Anak itu anak kita. Dari darah daging kita. Hasil dari
kasih sayang kita. Allah ciptakan dalam rahim seorang ibu yang bersuami. Isteri
kita sendiri. Suami kita sendiri. Yang diterima nikahnya oleh seorang suami. Kitalah
suaminya. Kitalah isterinya. Yang sewaktu bercinta dahulu sangat intim membina
istana abadi. Ingin berkeluarga dengan cahayamata yang soleh dan solehah. Yang
mendukung agama. Cintakan Allah. Cintakan rasulNya. Tidak mungkin darah daging
kita tidak dapat kita jinakkan. Jika ibu dan bapanya boleh berjinak-jinak
bagaimana mungkin keduanya gagal membawa anak-anaknya ke jalan aliran keluarga.
Corak keluarga. Mulalah dari rebung. Itu pesan orang tua. Agak luar biasa jika
ibu bapa “kalah” dengan anak-anaknya. Lagilah menyesakkan apabila anak-anak
berkospirasi untuk “bermusuh dan berperang” dengan ibu dan bapa mereka. Ada
kesilapan besar yang berlaku. Di mana letaknya cokmar kuasa ibu bapa ke atas
anak-anak mereka. Ibu yang mengandungkan gagal menjelmakan suatu urutan cinta damai
kesinambungan warisan keluarga. Aliran kasih sayang yang terhalang dan terputus
dari hati anak. Anak darah daging kita.
Ibu bapa seharusnya belajar mencari ilmu keibubapaan.
Belajarlah dari mereka yang berjaya. Dari mereka yang kelihatan sangat-sangat
memiliki kewibawaan untuk bercakap tentang kejayaan keluarga. Yang memang
diketahui anak-anaknya menjadi “orang”. Kita perlu belajar darinya. Mencontohi
kejayaannya. Meneladani apa-apa yang dicapai keluarganya. Ada jalan yang telah
diterokainya. Ada jalan yang telah direntasnya. Ada jalan yang telah membawa
anak-anaknya ke jalan kejayaan. Kejayaan yang memercukan kebaikan dan kesejahteraan.
Bukan satu. Bukan dua. Rujuklah seberapa ramai ibu bapa yang berjaya memberikan
yang terbaik kepada anak-anak mereka. Lihat pendidikan anak-anak mereka. Lihat
akhlak anak-anak mereka. Lihat sumbangan anak-anak mereka. Lihat lain-lain
kejayaan sosial dan semua bidang yang mereka ceburi.
Kejayaan bukan main cuba-cuba. Kita bukan bermula
daria kosong. Sudah terlalu ramai orang-orang yang terlebih dahulu dari kita.
Belajarlah kerana kita sudah ada guru yang layak kita gurui. Banyak yang boleh dilakukan. Yang mampu
dicuba. Yang ada upaya untuk merealisasikannya. Mulai dari kecil. Dari bayi.
Tanggungjwab itu tidak akan tamat hingga nyawa berpisah dari badan. Anak-anak
yang sudah besar dan dewasa sekalipun
masih anak kita. Masih perlukan sentuhan-sentuhan hati ibu dan bapa mereka.
Darah daging yang masih sama. Alirannya yang tetap mengalir dalam diri semua
keturunan. Semua aanak cucu yang akan datang. Yang mewarisi semua yang namanya
keluarga.
Ilmu adalah penerang segala kegelapan. Yang mengeluarkan
kita dari tidak tahu kepada tahu. Dari yang bengkok dan berbelok-belok ke jalan
lurus yang terbentang luas. Dari yang suram kepada yang terang. Dari yang gelap
kepada yang bersinar. Dari yang beku kepada yang cair. Dari yang jahil kepada
yang mengetahui. Silaplah jika kita hanya mengikut apa yang yang telah
dilakukan oleh orang tua-tua kita sahaja. Zaman mereka sudah tidak ada lGI. Kita
berhadapan dengan anak-anak zaman siber. Zaman teknologi. Zaman manusia banyak
berada di alam maya. Carilah ilmu. Carilah ilmu. Hanya ilmu dapat membantu kita
mengurus anak dengan lebih cemerlang. Tidak boleh hanya dengan gerak rasa. Nanti
banyak silapnya. Semuanya mestilah berencana. Ada dasar. Ada strategi. Ada kaedah.
Ada teknik. Pelaksanaan yang berlandaskan ilmuan. Berlandaskan aqidah. Berlandaskan
agama dan Islam.
Tidak benar bahawa seorang suri rumahtangga tidak
perlu belajar tinggi. Mana mungkin dia nanti boleh mengenal yang mana baik yang
mana tidak untuk anak-anaknya. Inteleknya. Psikologinya. Kesihatannya. Sosialnya.
