Islam itu indah. Mereka yang yakin berada di dalamnya
selamat dalam pemeliharaan Allah. Antara yang beruntung adalah mereka yang
banyak dakwahnya. Mengajak kepada kebenaran. Kepada kebaikan. Kepada kebajikan.
Menghalang pula dari berlakunya kebatilan. Dari kemaksiatan. Dari kemungkaran.
Dari hal-hal yang merugikan diri. Merugikan ummah. Merugikan agama. Dalam
konteks dakwah Nabi berpesan: Sampaikanlah walaupun satu ayat. Sebarkan
walaupun kelihatan amat sedikit. Terlihat tidak langsung ada signifikannya.
Walaupun mungkin orang tidak akan memandangnya dengan sebelah mata. Sebagai
Muslim kita wajib melakukannya kerana Allah menghendakinya. Allah memerintahkan
kita berbuat kebaikan dan meninggalkan yang mungkar.
Ramai Muslim dikategorikan sebagai mereka yang
berjalan atas dasar sirot al-mustaqim. Mencari kebenaran. Jalan lurus yang
selalu dianjurkan agama. Dalam agama, kita bukan sahaja meluruskan jalan diri kita
sendiri tetapi juga untuk kaum kerabat, untuk seluruh masyarakat serta ummah
sejagat. Di sekeliling kita ramai mereka yang perlu ditarik perhatiannya. Perlu
dibawa ke jalan lurus. Perlu dibimbing. Perlu dididik ke jalan yang diredhai
Allah. Dengan izin Allah mereka yang berdakwah ramai juga dari kalangan mereka
yang bukan berlatarbelakangkan agama. Tidak menuntut secara khusus dalam bidang
agama sewaktu di sekolah menengah atau di IPT. Allah buka jalan kepada mereka
untuk mendekati agama dan dakwah setelah mereka dewasa. Ramai juga Muslim yang
dekat dengan agama walaupun pada awalnya mereka menceburi bidang lain yang
bukan bidang agama. Malah kadang-kadang dilihat jauh dari agama. Umpamanya
mereka terlibat dalam industri hiburan. Hidayah dari Allah membawa mereka lebih
taqarrub (mendekat) kepada Allah. Alhamdulillah. Selayaknya kita
mensyukuri hidayah yang Allah anugerahkan kepada mereka.
Terdapat dua pandangan yang bertentangan terhadap mereka
yang memasuki jalan lurus anjuran agama. Apabila mereka berjinak-jinak dengan
agama. Apabila mereka aktif dalam berbagai manhaj agama.
1
Mereka jinak dengan agama.
2
Menutup aurat.
3
Mempelajari agama.
4
Hadir dalam majlis-majlis agama.
5
Beramal dengan amalan agama.
6
Mengerjakan kebaikan.
7
Di samping itu ramai antara mereka yang asalnya bukan
Muslim mendapat hidayah lalu menganut Islam sebagai agama pilihan yang terbaik.
Bagaimanapun terdapat dua pandangan sama ada yang
positif atau yang negatif. Pada dasarnya ramai ahli masyarakat yang lebih
positif tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Atau
kepada mereka yang menjadi ahli baru keluarga Islam.
1
Mereka memberi sokongan.
2
Memberi bantuan fizikal, mental, psikologi dan
material.
3
Menjadikannya sebagai janaan dakwah untuk berdakwah
lebih kuat dan lebih berjaya.
4
Melahirkan mubaligh-mubaligh unggul.
Namun demikian terdapat juga Muslim yang syak wasangka
tentang penghijrahan mereka ke jalan agama. Ke jalan Allah.
1
Mereka dicemburui.
2
Mereka dicemuh.
3
Mereka diiring dengan prasangka jahat.
4
Usaha mereka dipandang rendah dan tidak signifikan.
5
Usaha mereka dilihat seolah-olah tidak memberi impak.
6
Mereka diserang dengan sindiran tajam yang menyentuh
perasaan. Bukan sahaja kepada yang empunya diri malah kepada sebahagian besar
masyarakat d luar sana. Sungguh amat menyedihkan.
