Apabila kita berinteraksi dengan media kita berharap
mendapat maklumat yang positif. Yang benar dan hak. Yang memotivasi. Yang
mengajar manusia ke jalan lurus. Yang diharap membina. Boleh dirujuk. Harus
juga yang syarie. 50 tahun dahulu kebaikan-kebaikan seperti itu lumrah di dalam
media. Sama ada melalui akhbar atau majalah. TV belum begitu banyak ke seluruh
negara. Lagipun TV ketika itu masih sangat siuman. Kewajarannya untuk ditonton
sangat menggamit semua jenis audien. Dalam masa akhir-akhir ini keadaan sudah
berlainan. Banyak berita yang dianggap dusta. Paparan yang bukan hak. Malah
banyak yang tidak syarie. Yang terlebih malang hampir kesemua media itu milik
orang Islam. Mungkin pemerintah. Mungkin milikan individu.
Sudah menjadi sesuatu yang sukar. Hal-hal yang tidak
syarie menguasai kehidupan zaman kini. Jenayah menjadi-jadi. Kelucahan tidak
dapat lagi dibendung. Agama dipinggirkan. Ajarannya diabaikan. Amalannya
ditinggalkan. Jika penulis bertanya kepada pembaca:
“Siapakah
yang akhirnya tidak mendapat manfaat dari kesemua kebobrokan ini?”
Tidak ada satu jawapan yang pasti. Tidak juga
khusus. Antara jawapan yang sukar ialah impaknya kepada anak cucu kita. Mana
lebih kuat antara tarikan yang positif dengan gangguan yang negatif.
Beruntunglah anak cucu yang terdidik dalam kebaikan. Dalam dirinya terbenteng
halangan untuk tidak berbuat maksiat. Serangan yang berbagai dari luar
ditangkis dengan mudah. Mengetahui tetapi tidak tertarik untuk melakukannya. Nampak
tetapi tidak mengulang pandang. Dengar tetapi tidak mendengarnya hingga ke
akhir. Terhidu tetapi menutup hidung. Berada di tengah-tengah kemungkaran
tetapi berasa lemas dan kesesakan nafas.
Itulah generasi yang ingin kita bina bersama. Di bahu siapa?
1
Ibu bapa
2
Guru-guru
Maknanya tiada siapa yang terlepas dari memikul
tanggungjawab tersebut. Jika profesionnya bukan guru dia tetap ibu atau ayah.
Apabila kita pandang keliling, guru dan ibu bapa adalah orang-orang yang paling
dekat dengan anak-anak. Sama ada di rumah atau di sekolah. Sekolah menengah
atau sekolah rendah. Malah yang berada di IPT masih dekat dengan guru-guru yang
dipanggil pensyarah. Ibu dan bapa memiliki autoriti untuk menentukan yang
terbaik kepada anak-anak mereka. Guru juga diberi autoriti untuk membina
generasi yang terbaik untuk negaranya. Antara kedua mereka ibu dan bapa lebih
bebas melakukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Hanya agama dan
undang-undang sahaja yang menghadkan kebebasan mereka. Adat resam tidak
mengikat mereka sepenuhnya.
Guru adalah kelompok manusia yang diberi kebebasan
setakat kebebasan itu sahaja. Tiada apa-apa yang mutlak. Maksudnya kebebasan
guru hanya setakat autoriti yang diberikan kepada mereka. Dalam banyak hal ibu
dan bapa memiliki autoriti ke atas guru-guru.
1
Melalui Persatuan ibu-bapa-guru.
2
Undang-undang.
3
Politik.
Jika kita rangkumkan kesemuanya, ibu dan bapa yang
berada di luar sekolah lebih banyak autoritinya berbanding guru-guru. Mungkin
melalui persatuan. Mungkin undang-undang. Mungkin politik. Ketiga-tiga
institusi ini didominasi oleh ibu dan bapa. Guru-guru berada di luar kelompok
ini kecuali persatuan. Namun demikian apabila ada kejelikitan antara ibu bapa
dan guru. Sebenarnya banyak yang boleh memberi manfaat. Ibu dan bapa tidak
boleh merasa besar kerana yang diajar guru adalah anak-anak mereka. Guru pula
tidak boleh berasa bebas kerana diberi autoriti. Yang perlu diingat ialah
anak-anak (anak didik) yang perlu dijadikan manusia seperti yang termaktub
akhlaknya di dalam al-Quran. Seperti juga yang dihasratkan oleh Falsafah
Pendidikan kita.
