Saturday, February 9, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Ziarah Laut Mati

Walaupun sejarahnya mengerikan orang Jordan menganggap Lalu Mati seperti laut biasa. Papan tanda ini menggambarkan terujanya mereka ke pantai.

Antara lanskap di pantai Laut Mati. Yang berbalam di kejauhan ialah bumi Palestin yang sentiasa duka lara menunggu datangnya kemenangan yang Allah janjikan. InsyaAllah.

Jam 9.00 pagi 4 Januari 2013 kami ke Laut Mati. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam. Perjalanan kami lancar dan mengujakan. Tentu sahaja kerana lanskap negara Jordan yang berbeza dengan Malaysia. Jika Malaysia banyak hijaunya, di sini bergunung-ganang. Laut Mati rasanya bukan asing kepada rakyat Malaysia. Ramai yang melancong ke sini atas beberapa sebab. Hanya kerana ziarah atau kerana melihat sendiri tanda-tanda hukum Allah ke atas kaum yang ingkar. Yang derhaka. Yang akhirnya dilaknat dan dihancur-leburkan oleh Allah. Penghuninya berserta tanahair mereka dibenamkan ke dalam bumi. Tamatlah riwayat suatu kaum yang mendustai nabinya iaitu Nabi Luth a.s. Kisah yang sezaman dengan Nabi Syuib a.s., Nabi Musa a.s. dan  Nabi Ibrahim a.s. ini diabadikan melalui wahyu Allah. Bacalah al-Quran. Nescaya kita akan menemui ayat-ayat yang menceritakan kebobrokan kaum Luth. Mereka melanggar tabii kemanusiaan yang dibenarkan Allah.
                       Sejarah merakamkan bahawa ada peperangan antara tentera Farsi dengan tentera Rom. Tempat itu dinisbahkan dengan sebuah tempat yang rendah di bumi. Kajian menunjukkan bahawa peperangan itu di kawasan Laut Mati. Tentera Farsi telah menang dalam peperangan itu. Sukar membayangkan bagaimana sebuah laut boleh mati. Itulah nama sebuah laut yang berair tetapi dinamakan mati. Dead Sea. Bahru al-Mayyyit kata orang Arab. Laut Mati berada 400 meter di bawah paras laut. Bagi orang tua di Malaysia 400 meter sukar dibayangkan. Ikut ukuran lama sama dengan 1,300 kaki di bawah paras laut. Maksudnya sekiranya jika laut biasa diletakkan bersebelahan Laut Mati, laut biasa berada 1,300 kaki atau 400 meter lebih tinggi dari aras Laut Mati. Laut biasa tinggi dan Laut Mati rendah jauh di bawah. Dunia mengiktiraf bahawa Laut Mati adalah kawasan paling rendah di muka bumi.
Lautnya mati kerana beberapa sebab. Ke laut ini mengalir beberapa sungai kecil. Tetapi air Laut Mati tidak keluar ke mana-mana. Tidak bercantum dengan laut lain. Atau tasik lain. Kerana itu Laut Mati menjadi terlalu masin. High salinity.  Penuh dengan potassium. Memang tidak ada siapa yang sanggup hatta untuk berkumur-kumur sekalipun. Tidak ada hidupan air yang dapat hidup di dalam airnya. Ianya hanya dapat dilihat. Disentuh. Diinsafi akan kejadiannya. Diambil iktibar akan hukuman yang Allah timpakan kepada kaum Luth yang ingkar. Panjang laut ini melebihi 300km dan lebarnya kira-kira 20km. Boleh bayangkan sejauh dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.  Maknanya kawasan kependudukan kaum Luth itu sangat luas. Itupun mengikut ahli tafsir bukan kesemua penempatan kaum Luth yang dibenamkan ke dalam bumi. Ada bahagian yang Allah selamatkan. Sebelum sampai di Laut Mati kami singgah di makam Nabi Syuib a.s. InsyaAllah dalam kesempatan lain akan saya ceritakan. Insafilah hukum Allah ke atas siapa sahaja yang mendustai hukumNya.
