Thursday, August 1, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Bagaimana Jika Bapa Sendiri Mengajar Anak-Anak Di Sekolah?



Adakah guru bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelajaran anak-anak? Jika begitu serahkan anak-anak kita kepada guru. Jadi anak angkat guru. Duduk di rumah guru. Biar guru yang ajar secukupnya anak-anak kita. Kalau pandai, pandailah. Jika tidak pandai memang anak kita bukan untuk jadi pandai. Kita tidak ada dakwa dakwi ke atas guru kerana guru yang beri makan anak kita. Beri pakaian. Beri tempat tinggal. Beri wang saku setiap hari. Bayarkan fitrah bila menjelang hari raya. Bila sudah tamat belajar anak itu balik ke rumah dalam keadaan sudah pandai. Sudah bekerja. Gajinya lumayan pula. Ibu dan bapa terima hasilnya sahaja. Anak-anak boleh serahkan gaji mereka kepada ibu dan bapa. Nanti ibu dan bapa tidak perlu ambil tahu tentang persekolahan anak-anak. Apatah lagi mengenai kerja rumah dan sebagainya.

Kerana itu kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menambahkan bilangan guru. Setiap guru disediakan rumah yang besar untuk menampung anak angkat. Ibu dan bapa tidak perlu keluar apa-apa belanja untuk memandaikan anak-anak. Seorang guru umpamanya memelihara kira-kira 30 orang murid bagi satu-satu sesi. Maksudnya setiap masa ada 30 orang murid. Bila ada yang tamat diganti dengan yang baru. Seperti air yang mengalir. Yang kurang dipenuhkan. Yang penuh dialirkan. Semua usaha-usaha ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa mendidik anak-anak. Kita bebankan kesemuanya kepada guru-guru.  Oleh kerana guru adalah profesional rasanya guru boleh menjalankan tugas itu. Syaratnya guru diberi imbuhan yang sewajarnya untuk menampung kos hidup, tenaga dan masa yang diluangkan. Barangkali itulah kehendak ibu bapa kerana mereka tidak berminat dengan apa yang guru lakukan di sekolah.

Ada suatu kemusykilan yang selalu saya sebut kepada pelajar-pelajar saya dahulu. Guru tidak pernah menyenaraikan sepenuhnya tugas mereka selama 24 jam sehari kepada ibu bapa. Kepada masyarakat. Kepada orang politik. Kepada polis. Kepada askar. Kepada penghulu. Kepada Pegawai Daerah. Mungkin kepada Raja dan Sultan. Juga Menteri Besar dan Ketua Menteri. Buat senarai yang sebenar. Sebarkan supaya semua orang mengetahui  bahawa kerja guru bukan hanya memaksa murid membuat kerja rumah. Berjela panjangnya tugas guru. Bertimbun kerja yang mesti disudahkan. Wajib dilakukan. Bertindan-tindan fail yang mesti diisi. Berbagai laporan yang mesti disediakan. Berbagai mesyuarat yang mesti dihadiri. Berbagai pertandingan yang mesti diurus. Tidak termasuk kelas tambahan yang mesti juga diadakan. Bukan waktu petang sahaja tetapi pada hujung minggu dan pada cuti sekolah.

Elok juga sediakan pasukan ibu bapa yang berada di sekolah setiap hari. Pastikan mereka melihat dengan jelas apa sebenarnya yang dibuat oleh guru-guru di sekolah. Jemput juga orang lain ke sekolah seberapa kerap yang boleh. Biar mereka melihat apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Adakah guru seperti yang difahami oleh orang di luar sekolah. Kerjanya hanya mengajar. Seronok. Memakai pakaian yang cantik dan kemas. Atau adakah guru adalah kuli masyarakat yang selalu dibebankan dengan tugas untuk memandaikan bakal ahli masyarakat. Tetapi selalu tidak dibantu untuk melaksanakan tugasnya dengan saksama. Kerja besar yang guru lakukan setiap masa tiada siapa yang peduli. Kesilapan kecil yang guru lakukan dibesar-besarkan. Benar juga keluhan guru. Kenapa tidak anak itu dibawa balik. Ibu bapa ajar sendiri. Tidak lagi perlu sakit hati terhadap kerja guru.

