Saturday, October 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Mendewasa Bersama Orang Dewasa



Orang dewasa adalah sumber pengalaman lampau. Terhimpun dari masa ke semasa. Biasalah dari mereka turun berbagai maklumat kepada generasi yang berbagai selepasnya. Lazimnya pengalaman itu autentik. Benar pada masa dan tempatnya. Pengalaman yang benar adalah pengalaman yang dirasa sendiri melalui pancaindera. Dilihat sendiri. Didengar sendiri. Dihidu sendiri. Disentuh sendiri. Antara banyak pancaindera yang kurang mendapat penghormatan ialah telinga. Berbahagialah bagi mereka yang mendengar dan kemudiannya taat terhadap perintah Allah. Malang pula jika yang didengar bukan hak. Dengar-dengar yang bukan perlu ditaati. Dalam bahasa mudah telinga selalu mendengar maklumat yang salah. Apabila yang mendengar tidak bijaksana membuat tapisan maka telinga menjadi wadah yang sangat malang pendengarannya.

Kita mendengar suara, bunyi getaran dan desiran tanpa paksa. Kadang-kadang tanpa rela sebab telinga kita memang untuk mendengar. Sama juga apabila kita menulis. Audien membaca apa yang tersurat. Tidak ramai membaca apa yang tersirat. Membaca pada face value sahaja sangat merbahaya. Banyak yang tidak benar tercatat sebagai sesuatu yang dianggap benar. Mereka yang sama pengalamannya memahami maksud catatan tetapi mereka yang berlainan zaman mendeduktif dari apa yang tertulis. Ramai yang menganggap perkara itu benar. Kerana itu Islam melarang kita terlajak dalam banyak perkara. Sebelum bercakap semak dahulu isinya. Maklumat atau hal-hal yang menimbulkan keraguan dan masalah komunikasi. Sebelum ditulis semak dahulu implikasinya.

Kita hidup dalam alam yang konsepnya bersama. Berkongsi ruang dan peluang. Maka dalam perkongsian tentulah ada batas dan halangan yang tidak boleh diterobos. Perlu dijaga kerana hormat-menghormati. Perkongsian dalam hal seperti inilah kita selalu terbabas. Menceroboh ruang orang lain. Selalunya kita menjaga sensitivi agama, politik, kaum dan peribadi. Alangkah baiknya akhlak Islam yang selalu menjaga batas-batas murni. Contohnya yang muda menghormati yang tua. Tidak kira siapa tua itu. Mungkin bapa atau datuk. Mungkin bapa mertua. Mungkin bapa saudara. Mungkin orang yang sebaya bapa dan datuk. Asalkan ia lebih tua elok benar dihormati. Bukan kerana pangkatnya. Bukan kerana jawatannya. Bukan kerana kelayakan akademiknya. Bukan kerana kedudukan politiknya. Tua adalah tua kerana usianya lebih banyak dari kita. Lebih dahulu makan garam kata orang tua-tua.

Begitulah yang digariskan oleh agama Islam. Orang tua itu pula tidak kira Islam atau bukan Islam. Ianya akhlak Islam. Ia juga dakwah yang sangat halus untuk memikat hati orang bukan Muslim. Orang tua tidak boleh  dihina. Tidak boleh diperlekeh. Tidak boleh direnah-rendahkan. Tidak boleh dibuat sesuka hati. Kedudukannya hebat dari segi usia. Sahabat-sahabat dahulu sangat menghormati orang tua walaupun mereka bukan Islam.

1                   Bila bercakap tidak boleh meninggikan suara kepada mereka.
2                   Bila berjalan tidak perlu memintas mereka tanpa keperluan yang mendesak.  Itupun dengan izin yang lemah lembut. ‘Tumpang lalu’ atau ‘execuse me’.
3                   Tidak menghalang laluan mereka.
4                   Membantah dengan bahasa yang berkias cantik. Bukan terang-terangan.  Bukan dengan menepuk meja. Bukan dengan menghentak kaki.
5                   Berhujjah dengan berhemah. Bahasa yang halus. Intonasi yang rendah.  Lontaran kata-kata yang lembut.

