Wednesday, March 30, 2011

Taiping – Suatu Catatan

Hari Ahad 27 Mac 2011 membawa saya ke Taiping. Berbelah bagi juga sebenanya. Perancangan sudah diatur rapi bahawa pagi-pagi hari Ahad itu saya ingin bertolak awal. Mudah-mudahan tidak terlalu lewat sampai di sana. Saya merancang Allah merancang. Perancangan Allah jua yang lebih baik. Pertengahan minggu itu saya dimaklumkan bahawa jadual pengajaran untuk guru-guru yang dalam program pensiswazahan memulakan kelas mulai pada hari Sabtu 26.3.2011 hingga hari Ahad 27.3.2011. Pada hari Ahad kelas ditamatkan pada pukul 12.30 tengahari.

Dalam dilema juga saya jadinya. Hendak ke Taiping  pastinya saya akan sampai lewat malam. Jika tidak pergi dan ditangguhkan hingga hari Isnin saya kehilangan satu hari yang telah dirancang.  Dilema saya yang kedua ialah tiga sekolah yang akan saya selia pelatihnya iaitu SMT Taiping, SMV Padang Rengas, Kuala Kangsar dan SMV Lebuh Cator, Ipoh tidak menjadualkan  Pengajaran dan Pembelajaran untuk pelatih-pelatih UTHM pada hari Jumaat. Bukan satu sekolah tetapi ketiga-tiga sekolah. Dilema ketiga, jadual di ketiga-ketiga sekolah hampir sama bentuknya. Di sekolah yang sama jika kelas di sebelah pagi, kesemua pelatih jadualnya pagi. Jika lepas rehat semuanya lepas rehat. Maka atas keluarbiasaan itulah saya meneruskan perancangan saya untuk ke Negeri Perak Darul Ridzuan.  Kebetulan bersesuaian dengan pengharaman tarian poco-poco kerana setelah diselidiki ianya ada unsur-unsur Kristian. Ada tersirat program Kristianisasi. Itu keputusan Majlis Fatwa Negeri Perak. Akidah yang wajib dijaga. Dipelihara. Yang arif sahaja yang mengetahui. Yang tahu kenalah akur. Yang tidak tahu banyaklah bertanya. Minta maaflah. Dalam hal agama jangan terlalu banyak menyanggah. Tanyalah nasnya. Tanyalah dalilnya. Qiasnya. Ijma’nya.

Dalam perjalanan ke Taiping Ahad itu entah berapa kali saya berhenti. Berehat kerana perasan badan terasa lesu. Tekak terasa perit. Bunga-bunga batuk sudah terasa. Mungkin kerana empat jam memberi kuliah sepanjang pagi menyebabkan tekak saya perit. Itu yang saya bisikkan pada diri saya. Bermonolog sebentar. Intra komunikasi kata psikologis. Banyak juga saya minum air untuk membasahkan tekak. Untuk meredakan keperitannya yang semakin bertambah. Tidak juga mahu redanya. Sampai di Hotel Seri Malaysia, Taiping kira-kira pukul 9.40 malam. Disambut di kaunter oleh seorang gadis India yang comel. Hitam-hitam manis. Bila saya masuk ke bilik badan sudah agak longlai. Demam juga jadinya. Badan terasa panas. Batuk semakin menyerang.

Dalam lesu itu menyelia juga pelajar-pelatih UTHM yang ada. Di Taiping enam orang, Di Kuala Kangsar empat orang dan di Ipoh tiga orang. Memantau mereka banyak mengajar saya. Walaupun sudah 42 tahun menjadi guru ada sahaja yang saya pelajari. Never ending process. Semakin banyak melihat semakin banyak yang saya dapat. Nantilah, bertambah lagi modal saya di kelas. Hal yang baik-baik ini akan dikongsi dengan pelajar-pelajar lain yang masih dahaga menunggu untuk dididik. Perbualan dengan beberapa orang pembimbing juga banyak manfaatnya. Input-input baru untuk pelatih-pelatih akan datang.

