Tiada siapa yang tahu apa yang kita inginkan. Yang kita harap. Yang kita cita-citakan. Tiada siapa yang tahu kecuali diri kita sendiri. Apabila kita yang empunya diri sendiri tidak tahu apa yang kita inginkan maka kita selalu berada dalam situasi sukar. Segala yang dibuat tidak banyak kenanya. Apa yang kita dapat tidak banyak manfaatnya. Apa yang kita cari tiada tajuknya. Tiada fizikal yang nyata. Malah kadang-kadang bayang-bayangnya pun kita tidak tahu. Bukan itu sahaja, kita menyusahkan orang lain. Gelisah kita tiada isyaratnya untuk dibantu. Gundah kita tiada pertolongan yang nyata. Marah kita tiada puncanya. Sedih kita tiada inti patinya. Orang lain menjadi susah. Mereka berada di sekeliling kita. Fitrah manusia memiliki rasa ingin untuk membantu. Jika untuk membantupun tidak boleh tentulah orang lain menjadi resah sama. Mungkin juga yang senang menjadi bertambah rumit. Kusutnya bertamba masai. Kelamnya bertambah kabut. Masalahnya tidak juga selesai. Keputusannya tiada.
Dalam diri kita ada jasad dan perasaan. Rasanya jasad mudah diatur. Mudah diurus. Yang lebih sukar ialah mengurus perasaan. Padanya ada nafsu yang berkeinginan berbagai-bagai. Untuk mengawalnya
1 Pelajari apa yang tidak diketahui
2 Senaraikan apa lagi yang belum diketahui
3 Jadualkan apa yang diingini
4 Buat perancangan dari segi masa dan kos
5 Bulatkan hati. Kuatkan semangat. Laksanakan jadual mengikut tertibnya.
Perubahan tidak boleh dibuat mengikut sesuka perasaan. Perlu ada pertimbangan akal yang menasabah. Perubahan fikiran boleh diizinkan dalam keadaan tertentu. Tetapi tidak digalakkan dalam banyak keadaan. Kita hendaklah membuat perancangan yang sewajarnya dalam kehidupan kita sendiri. Membuat perancangan tentang apa yang kita perlukan dalam hidup kita. Kita tidak boleh
1 Melambatkan yang banyak kebaikannya
2 Mempercepatkan yang banyak buruknya
3 Membuat perubahan dalam masa yang singkat
4 Melibatkan kos yang tinggi di luar bajet
5 Melakukan sesuatu yang konsekuannya dijangka negatif
6 Melakukan sesuatu yang impak jangkapanjangnya merumitkan
7 Melakukan ketidakselarian dengan perundangan yang sedia ada
8 Melakukan perlanggaran hukum-hakam agama.
Sekadar contoh. Seorang pekerja pembersihan boleh dengan mudah menukar atal pembersihan yang digunakan asalkan tidak melanggar kontrak. Tetapi tidak mungkin dia boleh menukar jadual bekerja sesuka hati. Dirinya dan tugasnya ada kaitan dengan jadual organisasi, jadual perbandaran, jadual masyarakat sekeliling. Pejabat hendaklah dibersihkan sebelum ianya dibuka untuk memulakan aitivitinya. Bukan sewaktu aktivitinya sedang berjalan. Pegawai-pegawai yang bertugas terganggu. Pelanggan yang datang mendapatkan perkhidmatan juga terganggu. Lantai baru disapu. Debu dan sampah baru disapu. Bakul sampah baru hendak dikosongkan. Suasana menjadi tidak selesa. Sampah dengan sifat kotornya dibawa lalu lalang di hadapan pelannggan. Sampah yang mungkin berbau busuk mencemarkan udara di sekeliling. Kontraktor pembersihan seharusnya melibatkan orang-orang yang amanah tentang kebersihan. Tentang jadual kerja pejabat. Tentang pentingnya pembersihan itu sendiri. Pembersihan bukan sekadar membuang sampah dan debu. Ia melibatkan siatem kesihatan, keselesaan dan kenteraman psikologi. Sebab itu agama Islam mementingkan kebersihan. Kebersihan sebahagian penting dari iman.
