Pada tahun 1991 dahulu saya pernah memohon dan menghadiri temuduga. Jawatan yang saya pohon ialah Pegawai Perkhidmatan Pelajar di Jabatan Penuntut Malaysia (Malaysian Student Department – MSD) di London. Setelah belajar di luar negara terasa ingin pula berkhidmat kepada pelajar lain. Temuduga saya di Kementerian Pendidikan di Damansara ketika itu. Seorang Datuk yang mengetuai satu bahagian di KPM menjadi ketua panel penemuduga. Sesi temuduganya tidak santai seperti biasa. Ada susana lasak dan agak kasar. Saya mengerti kerana sebagai pegawai MSD selalunya berhadapan dengan berbagai ragam pelajar. Tentu ada sahaja yang banyak songelnya. Biasalah elaun lambat. Pelajar dihambat resah untuk membayar sewa rumah. Mana wang untuk makan. Itu belum untuk membeli buku dan lain-lain perkakas pengajian.
Antara soalannya ialah mengapa mereka perlu memilih saya. Banyak calon lain yang hebat-hebat. Apa kelebihan saya berbanding dengan calon yang lain. Bagi yang tidak biasa dengan soalan begitu tentu terkedu sebentar. Budaya Melayu kadang-kadang tidak membenarkan kita menonjolkan diri. Takut dianggap takbur. Mungkin riak. Sedikit ujub barangkali. Namun tanpa soalan seperti itu sebenarnya penemuduga tidak tahu siapa calon yang di hadapan mereka. Yang tertulis dalam borang permohonan pasti tidak lengkap. Ada yang tersembunyi. Dalam resume juga banyak yang tertinggal. Yang dizahirkan hanya yang dikehendaki sahaja. Dalam temuduga selalunya panel akan mencungkil mana-mana yang tertinggal. Dengan provokasi banyak yang tersembunyi akan dizahirkan. Itu juga perlukan orang yang berpengalaman untuk menjadi penemuduga. Hanya mereka yang serupa dapat mencungkil apa-apa yang tersembunyi pada diri calon. Bakatnya, potensinya, falsafahnya, nilai-nilai yang dijunjung dan banyak lagi elemen diri, psikologi dan rohani yang perlju diketahui.
Temuduga peringkat rendah selalunya berkisar tentang diri. Mungkin sedikit pengalaman. Ada juga soalan berbentuk psikologi sekadar untuk menguji kesabaran. Amanah barangkali. Selebihnya yang dicari ialah bakal pekerja yang bersedia untuk diajar. Yang bersedia untuk belajar. Mereka yang terbuka mindanya. Boleh menerima perubahan. Boleh bekerja dalam sat upasukan. Yang akan mengutamakan kualiti. Yang prirotinya ialah keberhasilan organisasi. Keutamaan diri seharusnya hanya sebagai iringan. Capai objektif organisasi untuk mencapai objektif diri. Kerjaya dibina atas kesedaran itu. Menyumbang untuk menerima sumbangan. Hanya mereka yang menyumbang akan dilihat sumbangannya. Akan dinilai harga profesionnya. Pangkat, gaji dan status diusahakan. Earned. Bukan datang melayang. Bukan diberi percuma. Balasan yang diberi mestilah menggunung sebelum ada balasan untuk diri sendiri. Keutamaan adalah untuk organisasi dahulu. Kepentingan diri selalu nombornya di belakang.
Dalam temuduga peringkat tinggi lain pula keadaannya. Yang hendak dipilih adalah orang-orang yang ada pengalaman. Maka yang dicari ialah orang-orang yang boleh menyelesaikan masalah. Yang boleh membuat keputusan. Yang wawasannya melangkaui kebiasaan. Ada kelainan yang menonjol. Masalah dalam kerja berbagai bentuknya. Polanya mungkin sama tetapi penyelesaiannya berbeza-beza. Ikut keadaan dan suasana. Maka soalan-soalan temuduga bukan yang senang-senang. Selalunya ada kaitan dengan peraturan. Staut barangkali. Ada kaitan dengan prosedur. Ada kaitan dengan strategi. Ada kaitan dengan garis panduan. Ada kaitan dengan etika. Maksudnya yang dicari ialah the man. Bukan sebarang orang. Itulah juga sebabnya temuduga peringkat tinggi memakan masa yang lama. Soalannya rencam tetapi selalunya berkisar kepada hal-hal yang ada kaitan dengan working environment. Realiti kerja.
