Suatu senario yang biasa di hospital. Seorang
pesakit dikelilingi oleh ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai.
Kadang-kadang sahabat kepada sahabat. Sahabat kepada saudara mara. Sahabat kepada
ahli keluarga. Termasuk juga raka sekeluarga. Suasana meriah itu ditamba pula
dengan khadiran kanak-kanak. Ruang katil tidak cukup menampung penziarah yang
ramai. Melimpah ke ruang katil pesakit yang bersebelahan. Di hospital kerajaan
jangkamasa dua jam sama ada pada waktu tengahari atau sebelah petang penuh
dengan pengunjung. Kedengaran banyak pertanyaan. Ingin tahu kedudukan perkara.
Anak-anak menangis kerana letih. Kerana lapar susu. Kerana kehausan. Riuh pula
dengan anak-anak yang berkejar-kejaranan. Ramai yang berbual kerana bertemu
rakan lama atau saudara yang lama tidak bertemu.
Sesungguhnya budaya menziarahi pesakit kadang-kadang
melebihi tuntutannya. Seorang isteri bekas menteri menceritakan tentang kejutan
budaya yang dialaminya sewaktu mula berhijrah ke Malaysia. Mana mungkin seramai
itu penziarah di hospital. Atas alasan apapun di negara lain seperti di Eropah
dan Amerika mengunjungi pesakit di hospital bukan budaya utama. Hatta di negara
Arab Islam menziarahi pesakit bukan secara besar-besaran. Di Malaysia ada
rombongan menggunakan bas atau kereta yang banyak jumlahnya. Di negara lain menziarahi
orang sakit dibuat ala kadar. Mungkin kita boleh menilai semula budaya kita.
Dari satu sisi ianya amalan baik. Perihatin. Suka terlibat. Menunjukkan rasa
ambil tahu. Merapatkan silaturrahim. Ukhwah.
Namun begitu dari sisi lain ianya bukan amalan yang terbaik. Ada adab
Islamiyyah yang lebih bermanfaat semasa sessi menziarahi pesakit sama ada di
hospital atau di rumah. Pada lazimnya:
1 Pesakit
adalah sedang sakit. Fizikalnya lemah. Jiwanya lemah. Semangatnya rendah.
Psikologinya terkesan. Kegembiraan lazimnya hilang dari diri dan perasaan
pesakit. Maka berpada-padalah semasa menziarahi pesakit.
2 Ia
perlu banyak berehat. Banyak tidur. Ubat yang dimakan mungkin menjadikan
pesakit mengantuk. Ketika itu waktu menziarahinya perlu disingkatkan.
3 Ada
masanya yang berjadual ia perlu menerima rawatan jururawat atau doktor. Ketika
itu jika terlalu ramai penziarah memang keadaan menyulitkan. Ruang menjadi
sesak. Hospital sudah bukan hospital lagi.
4 Ia
mungkin perlu ke bilik air. Maklum sahajalah pesakit. Lambat. Lemah. Perlu
banyak bantuan dari penjaganya atau jururawat.
5 Ia
perlu bersendirian dengan orang yang terdekat seperti ibu atau isteri atau
suami atau anak atau adik beradik. Sebab itu menjengah pesakit tidak boleh
terlalu lama.
6 Ada
masanya ia perlu mendedahkan aurat kepada mahramnya atau kepada jururawat atau
kepada doktor bertugas. Jika diziarahi tentulah menyulitkan yang sakit dan yang
menziarahinya.
7 Ia
perlu makan seperlunya mengikut jadual yang telah ditentukan. Ketika diziahari
makannya terganggu. Malu ada. Terganggu ada. Kasihan pesakit.
8 Jangan
lupa. Penjaganya juga perlu rehat. Waktu malamnya dia kurang tidur. Siangnya
membantu pesakit mana yang perlu. Jika penziarah terlalu ramai dan terlalu lama
kasihan penjaganya. Mungkin dia juga sudah berumur. Dia juga menjadi kurang
sihat.
Kerana itu penziarah perlu pula mengetahui bila
waktu yang sesuai dan bila pula waktu yang tidak sesuai. Begitu juga adab
ziarah yang perlu dijadikan panduan. Antaranya:
1 Jangan
terlalu lama. Melebihi jangkamasa 15 minit sangat lama. Ramai lagi penziarah
lain yang juga ingin berkesempatan menjengah pesakit. Tujuan ziarah sudah mencukupi dalam masa yang
singkat. Banyak yang boleh dilakukan dalam masa yang singkat. Jangkamasa yang
lama belum tentu banyak manfaatnya.
