Tuesday, December 28, 2010

Kebahagiaan Yang Eksklusif Tetapi Elusif

Rasanya tiada manusia yang terkecuali dari mencari kebahagiaan. Yang dambakan kebahaqgiaan. Yang seluruh hidupnya komited untuk membahagiakan diri dan orang-orang yang ada di sekelilingnya. Kekasihnya. Tunangnya. Pasangannya. Tetapi kebahagiaan itu sangat individualistik. Setiap orang ada bicaranya. Setiap orang ada kriterianya. Setiap orang ada nilai mutunya. Ada standardnya. Ada kualitinya. Ada piawaiannya. Masing-masing menentukan apa yang memberi erti kepada diri masing-masing. Sebab itu kebahagiaan adalah sesuatu yang eksklusif kerana yang punya diri sahaja yang mengetahui apa sebenarnya kebahagiaan yang dicari.

Ini tidak bermakna bahawa kebahagiaan itu tiada hubungkaitnya dengan manusia lain. Malah jauh dari pemikiran tersebut. Tidak ada manusia yang hidup sendiri. No man is an island. Kebahagiaan yang dicari manusia dalam apa bentuk sekalipun ada hubungkaitnya dengan manusia lain. Kehidupan manusia tidak sempurna tanpa wujud manusia lain. Adam telah digandingkan dengan Hawa. Yusof dengan Zulaikha. Dan begitulah Romeo dan Juliet, Uda dan Dara.

Barangkali yang paling banyak dibicarakan tentang kebahagiaan ini adalah hubungan peribadi. Hubungan dua insan yang berlainan jantina. Yang mungkin sebagai kekasih. Sebagai tunang. Sebagai pasangan. Ketiga-tiganya mempunyai tahap, mempunyai proses yang berbeza-beza dari tahap mencari yang serasi sehingglah mereka berumahtangga. Kebahagiaan itu pula mengikut norma-norma yang berbeza. Ia mengikut agama. Berkaitan dengan bangsa. Kelainan budaya yang diikuti. Tempat yang memberi erti. Masa yang menentukan kesetiaan dan menentukan kebahagiaan itu sendiri. Kebahagiaan yang membina suasana. Pada ketika-ketikanya kebahagiaan itu berlalu dan pergi.

Kita melihat bagaiman cinta itu boleh berkembang. Bahagia itu boleh mendatang. Tenteram itu boleh menjelang. Nikmat itu boleh melayang dekat. Tetapi pada masa yang sama, dalam jangka waktu yang berbeza-beza, dalam jangka waktu yang penuh dengan naik dan turun. Dalam jangka waktu yang seperti ayunan naik dan ayunan turun. Ia mewujudkan getaran dan gelombang. Memberikan isyarat dan tanda. Bahawa ianya tidak pernah kekal lama. Kebahagiaan bukan sesuatu yang azali. Kecualilah kita telah sampai di alam ukhrawi. Ia adalah sesuatu yang terjadi, sama ada disengajakan atau secara kebetulam atau anugerah Tuhan kepada hambaNya. Ia hanya pemberian suatu kesempatan. Maka kebahagiaan itu datang, datang dan datang. Pergi dan datang berulang-ulang.

Lalu kita bertanya, kebahagiaan itu di mana? Adakah di mata? Kerana mata itu selalu memandang dengan sejuk. Dengan damai. Dengan rasa yang penuh dirasa. Tetapi mata sebagai mata, banyak pandangananya yang bercabang. Mungkin melihat dengan mata kasar. Memahami apa yang kasar tetapi tidak melihat dengan mata hati kerana hati selalu melihat yang seni. Melihat yang halus. Yang tidak dapat diterjemahkan dengan mata kasar. Mata kasar selalu tersasar. Yang dilihatnya ialah luaran. Sedangkan luaran itu selalu diselaputi dengan sesuatu yang baru. Selalu yang berganti. Selalu yang ditampal-tampal. Selalu pula diubahsuai. Mata tidak dapat melihat apa-apa yang terlindung. Apa yang di sebalik sesuatu.

Lalu adakah kebahagiaan itu kecantikan? Malangnya beauty is but a skin deep. Ia luntur kerana masa. Kerana tua yang mengerut dan mengedutkan. Cacat cela kerana penyakit. Dan banyak lagi yang melunturkan kecantikan. Dan bila mata bergantung pada kecantikan, maka mata itu menjadi keliru. Adakah mata melihat kepada kemewahan? Tetapi manusia yang terlalu mewah ia merasa jemu dengan kemewahan itu. Sudah hilang cabarannya. Hilang cabarannya. Hilang seri indahnya. And most people failed. Many people failed to uphold their wealth. Mereka gagal menangani kekayaan. Mereka gagal menangani kemewahan. Mereka gagal menangani kejayaan. Ramai yang tumpas kerananya. Tumbang di tengah jalan. Layu sebelum berkembang. Menguntum tetapi tidak mengembang. Memutik tetapi tiada buah di akhir musim.

