Jika kita tanya diri kita sendiri ada perkara yang dapat kita jawab dan ada perkara yang tidak dapat kita jawab. Jika orang lain yang bertanya lagilah banyak yang tidak dapat kita jawab. Maknanya ada yang kita ketahui dan ada yang tidak kita ketahui. Apabila kita timbang dengan saksama yang kita ketahui sebenarnya tersangatlah sedikit. Malu hendak menyenaraikan apa yang kita ketahui berbanding dengan banyaknya yang tidak kita ketahui. Kita sekarang semakin mengkhusus. Skop yang kita ketahui semakin mengecil. Semakin lurus. Semakin banyak yang kita tinggalkan. Kita menganggap kita hanya layak megetahui apa yang perlu kita ketahui sahaja. Yang lain biarlah untuk orang lain sahaja. Lalu kita keliru antara fardhu ain dengan fardhu kifayah. Bukankah keduanya perlu berjalan serentak. Islam tidak tertegak atas satu daripadanya sahaja. Kedua-duanya tanggungjawab setiap umat Islam. Menjadi kewajipan. Menjadi wajib
Islam menjadi kuat jika kedua-dua bidang tersebut dikuasai. Pada peringkat awalnnya fardhu ain untuk diri sendiri. Memang benar syahadah, solat, puasa, zakat dan haji itu fardhu ain. Setiap individu wajib menunaikannya dalam apa keadaan sekalipun. Tetapi, tetapi tidak ada individu yang pandai sendiri. Yang tahu sendiri. Yang mahir sendiri. Yang menjadi pakar dengan sendirinya. Manusia mengetahui sebab diberitahu. Diajar. Dididik. Dibimbing. Diasuh. Dimaklumi. Maknanya ada guru yang bertugas untuk itu. Menjadi guru mungkin dalam kebanyakan masa dan hal adalah fardhu kifayah. Apabila tiada yang tampil ke hdapan kerananya tugas itu menjadi fardhu ain kepada individu yang terlibat. Membiarkan masyarakat tidak mengetahui juga suatu kesalahan. Mungkin berdosa. Bukankah Rasulullah SAW bersabda bahawa kita yang berilmu wajib menyampaikan ilmu yang ada walaupun satu ayat. Atau satu kalimah. Dalam Islam tiada ilmu yang rahsia. Menyalahi prinsip dan falsafah ini bermakna ilmu itu salah. Menyalahi agama. Sesat barangkali. Ilmu Allah adalah ilmu manfaat.
Semua orang memperakui bahawa ilmu itu penting. Pandai itu penting. Tahu itu penting. Namun hakikatnya tidak semua orang memiliki segala-galanya seperti yang dapat memuliakan dirinya. Hatta di USA sekalipun ramai rakyatnya yang buta huruf. Realiti hakiki. Negara terhebat di dunia gagal mencelik huruf semua rakyatnya. Sebab itu di sana banyak program back to school. Di negara kita fenomena itu masih berlaku secara terpencil. Anak-anak kita bersekolah. Hanya segelintir yang tidak terbaris dalam arus perdana. Mungkin anak-anak pendatang seperti Rohinya, Myanmar, Indonesia dan Filifina ada yang termasuk dalam golongan ini. Dalam jangka panjang jika ianya tidak diurus negara yang akan terancam dari segi ekonomi, keselamatan dan teknologi. Di negara mana sekalipun pendidikan menjadi nadi penggerak masa hadapan. Nadi untuk ke hadapan. Pengemudi dan jurumudi yang mengetahui arah destinasi.
Barangkali sikap kita perlu diubah. Ilmu dan kemahiran bukan sahaja untuk berkerjaya. Ilmu penting sebagai lambang kejayaan diri. Penyukat kemajuan keluarga. Penimbang masyarakat. Ikon negara. Bagaimana kita boleh menarik pelajar asing ke Malaysia jika kita sendiri banyak tidak arif tentang banyak perkara. Semua bakat dan potensi yang ada perlu diperkukuh dan disebarluas. Kita ingin melihat orang kita memiliki segala yang diperlukan oleh orang lain. Orang ke USA kerana prinsip mereka senang. You ask for it, you get it. Mereka Cuma melindungi teknologi peringkat tinggi sahaja. Yang lain disebarkan kepada semua orang yang berminat. Pendidikan mengikat graduannya dengan pemikiran dan keterikatan kepada teknologi yang biasa pada dirinya dan mindanya. Pada kebiasaan dan perasaan sayang kerana sudah tertanam dalam silibus dan amalan. Pelajar asing yang berada di Malaysia mesti diikat perasaan mereka. Diikat minda mereka. Dedahkan mereka dengan teknologi kita. Dengan budaya kita. Dengan keterbukaan kita. Mereka adalah penyambung dan penghubung kita. Mereka menajdi jambatan kita untuk merentas benua.
