Saturday, August 11, 2012

Rumah Melayu: Antara Tradisi Dan Praktikalitinya


Di Nusantara Melayu rumah-rumah lazimnya dibina di atas tiang-tiang yang tinggi. Orang dahulu tiada alat pengukur yang pasti. Tinggi selalunya diukur paras orang dewasa lelaki. Maka ketinggian rumah biasanya lebih tinggi dari orang dewasa lelaki. Yang pastinya rumah tinggi bebas dari banjir. Di musim panas dan kering rumah-rumah sebegitu kelihatan tinggi. Tangga yang dipanjat dan dituruni seperti gayat. Namun apabila musim tengkujuh tiba, rumah yang tinggi itu ditenggelami air. Kadang-kadang separas anak tangga yang teratas. Tangga sudah tidak berguna lagi. Sampan menjadi pengangkutan utama. Sampan itu untuk menjala. Mengangkut bekalan. Bergerak dari satu detinasi ke satu destinasi yang lain. Pada tempat-tempat tertentu aliran air tersangat deras. Pada tempat-tempat yang lain air mengalir perlahan. Mungkin juga hanya bergenang lesu. Banjir berlarutan berminggu-minggu jika tidak berbulan lamanya. Kesan banjir yang selalunya mengesankan. Menjijikkan. Memualkan. Bau dan pemandangan yang bercampur baur. Pengalaman yang jarang berlaku kecuali di tempat-tempat yang masih terdedah kepada banjir.

Tiang-tiang rumah semakin lama semakin pendek. Rumah pula semakin rendah. Rumah-rumah kayu menjadi separuh konkrit. Akhirnya rumah diturunkan sama paras dengan tanah. Jika kita perhatikan terdapat perubahan dalam nilai hidup. Falsafah tentang rumah turut berubah. Rumah bukan lagi melindungi dari banjir. Bukan juga untuk melindingi dari ancaman haiwan liar bagi rumah-rumah yang berhampiran kawasan hutan. Bahan-bahan binaan semakin rencam. Pembangunan negara telah dapat mengurus sistem saliran dan pengairan. Banjir semakin dapat diurus dengan berkesan. Masih berlaku banjir di sana sini tetapi kekerapannya semakin sangat  berkurangan. Impaknya juga tidak lagi mendebarkan. Tidak lagi banyak mengancam. Berbagai langkah diambil untuk mengurangkan kesan negatif banjir. Pandangan orang Melayu tentang hal ini ialah kelegaan. Malangnya ianya menjadikan datangnya rasa leka dengan ancaman yang maasih boleh datang pada bila-bila masa. Negara Tropika seperti Malaysia tetap berlaku banjir. Allah yang menentukannya.

Rumah Melayu dahulu yang bertiang tinggi selalunya dialas dengan ompak. Letaknya di bawah tiang. Menjadi asas rumah. Kadang-kadang timbul kelihatan pada asas tiang. Kadang-kadang tenggelam jika tiang itu separuh konkrit. Yang lazim kelihatan ialah ompak yang bersegi empat. Berbentuk dua lapis. Asasnya lebih besar dari saiz alas yang sebenar. Orang Melayu suka membuat rumah di kawasan lembah. Budaya agaknya. Tanahnya lembut. Maka ompaknya perlu besar supaya dapat menyerap berat rumah. Banyak juga rumah dahulu yang ompaknya adalah tempayan kecil yang diterbalikkan. Tempayan kecil diistilahkan sebagai guri. Selain untuk menadah dan menyimpan air, guri digunakan sebagai ompak. Ditanam di dalam tanah. Separas permukaan tanah. Jika banyak tiang maka banyaklah guri yang diperlukan. Guri-guri ini sekarang harganya beratus ringgit. Banyak untuk hiasan, lanskap, di muzium dan sebagainya. Kira antik. Mungkin juga vintage.  Apabila bekalan guri semakin berkurangan dan apabila konkrit semakin meluas orang mula menggunakan ompak konkrit. Lagipun saiz dan bentuknya praktikal. Jika tidakpun lebih saintifik.

