Wang dilihat dari berbagai perspektif. Ada baik dan ada buruknya. Baik jika berhemah sewaktu menggunakannya. Cukupkan mana yang ada. Simpan untuk hal-hal di luar jangka. Labur untuk harapan di hari muka. Sedekah untuk yang perlu. Derma kepada yang meminta. Zakat bila tiba haul dan hisabnya. Kerana itu wang bukan digunakan kerana sifatnya sebagai wang. Tetapi dilihat sebagai apa yang dapat diterjemahkan dari wang. Sebab itu wang yang di tangan berbeza dengan wang yang disimpan. Berbeza dengan wang yang dilabur. Berbeza dengan wang yang diinfakkan untuk kemaslahatan umum. Untuk saudara-saudara kita sesama Islam. Sesama umat. Sesama manusia. Maka nilai agama hendaklah didahulukan. Nilai kemanusiaan pula diutamakan. Kita hanya pemegang amanah. Milik kita hanya sedikit sahaja. Terlalu sedikit. Wang dicari. Wang diguna. Ada baki disimpan. Diinfakkan untuk kebaikan. Untuk kebajikan. Nikmat menjadi manusia dermawan. Tidak banyak berharta tetapi kaya dengan kemurahan. Senang dan tenang. Bahagia selalu. Redha berkongsi apa sahaja.
Memiliki harta lazimnya bukan untuk dinikmati sendiri. Ramai yang berharta tetapi untuk ditinggalkan. Maknanya harta itu bukan untuk manfaat dirinya. Ditinggalkan untuk semua susur galur keturunannya yang ada dan yang akan datang. Andainya konsep berharta itu mengikut landasan Islam maka selamatlah rohnya di alam barzah dan akhirat nanti. Jika tidak maka petaka besar menanti di sana. Tempat yang tidak lagi dapat menyelamatkan kita. Segala-galanya sudah terlambat. Oleh itu anak cucu mestilah dididik supaya menjadi Muslim yang sebenar. Ingat hidup dan mati kerana Allah. Sesungguhnya dunia semakin hampir ke pengakhirnya. Bahawa alam akhirat semakin hampir tibanya. Harta bukan penyelamat. Penggunaannya yang selari dengan kehendak agama yang membantu pemiliknya.
Biasalah. Bila ada wang maka berbelanjalah sekehendaknya. Apatah lagi jika wang itu bukan kita yang cari. Apabila wang itu dicurah di depan mata. Menimbun banyaknya. Berbelanjalah sehingga terlupa mengira. Hingga terlupa menghemah diri. Bahawa yang hak perlu dipertimbangkan. Hak berbelanja tidak menafikan hak kepada siapa wang itu dibelanjakan. Bahawa hak itu akan menuntut haknya nanti pada hari pembalasan. Hak berbelanja bukan mutlak. Bukan qat’i. Ada sistemnya. Ada prosedurnya. Ada prosesnya. Ada tatacaranya. Ada sekatan dan had-hadnya. Waima, berbelanja bukan untuk memuaskan kehendak orang yang berbelanja. Yang perlu disempurnakan ialah bahawa perbelanjaan itu untuk memenuhi mereka yang perlu dipenuhi haknya.
Memang mudah berbelanja. Boleh ketawa sesuka hati. Boleh membuka mulut menganga sebesar mana. Senyum dari telinga ke telinga. Wang banyak di depan mata. Terlalu leka berbelanja sehingga terlupa bahawa yang disimpan juga diguna. Yang dijangka juga dibelanjakan. Berbelanjalah sehingga wang berlonggok di depan mata tidak lagi mencukupi. Ada bukit membeli gunung. Ada tasik membeli lautan. Ada belukar membeli hutan. Yang kelihatan akhirnya adalah perbelanjaan yang manfaatnya tiada. Terlalu banyak pembaziran di sana sini. Longgokan sampah nafsu semata-mata. Sampah pembaziran. Mereka yang kenyang bukan dengan halalan toyyibah. Banyak api yang masuk ke dalam perut. Banyak racun yang menjalar di dalam urat saraf. Banyak sakit dari sihatnya. Fizikalnya sakit. Mindanya sakit. Rohnya sakit. Psikologinya sakit. Bahagia tidak pernah singgah dalam hati. Jiwa menjadi tidak pernah tenang. Semakin rakus dan rakus.
Kadang-kadang kita dijanjikan sesuatu oleh orang-orang yang kelihatan banyak wangnya. Yang diberi amanah untk mengagihkan wang. Janjinya manis-manis belaka. Bila diamati kita rasa curiga. Cukupkan wang yang hendak diagihkan. Cukupkah wang yang ada. Cukupkan wang yang dijangka ada. Ada masanya kita menjadi sangat bimbang bahawa wang yang dijanjikan itu sebenarnya tiada. Ianya akan ada bila sampai masanya ada. Jangan ditanya dari mana. Jangan tanya siapa yang menyediakannya. Big daddy selalu sedia memberi. Anak-anak yang tidak pernah menyoal benar atau salah hanya menganga minta disuap. Apa yang disuapkan tidak disemak baik atau buruknya. Asalkan kenyang santak ke dada memadai. Biar perut gendut dan boroi. Kenyang yang diambilkira. Kebenaran tidak pernah diberi bicara.
Ramai orang yang mewah wang ketawa melihat gelagat orang yang tidak ada wang. Orang yang tidak ada wang merancang untuk menggunakan wang secara terancang. Belajar dari kemiskinan dan kepapaan. Dari kekurangan yang selalu berpanjangan. Berkurun dengan usaha teguh mencari kebaikan. Mencari kelebihan. Biasalah emas dipandang orang. Wang yang dijeling-jeling. Kemewahan yang diidam-idamkan. Tangan-tangan yang menawarkan yang terbaik ditadah di bawahnya. Tangan-tangan baik yang suci dan bersih dinyah ke tepi. Tiada harapan. Tidak diberi peluang sedikit pun. Yang dikejar hanyalah keindahan untuk bermewah-mewahan. Tidak ada siapa yang insaf bahawa yang akan dibawa hanyalah kain kafan yang tebalnya tiada. Yang kualitinya tiada. Yang standardnya tiada.
Bila dunia disayangi segala yang ada di dalamnya dicintai. Semuanya digilai melampau batas. Kecintaan yang mengkelabui hak yang mesti dipertahankan. Hilang kecintaan sebenar mengenai alam akhirat. Alam abadi yang infiniti. Kekal selama-lamanya. Tiada sebaiknya. Tiada yang seindahnya. Tiada yang sesempurnanya. Keindahannya tiada tandingan. Tiada minda yang dapat membayangkan. Tetapi manusia tidak endah. Mereka leka mencari yang palsu. Yang sementara. Yang hanya persinggahan. Yang kekal terabai. Yang indah tersilau. Biarlah senang kerana senang. Biarlah susah kerana susah. Semuanya kerana Allah. Ketentuan Allah. Kepada Allah kita berserah. Kita pasti kembali kepadanya. Tanpa keraguan. Itu ketetapan. Itu fikrahnya. Mudah-mudahan mendung mega berarak pergi. Segala cakrawala akan menyinar bumi yang haus dengan keindahannya yang tersendiri. Tanah bertuah ini. Malaysia yang tercinta.