Di luar bandaraya Amman, bas yang kami naiki mula menuruni gunung-ganang. Unutk turun sedalam 400 meter bukan terus meluncur seperti orang meluncur salji. Jalanraya yang dilalui berbelit-belit menelusuri lereng-lereng yang curam. Alhamdulillah jalanraya baru sudah dibina. Agak lebar dan tidak mengerikan. Di kanan dan kiri jalan memang gunung-ganang sahaja. Terdapat kampung atau sebuah dua rumah di lereng-lerengnya. Amman dan Laut Mati seperti dua dunia yang terasing. Dalam sebuah negara tetapi suhunya jauh berbeza.  Dari rumah kami memakai berlapis baju dan memakai jeket tebal seperti selalu. Dalam bas kami buka baju satu persatu. Di Laut Mati suhunya melebihi 20°C. Panas dan berpeluh. Kali pertama berpeluh setelah berada di Jordan selama tiga minggu. Laut Mati mengingatkan saya kepada tanahair. Ada pokok yang saya temui sama dengan pokok yang biasa kita temui di Malaysia.
Di kanan dan kiri kawasan ke Laut Mati terdapat tanah yang subur. Nak tahu apa yang saya nampak. Sudah tentu sayur-sayuran. Itu biasa. Khemah orang badwi. Biasa. Pokok. Biasa. Saya dapati banyak ladang pisang di kawasan Laut Mati. Pokok pisang seperti di Malaysia. Atau Indonesia atau Filifina atau Thailand atau di Amerika Tengah atau di Utara Australia. Oleh kerana masih lagi dalam winter ada tanda-tanda pokok pisang terkesan dengan suhu rendah. Ada daunnya yang kuning dan kering. Bas kami berpapasan dengan lori-lori yang mengangkut buah pisang. Bertandan-tandan pisan tua diangkut untuk dipasarkan ke seluruh Jordan. Namun pisang di sini tidak cukup untuk rakyat Jordan. Pisang diimport dari Lebnon. Maknanya pisang bukan hak milik negara seperti Malaysia. Di negara-negara Arab sudah banyak pisang. Selain dari pisang, jagung cukup banyak ditanam. Begitu juga buah-buahan lain.
Yang paling mengujakan ialah banyaknya tanaman sayur-sayuran. Kobis dan bunga kobis sangat banyaknya. Murah, segar dan besar-besar. Dalam perjalanan pulang kami berhenti di tempat orang melambakkan sayur. Bunga kobis yang lebih besar dari kepala orang dewasa dijual dengan harga sedinar untuk empat biji. Sebiji kira-kira RM1.10. Aduh murahnya! Saya beli dua biji. Bukan bunganya sahaja. Dengan daun-daunya sekali. Ramai yang tidak tahu bahawa daunnya juga boleh dibuat sayur. Tumis boleh. Gulaipun boleh. Pendek kata boleh kecur sekadar menyebutnya sahaja. Di Malaysia kita beli bunga kobis yang entah berapa kali diproses. Jika kita perasaan setelah beberapa ketika akan timbul tanda hitam kehitaman. Nampak tidak cantik. Itu belum layu dan tidak menyegarkan. Mahalnya belum dikira lagi. Yang kami beli semalam tiada langsung cacat celanya. Saiznya sedikit berbeza, ada yang lebih besar sedikit. Ada yang lebih kecil sedikit. Harganya tetap sama. Sebiji suku dinar. Tomato sekotak baru 1.5JD (Jordan Dinar). Jenuh menghabiskanya. Begitu jug aoren, mandarin dan kentang. Semuanya murah belaka. Laut Mati hanya lautnya. Manusia yang tinggal di sekeliling kawsan itu hidup berbudi dengan tanah yang subur. Siapa yang ada tanah, mewah dengan makanan. Yang bekerja di tanah-tanah itupun kenyang dengan makanan.
Yang dilarang ialah mematikan hati. Tumpul menghadapi keperluan akhirat. Banyak iktibar yang Allah perlihat dan perdengarkan kepada kita tetapi jika tidak diambil pengajarannya maka banyak yang akhirnya menyulitkan hidup kita di dunia dan akhirat. InsyaAllah kita bukan orang-orang jenis itu. Mengingat mati antara tuntutan agama ke atas kita.