Agamanya. Islamnya. Itu belum lagi matematik, sains, teknologi dan cara terbaik
membina akhlak. Seorang isteri yang berilmu pasti melahirkan anak-anak yang
lebih baik. Lebih berjaya. Dirinya lengkap dari segi ibu. Minda yang waras tidak
cukup jika tidak terbuka. Jika tidak luas pemikiran. Jika tidak luas
wawasannya. Jika tidak jauh pandangannya. Maaflah. Orang kita mungkin tersasar
pandangannya. Jika untuk menjadi surirumah tidak perlu berpelajaran tinggi. Pelajaran
tinggi tidak mengira profesion yang akan diceburi. Menjadi ibu seharusnya
perlukan pendidikan yang paling tinggi. Ibu adalah pendidkk pertama. Jika silap
maka impaknya berlarutan hingga ke dewasa. Menyusahkan semua orang yang
berhubungan dengan anak itu. Paling sukar ialah ia akan menyussahkan kedua ibu
bapanya. Susah yang amat sangat. Ramai ibu bapa tidak terlarat menanggung sarat
berat karenah anak-anak.
Sejak dari bayi seharusnya anak-anak sudah tahu siapa
ibu bapanya. Kekuatan ibu bapanya. Mana
yang boleh dan mana yang tidak. Larangan-larangan tertentu mestilah dilatihkan
kepada mereka. Suara dan intonasi suara ibu bapa mestilah yang memberi makna.
Suara ibu bapa tidak boleh hanya senada. Hanya selari. Hanya satu hala. Hanya
suara-suara tanpa makna. Tanpa dimengerti. Maka suara ibu bapa seharusnya sudah
digunakan untuk memberikan makna dan isyarat kepada anak. Suara adalah suatu
anugerah. Namun ibu bapa seharusnya mengetahui cara terbaik untuk menggunakan
suara. Bila hendak melarang sesuatu perbuatan suara hendaklah dibesarkan.
Dikembangkan tenggorok. Suara itu dikeluarkan dengan sedikit lambat, tegas,
bergegar. Dan bergema. Suara itu dilafazkan secara lambat-lambat. Satu persatu.
Anak-anak yang masih kecil sekalipun asalkan boleh mendengar mereka harus
dididik untuk mendengar. Amat silap jika ibu bapa selalu bercakap seperti
peluru senapang. Bunyinya sama. Intonasinya sama. Datarnya sama. Suara itu
akhirnya hanya menembusi dinding tembok yang keras tetapi tidak menusuk ke
dalam cupin telinga anak-anak.
Bila bercakap
hendaklah memandang jauh ke dalam mata anak. Renung anak mata mereka. Renung
setajam-tajamnya. Keraskan otot di muka. Beliakkan sedikit mata. Ada warna yang
keras. Beri rasa gerun di hati anak. Pandang lama-lama. Pandang dalam-dalam.
Jangan bercakap. Pandang dan terus pandang. Bila bercakap, lepaskan suara
satu-satu dengan cara berat, lambat dan dengan nada rendah. Sewaktu bercakap
kekalkan status mata, pandangan tajam dan mata yang terbuka besar. Panah
jantung hati mereka dengan tusukan yang paling berbisa. Ketika itu pamerkan
kuasa dan kekuatan keduduknan ibu dan bapa. Jika anak tidak memandang, sebut
namanya dengan nada ancaman. Panggil berulang-ulang sehingga anak itu memandang
mata ibu atau bapa. Untuk berkomunikasi dengan anak, pastikan mereka memandang
muka ibu atau ayah. Prinsip ini mesti diamalkan selalu. Tiada kecuali.
Jangan sekali-kali bercakap sambil berjalan. Suara ibu
dan bapa akan tenggelam timbul. Suara itu sekejap kuat dan sekejap perlahan.
Butirannya sukar dipastikan. Anak hanya diam kaku tanpa reaksi. Diam bukan
mendengar. Kaku bukan takut. Apa yang berlaku ialah lintasan suara ibu dan bapa
yang tidak memberi erti. Sukar difahami. Hanya suara tetapi tiada makna. Oleh
itu jangan biarkan peluang untuk bersemuka dengan anak. Untuk berakap antara
individu dengan seorang individu. Saya kagum dengan orang putih. Jika anak itu
lelaki akan dikatakan, “Young man, I don’t like what you did.” Jika perempuan,
“Young lady, what you did was wrong. I don’t like it.” Maknanya
apabila hendak bercakap dengan anak letakkan mereka sebagai individu. Bercakap
dengan menghormati peribadinya. Yang kita tegur ialah tingkahlakunya. Bukan maruahnya. Bukan harga dirinya. Bukan
hatinya. Belajarlah untuk membina bentuk ini. Jangan bina tembok hingga tidak
boleh berkomuniksi dengan anak. Memang ibu bapa berkuasa tetapi kuasa itu
dimengertikan kepada anak. Bukan dipaksakan. Hormat hanya diperolehi jika ibu
bapa menghormati anak-anak mereka. Berkomunuikasi dengan anak hendaklah
bersemuka. Anak-anak yang lain tidak perlu mendengarnya. Di dalam bilik lebih
baik. Jika boleh pegang bahunya. Kedua-dua belah. Arahkan mereka memandang ke
muka ibu bapa. Lihat nanti apa kesannya. Kongsikan pengalaman ini dengan
pembaca yang lain.
