Setahun kita menanti Ramadhan. Bila tiba Ramadhan itu kita sibuk melepas pandangnya. Kita beribadat sama seperti orang lain juga. Antara tahu dengan tidak. Antara peka dengan tidak. Antara faham dengan tidak. Antara mencari maghfirah Allah dengan tidak. Antara jalan ke syurga yang banyak likunya. Kita selalu kecundang untuk melayani kehadiran Ramadhan. Bayangkan semua lapan pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya. Semua pintu neraka ditutp serapat-rapatnya. Bukan itu sahaja syurga dihias dengan secantik-cantiknya. Syurga dalam keadaan biasa tidak dapat manusia lintaskan kesempurnaannya dalam minda. Apabila dihias dalam bulan Ramadhan lagilah tiada dalam pemikian manusia. Itulah kemuncak nikmat bagi yang mematuhi perintah Allah. Begitu jugalah kerugian bagi mereka yang gagal bersyariat. Malah ditambah lagi dengan azab yang tidak terperi pedihnya.
Jika kita fasakan, Ramadhan terbahagi kepada tiga. 10 hari yang pertama. 10 hari yang kedua. 10 hari yang ketiga. Ustaz dan ustazah selalu bersyarah tentang fasa yang ketiga sahaja. Fokusnya Laitulqadar sahaja. Syarat dan prasyaratnya selalu tidak diperincikan. Apa yang perlu dilaksanakan menjelang Ramadhan selalu terleps pandang. Terlepas dengan. Pada awal Ramadhan persediaan meraikan Lailattulqadar tidak dihamparkan. Bahawa 10 hari dan malam yangt pertama adalah permulaan yang lambat. Memanaskan badan. Hari-hari yang awal lenguh kaki dan paha. Pinggang pun terasa. Lama tidak bersenam panjang. Otot semuanya kejang. Selepas 10 malam pertama solat Tarawih menajdi ringan. Anggota tubuh badan mejadi lebih santai. 10 malam yang kedua menjadi pemacu untuk lebih giat ibadahnya. Jika boleh sudah masuk giar 4. 10 malam yang terakhir ibadah bak meluncur laju. Pantas dan ligat. Hasratnya memintas masa. Menanti Lailatulqadar. Mudah-mudahan ada barakah menanti. Maghfirah melimpah.
Semuanya menjadi paradox. Orang semakin bercerita datangnya Lailatilqadar. Malangnya orang semakin susut kehadirannya dari masjid dan surau. Solat Tarawih semakin tinggal yang di saf hadapan sahaja. Saf-saf yang di belakang syahid setiap malam. Selalu dinasihatkan supaya kita memecut laju pada 10 malam terakhir. Jika boleh berjaga sepanjang malam. Setiap malam di atas sejadah. Mengingat Allah sama ada dalam solat atau dengan berzikir. Minda dan hati sentiasa pada Allah. Ibarat orang berlari pecut, apabila hampir ke garisan penamat lariannya semakin pantas. Sentiasa mahu di hadapan. Mengungguli orang lain. Malangnya 10 hari atau malam terakhir orang lebih ramai membawa anak isteri mereka untuk mencari persiapan Hari Raya. Solat dan Tarawaih menjadi tidak relevan kepada mereka. Waktu mereka kembali ke rumah lebih lambat dari waktu tamat solat Tarawih. Sayangnya waktu yang terlepas untuk lebih beribadah. Lailaulqadar yang hanya cerita sahaja.
Tentulah ironis. Kita berpuasa. Patuh kepada perintah Allah dan Rasulnya. Budaya yang didatangkan kepada kita berbeza dengan budaya orang Islam di Arab Saudi dan di Mesir. Mereka sibuk dengan Ramadhan. Membanyak ibadah setiap masa. Mereka melupakan tentang Hari Raya. Seperti tidak ada pada mereka. Hari-hari yang lumrah. Hari selepas Ramadhan terakhir. Adalah sedikit perayaan. Eidul Adha sahaja yang mereka sambut sehingga empat hari. Hari Raya bukan hari dan bulan keutamaan dalam kalendar mereka.ibadat yang penting. Syawal pertama bertakbir dan bertahmid. Ada sedikit jamuan. Mungkin bertemu sanak saudara. Syawal kedua semuanya berakhir. Puasa Syawal bermula. Enam hari yang berturut-turut. Ganjarannya seperti berpuasa setahun lamanya. Kita pula lain caranya. Hari Raya disambut selama tiga bulan. Ya tiga bulan. Rumah terbuka tidak berhenti-henti setiap hujung minggu. Terlajak hingga tiga bulan.