Salam Dari Amman Jordan: Sesejuk Winter Yang Sejuk

Tiada siapa yang tahu sejuknya winter hingga seseorang itu mengalaminya. Berada dalam suasananya. Menjejak winter itu dari awal hingga akhirnya. Kita di Malaysia hanya memaklumi tulisan yang bunyinya sejuk. Atau dingin. Dalam pada itu kita tahu sejuknya ais. Minum ABC. Berada dalam bilik yang disejukkan udaranya. Hawanya. Maaf hawa adalah bahasa Arab yang maksudnya sama. ﺣﻮﺍﺀ. Istilah sejuk di mana-mana sekalipun adalah sesuatu yang menyulitkan. Banyak kekangan jika tidak masalah yang dihadapi. Jika musim panas banyak nikmatnya musim sejuk menuntut manusia beringat akan Yang Maha Khaliq. Dia yang menjadikan. Dia yang memberi nikmat kepada manusia walaupun pada perkiraan manusia ditanggap berbeza. Syukur itu berbagai bentuknya.
Cuba tuan pergi ke dapur. Buka peti ais. Buka yang atas memang ruang pembekuan. Ikan beku. Daging beku. Ayam beku. Udang dan sotong beku. Kita buat ais untuk diminum bercampur oren, teh atau Milo. Nikmat sungguh. Makanan tidak perlu dibeli setiap hari. Sukarnya mencari parkir yang jarang kosong. Semua orang hendak segera membeli keperluan masing-masing. Konsep kita pula suka pasar yang terbuka. Tempat tumpuan orang ramai. Sibuk. Hiruk pikuk. Basah dan becak. Sukar berjalan. Berbagai lagi yang menyulitkan. Kita tetap suka juga ke pasar terbuka itu. Alternatif banyak. Pasaraya banyak. Itulah namanya tradisi. Sesuatu yang lekat di hati. Pada perasaan. Diulang-ulang walaupun menyulitkan. Bila ada peti ais tabiat mengulang ke pasar berkurangan kekerapannya. Jika ikan boleh beku bagaimana orang Eskimo boleh hidup di Kutub Utara. Mereka yang tinggal di Tundra, Russia juga boleh hidup. orang Lapp di negara-negara Scandinavia juga boleh hidup. Begitu juga mereka yang di Alaska atau di Utara Canada. Hidup mereka hampir sepanjang tahun diliputi salji. Sejuk. Memang sejuk-sejuknya. Darjah sejuknya sahaja yang tidak semua orang dapat memahaminya. Bayangan selalunya tidak menepati jika tidak mengalaminya sendiri. Kadang-kadang sejuk dianggap relatif.
Beginilah. Cari atau beli jika berkemampuan sebuah peti ais yang besar. Atau cuba sewa ruang menyimpan ikan, daging, ayam dan makana laut yang lain di mana-mana pasaraya. Duduklah barang sejam atau dua jam. Mungkin sehari atau seminggu. Atau sebulan dan dua bulan. Mereka yang beradsa di kawasan yang mengalami winter seolah-olah duduk dalam peti ais selama tiga bulan. Kadang-kadang lebih lama lagi bagi yang lebih ke Utara negaranya. Atau lebih ke Selatan. Kita pergi ke Mines Wonderland. Lalu di tempat yang kononnya tempat berais. Kita lalu kira-kira setengah jam jika tahan. Bila keluar kecut seluruh badan. Terketar-ketar beberapa ketika. Begitu juga di Bukit Seri Cahaya. Pengalaman yang sama boleh dilalui. Sejuk dan mengecutkan kulit. Jari jemari menjadi terlalu sejuk jika terdedah. Badan mungkin berselimut pakaian tebal. Kami yang merasa winter sejuknya ditanggung selama lebih tiga bulan.
