Saturday, January 4, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Yang Mengerti Wajib Menyampaikan



Banyak komen mereka yang bukan Islam tentang amalan orang Islam. Ada antaranya kerana tidak tahu. Tidak arif. Tidak memahami Muslim yang berada di sekeliling mereka. Hidup bersama tetapi tidak mengambil tahu. Tidak merasa denyut jantung jiran tetangga. Rakan sekerja. Tidak kenal inilah yang membara menjadi sumber tidak suka. Mungkin benci tanpa mengetahui. Naïf yang dilihat melampau. Penulis mengambil sikap khusnuz dzon. Mengambil sikap pertengahan dalam menangani ketidaktahuan mereka yang bukan Islam. Sebahagian besarnya kerana kesalahan kita sendiri. Kesalahan sistem persekolahan kita. Kesalahan institusi agama kita. Kesalahan pemerintah kita. Kita kurang usaha dakwah. Dakwah pula terlalu selektif.

Yang bukan Islam di negara kita sebenarnya tidak mengerti apa itu Islam. Tidak diketahui apa amalan orang Islam. Apa keperluan orang Islam. Apa yang boleh dan tidak boleh kepada orang Islam. Dengan yakin kita katakan kita kepada mereka kita tidak makan babi. Namun kita tidak pernah memperincikannya untuk dimaklumi bahawa apa sahaja yang berkaitan dengan babi adalah haram kepada Muslim. Makan babi perbuatan nyata. Ia berkait juga dengan memelihara, membawa, menjual, membeli, menyimpan, kulitnya, tulangnya, minyaknya, DNAnya, gelatinnya, dan apa sahaja yang berkaitan dengannya adalah haram. Noktah. Tiada perbincangan. Kecuali dalam keadaan yang sangat-sangat darurat. Tiada makanan lain. Sudah tidak makan berhari-hari yang sangat lama. Selagi ada pilihan, maka daging babi tidak boleh disentuh langsung.

Sewaktu penulis menjadi pendidik dahulu hal-hal seperti itu diperjelaskan kepada anak-anak didik penulis. Mereka perlu jelas status halal dan haram. Takut-takut mereka mengambil sikap yang salah. Membuat tindakan yang salah. Penulis khuatir dalam industri makanan banyak sumber yang datangnya dari babi. Usahawan bukan Islam tidak mengetahui statusnya. Kepada mereka hanya daging babai sahaja yang haram. Bahagian yang lain dikira halal. Silap kita juga kerana yang selalu kita highlightkan ialah daging babi haram dimakan. Hal-hal lain mengenai babi tidak dibincangkan. Tidak disebutpun. Kerana itu juga ramai yang bukan Islam keliru dengan waktu solat. Kepada mereka kita solat sepanjang masa. Sehingga mengganggu waktu bekerja. Konsep yang mereka bina sangat jauh tersasar dari kebenaran. Dari dahulu hingga sekarang kita terlalu defensif. Tidak pula melancarkan ofensif dalam bentuk dakwah. Membetulkan salah tafsir yang mereka terima. Misrepresentation. Dalam minda mereka yang bukan Islam sukar mengambil pekerja Islam kerana masa mereka dihabiskan dengan bersolat sahaja. Tiada masa untuk bekerja.

Kenapa kita yang beragama Islam tiada dakwahnya. Kita tidak berupaya untuk memberi maklumat yang terlalu senang dan sedikit. Menerangkan hakikat dan fakta yang benar. Yang mutlak kedudukannya. Tanya diri kita sendiri. Salah siapa. Semua orang Islam maklum bahawa waktu solat tidak pernah mengganggu waktu bekerja. Mereka yang bertugas waktu biasa paling selamat untuk menjelaskan kedudukan diri. Yang bekerja petang ke malam dan malam ke pagi perlu menghalusi situasi. Semua pihak perlu jelas dan dipuaskan hati masing-masing.
Berbeza antara yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui. Mereka yang bukan Islam perlukan maklumat benar yang diyakini. Mereka mungkin kurang menyakini maklumat dari pekerja tetapi jika waktu solat datang dari pihak berwajib agama tentulah sifatnya berwibawa. Autoritatif. Tunjukkan juga jadual waktu solat dari akhbar. Siaran TV juga membantu. Azan di TV menunjukkan waktu solat. Masa solat panjang tetapi untuk melakukan solat hanya kira-kira 10 minit sahaja. Orang Islam pula jangan khianati waktu itu sehingga orang bukan Islam membina persepsi yang salah tentang Islam.