Saya jarang terlibat dengan kelas pedagogi pelajar Bachelor. Saya banyak  dengan pelajar Master.  Memang saya tekan banyak perkara. Sebagai pelatih banyakkanlah belajar.

Tidak ada pelatih yang sempurna. Semuanya perlukan latihan. Mengenali diri masing-masing. Terlalu banyak kekurangannya. Jika hendak dinilai diri, sekolah bukan asing kepada semua pelatih. Mereka datang dari sekolah. Mereka besar di sekolah. Sekolah telah mengajar mereka menjadi remaja yang terdidik. Ironis juga. Mereka datang dari sekolah tetapi tidak dapat melihat sekolah sebagai sesuatu yang unggul. Mereka pernah menjadi murid dan pelajar tetapi tidak menghayati kehidupan itu sehingga boleh dikembalikan kepada murid-murid yang di bawah jagaannya sekarang. Ketika itu dahulu mereka melihat sekolah dengan pandangan yang sceptical. Tidak belajar memahami kehendak sekolah. Mereka menjadi robot yang datang dan pergi mengikut jadual. Belajar dan periksa untuk diisytiharkan lepasan SPM. Lalu berkelana lagi. Meneroka dunia baru IPT. Kembali semula ke pangkuan masyarakat.  Menjawat  jawatan-jawatan pilihan peribadi.  Suatu kitaran yang selalunya di luar jangka. Bertanya juga kenapa memilih profesion yang dulunya tidak pernah difahami. Yang dulu banyak tidak sukanya. Apatah lagi ramai sangat guru yang bukan menjadi idola diri. Bukan ikon pilihan.

Nah sekarang jawatan itu yang ingin dipegang. Yang ingin dilestarikan. Yang ingin diwarisi. Pesan saya, jadilah pewaris-pewaris yang hebat. Penyambung generasi. Seperti saya katakan, tiada pelatih yang sempurna. Maka banyak langkah perlu diambil untuk memantapkan diri. Untuk memperkasakan diri. Untuk mengangkasakan diri. Akhirnnya nanti akan ditemui profesion yang  menyejuk diri. Menyejuk bangsa. Yang mendamaikan generasi akan datang. Menunjuk yang benar dan menghalang yang batil. Membawa obor zaman yang gemilang. Menerangi hati yang selalunya gelap. Itulah guru. Yang selalu membawa suluh yang menerangi. Mendamaikan generasi dengan ilmu.

Datangilah dirimu dengan usaha. Yang kurang ditambah. Yang lebih dilimpah. Yang salah dibetul. Yang betul dikongsi. Yang tidak ada dicari. Yang ada dicambah. Yang kasar diperhalusi. Yang halus diberi nilai estetika. Sentiasa mencari jalan untuk mencukupi. Mencari untuk memberi apa yanag didapat. Meneroka minda untuk menerawang jauh. Bahawa yang diluar sana ramai yang menanti kewibawaan seorang guru. Guur yang cultured. Guru yang nanti jasanya ditimba. Yang baktinya diminta. Ramai yag tertunggu bila nanti tibanya. Sosok tubuh-tubuh guru penuh dedikasi. Membelah alam untuk memberi yang terbaik. Yang benar-benar terbaik.

Satu dari sikap baik pelatih ialah banyak bertanya. Tanyalah segala aspek yang mahu ditanya. Tidak semuanya dikatahui. Jika tahu sekalipun terlalu sedikit dari yang diperlukan. Latihan mangajar hanyalah untuk mengenal potensi diri. Mana mungkin menjadi guru cemerlang. Pengalaman beberapa tahun nanti akan mematangkan. Memberikan nilai tambah yang datang merangkak. Jangan dan jangan mencuba yang salah. Jangan dan jangan mengambil sikap tahu walaupun masih keliru. Tolong jangan sampaikan sesuatu yang tidak benar. Takut dikatakan ajaran sesat. Implikasinya rosak seluruh ilmu sejagat. Nanti rosak generasai yang mendatang.