Adakah kebahagiaan itu di mulut? Diungkap, dikata, dibicara. Dilontarkan dan dibilang-bilang. Dengan bahasa yang merdu, rawan, hiba. Gundah gulana. Yang menyemarakkan hati. Mengembangkan diri. Melunakkan sanubari. Tetapi ramai pula yang menyalut bibirnya bukan dengan manisan. Bukan dengan tebu. Bukan dengan gula. Tetapi dengan racun berbisa. Tutur kata yang menghiris. Tutur kata yang menyiat-nyiat hati. Tutur kata yang menyakitkan. Tutur kata yang meremukkan perasaaan.

Dan apakah kebahagiaan itu di telinga kerana banyak suara lunak yang didengar. Banyak keindahan rayuan, pujukan yang datangnya dari suara. Yang didengar dari telinga. Yang dibisikkan. Yang dihamburkan. Yang disalurkan. Tetapi kenapa telinga kita biasa letih mendengar bicara yang diulang-ulang kerana semuanya adalah retorik semata-mata. Bahasa yang direka-reka. Bahasa yang tidak ada nyawa. Bahasa yang tidak ada roh sehingga ia menjadi hambar. Tawar dan jauh dari rasa nikmat.

Adakah kebahagiaan itu di hati? Yang dalam duduk menghuni, bermukim. Lalu dia membesar. Bergelombang mencipta pelangi-pelangi indah. Yang nanti dilukiskan pada wajah-wajah yang serba dicipta indah. Gambaran-gambaran pelangi yang pancawarna. Yang spektrumnya merentas angkasa. Tetapi pelangi adalah pelangi. Yang indah, berjalur, bercahaya. Tetapi realiti yang tidak dapat dirasa. Realiti yang tidak dapat dipegang. Yang tidak dapat disimpan. Yang tidak dapat dilihat berulang-ulang tayang. Kejarlah pelangi itu. Tetapi ia bukan realiti. Seperti tidak ada. Sememangnya pun ia tidak ada. Tidak ada gunanya mengejar pelangi. Kita hanya boleh sekadar memandangnya.

Adakah kebahagiaan itu dari kebersamaan? Bila kita bersama kita merasakan elektrik dan kimia yang menjangkaui, mengikat hati. Yang menyemai benih-benih kasih yang membina pepohon bintang. Yang berbunga wangi, harum. Lalu ia menyebar. Menaungi, meanugi ruang lingkup redup nyaman bagai taman-taman yang sentiasa kehijauan. Keberadaan yang mendekat mendamaikan. Keberadaan yang meresapkan keindahan merasa di sanubari. Yang menyenangkan. Yang menyayangkan. Yang menenangkan.

Adakah kebahagiaan itu kerana redha? Bahawa yang dicita tidak kesampaian. Bahawa yang diminta tidak pernah diberi. Yang diterima tidak semestinya seperti standardnya. Kualitinya. Nilainya. Mutunya. Redha membawa makna yang sangat besar. Redha itu datangnya dari dalam. Dari keikhlsan. Dari bulatnya hati memenuhi iman dan taqwa. Kerana anugerah dalam bentuk apa sekalipun wajib disyukuri. Kerana datangnya dari Allah Yang Maha Besar. Rasulullah tidak kaya. Tidak senang. Tidak mewah. Tetapi baginda bahagia dengan Rabbnya. Abu Bakar menghabiskan seluruh hidupnya. Seluruh harta bendanya. Demi Rasulullah, kekasih Allah. Dan Allah sangat-sangat adil. Maha Adil. Umar meninggalkan kaumnya, pangkatnya, kedudukanya semata-mata mencari kebenaran. Ia berputar 180 darjah. Dari seorang yang ganas, yang rakus, yang dzolim. Akhirnya menjadi orang yang sangat kebal taqwanaya. Sangat utuh imannya. Hingga syaitan tidak melintas di hadapannya.

Begitulah manusia mencari kebahagiaan. Yang berbagai-bagai. Tetapi the ultimate kebahagiaan yang tulen. Yang autentik adalah kebahagiaan bersama Allah. Kita hidup keranaNya. Dan ingatlah kita akan kembali kepadaNya. Kebahagiaan itu eksklusif kepada diri tetapi untuk meraihnya sangat elusif. Berbahagialah dengan apa yang ada. Jagalah ia seadanya. Ia elusif. Sukar menemuainya kembali bila terlepas dari tangan.