Tuesday, December 20, 2011

Tanggungjawab Yang Perlukan Jawapan

Baru-baru ini diberitakan bahawa ramai remaja kita yang mengalami kecelaruan fikiran. Mereka bertingkahlaku di luar norma. Tidak mengenal yang mana hak dan yang mana bathil. Lalu timbullah kerisauan yang memanjang di kalangan generasi tua. Kerisauan yang menghunjam perasaan tentang kebolehtahanan generasi masa hadapan menghadapi cabaran-cabaran yang hebat mendatang. Jika hendak disenaraikan terlalu panjang pula. Mungkin sekadar cukup untuk mengatakan bahawa cabaran teknologi terlalu keras dan deras. Ramai yang terpukul, terpantul dan kantul kerana peredaran zaman yang terlalu pantas. Perlukah kita menuding jari? Saya sendiri yang anak-anak sudah membesar, sudah berkerjaya dan berkeluarga berkeyakinan bahawa ibu bapa adalah benteng pertama dan benteng terakhir yang memperisai anak-anak. Yang boleh meyelamatkan anak-anak. Jika ibu dan bapa tidak mengambil tanggungjawab tersebut maka bolehlah kita katakan bahawa  kita dan generasi kita tiada harapan lagi.

Dari siapa anak-anak kita belajar? Dari guru? Benar. Dari rakan? Benar? Dari media? Benar? Jarang kita tanya peranan ibu dan bapa. Bukankah mereka berdua guru pertama anak-anak? Bukankah mereka yang hampir 24 jam bersama anak-anak mereka? Bukankah mereka yang pejam dan celik anak berada di depan mata? Masih ingat kata orang tua, apabila kita menudingkan jari ke arah lain dengan jari telunjuk kita ada empat jari lain yang mengarah kepada kita. Ini bermakna dalam banyak hal kita sebagai ibu dan bapa banyak salahnya. Berganda-ganda salahnya. Banyak lemahnya. Banyak kekurangannya. Banyak idak tahunya. Siapapun yang kita salahkan akhirnya kembali kepada kita kerana kita adalah sebahagian dari orang lain. Sebahagian dari masyarakat. Sebahagian dari insan-insan yang bernama manusia. Kedudukan kita sangat dekat dengan anak. Bukan lain. Yang lain adalah pelengkap kepada yang kita laksanakan. Yang kita standardkan. Kualitinya mestilah dari kita. Bukankah bangsa itu dikenal dari ibu bapanya?

Kita ada peranan. Kitalah yang berperanan mengubah persekitaran. Mengubah masyarakat. Ahli masyarakat yang pertama kita ubah ialah anak kita sendiri. Kita ada kuasa mengubah mereka kerana mereka anak-anak kita. Sebelum mereka  diberi hak kita ada hak mutlak ke atas mereka. Bukankah kita yang mencorakkan mereka. Asal mereka bak kain putih. Olahan kita untuk menjadikan mereka Islam atau bukan. Baik atau tidak. Cemerlang atau tidak. Berjaya atau tidak. Anak-anak kita seperti dalam sebuah kilang. Mereka menjadi input. Kita memproses mereka. Tentu sekali ada ramuan agama yang kita tambahkan. Ada ramuan nilai yang kita campurkan. Ada ramuan akhlak yang kita gilapkan. Banyak lagi ramuan-ramuan kemanusiaan yang kita nilaitambahkan. Tetapi kita tidak harus lupa bahawa setiap produk yang kita keluarkan mestilah memiliki standard yang lebih tinggi dari yang diperlukan. Namun kosnya tidak perlu dinaikkan. Kosnya adalah kepuasan berganda kerana melahirkan produk yang berkualiti tinggi. Di hujung sana kita ingin melahirkan produk yang bernama anak yang berimpak tinggi. Yang sumbangannya kepada ummah sangat mumtaz. 