Ilmu menjadi penyambung hayat sesuatu bangsa. Individu yang terhakis ilmunya menjadi daif. Lemah. Layu. Lesu. Mereka yang tidak jemu menambah value added pada dirinya sentiasa terkehadapan. Namun begitu mencanai ilmu bukan sesuatu yang indah bak dikata. Banyak yang perlu dibuat. Yang perlu dikorbankan. Kita mendapat pendidikan hingga ke peringkat IPT. Membina kerjaya dan hidup dalam selesa. Di mana kita ketika itu. Lihat kata Abraham H. Maslow. Antara kemuncak kejayaan manusia ialah self actualisation. Ketika itu wang bukan lagi isu. Tidka dicari. Tidak diperlukan. Pangkat bukan hambatan lagi. Nama bukan untuk sanjungan. Barangkali boleh saya pinjam falsafah Ustaz Hasrizal, hidup ini lebih baik banyak memberi. Apabila kita sampai pada peringkat itu barulah kita rasa bahawa nikmat itu bukan kerana memiliki. Nikmat lebih kerana memberi.
Soalan berikutnya. Apa yang hendak kita beri jika kita tidak memiliki. Untuk memberi kita perlu memiliki. Bersedekah sebab kita ada harta. Memberi maklumat sebab kit ada maklumat. Mengajar sebab kita ada ilmu. Berkongsi sebab kita memiliki sesuatu yang boleh dibahagi-bahagi. Harta yang dibelanjakan bertambah dengan kuasa Allah. Ilmu yang disebarkan bertambah kerana kita belajar menambahkannya. Guru tidak pernah puashati dengan ilmu yang dimilikinya. Ia ingin memberi yang terbaik untuk anak didiknya. Keran itu guru selalu memberi motivasi kepada anak-anak didiknya supaya sentisa menambah ilmu. Menambah apa yang perlu diketahui. Mengembangkan apa yang sudah banyak. Limpahkan kepada orang lain yang memerlukannya.
Paling seronok sebenarnya ia lah menikmati waktu lapang yang santai. Berlingkar di tempat tidur. Berkisar di hadapan TV. Berjalan-jalan menyedut udara segar. Tetapi rutin yang sama tidak mungkin kita lakukan berulang-ulang berhari-hari. Berminggu-minggu. Berbulan-bulan. Bertahun-tahun. Ada yang lebih penting yang perlu kita lakukan. Fizikal kita tidak boleh dimanjakan tanpa menggunakan mindea kita. Minda yang statik melemahkan sistem pertahana fizikal. Berapa ramai orang yang tewas kesihatannya kerana tidak membuat apa-apa yang berbentuk fizikal dan berfikir. Lebih banyak aktiviti adalah lebih baik. Lebih lasak selayaknya adalah lebih baik.
Tidak semua ilmu berada di hadapan mata. Kadang-kadang lama masa yang diperlukan. Kadang-kadang jauh tempatnya. Jadual hidup kita Allah yang merancang. Kita hanya merancang. Allah yang menentukan makbulnya. Tidak ada jalan pintas untuk memiliki ilmu. Jika ada hasrat yang ikhlas insyaAllah Allah memberi jalan. Allah memberi jalan keluar. Allah memberi pertolongan. Betulkan niat. Luruskan perjalanan hidup. Tingkatkan usaha. Tidak ramai antara kita yang sanggup berjihad dalam peperangan bersenjata. Tetapi ramai yang berani berjihad mencari ilmu. Tidak kira banyak atau sedikit ilmu itu. Yang penting ianya memberi manfaat. Andai tidak kepada orang lain cukuplah kepada anak cucu sendiri. Semuanya di hati kita. Pada fikiran kita. Mudah-mudahan kita direhatkan dalam aman untuk selama-lamanya.