Tuesday, June 8, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Kedua Puluh Enam: Bab Ketujuh

Duduk di Ipoh dulu banyak masa yang membahagiakan. Anak-anak sedang membesar. Ramai pula bilangannya. Waktu saya pindah ke Batu Pahat pada tahun 1990 sudah ada lapan orang. Yang sulung ketika itu sudah berada di USA. Pada tahun 1991 yang kedua pula menyusul.


Menjelang tahun 1990 gaji saya baru sekitar RM2k sahaja. Kebetulan rumah percuma. Bayar kereta dengan ongkos menyekolahkan anak sahaja. Isteri saya tidak pandai memandu. Sayalah yang tidak duduk diam dengan urusan anak. Pagi hantar ke sekolah. Petang hantar ke sekolah agama di masjid Rapat Setia. Alhamdulillah, kedudukan PUO agak central dan strategik. Tidak terlalu jauh dari bandar dan banyak pula kemudahan di sekeliling tepat tinggal. Selain dari pusat bandar, kemudahan lain banyak di Taman Cempaka. Dari pagi hinggalah ke malam ada sahaja keperluan yang boleh dibeli dan diperolehi.


Buah kegemaran saya adalah jambu batu. Pada waktu petang (pasar petang/malam) buah jambu banyak dijual di Taman Cempaka. Oleh kerana anak ramai tidak cukup sekilo atau dua. Biasalah saya beli kira-kira tiga kilo. Sampai di rumah saya belah, buang biji, potong membujur tipis-tipis. Gaul dengan asam boi yang dikisar sendiri. Lazimnya yang paling sedap ialah asam boi putih yang kecil saiznya. Yang bersaiz besar atau berwarna lain tidak sedap. Ada masam dan ada pahit sedikit-sedikit. Tetapi yang bersaiz kecil menjadikan jambu batu tu lemak dan manis. Tidak perlu ditambah gula. Jika asam yang sudah dikisar, lazimnya ditambah gula. Rasanya memang tidak sedap. Sekarang ini pula orang campurkan buah jambu dengan kulit jeruk oren. Boleh tahan juga rasanya. Bagi anak-anak saya tiga kilo jambu hanya beberapa minit sahaja habis dicekau berbilang tangan anak-anak. Saya masih kerap membuat menu jambu ini bila ada kenduri kendara di rumah atau di rumah ibu bapa mertua saya atau di rumah ipar-ipar saya. 6 hingga 10 kg macam air lajunya. Seronk mereka makan. Buat tidak sesusah mana. Yang rumit mengikis isi asam boi itu sahaja. Jika ada yang boleh mengikisnya jambu berasam itu memang menjadi menu yang menyelerakan. Siap tapau nanti.


Nikmat benar ramai anak. Riuhnya, kalutnya, letihnya, seronoknya bersama. Bila mereka sudah dewasa hanya sekali sekala suasana itu datang kembali. Itupun hanya sekejap. Beberapa hari. Selepas itu hidup kembali tenang tetapi sunyi. Bila dirakam semula, bila dinukil semula, bila ditulis semula, terpancarlah gambaran-gambaran masa lalu yang tidak pernah sunyi dengan karenah anak-anak. Itulah sebabnya di mata dan di hati ibu bapa, anak-anak kekal tidak membesar. Masih diingat waktu bayinya. Masa kencing dan beraknya. Masa memandikan dan mendodoikannya. Masa merangkak, bertatih dan berlari. Masa tawa dan tangisnya. Kalaulah, kalaulah boleh kembali ke masa lalu itu. Kembali merasakan nikmat bersantai bersama anak-anak yang menjadi penghibur hati. Menjadi raja di hati. Menjadi penawar duka. Pengubat letih lesu. Meriangkan suasana. Tawanya hiburan. Tangisnya hiburan. Keletahnya hiburan. Mainnya hiburan. Kalaulah masa boleh berhenti dan berputar semula!


Itu belum cerita pisang goreng. Saya memang suka goreng sendiri. Tepungnya saya lebih suka banyakkan tepung beras. Bubuh garam sedikit supaya ada rasa masin-masin. Bila digoreng tepungnya menjadi keras. Rangup jika cukup masak. Kalau sebesen besar beberapa minit sahaja sudah selesai. Bila ramai semuanya sedap. Jika isteri saya yang memasak mereka tidak bercakap tentang sedapnya tetapi tidak berhenti-henti makan. Mengulang sahaja bila ada kesempatan. Bila saya yang memasak, mereka makan sedap juga. Ada kelainan. Lain itulah yang jadi sedap. Oleh itu bapa-bapa, belajarlah memasak. Tukar selera anak-anak. Isteripun kadang-kadang keletihan. Jika suami memasak terbuka juga selera isteri. Bukan sedap masakannya. Kelainannya yang menukar selera.


