Monday, January 6, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Benarkah Anjing dan Kucing Tidak Sejalan?



Kembara penulis menemukan hal-hal yang kadang-kadang di luar kebiasaan. Di Jordan penulis jarang melihat anjing. Mungkin ada tetapi sangat jarang. Jika ada sekalipun barangkali tersembunyi. Namun di Kaherah banyak benar dilihat anjing. Ada yang liar dan ada yang dipelihara. Anjing-anjing liar ini memang berkeliaran. Sifat liarnya sama di mana-mana. Walaupun begitu ada kelainan yang sangat jelas kelihatan. Seperti sesuatu yang melampaui pemikiran naïf kita orang dari Malaysia. Teringat peribahasa, seperti anjing dengan kucing. Maknanya? Anak-anak sekolah tentu mengerti. Orang dewasa juga mengetahuinya. Suatu persepsi yang stereotaip. Anjing di Malaysia sifatnya bercakaran dengan kucing. Tiada yang mahu mengalah. Ini yang mengelirukan penulis. Di Kaherah, anjing dan kucing tidak bergaduh. Tidak berebut. Tidak hendak menang sendiri. Tidak menguasai keadaan. Tiada tamak dan gelojoh.

Senerionya seperti tiada apa-apa yang berlainan. Seperti kebiasaan yang damai. Hidup tanpa gangguan. Damai menjalani kehidupan sendiri. Berkongsi rezeki yang ada. Bebas berbuat apa sahaja. Setiap pagi penulis dan isteri berpapasan dengan kawanan anjing liar. Bukan seekor atau dua. Pada kebiasaannya hingga enam ekor. Seperti di Malaysia penulis selalu berwaspada dengan kawanan anjing yang banyak. Bermacam-macam perkara boleh berlaku. Mungkin menyerang. Mungkin menggigit. Paling menakutkan ialah jika ada antaranya berpenyakit. Betul. Namanya juga menakutkan. Anjing gila. Yang dilihat di Kaherah berlainan sekali. Mereka berjalan dengan selamba. Tiada yang berkejaran. Tiada yang dilihat ganas. Tiada yang hendak menyerang. Suatu hal yang penulis lihat ialah tiada anjing kurap di sini. Fizikal mereka seperti terjamin sihat dan kuat.

Adalah pemandangan biasa apabila kawanan anjing menyelongkar sampah sarap bersama-sama dengan kucing. Tiada siapa yang hendak menang. Makanan cukup. Banyak. Mungkin sedikit mewah. Dalam sampah itu ada rezeki yang melimpah ruah. Cukup untuk semua yang memerlukannya. Anjing atau kucing tidak bermusuhan. Tidak ada yang menjerkah antara satu sama lain seperti di Malaysia. Keharmonian yang tercipta antara makhluk yang selalu tidak sejalan. Begitulah lain padang lain belalangnya. Haiwan juga berlainan tingkah dan lakunya di tempat yang berbeza. Di negara yang tidak semaju Malaysia haiwan boleh mewah. Tanpa pula berebut. Tidak tamak. Tidak mendendami yang lain. Malah sifat berkongsi terserlah.  

Masalah ekonomi adalah masalah sawarjagat. Siapa sahaja berhadapan dengannya. Di mana sahaja. Pada bila-bila masa. Penting bagi manusia dan haiwan mengenyangkan perutnya. Erti kenyang jauh dan panjang jelanya. Ular sawa umpamanya akan berehat panjang setelah kekenyangan. Makan hanya ditelan kesemuanya. Tanpa mengira saiz dan beratnya. Tanpa panjang atau pendeknya. Makan tanpa mengenal rasa yang berbagai. Yang penting kenyang. Analoginya mungkin ada manusia seperti itu. Telan apa sahaja yang boleh. Tiada hukum hakam yang dipertimbangkan. Dalam teori sosiologi pula disarankan semua kerajaan memenuhi kehendak rakyatnya. Terutamanya makanan dan minuman.  Maknanya kenyang adalah istilah yang sarwajagat. Semua orang memerlukan perutnya dikenyangkan. Secukup-cukupnya. Tidak pula ada kebimbangan akan ada kekurangan pada hari-hari esoknya. Tanpa risau akan terputusnya bekalan makanan. Tidak juga bimbang yang kuantiti dan kualitinya berubah atau merosot.

Apabila perut kelaparan maka banyak yang tidak kena. Sumber kekuatan menjadi menipis. Tenaga terhakis. Samalah apabila harga barang-barang melambung maka yang dapat dibeli semakin berkurangan. Bertambah lapar bermakna kurang kenyang. Banyak masa terkejar-kejar mencari kelebihan yang sentiasa pula tidak mencukupi. Orang kaya tidak terhakis kayanya asalkan bijak mengurus hartanya. Banyak pula bersyukur. Tidak kufur nikmat. Tetapi orang di bawah menghabiskan pendapatannya untuk mengenyangkan perut. Peratus pendapatannya yang dibelanjakan untuk makanan semakin meningkat. Manusia bercakaran kerana lapar yang tidak kenyang. Perut yang kosongnya mengganggu pemikiran. Menggangggu psikologi. Mengganggu ketenangan berkeluarga. Rengek orang-orang yang dikasihi mengguris perasaan. Tiada ketenangan.