Esok Sabtu 29 Ramadhan 1433H. Mengikut kalendar esok adalah Ramadhan terakhir bagi tahun ini. Berapa ramai antara kita yang sayu ditinggalkan Ramadhan. Sedih kerana berpisah dengannya. Tertusuk hiba kerana tahun hadapan belum tentu menemuinya. Ramadhan tetap datang. Tetapi kita yang tidak pasti dapat menyambutnya lagi. Yang dapat meraikannya lagi. Yang dapat menghidupkan malam-malamnya. Ada antara kita yang mungkin pergi. Ada pula yang uzur syarie. Ada yang berkeuzuran. Ada yang terlalu tua. Ramadhan menjadi sesuatu yang akan berlalu begitu sahaja. Allahuakbar. Bagaimana jika Ramadhan ini yang terakhir. Semuanya telah berlalu pergi. Hari bersilih ganti. Masa berganti masa. Yang di hadapan pasati datang. Yang bersama menjauh ke belakang. Hari ini menjadi sejarah esoknya. Manfaat hari ini yang dibawa bersama.
Azam kita selalu goyah. Moga tahun hadapan Allah pertemukan kita dengan Ramadhan yang lebih terisi. Yang lebih mentarbiahkan diri. Tarawih 20 rakaat yang tidak perlu dipertikai. 8 juga menjadi pilihan. Bagi yang mengerti bukan 20 sebagai pilihan. Mereka menambah lagi selarat kaki dan kudrat berdiri. Mengisi Ramadhan yang penuh barakah. Bulan anugerah untuk umat yang beriman. Setiap kebaikan berganda ganjarannya. Malang sekali minggu-mingu terakhir ini yang diiklankan ialah hiburan yang bakal mendatang. Sudah dibariskan senarainya dari hari ke hari. Program yang mendahului waktu. Semuanya dirakamkan pada bulan Ramadhan. Bukan ibadah yang ditambah. Hiburan yang make belief yang banyak berjela. Hari Raya bukan hari berhibur. Benar Hari Raya disarankan kita bergembira. Tetapi dengan bertakbir dan bertahmid. Mensyukuri nikmat Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada kita. Tiada agama lain yang diindahkan dengan Ramadhan. Tiada bangsa lain yang merasa bahagianya Ramadhan. Hanya orang Islam sahaja yang menikmati Ramadhan hingga menusuk hati. Hanya mereka yang beriman sahaja yang hatinya terikat dengan Ramadhan. Lapar dan dahaga tidak pernah menjadi pertimbangan. Yang dirasa ialah nikmatnya. Nikmat berbuka puasa. Nikmat berhari raya. Nikmat solat berjemaah seramai0pramainya.
Silakan berhari raya. Pesan penulis rayakan Syawal ini dengan penuh tertib agama. Carilah redha Allah. Tambahkan kebaikan. Kunjung mengunjung. Bermaaf maafan. Berbaik-baik antara satu sama lain. Bina ukhwah Islamiah. Ketepikan media elektronik yang 24 jam menyogokkan halangan untuk berhari raya dengan selesa. Hiburan ada 24 jam sehari semalam. Ramadhan hanya sekali setahun. Hari Raya juga sekali setahun. Untuk berhari raya yang tidak syarie boleh lakukannya setiap hari. Ada orang berhari raya setiap hari. Itu berhari raya di hati. Beraja di mata. Bukan kerana agama. Bukan kerana Allah. Tiada syariatnya. Mudah-mudahan Hari raya ini kita lakukan anjakan paradigma. Jana perubahan untuk menjadikannya sesuatu yang sentiasa selari dengan agama.
Maaf zahir batin. Mohon maaf salah silap. Semoga Allah memberkati kita semua. InsyaAllah.