Cerita anak ramai hanya sementara sahaja. Sibuknya hanya sementara sahaja. Kebetulan anak-anak saya bersekolah di asrama bila sampai di peringkat menengah. Yang sulung di MRSM Kulim. Yang kedua di Kolej Tungku Kurshiah, Seremban. Yang ketiga SMT Bukit Katil, Melaka. Yang keempat di SMAP, Kajang. Yang Kelima di SMAP, Labu. Yang keenam di MAAHAD Muar dan KISAS Klang. Yang Ketujuh sekejap di MAAHAD Muar. Yang kelapan SMKA Segamat dan KISAS Klang. Yang kesembilan di MAAHAD Muar.


Bila anak-anak mula ke asrama, itu bermakna saat-saat perpisahan yang akan memanjang. Dari sekolah pulangnya hanya waktu cuti atau hujung minggu. Bila sampai di IPT pulangnya semakin jarang. Bila bekerja semakin sibuk dengan kerjaya. Bila berumahtangga lagilah payah pulangnya. Kebersamaan dengan anak-anak sebenarnya sehingga mereka di tahun enam sekolah rendah. Ajarlah mereka. Didiklah mereka. Bimbinglah mereka. Asuhlah mereka. Tuntunlah mereka. Apabila mereka di sekolah menengah kesempatan itu mungkin sudah tidak ada lagi. Apabila mereka keluar dari rumah mereka menjadi milik sekolah. Milik guru. Milik rakan-rakannya. Milik negara. Mereka menjadi milik alam. Kita hanya ada remote control. Kita rasa susahnya. Kita rasa senangnya. Kita rasa sakitnya. Kita rasa sihatnya. Kita rasa isi hatinya. Kita rasa rintihannya. Hanya dari jauh. Begitulah hati ibu dan bapa. Ada rasa dan geraknya. Ikatannya halus merentas udara, gelombang dan gerak hati.


Sekolah anak-anak saya di SJK Raja Perempuan. Letaknya di Jalan Chung Thye Phin, Ipoh. Lima puteri yang pertama di sekolah itu. Yang keenam bermula di Johor Bahru. Yang ketujuh, lapan dan kesembilan di Batu Pahat. Sebagai ibu bapa kita hendaklah terlibat dengan sekolah. Kenal guru-guru yang mengajar anak kita. Berjumpa dengan mereka untuk bertanya khabar. Ambil tahu hal anak di sekolah. Baik dan buruknya. Rajin dan malasnya. Sihat dan sakitnya. Cemerlang dan masalahnya. Belajar atau tidaknya. Kualiti atau sambil lewanya. Hubungan baik kita dengan guru merangsang suaya guru itu memberi perhatian istimewa anak kita. Guru itu kenal kita. Dia tahu kita. Kita ada hubungan peribadi dengannya. Maka perhatiannya kepada anak kita akan menjadi lebih berat, lebih istimewa, lebih bertanggungjawab. Sewaktu aya menuntut di USA dulu, perkara sama saya lakukan. Saya kerap ke sekolah bertanya khabar dengan guru yang mengajar anak saya. Hingga sewaktu untuk berpisah ada guru perempuan yang sempat mencium pipi saya. Apa nak buat adat mereka bila sudah mesra. Tidak dijangkapun.


Begitulah sebahagian dari proses mendidik anak. Sebagai ibu bapa kita tidak boleh hanya berharap kepada guru. Masa untuk guru berinteraksi dan memantau anak kita sangat-sangat terhad. Memang dia di sekolah. Tetapi setiap orang guru ada tugas dan kelasnya sendiri. Seorang guru mengendalikan 40-50 orang pelajar dalam masa 1 atau 2 waktu. Guru yang lain begitu juga. Hakikatnya tiada siapa yang benar-benar memantau anak kita di sekolah. Anak kita berada di sekolah sudah cukup baik. Anak kita berada di kelasnya sudah cukup mendamaikan. Anak kita mengikuti pelajarannya, membuat kerja rumah dan mengambil bahagian dalam kelasnya adalah sesuatu yang membahagiakan. Itulah proses memandaikannya. Tetapi peranan sebenar yang perlu dimainkan ialah kita sebagai ibu bapanya.


Kita bersamanya dari saat dia kembali ke rumah hinggalah dia ke sekolah semula pada keesokan harinya. Di sekolah hanya kira-kira 7 jam. 17 jam lagi dia bersama kita. Oleh yang demikian jika anak kita menjadi divergen, terlibat dengan salahlaku, jangan cepat menuding jari kepada guru. Terpinga-pinga jadinya guru itu. Tidak mungkin setiap guru mengawasi setiap orang muridnya. Kita tidak menggaji profesional untuk menjaga anak-anak kita di sekolah. Bagi ibu bapa yang mampu barangkali boleh diusahakan supaya anak-anak mereka diawasi oleh pengawal peribadi masing-masing. Tugas guru mendidik, mengajar, membimbing, mengasuh, menunjuk jalan dan cara, memberi panduan dan memotivasikan. Apabila guru keluar dari kelas guru itu ada tugas lain yang perlu diselesaikan. Tugas pentadbiran dan pengurusan. Janganlah kita bebankan guru dengan hal-hal yang sepatutnya kita laksanakan sebagai ibu bapa.


