Bila kali terakhir kita bercinta? Semasa
kegilaan remaja dahulu. Benar. Tetapi mungkinkah selepas itu kita jatuh cinta
lagi. Dan lagi. Dan lagi. Jangan lupa bahawa ada orang lain yang tidak pernah
bercinta. Tidak ada rasa cinta. Yang ada hanya kasih sayang. Dekatnya tidak
dirindui. Jauhnya juga tidak dirindui. Biasa-biasa sahaja. Ada dan tidak ada
serupa sahaja. Hidup diterima seadanya. Barangkali situasi sebegitu agak luar
biasa. Orang dahulu kala mungkin begitu. Orang sekarang kebanyakannya bercinta.
Ada yang bercinta sebelum berumahtangga dan ada pula yang bercinta selepas
berumahtangga. Cinta menjadi resepi indah alam remaja sehingga ke jinjang pelamin.
Atau sehingga berumahtangga.
Bagi mereka yang sudah berumahtangga,
cuba pandang diri masing-masing. Lihat ke atas dan ke bawah. Pandang cermin
lama-lama sedikit. Pandang pasangan yang selalu berada di hadapan mata. Masih
ada rasa cinta? Bagaimana kadarnya? Semakin bertambah. Atau mendatar. Atau
menurun. Atau tenggelam dan timbul ikut suasana. Anda di dalam bahtera yang
melalui lautan luas. Tahu tepinya tetapi untuk sampai di tepi itu anda tidak
tahu bila dan bagaimana. Atau di mana agaknya. Suami tetap menjaga kemudi.
Isteri pula membantu semampunya. Lautan tenang atau bergelora sama sahaja
pernannya. Masing-masing sudah ditentukan kedudukan dan natijahnya. Memahami
peranan itu satu cerita. Mengerti cerita lain. Empati satu cerita yang lebih
lain. Mencipta sinergi antara keduanya tentulah cerita yang lebih besar. Menjana
kebahagiaan adalah dambaan keduanya.
Mungkin ramai tertanya-tanya akan cinta
ini. Benarkah cinta hanya datang sekali. Yang lain hanya berahi. Semak semula
siapa anda. Di kategori mana anda berada. Baik atau tidak baik atau setengah
baik dan setengah tidak baik. Atau gabungan kesemuanya. Mengapa? Kita semua
manusia biasa. Ada sifat-sifat tersebut. Pendidikan, kedudukan dan pengalaman
memahirkan kita membuang yang buruk dan menimbulkan yang baik. Alhamdulillah.
Masih jatuh cinta lagi? Alhamdulillah. Cinta itulah yang membuatkan kita hidup.
Segar menjalani kehidupan. Masih besar mengharap harapan di hadapan. Kerana cinta
kita bersama. Kerana cinta kita berkasih. Kerana cinta kita mendakap bersama.
Kehangatan kebahagiaan yang berpanjangan sepanjang masa. Masih jatuh cinta
lagi. Kenapa tidak. Kita masih memerlukannya. Kita masih mencarinya. Kita masih
ingin dengan keberadaanya.
Terjemahannya berbeza. Realitinya
berbeza. Agak luar biasa apabila lelaki tidak pernah bercinta lagi. Usia bukan
halangan. Fitrah lelaki memang untuk jatuh cinta dan mencintai. Maaf, ini bukan
cerita lelaki yang bersifat keladi. Ini realiti lelaki. Bukan juga cerita
wanita yang hilang kewarasannya. Cinta singgah di setiap hati dan perasaan
kita. Ia bertahta lama tetapi ada yang singgahsananya hanya sekejap waktu. Dalam
hal itu cuba tinjau kembali perasaan kita sendiri. Bila kali terakhir anda
jatuh cinta. Tidak mungkin zaman bercinta sudah berlalu. Allahyarham Agus Salim,
seorang ulamak Indonesia yang tersohor selain dari HAMKA, masih berpimpin
tangan dengan isterinya apabila berjalan. Sehingga hari tuanya. Sehingga saat-saat
akhir usianya. Kepadanya ia sentiasa jatuh cinta terhadap isterinya.
Kita wajib jatuh cinta terhadap isteri
sendiri. Begitu juga isteri jatuh cinta terhadap suaminya. Usia bukan penamat
cinta. Rupa paras bukan dambaan cinta lagi. Sifat-sifat baru yang datang bukan
menamatkan fitrah jatuh cinta. Tidak mungkin cinta hanya pada kulit yang gebu. Ketika
gigi kuat memecah tulang. Ketika rambut kemas disisir. Ketika kaki kuat
menendang, berjalan, mendukung dan berdiri lama kerana berkerja dan beramal. Ketika
telinga masih mendengar yang seni. Ketika mata masih terlalu awas. Cinta juga
menuntut usia. Tetapi cinta itu sematang usia. Seindah usia. Sebahagia masa
yang dilalui bersama. Banyak kali jatuh cinta sesama pasangan adalah resepi
yang memanjangkan usia itu sendiri.
Bagaimana boleh luntur rasa cinta. Bagaimana
cinta boleh jatuh ke tangan orang lain. Bagaimana orang boleh mencintai orang
yang beralih cintanya. Cinta itu datang dengan terpaan yang mengujakan. Ciptakan
suasana sebaiknya yang boleh menggamit cinta dari pasangan masing-masing. Sayang
yang tidak pernah hilang. Rindu seperti yang tidak kesampaian. Mengulit tidak
mahu berpisah. Mencanda seperti memikat. Ada bisikan-bisikan berirama indah
menghalwa telinga yang menunggu halusnya bahasa. Pandang matanya yang sayu
merayu. Selami hatinya yang indah di dalam. Pandang rasanya cinta yang disimpan
jauh di sudut hati. Yang membesar lalu tumpah mekar dalam layan dan
kebersamaan. Buanglah sifat Melayu yang terlalu malu walaupun terhadap pasangan
masing-masing. Buka bibir dan gerakkan lidah seberapa seringan yang boleh. Aku sayang
padamu. Seperti dahulu yang diulang-ulang lagi. Dan lagi. Dan lagi. Tiada pasangan
yang puas mendengarnya. Tidak kira berapa kali banyaknya.
Alangkah bahagianya jatuh cinta
berulang-ulang kali. Mensyahdukan hati yang rindu. Terungkap indah bait-bait
irama cinta itu sendiri. Rosaklah irama dan lagu jika cinta dilontar kepada
orang lain. Jatuh kepada bukan yang wajar. Mencari kewajaran sendiri. Ada yang
masih setia menunggu untuk dijatuhi cinta. Cinta yang bukan berjarak masa. Bukan
berjarak jauh. Cinta, sayang dan rindu yang beriring setiap saat menghela nafas
segar. Hidup dan menghidupkan. Semakin lama bersama sewajarnya semakin indah
kisah cintanya. Semakin segar kebersamaannya. Lingkaran kasih itu menambat
kuat. Melingkari seluruh apa yang ada. Di manapun kita berada cinta itu
bertahta selamanya di hati. Dipupuk dan dibelai. Membahagiakan selalu.
InsyaAllah. Berpanjangan hendaknya.