Maka ibu dan bapa adalah guru yang berwibawa. Guru yang murabbi. Mereka adalah pengurus yang berautoriti. Mereka adalah imam yang diberi kepatuhan tinggi. Mereka adalah jurutera yang berintegriti. Mereka adalah abid yang tinggi nilai kemanusiaannya. Anak-anak yang dilahirkan dari rumah kita memenuhi tuntutan agamanya. Tuntutan masyarakatnya. Tuntutan keluarganya. Tuntutan alam sekitarnya. Peranannya mencakup agama. Pendidikan. Ekonomi. Begitu juga bidang-bidang keilmuan yang lain. Mereka ditugaskan untuk memartabatkan diri mereka. Anak-anak mereka. Jiran tetangga mereka. Sanak saudara mereka. Masyarakat mereka. Negara mereka. Seluruh kemanusiaan yang ada di sekeliling mereka. Anak-anak yang melangkah keluar dari rumah kita adalah produk terbaik yang pernah kita lahirkan. Anak-anak yang masuk ke dalam masyarakat adalah anak-anak yang boleh duduk tinggi.  Boleh ke tengah dan ke tepi. Boleh duduk sama rendah dengan siapa sahaja khalayak yang bersama mereka.

Alllahuakbar! Saya merindui aspirasi saya sendiri. Sesudah lama ditinggalkan Munsyi Abdullah kita masih ramai yang bercawat ekor. Telah berates tahun Munsyi Abdullah menegur orang Melayu. Rupanya masih banyak yang perlu ditegur. Diperingatkan. Kritikan Abdullah sangatlah pedasnya. Pedas sahaja tidak cukup jika kit atidak berusaha melunakkan kepedasannya itu menjadi senjata kita untuk menjadikannya sesuatu yang menguntungkan. Member kebaikan. Setelah ditinggalkan penjajah kita masih lagi dilabel malas. Dunia mengutuk orang Islam sebagai bodoh. Pengganas yang tidak perlu dikasihani. Ada misinterpretation. Berlaku Islamofobia. Kita menjadi manusia yang tidak dimengerti. Ada mistri yang melingkari kita. Kepompong yang kita bina semakin menebal. Sedangkan yang akan lahir dari kepompong itu belum tentu rama-rama yang cantik. Yang terbangnya indah. Yang menjadi suci kerana hanya menghisap madu bersih yang Allah turunkan waktu dinihari yang sejuk penuh dengan bersih suci. Ulat beluncas yang menyimpan khazanah alam yang indah bila menjadi rama-rama. Memenuhi ruang angkasa dengan indah dan serinya. Mewarnai segala yang dihinggapi. Bersamanya ia menaburkan debunga yang akhirnya berkhidmat dan berperanan menyambung zuriat alam flora yang meluas di muka bumi.

Lihatlah anak-ana kita dengan renungan jauh. Melihat visual yang berdekad dari sekarang. Dalam zaman mereka sewaktu kita sudah tiada. Soalan pertama kita ialah adakah mereka berhak mencipta kehidupan yang wajar untuk mereka? Untuk anak-anak mereka. Untuk masyarakat mereka. Soalan kedua, adakah mereka berhak dan berkeupayaan untuk menyumbang ke arah menambahbaik apa-apa yang kita tinggalkan? Apakah sumbangan mereka kepada agama? Kepada Negara. Kepada umat. Jika kita ingin positif maka kita wajib berperanan memproses mereka menjadi produk yang berkualiti tinggi. Prestasinya berimpak tinggi. Wawasannya dunia dan akhirat.  Tiada yang baik kecuali yang baik. Anak sebagai input bersih dan tidak tahu apa-apa. Ibu bapa sebagai guru memulakannya dari rumah. Dari celah ketiak ibu. Dari ramasan jejari ibu dan bapa. Dari belaian keduanya. Dari keperihatinan keduanya. Dari cita-cita dan impian keduanya. Dari usaha dan aspirasi keduanya. Dari doa keduanya. Yang dipanjatkan agar anak-anak menjadi imam. Menjadi anak-anak solehah.