Melihat anjing dan kucing di Kaherah seperti mendamaikan. Kehidupan yang meliar tidak menyekat untuk menghormati kehadiran satu sama lain. Masih banyak ruang untuk bersama. Berdamping antara satu sama lain. Yang dapat dilihat ialah keselesaan yang mengesankan. Bagi mereka yang biasa berada di negara Arab pasti mengerti. Anjing dan kucing berbulu tebal. Lebat. Tanpa kurap, kudis atau penyakit kulit yang lain.  Mungkin istilah montel lebih tepat bagi kucing. Anjing tidaklah montel tetapi segar fizikalmnya. Peribahasa kita tentang anjing dan kucing tidak bermakna di Kaherah. Tidak bercakaran. Yang pentingnya kedua jenis haiwan ini teratur hidupnya. Ke mana sahaja mereka berada, makanan bukan masalah. Tong sampah berada di merata-rata tempat. Jengah sahaja mana-mana tong pasti ada rezeki. Seolah-olah segalanya tersedia untuk mereka. Apa namanya. Subsidi percuma. Rezeki terpijak. Perlu hidu dan selongkar. Itu sahaja. Kenalah usaha. Rezeki tidak datang bergoleh. Tidak terbang melayang. Di dalam Al-Quran hanya Siti Maryam, ibu Nabi Isa a.s. sahaja yang diceritakan rezekinya tersedia di sampingnya. Rezeki dari Allah. Orang lain kena usaha untuk mendapatkan rezeki.

Anjing dan kucing di Kaherah mencari rezeki dari sampah yang melimpah ruah. Sampah menjadi rezeki yang mewah dan mengenyangkan. Kitaran alam. Sampah bagi kita yang bernama manusia. Rezeki yang mengenyangkan bagi haiwan liar. Selamat dimakan. Ternyah penyakit dari mereka. Pada kita semuanya sampah yang perlu dibuang. Sampah yang busuk. Sampah yang menyampah untuk disimpan. Untuk dilihat. Tidak bagi haiwan. Dalam timbunan sampah ada rezeki yang mengenyangkan.  Rupanya rezeki itu ada martabatnya. Lain untuk manusia. Lain pula untuk haiwan. Mungkinkah haiwan perlukan rezeki terbaik setaraf yang diperlukan manusia. Tentu. Ternakan yang diberi makan sampah maka dagingnya liat seperti sampah. Di nagara Berat seperti USA, lembu diberi makan jagung atau fodder. Mungkin rumput alfalfa. Sejenis rumput. Bukan nama Arab. Sebab itu daging lembu di sana seratnya lembut. Enak di makan. Sumbernya menyihatkan. Industri ternakan yang dijamin selamat. Makanannya bukan sebarangan. Tidak seperti kita yang selalu tidak memberikan yang terbaik untuk haiwan. Ironisnya kita yang memakan haiwan ternakan itu.

Mereka yang belajar pengurusan mengenali Teori Abraham H. Maslow. Teori tentang keperluan ini dipelajari dari dahulu hingga sekarang. Walaupun bukan kesemuanya betul namun ada bahagian-bahagian yang boleh diterimapakai. Keperluan utama manusia ialah makanan. Untuk fisiologinya. Kenyang di tempat yang pertama sebelum diikuti oleh keperluan yang lain. Apabila kita bercakap tentang kenyang maka kita berhadpan dengan konotosi dan istilah yang berbeza. Kepada kebanyakan orang kenyang bererti perutnya penuh. Sendat hingga tiada ruang untuk bernafas. Tidurnya lena. Esok makanan sedia ada. Banyak lagi yang hendak dimakan. Tidak hairan ramai antara kita yang obess. Makan melebihi had. Banyak yang tidak mahu disia-siakan. Ada orang lain yang kenyang kerana memasak. Cukup dengan mencicip untuk mengenalpasti kualiti. Cukup dengan bau yang dihidu setiap kali memasak. Bagi yang lain kenyang bermakna melihat orang lain makan dan minum. Begitulah ibu dan bapa yang selalu kenyang kerana anak-anak mereka kenyang. Mereka berdua mungkin makan ala kadar sahaja. Anak-anak pula selalu tidak sedar senerio yang berulang-ulang sepanjang hidup pasangan ibu dan bapa itu. Perut anak-anak lebih penting dari perut mereka sendiri.

Makanan perlukan pengurusan yang bijaksana. Tanpa mengira taraf sosial sesebuah keluarga sumber makanan adalah tersangat penting. Kita bukan perlu keistimewaan. Penulis ingin perturunkan petua bapa mertua penulis sendiri.
Bekalan makanan hendaklah tersedia banyak.

1                 Beras penuh dalam tempayan umpamanya.
2                 Gula berkilo-kilo. Tepung gandum berpaket-paket.
3                 Teh dan kopi juga berpaket-paket.
4                 Sayur penuh dalam peti ais.
5                 Ikan kering sekilo dua.
6                 Bawang penuh bakul.
7                 Begitu juga bekalan lain yang berkaitan.

Membazir? Nanti dulu.

1         Senang. Semuanya tersedia.
2        Tidak berkeputusan.
3       Bila ada tetamu terus memasak. Dalam sejam makanan terhidang. Lauk bukan perkara utama. Hidangan yang paling simple kadang-kadang yang paling meyelerakan.
4       Melihat bekalan makanan yang banyak sudah cukup mengenyangkan mata dan perut. Perasaan terjamin bahawa makanan sentiasa tersedia di hadapan mata.


Walau bagaimanapun kita perlu beradap dengan makanan. Berbahagi sama banyak atau sedikit. Semuanya dikongsi sama antara ahli yang berhak. Didik anak-anak untuk sentiasa  beradab semasa berhadapan dengan makanan. Halang anak-anak dari berebut-rebut semasa makan. Halang dari berperangai tamak. Jauhkan dari pelahap atau gelojoh. Rezeki yang dinikmati dikongsi bersama tanpa mengira masa dan tempat. Yang penting ialah kenyang bersama. Kenyang yang menyihatkan. Mendamaikan. Menjadikan hidup harmoni. Jangan lupa doa sebelum dan sesudah makan.