2 Yang
penting ialah menemui pesakit secara peribadi. Menjabat tangannya. Bertentang
mata dengannya. Mendengar suaranya. Mungkin sedikit ceritanya. Mungkin lama
jika pesakit yang meminta penziarah berbuat demikian.
3 Bawalah
hadiah yang sesuai seperti barang-barang yang menceriakan. Sejambak bunga
umpamanya. Buah-buahan.
4 Datang
dengan doa dan balik dengan doa. Doakan semoga Allah segera menyembuhkannya.
5 Tanya
hal-hal yang ringan. Banyak bertanya tentang sakitnya mungkin menjadikannya
sebak. Mungkin juga menjadikannya hiba. Ada masanya ia sudah jemu dengan
pertanyaan yang sama dari orang yang berlainan. Berulang-ulang pertanyaan yang
sama.
6 Bercakap
secara perlahan. Selain untuk tidak mengganggu ketenteraman diri pesakit,
penziarah yang lain tidak pula mahu diganggu. Pesakit yang berada di sebelah
menyebelah apatah lagi. Mereka tidak mahu terganggu.
7 Tidak
terlalu banyak bertanya dan bercakap. Pesakit bukan gemar bercakap semasa sakit.
Keinginan untuk bercakap terhenti seketika. Sakit yang dirasa. Bersembang
nantilah dahulu setelah sembuh dari penyakitnya. Bertanya bermacam-macam
perkara hanya akan menjadikannya gelisah.
8 Jangan
pula gelak ketawa. Tidak pula berbual dengan penziarah yang lain hingga
mengganggu pesakit dan penziarah yang lain. Bolehlah mengusik pesakit tetapi
tidak keterlaluan. Takut menyakitkan hati atau menyentuh perasaan.
9 Jangan
menghalang pesakit lain yang sedang berehat. Jangan duduk di birai katil
pesakit lain. Mengganggu ketenteramannya. Pesakit lain ada penziarah mereka
sendiri.
10 Jangan
mengganggu petugas hospital. Ada sahaja yang perlu mereka lakukan. Mungkin
berkemas. Mungkin mengurus pesakit.
11 Jangan
bawa orang yang sedang sakit seperti selsema, batuk atau penyakit yang mudah
berjangkit. Kita ke hospital untuk menziarahi pesakit bukan untuk menambahkan
penyakit lain. Tidak juga menjangkitkan penyakit kepada penziarah lain.
12 Jangan
bawa anak-anak kecil kerana sistem ketahanan diri mereka belum kuat. Ditakuti
mereka terjangkit berbagai penyakit yang tidak sepatutnya terkena kepada
mereka.
13 Jangan
bawa makanan yang bukan-bukan dari rumah. Ahli keluarganya yang mengetahui apa
yang boleh dimakan dan apa yang dilarang. Penziarah tidak tahu alahan pesakit.
Atau keperluan pesakit yang sebenarnya.
14 Tentu
dilarang membawa berita yang mengejutkan. Berita yang negatif. Berita yang
menyedihkan.
15 Jangan
juga memandai-mandai mencadangkan ubat-ubatan yang belum tentu mujarrab tanpa
kebenaran doktor. Membahayakan pesakit.
Pesakit hendaklah dilayan sebagai pesakit. Ketika
itu ia perlu layanan istimewa. Layanan sepenuhnya. Ia perlukan perhatian yang
sekecil-kecilnya. Ada ketikanya pesakit menjadi anak-anak kecil. Bukan manja
tetapi keperluan nalurinya yang sangat tinggi. Seolah-olahnya dia memerlukan
orang lain boleh membaca apa yang ada dalam fikirannya. Dia mungkin tidak mahu
meminta atau menyuruh-nyuruh. Yang menjaganya perlu maklum apa kehendaknya pada
ketika-ketika tertentu. Kebiasaan yang
orang lain tidak tahu kecuali orang-orang yang terdekat sahaja. Kita boleh
mendoakannya dari jauh. Solat hajat untuknya. Bacakan al-Quran dan pahalanya
disedekahkan kepadanya. Ceritakan kebaikannhya kepada orang lain. Ajak orang
lain mengaminkan doa untuknya. InsyaAllah kita boleh membentuk budaya yang
lebih segar pada masa hadapan.