Rakan adalah guru kedua. Jiran tetangga adalah guru ketiga. Guru adalah guru keempat. Masyarakat adalah guru kelima. Media massa guru keenam. Cuba teliti balik urutan itu. Seharusnya ibu bapa boleh mendidik anak-anak supaya banyak membetulkan persepsi. Membetulkan paradigma. Membetulkan pemikiran yang rasional. Yang tinggi kewarasannya. Untuk apa dia belajar. Untuk apa dia hidup. Untuk apa dia menyatu dengan masyarakat. Dengan alam sekelilingnya.   Dia ada peranan. Dia ada misi untuk dilaksanakan sebagai individu. Sebagai anak. Sebagai suami. Sebagai isteri. Sebagai imam. Sebagai ahli masyarakat. Sebagai penganut agama yang benar. Anak-anak kita tidak akan pandai melaksanakan semua tutuntutan ke atas dirinya tanpa belajar terlebih dahulu. Kita, kita ibu dan bapanya seharusnya memulakannya dahulu. Maaf. Kursus praperkahwinan terlalu kecil untuk menjadikan kita ibu bapa yang berwibawa. Terlalu sedikit. Kursus-kursus sebegitu hanya memenuhi keperluan syarat. Tetapi bukan penanda aras kejayaan ibu bapa ke atas anak-anaknya. Tidak ramai pasangan muda yang bersedia mengikuti bimbingan untuk mendidik anak. Sibuk dengan kerjaya. Akhirnya nanti sibuk dengan karenah anak. Alangkah baiknya jika semasa masih lapang belajar untuk mengurus anak. Ilmu itu pasti bermanfaat kerana persediaan awal itu selalu membantu dalam banyak hal.

Saya selalu kecewa apabila mendengar kanak-kanak yang lucah dan kesat bahasanya. Yang lagaknya terlebih ajar. Pakaiannya terlalu dewasa berbanding dengan usianya. Khususnya yang perempuan. Tingkah lakunya tidak lagi melambangkan anak Islam. Tidak juga anak Melayu. Hilang segala budi. Lenyap segala kesantunan. Hormat dan tunduk yang bukan lagi di hadapan orang yang berumur lebih banyak dari mereka. Jika kita kembali ke rumah kita melihat sesuatu yang malang. Ibu dan bapa hilang kawalan. Mereka kehilangan hak untuk mendidik. Anak-anak hilang hormat. Tiada siapa yang lebih besar selain dari rakan. Guru juga gagal kerana guru adalah manusia yang serupa dengan ibu bapa mereka.   Banyak yang sinonim antara guru dan ibu bapa. Mengarah, memerintah, menyuruh dan akhirnya memarah. Anak-anak tidak bebas mengeluarkan pendapat. Tidak boleh berdebat. Tidak diberi faham kedudukan  perkara. Mereka harus ditundukkan dengan kecerdikan. Dengan kebijaksanaan akal. Dengan pemikiran peringkat tinggi. Malangnya ibu bapa gagal bila berdebat dengan anak. Tiada fakta. Tiada kesampaian ilmu. Tiada pemikiran tinggi yang boleh menyanggah pendapat anak. Anak-anak selalu menang.

Anak-anak sekarang dalam lingkungan bermaklumat. Saya katakana e-anak. Maklumat yang mereka ada di luar jangkaan ibu dan bapa. Jauh melangkaui kemampuan ibu dan bapa. Ibu bapa ramai yang tidak dapat menjejak maklumat yang ada pada anak-anak mereka. Anak-anak jauh terkehadapan. Ibu bapa jauh tertinggal. Manakan mungkin ada titik pertemuan jika sedari kecil titik-titik itu tidak dipahat. Tidak dipacakkan. Tidak ditanamkan. Tidak dipertahankan. Dari rumahlah segala-galanya bermula. Sewaktu mereka mula melangkah keluar dari rumah acuan keluarga seharusnya sudah terbentuk. Sudah sedia dipersembahkan ke khalayak umum. Sudah menjadi penanda aras. Kualitinya sudah terserlah. Kita inginkan generasi terbilang. Yang cemerlang dalam segala hal. Anak-anak yang hidupnya bakal bermanfaat dan memberi manfaat. InsyaAllah.