Masa. Masa adalah sesuatu yang harus dijaga. Latih
anak-anak supaya tahu harga yang besar mengenai masa. Masa siang ada jadualnya.
Masa malam ada jadualnya. Hari kerja ada jadualnya. Hari minggu ada jadualnya.
Masa cuti ada jadualnya. Tengahari dengan makan dan solatnya. Sebelum maghrib
berada di rumah untuk berjemaah di rumah atau di surau dan amsjid. Waktu malamnya
untuk membuat kerja rumah. Untuk ulangkaji. Untuk tuisyen. Jika jadual ini
dijaga, dikuatkuasakan dan diberikan pengawasan yang ketat, insyaAllah akan ada
petunjuk Allah akan kejayaannya. Segala-galanya mesti berjadual. Mestilah dilaksanakan
dengan istiqamah. Dengan disiplin yang tinggi. Jadual perlu dipatuhi. Jangan diberi
pengecualian kecuali perlu kerana hidup atau mati. Latihan ini sangat perlu
untuk membiasakan anak dengan kemanisan belajar. Kemanisan mengetahui. Kemanisan
menjadi pandai.
Tidak adakah ruang rekreasi? Ada. Jadualkan masa bermain
mereka supaya terbina kesihatan tubuh badan. Supaya mereka merasa keluar peluh.
Supaya mereka merasa masin peluh mereka. Kata orang putih “sweat and blood”. Peluh
dan darah yang dikorbankan. Tentu sahaja tubuh badan perlu dilatih. Conditioned. Cara itu dapat membina
kekuatan mental. Mengekalkan stamina. Membuang rasa bosan. Jadual belajar yang
ketat tetapi diselangseli dengan rekreasi atau hobi yang tidak melekakan pasti
membina kekuatan azam dan tekad. Boleh bermain tetapi bukan untuk bermain-main.
Boleh banyak bercakap tetapi untuk berhujjah secara ilmiah. Boleh menjawab
tetapi menjawab dengan fakta. Boleh berkata apa sahaja tetapi mestilah relevan
dan berisi. Jangan benarkan mereka bermain-main dalam semua hal. Kena ada gurau
yang menyenangkan. Didik mereka supaya tidak mengejak. Supaya tidak menyakitkan
adik beradik yang lain. Supaya tinggi kerjasamanya. Supaya sentiasa membina
kasih sayang antara mereka. Yang penting berkongsi ruang. Berkongsi masa. Berkongsi
makanan. Berkongsi apa sahaja yang namanya adik beradik. Buang dan hapuskan
tabiat tamak. Tabiat nakal. Tabiat keras kepala. Tabiat busuk hati, dengki,
hasad dan menyusahkan yang lain.
Komputer dan internet. Alat ini ciptaan manusia yang
sangat versatile. Banyak sangat
gunanya. Kepada anak-anak perlu ada kawalan yang lebih besar. Ramai anak-anak yang boleh bermain
dengan komputer dan apa yang komputer boleh berikan kepada mereka. Malangnya ramai
anak-anak terjebak dengan game
sahaja. Mereka jadi ketagih. Leka. Lagha. Mereka melupakan yang lain-lain
kerana game idaman. Untuk itu ibu
bapa perlu mengawal jadual. Mungkin sehari hanya 30 minit sahaja. Jika anak
ramai, game itu jadikan aktiviti
individu. Pada satu-satu ketika hanya seroang sahaja yang menjadi pengendalinya.
Yang lain teruskan jadual belajar. Jadual itu pastikan berlaku setiap hari. Jangan
ada pengecualian sama ada pada hari cuti atau hujung minggu atau cuti sekolah. Cuti
hujung tahun mungkin boleh dilonggarkan. Walau bagaimanapun pengawasan perlu
ada. Kompouter tidak boleh disepahkan di dalam rumah. Selepas pukul 10.00 malam semua komouter mesti dihimpunkan di
bilik ibu bapa. Tiada kompromi. Ada kemungkinan anak-anak berkomputer hingga
larut malam. Pastikan itu tidak berlaku. Ketegasan mesti ada. Sekali diberi
ruang, mereka akan payah untuk dididik.
Nantikan sambungannya. InsyaAllah.