Saya diajukan dengan soalan etika. Soalan yang menjurus kepada sesuatu yang asas tetapi sangat penting kepada setia profesion.
Encik Yusof, one girl student wants to marry you. What’s your reaction?
I’m sorry. I can’t marry her.
Why?
I’m married.
She doesn’t mind about that.
Well, I can’t afford it.
She is not concerned about money. She can support herself. She only wants you.
Still, I can’t marry her.
Why? Give me one valid reason.
Benar juga soalan itu. Dalam realitinya jika itu terjadi memang jenuh saya mencari alasan untuk menolak godaan. Apatah lagi jika pelajar perempuan itu memiliki segala-galanya. Perfect 10 katakan. Baik lelaki atau wanita boleh tergoda pada bila-bila masa. Terkulat-kulat saya mencari jawapan. Apa sebenarnya jawapan yang paling sesuai. Jawapan yang tidak boleh disangkal lagi. Jawapan yang boleh mematikan semua soalan terbitan. Dalam tercari-car itu minda saya berkisar kepada pengalaman kerja. Lama saya terdiam mencari jawapan. Akhirnya saya teringat Perintah-Perintah Am (General Order – GO) Bab D. Disiplin. Yes! Kata hati saya.
Datuk, I still can’t marry her. It’s not ethical.
That’s right. Thank you.
Kita selalu bercakap tentang etika. Tentunya tidak ramai yang ambil pusing tentangnya. Bukan sesuatu yang wajib dipatuhi atau dihindari. Namun tersembunyi di sebaliknya sesuatu yang amat besar ertinya kepada semua profesional. Rujuklah ahli falsafah kuno. Yang klasik ke. Orang Barat. Yang Islam. Yang masih hidup sekarang. Socrettes umpamanya mengatakan bahawa ethics adalah sesuatu yang mengarah kepada kebahagiaan. Ia datang dari sesuatu yang cantik. Yang benar. Sesuatu yang yang menjadi idaman. Semua orang ingin mencari bahagia. Tetapi awas! Bahagia tidak boleh terlalu individualistik. Tidak boleh mengorbankan orang lain. Tidak boleh menyentuh hati dan perasaan orang lain. Yang penting ialah carilah bahagia itu walau di mana pun. Walau bagaimana pun. Tetapi kebahagiaan itu mestilah yang dilihat bahagia. Yang dirasa bahagia. Yang kehadirannya bahagia. Bahagia tidak diungkapkan. Ia akan dilihat pada raut wajah. Pada gerak geri. Pada perlakuan. Pada tutur kata. Pada keadaan yang umum. Yang boleh dilihat. Yang boleh ditatap. Yang boleh dipandang. Malah ramai orang yang boleh menghidunya. Ada pula yang meramalkannya. Orang lain akan merasakan kebahagiaan itu menjadi aura yang dikongsi bersama.
Mematuhi etika bermakna mengikut peraturan. Ada aspek perundangannya. Jika tidakpun semangat perundangannya wujud. Ada prosedur. Ada garis panduan. Ada batas-batas yang diperlukan untuk dijaga. Dihormati. Maka etika itu sesuatu yang berat. Beratnya bukan untuk dilihat tetapi untuk dihormati. Andainya etika itu tercemar maka banyak yang berlarut-larut menyusahkan diri sendiri. Menyusahkan orang lain yang berkepentingan. Etika itu untuk menjadikan sesuatu itu cantik. Cantik itu pula ada kaitan dengan seni. Nilai-nilai estetika. Cintakan keindahan. Suatu cara untuk mensucikan hati. Nafsu. Kegilaan dunia. Bekerja kerana Allah. Berkhidmat kerana Allah. Semuanya untuk maslahah umum. Untuk manusia di sekeliling. Bukan mudah untuk memahami etika. Bukan mudah pula untuk melaksanakannya. Etika itu membataskan keserakahan nafsu. Kebejatan hati. Ia dibangunkan untuk kesejahteraan bersama. Etika semangatnya murni. Ada nilai halus yang terlalu indah. Menjaganya perlukan ketulusan hati. Keikhlasan yang mendalam. Hati nurani yang bersih. Syahdu barangkali.