Lantai yang tinggi adalah suatu kebiasaan. Tetapi maaflah kadang-kadang menjadi sesuatu yang negatif kepada orang sekarang. Maaf sekali lagi kerana orang dahulu tidak begitu memikirkan tentang lanskap, kebersihan atau keceriaan. Rumah lebih kepada untuk perlindungan dari panas dan hujan. Juga untuk keselamatan dari haiwan liar dan buas. Ada hal yang kurang manis tentang rumah tinggi dahulu kala ini. Lantainya dipasang jarang-jarang. Jika lantai batang pinang lagilah jarang. Semakin kering semakin bertambah jarangnya. Perenggan ini agak sedikit tidak enak isinya untuk diceritakan. Apabila anak-anak buang air (besar atau kecil) senang sahaja urusannya. Najis hanya dibasuh dan pasti jatuh ke tanah di bawah. Bawah rumah jadi kotor? Tidak juga. Biasanya orang kampung memelihara ayam. Ayam pula makan apa sahaja yang boleh dimakan. Semua urusan bawah rumah beres. Kadang-kadang berebut-berebut ayam makan. Sekelip mata bawah rumah menjadi bersih kembali. Itu belum cerita muntah, sisa makanan dan apa sahaja yang boleh jatuh dari atas rumah. Tidak ada yang mengotorkan bawah rumah. Hal itu tidak berlaku lagi sekarang. Rumah sudah di paras tanah. Ayam sudah tidak banyak dipelihara.

Orang dahulu membuat rumah tiada pertimbangan saintifik. Orang Cina barangkali ada feng shui mereka. Orang Melayu ikut kebiasaan. Amalan ramai. Walau bagaimanapun yang selalu dilihat ialah tiada pintu rumah yang mengadap jalan masuk. Pintu rumah dilihat di sisi rumah. Di kiri atau di kanan. Saya amati bahawa pintu-pintu rumah lazimnhya mengadap matahari terbit. Banyak impaknya. Pada waktu petang ianya terlindung dari panas. Ada ruang legar di luar pintu. Ahli keluarna bersantai di situ. Redup petang yang menyamankan. Sementara menunggu waktu Maghrib. Mungkin juga diramaikan dengan jiran tetangga. Silaturrahim yang menebal di kalangan  sesama mereka. Pintu rumah di bahagian sisi dapat menghindarkan debu dan sampah apabila diterbangkan angin yang menerjah masuk dari arah jalan masuk. Rumah dahulu mungkin di tepi jalan. Tetapi kira-kira 100 meter dari jalan masuk. Apabila angin kuat bertiup debu dan sampah dibawa sama menuju dinding rumah. Jika pintu mengadap jalan maka kesemuanya masuk ke dalam rumah.

Kita selalu leka tehtan peranan rumah. Kita hanya ingat tentang keselamatan dan perlindungan. Cuba renungkan lagi. Sebagai orang Islam rumah kita berbeza dengan rumah orang lain. Rumah adalah tempat kita beribadat. Seluruh ruang di rumah kita adalah tempat ibadat. Hatta di bilik air kit abukan hanya membuang najis. Perbuatan itu kita lakukan kerana Allah. Kita mandi sunat dan wajib kerana Allah. Kita berwuduk keranan Allah. Sebab itu kebersihan adalah sebahagian dari iman. Maka apatah lagi ruang-ruang lain dalam rumah. Setiap sudutnya adalah tempat ibadat. Bukan hanya rumah yang nenyediakan ruang khas sahaja bahkan di mana-mana boleh melaksanakan ibadat. Di ruang tamu. Di ruang makan. Di bilik-bilik. Di teres. Di beranda. Di ana sahaja ada ruang. Dalam hal ini orang Islam sewajarnya tidak mengkompromi tentang status kebersihan, kesucian dan halal rumahnya. Lantainya dilalui dengan bersih dan suci. Dindingnya bersih dan suci. Karpetnya bersih dan suci. Tikarnya bersih dan suci. Sajadahnya bersih dan suci. Anak cucu wajib diasuh untuk mengekalkan kebersihan dan kescucian rumah. Kit aada masalah di sini. Apabila rumah bertiang tinggi menjadi rendah separas tanah amalan kebersihan seolah-olahnya terhapus.

