Tuesday, November 19, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Selamatkah Yang Namanya Aman?




Apabila dikatakan KL antara bandaraya tidak selamat di dunia tentu kita rasa tersentak. Penghuni KL seperti tidak merasa apa-apa. Kehidupan seperti biasa. Kesemuanya mesti diteruskan. Kelangsungan hidup. Di sebalik ketenangan itu pelancong mengelak dari datang ke KL. Destinasi yang sedang gagah dibangunkan. Apabila jenayah tidak dapat dibendung maka akibatnya semua rakyat Malaysia yang menanggungnya. Aibnya. Ruginya. Masa hadapannya. Apabila keadaan dikatakan tidak selamat tentu ada indeksnya. Ada petunjuknya. Rakyat biasa tidak dapat melihat indeks itu. Tidak mengetahui apa sebenarnya jenayah yang disenaraikan sebagai jenayah. Apa jenis jenayah yang meningkat. Kerana tidak mengetahui, rakyat tidak juga mengetahui kaedah terbaik untuk membendungnya. Atau untuk mengelak dari ditimpa tempias jenayah itu sendiri. Berita yang terpapar di media cetak dan media elektronik hanya cebisan kisah jenayah yang bilangannya sukar dikira. Kita hanya diberitahu mengenai statistiknya sahaja. Angka yang sukar diterjemahkan bilangannya yang sebenar. Data mentahnya tiada. Jenayah yang mana paling kritikal. Jenayah mana yang kian meningkat. Kadang-kadang berita terpilih yang kita dengar atau baca tidak membantu untuk membina pertahanan diri untuk keluarga. Untuk anak-anak. Untuk kejiranan kita.


Penulis tidak pasti apa impaknya apabila KL diletakkan di tempat keenam bandaraya paling tidak selamat di dunia. Kita juga tidak tahu kayu ukur yang digunakan. Variabel yang dikaji. Apabila setiap hari ada pembunuhan mungkin dakwaan itu benar. Pembunuhan pula bukan calang-calang. Kekejaman yang melampau. Apabila kes ragut menjadi-jadi tentu sahaja ramai orang yang rasa tidak selamat. Senarainya terlalu panjang. Untuk membacanya kelu lidah. Untuk memandangnya mata berpinar sebentar. Semakin hari jenayah yang berlaku semakin menggugat. Jika dahulu jenayah ini dilakukan warganegara, sekarang ramai pula pendatang yang galak melakukannya. Lalu kita bertanya, setakatmana keselamatan kita semua. Kita pun bukan perlukan jawapan. Tiada jawapan yang boleh memberi kepastian. Pada hakikatnya banyak benar yang menjadikan kita terlalu bimbang tentang keselamatan diri kita. Jika kita membuka teropong jauh kita, akan kita dapati bahawa  masalah keselamatan ini sudah membiak dan menyulitkan untuk dibanteras. Mungkin kita boleh fikirkan dari dasar. Melihat isu ini dari peringkat yang paling dasar. Peringkat mulanya.


Penulis merasa kesemuanya bermula dari rumah. Dari rumahtangga. Istilah rumahtangga ini pula memberikan konotasi yang berbagai. Sebuah rumah adalah rumahtangga sepasang suami dan isterinya. Sebuah taman atau kampung adalah rumahtangga sebuah kariah. Mukim adalah rumahtangga seorang penghulu. Daerah adalah rumahtangga kepada seorang Pegawai Daerah. Negeri adalah rumartangga seorang Menteri Besar atau Ketua Menteri. Sebuah negara tentunya menjadi rumahtangga seorang Perdana Menteri atau Presiden. Maknanya jika semua rumahtangga tersebut terjaga maka amanlah negara. Dalam setiap rumahtangga ada pula pembantu-pembantu dalam berbagai kapasitinya. Ada yang khusus menjaga keamanan. Khusus menjaga keselamatan. Seorang bapa adalah segala-galanya kepada sebuah rumahtangga.  Mungkin ibu tunggal memainkan peranan itu. Mungkin abang. Mungkin kakak. Semua warganegara datangnya dari sebuah keluarga kecil. Terceruk di sudut desa. Di penjuru sebuah taman. Sebuah pangsapuri. Sebuah banglow di atas bukit. Sebuah villa di tepian pantai. Atau mungkin juga sebuah pondok yang memangnya tidak selamat dari segala ancaman.


