Sunday, February 1, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Berubahkah Paradigma Melayu Mengenai Perniagaan



Apabila ada saudara-mara berniaga apa yang kita harapkan darinya? Apabila sahabat-handai kita berniaga apa manfaat yang kita nikmati darinya? Andaikan kesemua premisnya adalah jujur, ikhlas, benar dan kerana Allah. Adakah dalam pemikiran kita bermain-main harapan berikut:

1                    Boleh dapat diskaun yang banyak.
2                    Boleh membeli dengan harga lebih murah.
3                    Boleh membeli dengan berhutang.
4                    Boleh meminjam wang darinya bila nampak perniagaannya kukuh.
5                    Boleh menjadi rakan kongsinya kerana perniagaannya dilihat berdaya maju.
6                    Boleh berlebih kurang.

Mari kita perhatikan lagi senarai di atas. Nampak normal. Tidak menyalahi etika. Tidak ada apa-apa masalah. Cuba pula kita terbalikkan setiap pernyataan tersebut:

1                    Tolak diskaun. Saudara atau rakan kita hendak maju dalam perniagaannya. Setiap sen keuntungan yang diusahakannya akan memacu perniagaannya ke hadapan. Diskaun pula melemahkan semangat. Keuntungan menjadi sedikit. Tidak berbaloi berniaga. Yang menerima diskaun inginkan peratus yang tersangat banyak. Trauma yang berniaga. Jika orang lain boleh ditolak. Saudara-mara sendiri atau sahabat sendiri menjadikan peniaga fobia untuk berniaga. Takut putus saudara. Takut putus sahabat. Akhirnya merugikan diri sendiri. Peniaga atau usahawan yang menanggung. Pelanggan untung sedangkan dia yang berniaga kerugiaan. Dalam konteks ini saudara-mara atau rakan taulan perlu menyokong dengan mengabaikan diskaun. Itu adalah cara untuk membantunya agar terus maju dan maju. Menyaingi kaum lain yang menguasai bidang tertentu. Sejarah sudah terlalu banyak terakam bahawa yang meruntuhkan perniagaan atau usaha orang Melayu adalah bangsanya sendiri.
2                    Jangan berkira sangat dengan harga yang disenaraikan. Harga itu menjamin keuntungan. Keuntungan pula menjamin usia panjang perniagaannya. Jika kita membayar lebih murah di syarikat lain cuba lihat kos overhead atau kos berubah mereka. Perniagaan yang besar berdasarkan volume. Boleh beri diskaun yang banyak kerana ianya tidak signifikan apabila kuantiti jualan sangat besar. Ingat, dalam diskaun yang banyak kadang-kadang dikenakan caj lain yang tidak dikira semasa diskaun diberikan. Kos penghantaran barang umpamanya. Kerana itu apa salahnya forgo diskaun dari syarikat saudara sendiri. Atau syarikat sahabat sendiri. Terutamanya syarikat kecil yang baru hendak menapak maju. Perlu dibantu untuk terus maju. Malah kadang-kadang itulah survivalnya. Ia menjadi sokongan moral kepadanya. Doakan dia supaya perniagaannya lebih maju lagi.
3                    Bayar tunai. Barayan tunai menjamin modal pusingan. Wang di tangan boleh dipelbagaikan selain dari menjamin bahawa perniagaan tidak terputus bekalan. Menjamin kepuasan pelanggan kerana setiap kali pesanan dibuat produk sudah tersedia atau boleh disediakan segera. Tidak usahlah bayar dengan cek tertangguh. Melambatkan kecairan syarikat saudara atau rakan sendiri. Berilah ia peluang bernafas semasa berniaga. Bukan menyesakkan nafasnya.
4                    Jangan biasakan meminjam wang dari saudara-mara atau sahabat-handai yang berniaga. Orang Melayu yang berniaga hatinya lembut. Mereka yang meminjam pula hatinya keras. Wang itu nyawa dan nadi perniagaan. Apabila dipjnjam selalunya dan lazimnya lambat dibayar kembali. Marah apabila diminta untuk menjelaskannya. Yang memberi pinjam kecewa sangat-sangat. Wang berkurangan. Semangatnya berniaga boleh pudar kerananya. Seorang sahaja meminjam sudah cukup memeningkan. Jika ramai yang meminjam memang boleh menjadikan perniagaan cepat muflis.
5                    Tidak mungkin orang lain tiba-tiba ingin menjadi rakan kongsi. Sewaktu  perniagaan hendak dimulakan semua memandang sebelah mata. Tidak ingin terlibat. Apabila sudah maju ingin menumpang. Ya menumpang pula sebagai penumpang hanyut. Menjadi rakan lelap. Tahu hendak untung sahaja. Penglibatan secara aktif hanya mengganggu perancangan asal yang memang berdaya maju. Akhirnya hanya melemahkan semangat. Wang tambahan akhirnya menyumbang untuk meruntuhkan suatu perniagaan.
6                    Mana boleh berlebih kurang. Perniagaan adalah perniagaan. Kita selalu tersalah tafsir bahawa urusniaga dengan saudara-mara atau sahabat-handai boleh berlebih kurang. Tersilap besar. Business is business. Setiap urusniaga perniagaan wajib mengikut peraturan. Mengikut undang-undang berniaga. Pada akhir tahun akan diaudit. Mana keuntungan yang diunjurkan pada tahun itu? Kenapa diakaun melebihi polisi syarikat?