Pada zaman dahulu di kaki tangga terdapat sebuah tempayan. Besar atau kecil bukan isu. Ada tempayan yang berisi air. Rata-rata orang kampung berkaki ayam. Sebelum naik ke rumah mereka membasuh kaki dahulu. Manalah tahu ada najis. Setidak-tidaknya comot dan jika tidak dibasuh bersih boleh mengotorkan lantai rumah. Mungkin terpalit pula pada pakaian. Sekarang tempayan sebegitu tidak ada lagi. Paip air juga tidak berhampian dengan tangga. Andaiannya semua orang memakai alas kaki. Benar! Yang datang bertandang memakai kasut. Yang bertamu berselipar. Yang berkunjung bercapal. Malangnya orang yang dari dalam rumah memijak tanah tanpa alas kaki. Ramai orang mengambil mudah. Keluar rumah pijak tanah. Masuk semula memijak karpet. Memijak lantai. Memijak tikar. Sekali tidak nampak kotornya. Tidak kelihatan najisnya. Tidak menjejaskan kebersihan dan kesuciannya.  Saya biasa ke rumah orang yang apabila masuk sahaja kaki terasa kasarnya lantai. Kesatnya karpet. Tapak kaki merasakan kotor dan ketidakselesaan memijaknya.

Anak-anak sewajarnya dilatih untuk memakai selipar apabila memijak tanah. Keluar sahaja dari pintu rumah cari dulu selipar. Gunakan selipar itu apabila keluar dari kawasan rumah. Jangan pijak tanah atau rumput tanpa membasuhnya sebelum masuk ke dalam rumah. Ibu dan bapa hendaklah mempastikan kepatuhan ini dituruti. Jangan pandang ringan. Saya ingatkan sekali lagi, rumah adalah tempat ibadat. Kerana itu rumah-rumah kini harus mengambil semangat ompak. Rumah konkrit seperti sekarang tidak perlu ompak. Tidak ada keperluannya lagi. Yang boleh dilakukan ialah meninggikan asas rumah. Apabila siap dibina ada anak tangga yang menuju ke pintu besar. Begitu juga ke pintu sisi atau pintu belakang. Seluruh rumah berada di atas ompak yang besar. Lebih tinggi dari tanah. Sekurang-kurangnya setengah meter jika tidak semeter tingginya. Ia mengelakkan orang dari tidak memakai kasut. Ia dapat juga mengelakkan debu dan sampah berterbangan ke dalam rumah. Itulah sebabnya rumah bukan sekadar untuk berlindung. Lebihkan peranan ibadatnya supaya rumah bukan pusara yang mati dan sunyi.



Ompak rumah lama berbentuk begini. Bahagian yang besar benar-benar di atas tanah. Yang kecil sesuai dengan besar tiang. Jika tanah tidak rata ketinggiannya boleh diubahsuai. Orang kampung bergotong royong membina rumah. Membetulkan rumah begitu juga. Malah mereka kadang-kadang memindahkan rumah dari satu tapak ke tapak yang lain. Mereka pikul ramai-ramai atau gerakkan menggunakan landasan kayu yang bersambung-sambung. Rumah dahulu tidak besar. Sebab itu mudah memindahkannya.



Tempayan ini dinamakan guri secara spesifik. Tidak besar dan tidak kecil. Bahagian bawahnya cukup untuk mengalas tiang. Guri yang terbalik dapat mengampu berat rumah pada tiang itu. Lagipun guri itu kembung di bahagian tengahnya. Berat rumah sukar memperosokkannya ke dalam tanah. lagipun rongga dalam guri menjadi pengampu berangin. Seperti sistem haidrolik.


Antara pasu ini saya beli dari seseorang yang kebetulan bangunan rumahnya tidak digunakan lagi. Guri ini digali dari dalam tanah. Rasanya saya bayar dengan RM10 sahaja. Nilainya sekarang mungkin RM300. Sudah sukar diperolehi. Hanya orang tua yang sangat tua sahaja menyimpan guri-guri seperti ini. Khususnya mereka yang tinggal di pinggir sungai.


Ini ompak moden. Bukan mengampu berat rumah. Sekadar hiasan sahaja. Ambil sempena warisan lama. Dua tingkat pula. bersalut dengan jubin. Bukan dia tas tanah tetapi di atas bata.