Tahan sejuk. Alhamdulillah. Allah menjadikan manusia fleksibel. Boleh hidup di padang pasir yang suhunya boleh mencecah 50°C. Orang yang sama boleh di Kutub Utara atau Selatan yang suhunya mungkin -50°C. Dua tempat yang ekstrim. Had beku ialah 0°C. Snow mungkin turun pada kadar suhu antara 0°C hingga 10°C. Hanya selepas snow menjadi ais barulah sejuknya berpanjangan. Di atas udara sejuk. Di bawah penuh dengan ais yang memeng sesungguhnya sejuk. Ke mana hendak lari. Duduklah di situ manusia yang terperangkap dalam dua lapisan sejuk. Dari atas dan dari bawah. Matahari mungkin bersinar dalam darjah yang condong. Menjadi terlalu jauh hingga terasa tidak cukup bahangnya untuk memanaskan keadaan. Keluar rumah adalah perancangan yang mesti diatur rapi. Berkira denga sejuk yang mencengkam.
Di dalam rumah mungkin tidak terlalu terasa seksanya. Ada pemanas udara. Mungkin gas atau petrol. Kedua-duanya perlukan elektrik. Kerana itu pada musim sejuk bil elektrik pasti meningkat. Jarang benar menggosok baju atau membasuh baju. Mandipun jarang-jarang. Jimat air dan jimat elektrik. Semua alat elektrik dijimatkan penggunaannya untuk berjimat. Mengurus dana keluarga dengan sewajarnya. Pemansas udara sekejap di pasang sekejap ditutup. Pakai baju tebal. Kaki disarung. Tidur memakai selimut tebal yang berbulu tebal. Tidak boleh yang tipi sseperti di Malaysia. Selimut kain tidak boleh kerana kain menyerap sejuk. Selimut bulu juga yang sesuai dengan sejuk yang melanda suasana.
Keluar rumah adalah suatu percaturan harian. Laporan cuaca seperti wajib dirujuk setiap masa. Bila hendak keluar dirancang sehari atau dua hari sebelum. Berapa darjah suhu tertinggi dan berapa darjah suhu terendah. Jikia suhu tinggi dan rendah hampir sama orang tidak kisah keluar rumah pada waktu siang atau malam. Jika siangnya lebih panas maka orang keluar rumah pada waktu siang. Jika malamnya lebih sejuk maka orang lebih suka berada di rumah pada waktu malam. Pada musim panas tidak bayak perlu dipertimbangkan jika hendak keluar rumah. Pada musim sejuk banyak yang perlu difikirkan. Setokin mungkin dua lapis. Seluar dua atau tiga lapis. Baju mungkin empat lapis. Di luarnya pakai jaket tebal untuk menahan sejuk. Di dalam panas, di luar sejuk. Pakai lagi sarung kepala. Leher dililit muffler. Jangan hairan semasa musim sejuk orang memakai kacamata hitam semasa berada di luar rumah. Pancaran cahaya matahari tajam dalam sejuk udaranya. Aptah lagi jika ada ais, silaunya lagilah menyilaukan mata.
Panas atau sejuk adalah anugerah Allah. Yang pentingnya apakah yang kita lakukan untuk mempergunakan kedua-dua waktu yang berlainan itu. Sejuk ada aktivinya. Panas ada aktivitinya. Yang pastinya proses belajar tidka pernah berhenti. Panas atau sejuk bukan isu yang sangat penting. Walaupun ada bezanya namun jika terlalu difikirkan maka tidak ada apa yang boleh kita buat. Kita lebih banyak bersungut. Lupa mensyukuri nikmat Allah yang sebenarnya. Sesungguhnya banyak hikmah di sebalik apa yang kita tanggapi dengan pemikiran kasar. Jika musibah yang kita rasa maka banyaklah kerugian yang kit alami. Kit atidak banyak berbuat kebaikan hatta untuk diri kita sendiri. Panas atau sejuk hanya nisbah. Terimalah dengan penuh kesyukuran. InsyaAllah banyak manfaatnya. Bahagia bagi yang banyak syukurnya.