Untuk melancong pula melakukan perubahan jadual sangatlah sukar dilakukan. Jadualnya sudah diatur dengan ketat. Lama dan lebih awal. Aturcaranya padat. Ada ketentuan awalnya dan ada ketentuan akhirnya yang kesemuanya melibatkan kos yang tinggi. Perubahan adalah kos. Perubahan yang sedikit sekalipun pasti melibatkan kos yang beribu ringgit kerana semasa melancong bukan kita seorang yang terlibat. Ia melibatkan kesemua ahli rombongan atau peserta. Sebab itu dalam jemaah, kita tidk boleh pentingkan diri. Tidak boleh nakal seorang. Lebih baik keluar dari jemaah dari melibatkan untuk menyusahkan orang lain yang tiada kena mengena dengan masalah diri kita sendiri. Perubahan ada jadualnya yang melibatkan banyak pertimbangan dari segi tempat menginap, pengangkutan, penerbangan, makan dan minum. Apabila jadual telah dipersetujui, bayaran biasanya dibuat segera. Jika tidak bayaran penuh, jumlah yang dipersetujui dimasukkan ke dalam akaun. Atau cara-cara bayaran yang dipersetujui. Tempahan-tempahan awal tidak memungkinkan perubahan. Mungkin sedikit perubahan yang melibatkan beberapa minit atau sejam dua. Tidak mungkin sehari dua. Hari mungkin diterjemahkan menjadi minggu dan bulan. Kesemuanya melibatkan waktu bertolak. Waktu kembali. Waktu lawatan.
Pada hakikatnya kita hendaklah mengetahui dengan pasti apa yang hendak kita buat. Apa yang kita inginkan sebenarnya. Meminta pada yang ada. Menuntut pada yang hak. Hasil yang akan kita perolehi diperincikan dengan sewajarnya. Andainya kita boleh membuat gambaran akan kesan sesuatu perubahan sama ada secara fizikal atau secara visual, banyak perubahan yang boleh dibuat dengan bijaksana. Akan tergambar rekabentuknya, warnanya, bahan yang digunakan, cuacanya, suhunya, jauh dan dekatnya. Akan tergambar pula kos yang bertambah. Masa yang terlibat. Apabila kesemua yang dirancang telah mustaid, ada satu lagi hal yang perlu diri kita pertimbangkan dengan saksama. Terimalah segalanya dengan redha. Itu perancangan kita. Pilihan kita. Sebahagian yang kita dapat memenuhi keperluan keinginan kita. Bentuknya mungkin berubah. Kebenaran melebihi dan melampaui hakikat yang dituntut. Allah menganugerahkan sesuatu yang paling sesuai dengan keperluan kita. Yang sesuai dengan fitrah kita. Kemampuan kita menerima dan menanggungnya. Kerana itu menerima perubahan kadang-kadang perlu. Kita merancang. Allah merancang. Sesungguynya perancang Allah melebihi segala-galanya.
Dalam sesuatu perkara yang berkisar di sekeliling kita banyak kekurangannya yang tidak memuaskan hati kita. Pada suatu hal kekurangan itu kerana kita tidak mengushakannya sehingga semaksimum mungkin. Cuba fikir lebih jauh. Siapa yang secara mutlak menentukan apa yang kita dapat. Apabila kita boleh akur bahawa segala-galanya ditentukan oleh Allah maka barulah kita boleh faham erti syukur. Erti memahami kuasa Allah. Bahawa Allah yang menentukan segala sesuatu. Kerana itu apa-apapun yang Allah tentukan untuk diri kita wajib diterima dengan senang hati. Redha mendamaikan perasaan. Menenangkan qalbu. Cuba buat skala kepuasan. Apa yang kita ada lebih baik dari kebanyakan orang. Pada masa yang sama ianya kurang dari sedikit orang. Dalam banyak hal kedudukan kita masih jauh lebih baik dari kebanyakan orang lain. Maknanya kita bukanlah berada di tahap yang hina dina. Bukan pula serba kekurangan. Kita berada dalam situasi selamat, senang dan menang dalam kehidupan yang singkat dan penuh cabaran ini.
Dalam misi hidup kita, seharusnya kita melakukan yang terbaik untuk diri kita. Belajar dari banyak kesilapan masa lalu. Apa-apapun supaya perancangan kita selalu mendekati kejituan kita hendaklah menghimpunkan pengalaman dan penyelidikan. Ramalan kadang-kadang memberikan panduan tertentu walaupun ramalan itu tidka saintifik. Cukup dengan pengalaman masa lalu. Sebagai panduan buatlah perancangan apa sahaja dengan
1 Perancangan yang jelas objektifnya
2 Menerima hal-hal sampingan yang Allah datangkan
3 Minda hendaklah terbuka
4 Fizikal yang didatangkan dari tenaga minda
5 Memperluas input dan output
6 Mengagenda masa
7 Mengagenda peluang
8 Membuka minda
9 Menerima kehadiran orang lain sebagai pelengkap dan pembantu
Mudah-mudahan ada faedah yang dapat digarap dalam hidup yang pendek tetapi banyak yang perlu dilakukan jika kita mengetahuinya. Semak diri kita seperlunya sebelum menyemak orang lain. Manfaatkan kekuatan yang ada pada diri. Memperkasakan kelemahan yang ada. Gabungannya memberikan sinergi yang memberikan faedah berganda pada masa hadapan. InsyaAllah.