Dalam kes temuduga saya tadi tentulah besar konsekuannya jika saya melakukan seperti yang ditanya. Sebagai guru saya diberi amanah untuk mendidik pelajar. Untuk membina sahsiahnya. Untuk menjadikan mereka manusia yang boleh menyelesaikan masalah. Boleh membuat keputusan. Boleh menjadi pemimpin. Boleh diasah bakatnya. Segala amanah tertanggung di atas bahau saya sebagai guru. Semua pelajar adalah tanggungan amanah saya. Jika saya melanggar amanah itu berderailah semua yang saya pelihara. Semua keindahan profesionalism saya musnah. Hancur. Luluh. Secara syariahnya tiada apa-apa masalah. Halal nikah antara lelaki dan wanita ajnabi. Mereka bukan mahram. Tiada pertalian darah. Mereka mencintai antara satu sama lain. Layak berumahtangga. Tiada apa-apa halangan syarie. Dari segi etika ada masalah besar. Sebagai guru saya melanggar etika. Dianggap mencemari amanah yang ditanggungkan kepada saya. Saya menjadi tidak amanah. Saya telah dianggap m e n g a m b i l k e s e m p t a n. Kedudukan saya dianggap mempengaruhi pemikiran pelajar perempuan itu. Saya ada kekuatan untuk mempengaruhinya. Saya ada keupayaan psikologi. Mungkin ilmu. Mungkin juga kedudukan memungkinkan saya membuat desakan. Mungkin juga ada unsur ugutan untuk menggagalkannya. Kemungkinan kesemuanya tidak. Tetapi orang lain boleh membuat apa sahaja tanggapan tentang saya. Saya tidak boleh menafikan dengan apa alasan pun. Hakikatnya begitu. Niatnya mungkin tidak begitu.
Lihatlah kembali etika profesion masing-masing. Ramai juga guru umpamanya yang menikahi pelajarnya. Tetapi semuanya dilakukan selepas pelajar itu tamat pengajian. Mereka bercinta tiada siapa yang tahu. Orang hanya kata guru itu berkahwin dengan bekas pelajarnya. Atau pelajar itu berkahwin dengan bekas gurunya. Pengetua sekolah tempat saya bertugas dahulu berkahwin dengan bekas muridnya. Begitu juga seorang yang lain. Seorang rakan saya pula berkahwin dengan bekas gurunya. Ya guru perempuannya. Mereka bahagia hingga sekarang. Orang tidak berbunyi kerana perkara itu berlaku selepas kedua-duanya bukan dalam apa-apa tanggungan. Bukan dalam amanah. Bukan semasa bertugas. Seorang pengurus berkahwin dengan setiausahanya bukan masalah. Jika ada mungkin kerana masalah berpoligami. Tetapi yang namanya guru atau pendidik atau pensyarah tentulah kurang etika berkahwin dengan pelajar. Saya jadi tersentap bila ada perkara sebegitu. Sangat tidak manis. Tidak menghormati profesion sendiri. Melanggar etika. Maka tercemarlah profesion yang ada kena mengena dengan pendidikan. Untuk mendidik mestilah ke arah yang baik. Bukan untuk kepentingan diri.
Bagi yang belum elakkanlah. Jauhilah. Banyak cara lain. Banyak orang lain. Bukan hingga melanggar etika. Tidak amanah begitu. Bagi yang sudah teruskan. Hendak berundur tentu tidak manis juga. Apatah lagi jika sudah bertunang. Atau sudah bernikah kahwin. Apatah lagi sudah beranak pinak. Kasihanilah diri sendiri. Etika itu penting. Ia membantu ke jalan indah. Kebahagian abadi.