Keselamatannya adalah tangunggjawab kita. Guru mengajar. Guru disiplinpun mengajar juga. Bukan untuk menjamin keselamatan anak kita setiap masa. Yang dilakukan ialah keselamatan umum. Maslahah umum. Dalam masa yang singkat di sekolah kita tidak boleh mengharapkan hanya guru sahaja yang memandaikan anak kita. Di rumah, bagaimana peranan kita? Tanggungjawab kita? Bagi ibu bhapa yang membayar cukai pendapatan mungkin sebahagian kecil gaji guru hasil dari wangnya. Berapa ringgit? Mungkin sekadar sepuluh sen atau dua. Bagi ibu bapa yang tidak membayar cukai di manakah sumbangannya? Oleh itu berpada-padalah apabila tidak berkenan dengan guru. Apabila tidak suka dengan guru. Apabila ada yang tidak kena dengan guru. Dia derkhidmat. Kebetulan dia berminat menjadi guru. Kita pula lepaskan semua harapan pada guru. Tidak adil jadinya nanti. kita mainkanlah peranan masing-masing. Masing-masing lengkap melengkapi.


Buku teks sahaja tidak mencukupi. Lembaran kerja sahaja tidak mencukupi. Buku kerja sahaja tidak mencukupi. Anak-anak kita perlukan sentuhan kita. Sentuhan peribadi dari kita. Sentuhan rasa, pengharapan dan hasrat hati ibu bapa. Kita memang tidak tahu apa yang anak kita pelajar. Kita tidak belajar semua itu. Anak kita adalah makhluk yang kita lahirkan tetapi hidupnya menjadi makhluk yang advanced, technology oriented, worldview outlook, international flavour dan global in nature. Ibu bapa tidak boleh berikan semuanya apa yang mereka mahu. Tidak pula boleh berikan apa yang kita ada sahaja. Yang kita ada sudah tidak relevan kepada anak-anak.


Di sinilah, di sinilah peranan kita harus berubah. Di sinilah kita menjadi penggerak perubahan. Penggerak paradigma. Namun semuanya dalam kawalan kita. Agamanya, sosialnya, budayanya, amalan hidupnya, norma dan nilainya. Asas nilai kekeluargaan itu mesti dipelihara. Ilmunya titokok tambah. Teknologinya diberi perhatian. Worldviewnya dipertingkatkan. Pandangannya ke hadapan. Visinya jauh merentas zaman. Misinya menjejak keagungan Allah. Menjadi hamba yang salleh. Diharap matinya syahid.


Sediakanlah apa sahaja yang perlu untuk anak membangunkan mindanya. Inteleknya. Keterbukaan pemikirannya. Jadikan mereka penggerak ummah. Penjana jihad walaupun hanya dalam ilmu pengetahuan sahaja. Janganlah berkira membeli buku dan bahan bacaan yang boleh membantu anak-anak untuk pergi lebih jauh dalam akademiknya. Jika tidak berkeupayaan menyediakan sebuah perpustakaan khusus di rumah, usahakan suatu ruang. Jika tidak boleh mungkin ada perpustakaan umum di mana-mana.

Di sinilah sebenarnya masyarakat sepatutnya peka dengan keperluan ummah. Anak-anak ummah. Rumah orang Melayu Islam banyak yang kecil. Anak mereka ramai. Rumah bukan tempat belajar. Rumah hanya untuk tempat buang air, menyimpan pakaian, untuk mandi, menukar pakaian. Untuk tidur. Untuk belajar memamg langsung tidak kondusif. Sempitnya. Riuhnya. Baunya. Sistemnya. Perpustakaan kominiti sangat-sangat diperlukan. Masjid dan surau perlu memikirkan hal ini. Di premis keduanya perlu ada perpustakaan. Anak-anak kariah boleh mengulangkaji. Boleh merujuk. Boleh buat kerja rumah. Jika tidak, di kawsan perumahan perlu ada perpustakaan umum. Fikirkanlah anak-anak. Fikirkan masa hadapan mereka. Fikirkanlah bangsa dan agama mereka. Kelangsungan ummah.

Itulah serba sedikit pengalamann saya mendidik anak-anak. Saya kongsikan buah fikiran saya. Untuk anak bangsa saya. Mudah-mudahan ada manfaatnya. InsyaAllah.