Bagaimana sebenarnya sikap kita apabila saudara-mara atau sahabat-handai kita berniaga. Contoh di atas hanya cebisan asam garam orang berniaga. Bagaimana hendak membantu. Bagaimana hendak menyokong. Bagaimana kita hendak menjadikan usaha saudara-mara atau sahabat-handai kita itu sebagai landasan untuk memajukan kaum kita. Untuk memajukan bangsa kita. Untuk memajukan mereka yang seagama dengan kita. Kita masih berfikir sempit ke belakang. Sebagai analogi kenapa orang makan di restoran besar atau di hotel sedangkan kedai makan yang lebih murah sangat banyak di luar sana.

1                    Persekitaran yang kondusif. Luas, nyaman dan bebas dari hiruk-pikuk yang tidak tentu hala. Pelanggan bukan sebarangan orang. Peniaga juga bukan sebarangan orang. Masing-masing ada objektif dan matlamatnya masing-masing.
2                    Pilihanya yang berbagai. Selera atau citarasa pelanggan seboleh-bolehnya custom-made atau tailor-made.
3                    Kualiti dijamin tinggi, konsisten dan konstan.
4                    Harga bukan penghalang. Disesuaikan dengan kualiti. Sesuai dengan custom-made. Sesuai dengan persekitaran yang kondusif. Belum pernah mereka yang makan di hotel atau restoran besar meminta diskaun. Tidak mungkin pula berhutang. Tidak mungkin membayar dengan cek tertunda. Mungkin mereka membayar dengan kad kredit atau charge card.

Andaikan saudara-mara kita atau sahabat-handai kita berniaga. Andaikan mereka memberikan kita kualiti yang standard. Kenapa kita berkira dengan harga yang diminta. Di syarikat yang setara, diskaun yang banyak tidak mungkin diberikan. Itu adalah standard industri. Noktah. Fullstop. Ini bukan soal saudara. Ini bukan soal sahabat. Yang boleh diberi ialah jaminan tidak ada fraud. Tidak ada penipuan between the small prints. Saudara-mara atau sahabat-handai kita yang berniaga itu juga berusaha untuk memberi kepuasan kepada kita sebagai pelanggannya. Sudah sampai masanya kita sebagai orang Melayu mengubah paradigma kita sebagai Melayu terhadap orang Melayu lain yang ingin berniaga. Yang ingin menjadi usahawan. Yang ingin mencari rezeki dengan berniaga.


Ubah persepsi kita tentang mereka yang berniaga. Bantu mereka dengan nasehat yang memberikan dayamaju. Contohnya jika harga produknya lebih mahal mungkin dia boleh mengurangkan overheadnya. Mencari sumber bekalan produk yang lain. Kurangkan kos-kos lain yang tidak berkaitan. Promosi yang terkawal. Tanamkan semangat untuk menyumbang memajukan perniagaan mereka. Sikap dan semangat ini membantu memotivasikan saudara-mara dan sahabat-handai yang berniaga. Kita sama-sama Melayu dan sama-sama Islam perlu memikirkan semula sikap kita. Kita yang boleh membantu untuk membuat perubahan. Kita boleh menjadi pelanggan yang berwibawa. Bukan sahaja dengan wang ringgit yang kita belanjakan tetapi juga dengan semangat moral yang tinggi dan baik. Mudah-mudahan lebih ramai lagi kaum kita yang berdaya maju dalam usahaniaganya pada masa hadapan. Insyaallah.