Salam Dari Amman Jordan: Masjid Yang Tinggi Menaranya




Ini adalah menara masjid Universiti Zarqa'. Tinggi menjukang sendiri. Ketinggian menara adalah lambang tertegaknya syiar Islam di bumi itu. Lebih tegak di bumi anbia.

Menara ini sangat mengujakan. Banyak masjid lain yang serupa menaranya. Rekabentuknya. Ketinggiannya. Teknologinya.

Memandangnya sahaja sudah cukup sayu. Pada puncaknya terdapat lambang anak bulan. Tiada bintang. Bulan adalah lambang Islam.

Pembesar suara di setiap penjuru. Berkumandang apabila azan. Jam pula besar untuk dilihat dari jauh.

Pada kubah di bawahnya tetap ada lambang bulan. Kecil tetapi itulah lambang.

Mereka yang pernah ke Makkah dan Madinah al-Munawarrah tentu arif dengan menara Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawiy. Menaranya banyak. Dibina tinggi-tinggi di sekeliling binaan masjid-masjid itu. Dari jauh sudah nampak tegaknya. Dari dekat nampak sayupnya seperti menjulang awan. Sejadah alas tempat kita solat banyak dilukis dengan gambar masjid atau menara masjid. Apabila saya sampai di Amman, Jordan saya lihat kebanyakan menara adalah seperti tergambar pada sejadah kita di Malaysia. Malah sejadah yang saya beli di Amman juga bergambar menara masjid. Sama dengan menara masjid yang sebenar di Jordan. Ianya bukan suatu kebetulan. Bukan khayalan. Ianya realiti menara-menara di negara bumi anbia ini. Subhanallah.
Menara masjid di Jordan mungkin sama dengan menara masjid-masjid lain di negara Arab yang lain. Banyak kelainannya dengan menara masjid kita di Malaysia. Untuk makluman pembaca, bangunan tinggi di Jordan tidak seperti kita di Malaysia. Had kita langit. Lagi tinggi lagi kita megah. Ada perkara tersirat yang kita tidak mengetahuinya. Kebanyakan bangunan di Jordan hatta di bandaraya Amman sekalipun tidak banyak yang tinggi. Kebanyakannya sekadar lapan tingkat atau lebih rendah. Tingkat yang terbawah selalunya di bawah tanah. Di bawah aras jalanraya. Terlindung dari pandangan biasa. Yang dilihat di paras atas mungkin empat atau lima tingkat sahaja. Mungkin dalam entry yang lain ada cerita lanskap binaan di Amman Jordan.
Saya lihat banyak hikmahnya membina bangunan tidak terlalu tinggi. Mungkin di Jordan tanah masih luas. Di manapun kita pergi kita tidak bercerita tentang tanah atau bukit atau bekas lombong atau tanah paya. Istilah itu tidak ada di Jordan. Semua tanah di sini adalah batu batan dan bukit bukau. Mungkin lebih sesuai gunung-ganang. Jabalan jabalan kata orang Jordan. Kembali kepada masjid, binaannya berbeza dengan masjid kita. Di Malaysia bangunan masjid memiliki konsep terbuka. Angin dan udara bebas beredar untuk memberi rasa sejuk dan damai di dalam masjid. Negara kita panas. Orang tua-tua tidak gemar penghawa dingin. Oleh kerana itu masjid dibina dengan konsep terbuka. Banyak lubang udara. Sejuk atau panas konsepnya sama sahaja. Terbina rasa damai, tenang dan tenteram berada di rumah Allah.