Ruang dunia di luar sana banyak musibahnya. Banyak
masalahnya. Banyak yang tidak menjamin keselamatan. Ada sahaja gangguan yang
boleh merosakkan apa-apa yang kita rancang untuk anak cucu kita. Kerana itu ibu
dan bapa perlu membina kekebalan untuk keluarganya. Guru pula membina kekebalan
untuk profesionnya. Ibu dan bapa adalah guru pertama di rumah hingga anak-anak
ke TADIKA atau ke sekolah kebangsaan. Selama lima atau tujuh tahun itu, ibu dan
bapalah guru yang seharusnya terbaik. Penulis ulang, selama lima atau tujuh
tahun itu, ibu dan bapalah guru yang seharusnya terbaik. Belajarlah untuk
menjadi ibu dan bapa yang terbaik. Tidak ada orang lain yang boleh dipindahkan
tanggungjawab itu. Tidak sekali-kali kepada pembantu rumah. Sangat malang dan
sangat malang sekali jika itu yang ibu dan bapa lakukan. Malang bagi generasi
akan datang yang didikannya bukan oleh warganegara yang bertanggungjawab.
Cadangan berikut bukan sesuatu yang ideal tetapi munasabah. Perlu. Barangkali
wajib.
1
Ibu dan bapa mengerti keperluan agama. Mengajar
agama kepada anak-anak. Memantau amalan agama anak-anak.
2
Ibu bapa mengajar anak-anaknya al-Quran.
Bukan ustaz dan ustazah. Sendiri jadi ustaz dan ustazah.
3
Membina akhlak mulia Islamiyyah kepada
anak-anak. Galakkan yang baik dan benar. Elakkan yang mungkar atau maksiat.
4
Pendidikan akhlak Islamiyyah setiap masa
dalam semua hal.
5
Galakkan anak-anak melakukan yang syarie
dan meninggalkan yang berlawanan.
6
Jangan berhenti belajar sama ada secara
rasmi atau tak rasmi. Mungkin banyak bertanya kepada yang alim tentang agama.
Banyak membaca. Banyak membeli rujukan yang bersesuaian.
7
Ada sesuatu yang perlu sangat dilakukan
oleh ibu-ibu. Masak untu suami dan anak-anak. Air tangan ibu sangat baik
sebagai pengikat kasih. Lekat di hati. Dekat dalam ingatan. Rasa sayang yang
mendalam. Jangan abaikan hal ini.
Guru-guru juga perlu ke arah agama.
1
Guru-guru mengerti tuntutan agama dalam
mendidik anak-anak didik mereka.
2
Setiap matapelajaran atau topik ada
sentuhan agama supaya agama menjadi benteng kepada fahaman atau ideologi yang
menyalahi agama.
3
Membina akhlak mulia Islamiyyah kepada
anak didik. Galakkan yang baik dan benar. Elakkan yang mungkar atau maksiat.
4
Pendidikan akhlak Islamiyyah setiap masa
dalam semua hal.
5
Galakkan anak didik melakukan yang
syarie dan meninggalkan yang berlawanan.
6
Jangan berhenti belajar sama ada secara
rasmi atau tak rasmi. Mungkin banyak bertanya kepada yang alim tentang agama.
Banyak membaca. Banyak membeli rujukan yang bersesuaian.
Ibu bapa dan guru menjadi benteng terakhir untuk
melahirkan generasi berakhlak pada masa hadapan. Kita tidak mengharap orang
lain kerana mereka yang lain banyak agenda lain. Ibu bapa dan guru sahaja yang
agenda khususnya untuk memanusiakan anak-anak. Andaikata ibu bapa dan guru
terlepas peluang ini maka yang kita lahirkan bukan seperti yang kita hasratkan.
Kebaikan hendaklah dididik. Kebenaran hendaklah ditunjuk. Yang muda dibimbing.
Dinasihat. Ditunjuk ajar. Dibawa ke dalam arus agama. Arus yang membawa jalan
lurus. Pilihlah yang syarie.