Kita selalu terpedaya dengan kata-kata bahawa orang tua banyak ragam. Bagaimana jika kita di tempat mereka. Yang pastinya memang akan berlaku bila sampai masanya. Kita bertukar tempat. Mereka yang banyak ragam atau kita yang muda menganggap mereka banyak ragam sedang hakikatnya mereka sudah ada ragam itu sejak dahulu lagi. Sejak kita belum wujud lagi. Antara kelemahan orang muda ialah kurang usaha untuk memahami mereka yang sudah tua.

1                   Mereka sudah kehilangan kekuatan tenaga fizikal.
2                   Kehendak mereka tetap banyak melebihi kekuatan yang ada.
3                   Fikiran mereka tidak berubah kerana tiada janaan fikir baru.

Itulah pentingnya pendidikan, pengalaman dan ilmiah. Apabila kita menjadi tua kita berubah mengikut zaman. Tidak mahir dengan perubahan tetapi mengetahui bahawa perubahan telah berlaku. Mengapa ianya berlaku. Siapa yang melakukannya. Impaknya kepada ekonomi, agama, sosial, politik dan budaya. Jika pendidikan tidak berkesinambungan dalam leluhur keluarga maka akan terputus harmoni yang sewajarnya cantik mengalir. Boleh bercakap dalam bahasa yang sama. Mungkin bahasa teknologi, komputer, matematik, sosiologi, ekonomi, politik dan tidak kurang juga agama. Mengetahui semua perkara tentulah paling baik. Namun begitu ramai antara kita tidak mampu melakukannya. Mengetahui sebanyak mungkin menjadi aset berharga dalam hidup kita. Kita selalu harmoni dengan keadaan sekeliling.

Peribahasa Arab mengatakan belajar itu dari buaian hingga ke liang lahad. Orang Barat menterjemahkannya sebagai life long learning. Pembelajaran sepanjang hayat. Kita masih kekurangan medium untuk belajar hingga ke akhir  hayat. Ceramah dan tazkirah secara santai dan sambilan memang banyak tetapi tidak diilmiahkan. Ada nota. Ada buku rujukan. Ada silibus. Tidak perlu laju dan tidak perlu keras. Sampaikan ilmu dengan mudah supaya difahami oleh semua peringkat kematangan berfikir. Selain dari ilmu agama ada juga peluang mempelajari berbagai ilmu kehidupan untuk kegunaan harian atau untuk tujuan komersil. Kadang-kadang kita tidak nampak jalannya. Tidak nampak signifikannya. Banyak benda yang boleh dibuat sendiri. Banyak dan sangat banyak. Mari kita bertanya.

1                   Di mana hendak belajar membuat tempe?
2                   Di mana hendak belajar membuat tapai ubi atau tapai pulut?
3                   Di mana hendak belajar membuat nasi dagang, nasi kerabu dan segala jenis  nasi yang lain?
4                   Di mana hendak belajar membetulkan kepala paip atau menukar kepala  paip?
5                   Di mana hendak belajar mengecat rumah atau mengecat kereta atau  motorsikal?

Senarainya boleh diperpanjang lagi. Siapa yang boleh menyediakan semua keperluan pendidikan sepanjang hayat tersebut. Sebenarnya tempatnya sudah ada tetapi tidak kita fikirkan. Kolej vokasional boleh melakukannya. Kolej komuniti sewajarnya mendahului dalam perkara ini. Pengalaman penulis berada di USA dan Canada, kolej komuniti mereka menyediakan apa sahaja kehendak masyarakat umum, masyarakat usahawan atau masyarakat pendidikan. Kepada mereka you ask for it we get it for you. Telah ramai keluarga pendidikan teknikal dan vokasional yang pernah melalui proses ini. Hingga kini ramuan-ramuan yang dibawa pulang dari USA, Canada dan United Kingdom belum sampai kepada masyarakat umum. Semua institusi pendidikan berada dalam arus perdana. Akademik sahaja. Community services untuk orang awam belum terlaksana. Input mereka adalah mereka yang lulus akademik tertentu. Lazimnya selepas SPM. The rest of the community is left unattended. Uneducated. Unschooled.
.

Sudah sampai masanya kita belajar dari mereka yang lebih tua. Lebih dewasa. Atau yang sudah memajukan sesuatu untuk diikuti jalan mereka menuju kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan tanpa mengorbankan apa-apa. Negara maju lebih tua dari kita. Take up the issue and get going.