Di Malaysia kadang-kadang kita tercari-cari masjid. Dari jauh tidak kelihatan. Mungkin ada papan tanda yang memaklumkan bahawa masjid ada di hadapan. Menaranya tidak kelihatan. Di Jordan menara masjid paling ketara tingginya. Sengaja dibina supaya nampak tinggi. Pada hakikatnya memang tinggi. Kemuncak masjid adalah mercu paling tinggi di sesuatu kawasan penduduk. Mungkin taman. Mungkin kamupung. Menara adalah lambang syiar agama. Lambang ketinggian agama. Lambang bahawa agama mengatasi segala-galanya. Agama bukan duduk di bawah. Bukan letaknya rendah. Bukan sama rata dengan hal-hal lain. Imam masjid menduduki pelana yang tinggi. Bukan penjawat yang dipandang sepi dan sebelah mata sahaja. Imam masjid adalah tokoh agama. Ilmuan. Mendalami al-Quran. Masjid menjadi nadi kepada orang Islam. Imam penggeraknya. Bukan pengerusi jawatankuasa masjid.
Di sesebuah kawasan bukan ada sebuah masjid sahaja. Kadang-kadang kita lihat ada tiga buah masjid. Berdekatan antara satu sama lain. Bila azan boleh didengar dari arah masjid masing-masing. Pada hari biasa dan semasa solat waktu tidak ramai jemaah. Namun sewaktu solat Jumuah masjid pasti penuh kerana hari Jumaat adalah cuti hujung minggu. Masa diperuntukkan untuk ke masjid. Hari raya mingguan yang tidak ada pada agama lain kecuali Islam. Hari Jumaat yang besar. Penghulu segala hari. Pada waktu malam yang cerah pemandangan atau panorama di sekitar mana-mana kawasan di Amman Jordan sangat indah. Cahaya hijau dilihat dari berbagai penjuru. Cahaya itu datangnya dari menara-menara masjid yang dapat dilihat mata. Ya! Warna hijau yang cerah sinarannya. Oleh kerana menara masjid adalah mercu paling tinggi maka puncaknya diterangi dengan cahaya. Warna yang dipilih warna hijau. Cantik berkelipan. Warna lambang kekuatan Islam.
Lazimnya menara masjid di negara kita dipasang bulan sabit dan bintang. Saya tidak arif gabungan keduanya. Islam memberatkan bulan tidak bintang. Kajian ilmu Falak mungkin benar. Bintang-bintang dikaji. Walau bagaimapun bulan menjadi rujukan banyak perkara kepada orang Islam. Takwim hijrah bersandarkan kepada edaran bulan. Bukan matahari. Bukan Masehi. Sebab itu anak bulan atau hilal menjadi rujukan dalam banyak perkara.  Bila nampak anak bulan banyak signifikannya. Awal bulan bermula. Awal Ramadahan. Awal Eid al-Fitri. Menentukan Eid al-Adha. Awl Muharram. Menentukan hol. Menentukan cukup hisab.  Banyak lagi gunanya bulan kepada orang Islam. Cuma kita sudah diabui oleh barat dengan bulan dan tahun Masehi. Kebanyakan kita lupa bahawa bulan Hijrah adalah lebih utama dari bulan Masehi.
Menara masjid di Jordan tidak bertutup. Ruang sebelum puncaknya dibina terbuka seperti bertingkap-tingkap. Konsepnya seperti bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Atau bangunan Keretapi Tanah Melayu. Teknologinya begitu kerana di sini kurang hujan. Mungkin turun salji sekali-sekala dalam beberapa puluhan tahun. Hujanpun tidak lebat. Membina menara itu tentu perlukan kepakaran. Namun kepakaran itu kekal hingga kini setelah ratusan tahun dikuasai. Setiap kali masjid dibina pakar-pakar inilah dihimpunkan semula untuk membina masjid mengikut konsep rumah ibadat yang memenuhi tuntutannya. Menara masjid dilihat mengekalkan keasliannya. Authentic. Ada perasaan sayang. Cinta. Menusuk di hati. Sejarah agama yang unggul. Sejarah menegakkan perjuangan manusia menentang iblis dan syaitan. Memandang menara sudah cukup menginsafkan diri. Menara itu adalah mercu kecintaan kita kepada Allah. Kecintaan yang melebihi dari segala-galanya.