Saya petik kata-kata hikmat di bilik gerakan SMT Taiping:
Kesilapan seorang doktor mungkin membunuh pesakitnya. Kesilapan ajaran guru memusnahkan generasi.
Kesilapan guru tidak dapat dikesan dalam jangka pendek. Tiada sebab akibat yang segera. Sesuatu yang sangat subjektif. Hanya masa membuktikan kesilapan itu. Mungkin selepass beberapa fasa yang panjang. Sesuatu yang didapati silap mengikut kajian dan amalan. Generasai berikutnya yang merasakan akibatnya. Mengambil masa yang panjang. Kesilapan seorang doktor dilihat serta merta. Jika mati ketika itulah matinya. Jika tersalah potong ketika itulah akibatnya dilihat. Namun demikian hanya pesakitnya yang itu sahaja. Yang seorang itu sahaja. Dia tidak mungkin dibenarkan melakukan kesilapan untuk kedua kalinya. Dia diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri. Mustahil diberi peluang ketiga.

Siapa kata kerja guru itu mudah? Barangkali kerja doktor seperti di atas lebih mudah. Hasil atau akibatnya dapat dilihat serta merta. Segera. Tidak perlu menunggu lama. Selepas sesuatu tindakan seseorang doktor,  pesakit mendapat habuannya. Bertambah baik atau fatal.  Guru yang banyak berkata-kata. Guru yang banyak berfalsafah. Guru yang banyak hujjahnya. Guru yang banyak ceritanya. Guru yang banyak sebab musababnya. Guru yang banyak konsepnya. Guru yang banyak teorinya. Kesemuanya diserap pelajarnya. Diresap ke dalam minda. Jadi pegangan. Jadi falsafah. Jadi kepercayaan. Jadi konsep yang melekat di minda. Jadi amalan yang mungkin songsang. Atau sekurang-kurangnya tidak produktif. Tidak membantu membangun minda. Tidak menghasilkan sesuatu yang besar dan gah. Kekal biasa-biasa sahaja.

Belajarlah dari kesilapan masa lalu. Genersai lalu. Banyaklah bertanya. Dan banyak bertanya. Bukankah malu bertanya sesat jalan ?  Sekarang  bukan itu. Bagi guru pelatih malu bertanya salah pengajaran. Markah LM rendah. Menjadi sebutan yang tidak elok di sekolah yang ditinggalkan. Kekurangan yang nanti memanjang. Prestasi yang tidak dapat dinilai sebagai cemerlang. Akhirnya malang. Tidak belajar seperti diharap. LM adalah peluang di dunia luas untuk belajar. Belajar dari mereka yang sudah ada pengalaman. Yang sudah menjadi pakar. Yang sudah boleh menunjuk ajar. Yang pengalamannya boleh ditimba. Yang ilmunya boleh dikongsi. Yang kepakarannya boleh ditiru dan diambil iktibar. Mintalah garam dari mereka kerana mereka telah lebih banyak makan garam. Bertanya tidak merugikan mereka. Mereka lebih senang kerana dirujuk. Mereka akan lebih senang membantu.

Kerana itu UTHM melantik pembimbing. Sekolah memilih yang terbaik untuk tugas itu. Pembimbing adalah guru. Yang mengetahui dilema guru pelatih.  Mereka besedia untuk membantu. Oleh itu tanyalah diri, bersediakah untuk dibantu? Untuk menerima bantuan. Mahukah ditolong?  Selamat menyempurnakan LM yang masih berbaki. Kepada semua guru pembimbing dirgahayu saya ucapkan. Terima kasih daun keladi. Tahun lain kami hantar lagi. InsyaAllahh bertemu kembali.