 Fakta solat:
Bil
Solat
Waktunya
1
Subuh
Antara 5.00 – 6.00 pgi
2
Zohor
Antara 1.00 – 3.00 ptg
3
Asar
Antara 4.30 – 6.30 ptg
4
Maghrib
Antara 7.00 – 8.15 mlm
5
Isya’
Antara 8.30 – 5.00 pgi
6
Jumaat
Antara 1.00 – 2.15 ptg

Perhatikan jadual di atas. Waktu solat disesuaikan dengan perubahan perjalanan dunia dan matahari. Yang pentingnya hanya solat Zohor sahaja yang didapati disempurnakan pada waktu bekerja. Solat Subuh, Asar, Maghrib dan Isya’ berada di luar waktu bekerja. Mereka yang shift malam atau pagi sahaja mungkin terlibat. Penulis akan bincangkan pada para yang lain. Mungkin dalam cadangan nanti. Penulis yakin jika jadual solat di atas dibentangkan kepada majikan, mereka akan tahu bahawa waktu solat tidak pernah mengganggu waktu bekerja. Allah lebih mengetahui karenah manusia.

Semua majikan yang bukan beragama Islam perlu diajak untuk mengerti tentang Islam dan keperluan pekerja yang beragama Islam. Mereka tidak boleh dibiarkan membina persepsi mereka sendiri. Selalunya persepsi itu salah. Terlalu banyak persepsi negatif tentang Islam dan orang Ialam. Kursus dan muzakarah perlu dibuka. Perbincangan dan makluman yang wajar supaya tidak ada salah faham. Tidak ada kekeliruan. Tidak ada tindakan negatif kerana salah fakta. Sewajarnya sejak dari sekolah lagi makluman ini sudah disampaikan merentasi kurukulum. Agama adalah antaranya. Peluang itu kita abaikan hingga melarat kepada berbagai hal lain sperti tudung atau hijab. Kesemuanya salah faham. Kekeliruan semata-mata. Yang menghairankan ialah tiada siapa yang mengambil inisiatif untuk memperjelas kedudukan dan kemuliaan Islam itu sendiri. Kita hanya merungut dan menuding jari telunjuk kita yang bengkok. Kita tidak menegakkan kebenaran.

Merubah waktu rehat. Bagaimana agaknya. Kita semua maklum waktu rehat dalam organisasi swasta ialah antara pukul 12.00 hingga pukul 1.00. Mungkian perundingan perlu dibuat untuk mengisarkan sedikit waktu rehat. Untuk yang Islam waktu rehatnya dari pukul 1.00 hingga pukul 2.00. Sejam yang sesuai untuk makan dan selari dengan waktu solat Zohor. Jika ini berlaku masalah solat sewaktu bekerja tidak akan timbul lagi. Bagi yang shift petang mintalah waktu rehat dari pukul 6.30 hingga pukul 7.30 petang. Solat Asar dan kemudiannya solat Maghrib. Yang shift pagi minta waktu rehat dari pukul 5.00 hingga pukul 6.00 pagi. Buat perundingan sewajarnya supaya tidak ada sesiapa yang terganggu dengan kehadiran orang Islam. Jadikan diri orang Islam sebagai aset Islam yang unggul. Kerja tidak diabaikan. Amalan agama tidak pernah ditinggalkan.  Mohon ampun dari Allah banyak-banyak. Hal dunia yang perlu diatasi.


Cuti hari Jumaat adalah sesuatu yang melegakan. Masalah solat Jumaat bukan masalah besar. Seluruh negara sepatutnya berhujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu. Semua urusan kerajaaan dan swasta ditangguhkan. Kita berkeluarga. Kita bersosial. Kita perlu bersama dengan orang-orang di sekeliling kita. Bukan rakan sekerja sahaja. Dalam hal ini kita perlukan Political will dari pemerintah. Pihak yang berwajib perlu menilai kesemuanya. Membangun bersama agama adalah lebih baik dari membangun tetapi memingirkan agama. Tidak sepadan apabila mencari makan hingga mengabaikan agama. Langsung tidak ada kewajarannya. Oleh itu pemimpin perlu menyorot kesemuanya. Menegakkan yang condong. Membina yang belum ada. Memperbaiki yang rosak.