentiasa dirinduinya. Dalam sendu itu saya gagahkan juga untuk mengucapkan, Assalamualaikum ya Rasulullah. Ya habibullah. Ya sofwatullah. Saya bacalah doa seperti yang dibekalkan Tabung Haji. Saya sampaikan juga kiriman salam dari saudara mara dan sahabat handai. Indahnya pengalaman itu. Saya ulangi setiap tamat solat. Dari Subuh hingga Isya’. Rasnya 40 kali itu saya lakukan.
Jemaah wanita lain ceritanya. Ruang solat mereka jauh di belakang. Kesempatan untuk mereka sangat terbatas. Jadual mereka mungkin selepas Subuh atau selepas ‘Asar. Ketika itu semua jemaah lelaki dikeluarkan dri Raudhah. Kadang-kadang saya terkejut kerana larian dan jeritan jemaaah wanita ini seperti ribut yang menderu-deru. Masing-masing mengejar Raudhah. Mengejar makam Rasulullah. Jemaah wanita mempamerkan kerinduan yang sangat dahsyat. Memang mereka berlumba lari. Yang muda biasanya lebih cepat sampai. Yang uzur berpapah sepanjang jalan dalam ruang masjid yang besar dan memanjang ke belakang itu. Puaslah mereka solat di Raudah dan menangis di sisi makam.
(Hanya ingatan, bagi yang belum pernah pergi. Semasa berdoa hendaklah menghadap qiblat dan bukan menghadap makam. Kita bukan menyembah makam tetapi kita berdoa kepada Allah. Sebab itu kita menghadap Qiblat.)
Ziarah ke makam Rasulullah tentunya meruntun perasaan. Di sini jemaah menangis. Menghembus hingus. Mengesat air mata. Mereka menahan perasaan. Bukan kerana melihat orang menangis. Tetapi perasaan itu datang sendiri. Pernyataan rindu yang sangat mendalam. Jika ada jemaah yang tidak menangis, keras sungguh hati mereka. Mungkin tidak ada perasaan halus yang menyentuh mereka. Entahlah. Masing-masing ada cara mereka sendiri untuk menyatakan kasih mereka kepada Rasulullah.
Makam yang ditemani dua bapa mertua Baginda itu akan kekal di situ hingga hari Kiamat. Abu Bakar dan Umar setia bersama Baginda. Kita yang datang sekali sekala hanya sekadar menjenguk duduknya. Kita tidak merasakan jerih peritnya perjuangan mereka. Perjuangan yang dengannya menegakkan Islam. Mengembangkannya hingga hari ini sebagai agama yang paling ramai penganutnya. Hijrah mereka yang hanya sehelai sepinggang. Paluan rebana kaun Ansar yang menyambut mereka. Tola’al badru ‘alaina. Fahtafat minhul bu........... Nanti bila kita berselawat. Bila tiba musim sambutan maulid nanti. Ingatlah peristiwa itu. Hijran Rasulullah bersama Abu Bakar dalam keadaan yang sangat sulit. Hijrah yang menyelamatkan akidah. Hijrah yang membesar dan mengagungkan Islam. Allahu Akbar.