Paling mengejutkan ialah apabila terdapat tokoh agamawan
yang mencemuh penghijrahan golongan ini. Selayakya mereka dibimbing dan dibelai
supaya penghijran mereka memupuk semangat ukhwah Islamiyyah. Terlalu
mendukacitakan cemuhan yang mereka terima. Maka kedengaranlah antaranya
ungkapan sinis:
1
Wujudnya ustaz dan ustazah ekspress.
2
Pendakwah yang menggunakan seni seperti lawak, lagu
dan seloka.
Jadilah guru yang mengambil tanggungjawab untuk
memandaikan. Jadilah daie yang tanggungjawabnya membawa orang lain ke jalan
benar. Jika gagal kita semua yang gagal. Jika berjaya sama-sama kita lebarkan
kejayaannya. Usaha dakwah adalah usaha bersama. Perlu adanya pedagogi dan
psikologi. Perlu ada uslub dakwah yang mantap. Sama-sama kita amati firman
Allah berikut:
Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu
dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan
jalan yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah lebih mengetahui siapa yang sesat
dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk. (An-Nahl 16:125).
Kita perlukan kepimpinan agama yang bersifat positif.
Sikapnya positif. Memandang sesuatu dari sisi yang memberi harapan. Apabila ada
antara kita yang kembali menghayati agama maka berilah seluruh bantuan untuk
mendampinginya. Kita perlu menghindar dari memberi layanan yang tidak
saksama. Diri kita bukan selamanya yang
terbaik. Tahap pendidikan bukan ukuran kehebatan seseorang secara mutlak. Sesungguhnya
kehebatan bukan milik kita. Ianya milik Allah. Manusia seperti kita perlukan
akhlak yang boleh dicontohi. Semakin tinggi pendidikan sewajarnya lebih indah
bahasa dan bicaranya. Lebih tinggi kedudukan sewajarnaya lebih insaf akan
kedudukan orang-orang yang di bawahnya. Mereka yang berada di tempat yang
tinggi perlu membawa mereka yang di bawah untuk naik sama tinggi. Bukan
sebaliknya menafikan hak orang lain untuk naik sama dalam apa bidang sekalipun.
Seeloknya santuni kelemahan dan kekurangan orang lain di samping untuk membantu
mereka. Mudah-mudahan terhindar diri kita dari fitnah kerana kejumudan
pemikiran kita sendri. Mengenai hal ini Allah telah memberi ingatan dalam
al-Quran:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
kamu menjadikan pemimpinmu orang-orang yang membuat agamamu jadi bahan ejekan
dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelumnya
dan orang-orang kafir (orang musyrik) dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu
orang-orang beriman. (Al-Maidah 5: 57).
Kita perlu membanyakkan sentuhan indah pendakwah yang
kasih dan sayang. Yang santun dan lemah lembut mengusap perasaan. Yang membuai
impian indah masa hadapan yang penuh cabaran. Yang memberikan harapan cerah bak
bintang dan bulan. Mereka yang baru berjinak usah dinyahpergi. Tidak ditarik ke
dalam gelanggang yang sewajarnya. Ke dalam dakapan kasih dan sayang agama. Sewajarnya
paradigma dakwah kita lebih global. Lebih memberi ruang. Lebih memberi akomodasi.
Lebih memberi resapan asimilasi. Kita terlalu melihat fizakal. Terlalu melihat
keturunan dan bangsa. Melihat kedudukan yang bukan apa-apa. Sedangkan yang
penting ialah Islam dan iman.
1
Buka dada dan berlapang fikiran.
2
Membantu mereka yang sudah melangkah ke jalan yang
hak.
3
Membimbing ke arah yang lebih mantap.
4
Membawa mereka ke dalam wadah Islamiyah yang benar.
5
Jadikan mereka ahli jamaah yang non-partisan terhadap
politik.
