Thursday, February 14, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Bahasa Arab dan Terangnya Erti Mengerti

Rabu 13 Februari 2013. Hari ini saya belajar tentang warna. Dalam bahasa Arab. Biasalah warna. Apalah yang luarbiasanya. Dari satu warna ke satu warna yang lain. Dari warna primer ke warna sekunder. Kemudian warna tua dan warna muda. Pada suatu ketika guru saya, Ustaz Ahmad,  menerangkan tentang perbezaan warna. Kebetulan meja saya berhampiran tingkap. Ada bahagian meja yang disinari cahaya matahari. Ada bahagian yang berbayang. Bahagian yang terang tiada masalah. Warna meja pula putih. Warna yang tidak disinari cahaya lain warnanya. Tidak putih. Sedikit kelabu. Saya tidak pernah memikirkannya sebelum ini. Saya rasa tidak ramai orang yang memikirkan hubungan antara warna dan cahaya matahari. Kita mengganggap warna itu wujud begitu. Warna itu memang ada begitu. Antara merah dan biru sekadar warna. Semua orang tahu. Masing-masing pula ada warna kesukaan masing-masing. Bila ada keramaian maka berwarna warnilah pakaian yang dipakai audien. Menceriakan keadaan.
Sedarkah kita bahawa warna tidak wujud tanpa cahaya? Tidak?  Cuba bariskan beberapa warna pada waktu malam. Pasang lampu secerah-cerahnya. Kita dapat melihat cahaya itu dengan jelas. Kita boleh sebut warna itu satu persatu. Sekarang padamkan lampu. Dalam gelap begitu apa yang dapat dilihat. Jangankan warna, apapun tidak dapat dilihat. Dalam cahaya samar-samar kita tidak dapat membezakan antara warna-warna yang ada. Kita tidak boleh take for granted bahawa warna itu ada. Warna itu wujud. Warna itu boleh dibariskan. Warna itu boleh disebut satu persatu.  Warna hanya dapat dilihat melalui cahaya. So what? Ini soalannya.  Siapa memberi cahaya. Siapa yang mencipta cahaya. Betullah elektrik ada penciptanya. Siapa pula yang mencipta orang itu. Yes! Siapa yang mencipta matahari? Mari kita sembang sekejap. Lihat sekeliling jika ada warna-warna yang kita kenal. Lihat betul-betul supaya kita tidak salah menyebut warna-warna yang kita lihat.
Saya rasa ramai antara kita yang pernah tertipu dengan warna. Di pasaraya umpamanya jarang mereka memasang lampu seperti di rumah kita. Lampu putih yang memang putih. Semua yang kita lihat mengikut fitrah warna itu. Jika kuning memang kuning. Jika hijau memang hijau. Di pasaraya kita tidak dapat membezakan antara hitam dan biru atau cokelat. Sukar kerana cahaya yang dipasang tidak putih seperti yang kita harapkan. Kita bawa ke bawah cahaya lampu yang ada. Kita menyangka kita membeli warna hitam. Apabila sampai di rumah rupanya yang kita beli berwarna hijau tua.  Kita melihat dengan mata kita sendiri. Kita dibantu oleh cahaya lampu. Tetapi kita lupa cahaya lampu itu telah diubahsuai. Cahaya yang dipancarkan bukan putih. Bukan terang seperti yang kita harapkan. Terangnya hanya menerangkan apa yang diobjektifkan. Bukan terang yang sewajarnya. Menipu? Mungkin ia mungkin tidak. Tertipu. Itu barangkali natijah yang sebenarnya.  Kenapa. Mari kita sembang lagi.
Bukankah jauhari yang mengenal manikam.  Yang arif sahaja menentukan yang hak. Walaupun tidak hakiki. Tidak mutlak. Maksudnya untuk menjadi arif ada tiga elemen yang perlu. Belajar. Mengalaminya sendiri. Ada latihan sama ada ilmiah atau suka-suka. Ketiga-tiga elemen itu mengajar kita supaya mengenal cahaya. Mengenal kesan cahaya. Bias cahaya. Pantulan cahaya. Spektrum cahaya. Dan berbagai lagi hal-hal yang berkaitan dengan cahaya. Dipendekkan cerita kita mestilah terlebih dahulu menjadi orang yang disebut pandai sebelum dapat memilih. Sebelum dapat menilai. Sebelum dapat mempergunakan sesuatu. Sebelum dapat mengubahsuai. Sebelum dapat mengganti. Sebelum dapat menentukan sesuatu itu sah benar atau salah. Bukan agak-agak. Bukan berada dalam gelap hingga tidak tahu apa yang sebenarnya di hadapan kita.
Nah! Tiada yang lebih baik dari ilmu. Betul. Ilmu bukan mesti tinggi. Bukan mesti banyak. Bukan mesti hebat. Kadang-kadang ilmu yang sedikit itu memberikan impak yang snagat besar. Memberikan gandaan kepuasan yang sukar diceritakan. Mengetahui tentu lebih baik dari tidak mengetahui. Kepada setengah orang ilmu dan apa yang kita tahu adalah sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Namun apabila keadaan mendesak ianya menjadi penyelamat dengan izin Allah. Dalam keadaan darurat ancaman dapat dihindarkan. Sebab itulah kadang-kadang ada orang tenang menghadapi ancaman. Dia ada ilmu. Dia merasa tidak sukar. Dia ada pengalaman. Dia tahu proses membuatnya. Dia ada latihan yang banyak. Sudah mahir melakukannya. Masa yang diambil singkat sahaja. Dalam istilah teknologi, cekap dan berkesan. Itu juga kata orang ekonomi. Cekap bermakan masa yang diambil lebih singkat dari orang lain. Berkesan bermakna kosnya rendah tetapi fungsinya tinggi dan berbagai.
Bermakna cerit awarna bukan sebarang cerita. Pelukis boleh bercerita tentang lukisannya berhari-hari. Dia tahu olahan warna. Setiap garis dan tone warna ada mesej yang tersendiri. Agaknya jiga Leonardo masih hidup tidak berhenti dia bercerita tentang Mona Lisanya. Begitu agaknya Piccaso. Apatah lagi Michaelenglo dengan The last Suppernya. Warna ada cerita yang luas dan besar skopnya. Cuma yang perlu dikatahui warna menjadi satu analogi kepada mereka yang mengetahui. Tanpa ilmu semuanya gelap belaka. Semuanya dianggap sama belaka.  Keutamaan idak dapat dipilih dengan tepat. Keupayaan diri tidak dapat diukur. Jika warna hanya warna  manusia tidak banyak berkembang fakulti dan kapasiti dirinya. Tanyalah orang sains bahawa warna adalah pancaran dari warna putih. Dalam warna putih yang satu itulah terhimpunya semua warna yang kita tahu.  Aduh lagi bingung dibuatnya. Cukuplah sampai di sini dahulu. Fikirkan besarnya peranan bahasa dalam menyebarkan ilmu. Dalam memperkembangkan skop penguasaan ilmu. Makin menarik mempelajari berbahasa Arab. Dalam bahasa itu terserlah banyak yang sebelum ini saya take for granted. Akhirnya kita menuju kepada Yang Satu juga. Allah Yang Maha Kuasa.