Rasanya ibu bapa tidak pernah ambil pusing dengan tugas guru. Ibu yang anaknya tidak seberapa pening kepala dengan karenah anak-anak. Di sekolah murid atau pelajar beribu-ribu orang ramainya. Jika ditugaskan 500 orang ibu dan bapa di sekolah belum tentu mereka dapat mengawal keadaan. Yang pastinya mereka tiada kemahiran untuk melaksanakan pendidikan yang bersistem. Berjadual. Lestari. Socially interactive. Melaksanakan domain-domain pemikiran yang inquisitive. Mengembangkan minda. Merencanakan perubahan. Melatih social being yang selalunya hanya guru yang faham. Kita menjadi keliru dengan sikap ibu bapa yang tidak ada sedikit kefahaman tentang kerja guru. Mereka hanya perlu membantu guru dengan cara memantau kerja rumah anak-anak mereka. Itu sahaja. Bukan susah. Pastikan kerja rumah anak mereka disiapkan untuk diperiksa. Semak setiap hari. Setiap masa. Guru marah anak bukan untuk membunuh mereka. Bukan untuk disebat dengan cemeti. Bukan untuk dihumban ke dalam perigi buta. Semuanya untuk memandaikan anak-anak.

Mungkin semasa wang BRIM RM500 disampaikan, pemimpin yang bertanggungjawab buat aku janji dengan ibu bapa. Saya berjanji akan menyemak kerja sekolah anak saya setiap hari. Tandatangan. Ada saksi dua orang. Bubuh tarikh. Jika ibu bapa jenis yang melaporkan kesilapan guru senaraihitamkan mereka supaya tidak lagi layak menerima wang BRIM tahun yang berikutnya. Pemimpin masyarakat atau mereka yang mempunyai kedudukan perlu bercakap mengenai perkara ini. Guru memang profesional. Tetapi mereka dibebankan dengan kerja-kerja yang bukan profesional. Profesionalism seperti di kementerian tidak berlaku di sekolah. Profesionalism seperti di universiti tidak berlaku di sekolah. Tuan dan puan, mengertilah bahawa guru-guru di sekolah terlalu berat beban kerjanya. Yang bukan-bukan. Yang bukan profesionalpun. Tetapi guru kena buat. Jika tidak dibuat hilang peluang naik pangkat. Tertutup peluang bergaji lebih besar. Tuan dan puan tidak tahu akan hal ini. Tidak menyemak kerja sekolah adalah satu kesalahan bersar kepada Guru Besar atau Pengetua. Kalau mampu dan dibenarkan guru-guru yang gagal menyemak kerja rumah murid-muridnya mungkin kena penampar Guru Besar atau Pengetua. Ibu dan bapa tidak tahu hal itu. Besarnya erti kerja rumah dalam Kemenerian Pelajaran.


Sudah sampai masanya guru dilindungi. Harus ditubuhkan suatu badan yang menjaga kepentingn guru. Pentadbiran tidak dapat melindungi guru. Politik tidak dapat melindungi guru. Perundangannya tidak ada. Guru, bagaimana? Fikirlah cara-cara untuk menyelamatkan diri. Untuk menjaga kepentingan ramai. Tidak wajar selamanya menjadi punching bag kepada ahli masyarakat yang selalu sangat sedikit timbang rasanya. Persatuan guru bagaimana? Kesatuan guru bagaimana? Lihat balik sajak Uthman Awang. Bukankah semua orang berguru. Bukan guru kepalang ajar. Guru dalam apa kapasitinya sekalipun telah dilalui oleh semua orang. Jarang sangat orang yang tidak berguru. Jika begitu di manan silapnya hingga ibu dan bapa tidak menginsafi tugas guru. Tidak meraikan kepayahan yang selalu ditanggung oleh guru. Bukan empati. Simpati yang sangat sedikit pun sudah mencukupi untuk meriakan hati guru yang selalu terluka.