Semua yang menjadi warganegara dilahirkan dari perut ibu. Dibelai dari kecil. Membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa. Seorang insan dipengaruhi oleh nasab keturunannya dan alam sekitarnya. Seharusnya sebuah rumahtangga boleh membentuk seorang bakal warganegara yang bermanfaat. Selama anak-anak masih duduk bersama ibu bapa selama itulah peluang besar yang perlu dimainkan oleh ibu dan bapa untuk memberi warna kepada anak. Memberi corak yang diidamkan. Memberi nilai kepada harga dirinya. Nilai entitinya. Nilai jati dirinya. Banyak yang perlu dibuat. Bukan sahaja membesarkan tubuh fizikalnya bahkan minda sihatnya. Akhlaknya. Jalan fikirnya. Keperihatinannya tentang kelangsungan keturunannya. Tentang bangsanya. Tentang agamanya. Tentang masa hadapan negaranya. Apabila anak-anak itu diserahkan kepada guru-guru maka guru-guru menambahkan peranan itu. Memperkukuh usaha ibu bapa. Kedua pihak perlu segerak. Bukan bercapah mengikut haluan masing-masing. Ibu bapa pula tidak boleh lepas tangan ketika anak-anak di bawah kendalian guru. Pengawasan dalam proses membina minda intelek tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa. Tetap kekal di bahu ibu dan bapa. Sebab itu bakal ibu bapa perlu banyak belajar. Ibu bapa muda perlu banyak belajar. Ibu dan bapa pada setiap fasa kehidupan mereka perlu banyak belajar dari pengalaman orang lain. Juga berkongsi pengalaman diri bersama orang lain.


Anak kita yang pertama kali melangkah keluar dari rumah secara rasmi kerana pergi ke sekolah perlu dilengkapi dengan “amal ma’ruf nahi mungkar”. Beramal dengan yang baik dan mencegah kemungkaran. Paling besar ialah mencegah kemungkaran dari dirinya. Anak-anak Muslim seharusnya kebal kerana telah dibina dinding agama. Bagi yang bukan Muslim pendidikan Moral perlu dijadikan instrumen penting membina warganegara masa hadapan yang ampuh. Menghargai alam sekitarnya. Semua yang perlu dikongsi bersama warganegara yang lain. Penulis ingin mengulang kata. Tanggungjawab membina akhlak mulia ditanggung oleh ibu dan bapa. Guru-guru hanya membantu. Anak-anak kita tidak lama di sekolah. Mereka banyak bersama ibu dan bapa. Di rumah. Di sekeliling kita. Maknanya anak-anak kita hendaklah kita yang mengawal. Bukan jiran. Bukan guru. Bukan polis. Bukan siapa-siapa kecuali ibu dan bapa. Tanggunhgjawab itulah yang perlu dipikul semasa melafazkan “Aku terima nikah ………” dahulu. Tanggungjawab besar meramaikan umat terdidik yang berakhlak mulia. Warganegara yang membina.



Ramai anak-anak yang pintar berlakon di hadapan ibu dan bapa. Di sekolah perangainya berlainan. Bersama rakan-rakannya dia berubah menjadi anak yang lepas bebas tanpa akhlak. Ibu bapa seharusnya perlu menjadi perisik untuk memantau anak-anak yang berada di luar rumah. Percayalah apabila guru memperkatakan tentang anak kita. Guru menghadapinya setiap hari. Memang berlian itu bercahaya tetapi ada ketikanya ia kusam perlu digilap. Siapa yang perlu menggilapnya. Tentunya pemilik berlian itu. Jika berlian itu anak yang kita kasihi maka sebagai pemiliknya ibu bapalah yang perlu sentiasa menggilapnya. Bukan orang lain yang bukan pemiliknya. Bukan hak mereka untuk melakukan sedemikian. Sebab itu sebagai ibu bapa peranan membina akhlak anak tidak pernah sudah. Tidak pernah habis. Tidak ada noktahnya. Malah yang sudah berumahtangga perlu dilihat dari dekat dan jauh. Perlu ada pesanan-pesanan sebagai bekalan hidup masa hadapan. Allahu Akbar, ibu dan bapa tidak pernah terlepas dari tanggungjawab itu. Banyak disoal di akhirat nanti. Allah yang menyoalnya. Oleh itu sediakanlah jawapan sebelum sampai waktunya nanti kita dihadapkan kepadaNya.