Dakwah selalunya dilakukan terhadap mereka yang jauh
dari mengerti tentang agama. Dalam kelompok ini tedapat mereka yang masih
terlalu sedikit ilmu agamanya dan mereka yang dalam kategori bukan Islam. Usaha
hendaklah menarik mereka perhalan-lahan dengan momentum yang istiqamah. Apabila
mereka telah bersedia barulah diberi kejutan-kejutan segera supaya diri mereka
yang sudah beriman dan selesa dengan amalan Islam semakin teruja untuk lebih
indah Islamnya. Lebih kukuh imannya. Lebih pula berusaha untuk menjadi pimpinan
dakwah. Membina rangkaian dakwah dan bergerak untuk memeriahkan agama. Memakmurkan
agama. Sangat malang apabila mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan
Islam menerima kecaman. Yang berdakwah secara alternatif pula diperlekehkan.
Ada sesuatu yang penulis selalu teringat. Apabila kita
menutup aib orang lain maka Allah akan menutup aib kita. Sebaliknya apabila
kita membuka aib orang lain maka aib itu kembali kepada kita. Kita melihat
dengan jelas proses memperlekeh orang lain mendapat sokongan ramai. Dengan
gendang yang bergempita. Dengan sorak dan tangan bertepuk. Tetapi apabila
kehinaan kembali kepada diri sendiri tiada siapa yang membantu. Tiada yang
membela. Tiada yang menunjukkan sokongan. Terlihat mereka yang dihina Allah
menerima apa yang disebut di Barat sebagai sindrom Barbara Streisand. Semakin
menolak maka semakin tersebar kehinaannya. Kenapa antara sesama Islam tiada
faham memahami. Bahawa setiap orang ada kelainannya. Walaupun manhaj dakwah ada
proses, rukun dan kaedahnya yang tersendiri tetapi mereka yang arif perlu
membantu. Perlu meraikan kelainan. Membantu mana yang sudah terkekahadapan.
Bina lagi rangkaian yang lebih menyerlah.
Menyerang tanpa berfikir panjang hanya memadamkan
cahaya dakwah yang mula berkembang. Mengguris hati yang sedang merebung. Cahaya
Islam yang mula menyerlah. Cahaya iman yang mula memancar. Andainya kita tidak
dapat menyediakan alternatif yang lebih baik, biarkanlah orang lain maju ke
hadapan melebihi diri kita sendiri.
1
Terima kenyataan akan kebaikan yang tercipta.
2
Lapangkan dada untuk menyokong.
3
Lapangkan fikiran untuk menerima kelainan.
4
Luaskan pemikiran untuk menerima yang baru.
5
Pandang objektifnya. Yang baik beri motivasi
seterusnya.
Apa yang terlihat di Malaysia ialah usaha dakwah yang terpencar.
Tidak ada kelompok rujukan yang boleh dijadikan jamaah besar. Yang boleh
diambil manhajnya. Yang boleh menambahnilai usaha dakwah pihak lain. Namun
begitu masyarakat umumnya mengetahui
pendakwah yang progresif. Yang mencahayakan masyarakat. Yang banyak membantu
mencerahkan kekeliruan. Tugas mereka yang berautoriti ialah memberi sumber
kekuatan prasarana. Minta maaf banyak-banyak. Jika politik terlalu menyaluti
agama sekalipun, sinar agama tetap menyerlah. Tetap terang benderang. Tetap
menyilaukan. Allah tetap membantu yang baik. Sesunguhnya Islam itu indah.
Lihatlah dari sudut mana sekalipun, keindahannya tetap terpancar dan terpencar.
Ambillah iktibar. Kepada mereka yang ditimpa cemuhan
anggaplah ianya suatu ujian. Suara-suara sumbang itu harus dianggap sebagai
dorongan untuk bekerja lebih kuat lagi ke arah kebaikan. Pada hakikatnya yang
baik tetap mendapat pertolongan Allah. Insyaallah. Ikhlaskan hati dan perasaan.
Teruskan usaha yag baik semata-mata kerana Allah. Bukan untuk yang selain
dariNya. Bagi yang terlajak kata inilah masa untuk muasabah diri. Surut
sebentar ke belakang untuk melihat kembali salah silap yang telah berlaku. Sama-sama kita menginsafi diri kita atas kelemahan kita sebagai manusia yang tidak sunyi dari khilaf. Mudah-mudahan
mendapat keampunan Allah. Mohon maaf atas salah silap.