Masih ingatkah sejarah Kesultanan Melaka? Empayar
Melayu yang gagah perkasa suatu masa dahulu. Dari Parameswara hingga ke Sultan
Mahmud. Jika dahulunya kita ada Empayar Sri Vijaya, dituruti pula dengan Majapahit.
Kita pernah dibayangi oleh Kerajaan Siam (Thailand). Kita dilindungi oleh
kerajaan Cina pada zaman Sultan Mansur Shah. Lalu selepas 1511M silih berganti
negara kita dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali kepada
Inggeris. Sejarah membuktikan bahawa kita kalah bukan kerana kita menggunakan
keris sementara Portugis menggunakan meriam dan senapang. Pada hakikatnya
ketika itu Melaka juga menggunakan meriam.
Malangnya di kalangan pembesar istana atau pembesar Melayu ketika itu
telah berpecah-belah. Portugis datang merisik pada tahun 1509M dan itulah
gambaran yang mereka dapat. Mereka kalah dan berundur ke Goa di India. Mereka
datang lagi pada tahun 1511M dan pada kali kedua itu mereka mendapat bantuan
dari dalam. Dari yang mengkhianati negaranya sendiri.
Sejarah kita penuh dengan pengkhianatan. Hang Tuah
difitnah. Bendahara difitnah. Si Kitul dan Raja Mendaliar meliar di Melaka.
Minda Melayu seolah-olah sangat lemah dalam politik dalaman. Dalam politik
kumpulan. Dalam politik warisan. Dalam politik etnik dan dalam politik bangsa.
Begitu juga kita lemah dalam politik antarabangsa. Kita selalu menjadi
bidak-bidak yang lemah. Tidak berdaya mempertahankan diri dan tidak berjaya
membuat serangan. Maka persekitaran yang mencorakkan dunia kita. Kita menjadi
terlalu mudah diwarnakan oleh sesiapa sahaja yang mengetahuui kelemahan kita.
Bayangkan Hang Nadim yang hanya seorang kanak-kanak kecil tetapi bijaksana
dikhianati dan dihukum bunuh oleh mereka yang berkedudukan pada masa itu. Tiada
siapa yang membela kerana masyarakat ketika itu sangat patuh kepada yang
berkuasa. Cerita Hang Nadim tidak berhenti setakat pada zaman itu. Hingga
sekarang watak-watak Hang Nadim terus-terusan dikhianati. Dicantas ketika tunas
mindanya baru bersemi.
Benar seperti kata tanya Ridzuan Tee, mengapa Melayu
terus melayu? Tun Razak telah mengasaskan kebangkitan Melayu dengan
berbagai-bagai idea pembangunan untuk orang Melayu. Datuk Senu dengan Revolusi
Mentalnya. Begitu juga dengan program Bumi Hijau. Program perindustrian dan
penstrukturan ekonomi tidak sampai ke bawah. Program satu desa satu industri
tetap menjadi sejarah. Orang kampung dikekalkan kekampungannya. Dari segi
fizikalnya. Dari segi pemikirannya. Mereka kekal dijajah mindanya. Nampaknya
Teori Pareto baru disedari ramai bahawa sebilangan kecil warganegara menguasai
sebahagian besar kekayaan negara. Negara kita kaya. Mewah dengan berbagai hasil
semulajadi. Dasar perindustrian dilihat memewahkan negara. Malangnya rakyat
kekal dalam keadaan secukup makan. Taraf hidup pada keseluruhannya meningkat
tetapi kepada orang Melayu tidak kesemuanya menikmati taraf hidup tinggi
tersebut. Statistik hanya angka yang menyamankan mata dan lidah yang
menyebutnya. Jurang antara yang kaya dengan yang lain tetap jauh melebar.
Andainya roboh kota Melaka sekali lagi, ke mana kita
akan pergi? Tanah Melayu ini terlalu sangat berharga. Malaysia berada dalam
gugusan kepulauan Melayu nusantara yang menjadi idaman kuasa besar untuk checkmate
Cina dan Russia. Di mana, di mana sebenarnya kesilapan telah berlaku. Negara
yang pada suatu ketika membangun dengan pantas tiba-tiba merudum ekonominya.
Matawangnya terkebalakang berbanding dengan negara jiran-jirannya. Negara
Mesir yang tidak semaju Malaysia
meningkat nilai matawangnya berbanding ringgit. Bukan sedikit turunya. Suatu
ketika awal tahun ini seringgit Malaysia bersamaan 2.27LE (paun Mesir).
Sekarang nilainya jatuh di bawah 2LE. Seringgt Malaysia ditukar di bank sekitar
1.97LE. Hanya dalam masa beberapa bulan nilai ringgit jatuh sebanyak 0.30LE. Suatu kejatuhan yang sangat ketara.
Andainya kejatuhan ini tidak dapat dikawal kita mungkin disenaraikan bersama
Greece, Iceland dan beberapa negara lain yang diisytiharkan muflis.
Penulis tidak berani hendak meramalkan yang lebih
buruk. Tersangat takut prophecy orang Barat terhadap bangsa kita menjadi
kenyataan. Label yang diberikan kepada bangsa kita sangat banyak. Kita cuba
menafikan label-label itu tetapi orang kita juga yang menggagalkannya. Kata
penjajah:
1
Orang Melayu pemalas.
2
Orang Melayu suka mengamuk.
Setakat mana usaha kita untuk menafikan stigma itu.
Kita melihat Melayu secara umum. Walau bagaimanapun bukan semua Melayu yang
melayu. Melayu yang segar selalu pula kecundang dalam persekitaran yang ada.
Dulu kita gah dengan mereka yang bernama Rashid Hussin. Tajuddin Ramli, Halim
Saad dan Amin Shah. Sekarang mereka tinggal nama dalam sejarah. Episod
hilangnya Bank Bumiputra seperti tiada reaksi dari sesiapapun. A Samad Said
sangat kecewa. A Kadir Jasin juga kecewa. Penulis yang juga menghampiri usia 70
tahun juga tidak kurang kecewanya. Masih teringat kata-kata arwah datuk
penulis: Bagaimana hendak merdeka sedangkan jarum sebatang kita tidak boleh
membuatnya? Baru sekarang penulis menangkap maksudnya. Jarum itu bukan jarum
secara fizikal. Jarum itu ialah jaum yang menyulam keindahan kehidupan.
Kemewahan kehidupan. Kebahagiaan kepada warganegara yang tercinta. Menjamin
sandang pakai rakyatnya.
Ramalan dari negara jiran dan negara asing menunjukkan
kita akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi pada pertengahan tahun hadapan.
Hanya beberapa peratus rakyat yang mengetahuinya. Yang mungkin boleh
menyelamatkan diri dari kemelaratan. Yang berniaga mungkin tidak begitu
beruntung. Kita masih dibelenggu dengan intensif buruh. Mereka dibawa masuk
dengan jumlah yang ramai dan semakin ramai. Dalam keadaan ekonomi yang merudum
kehadiran bukan warganegara akan membebankan negara kerana mereka juga perlu
makan. Bekalan makanan akan menjadi rebutan. Harganya akan melambung. Jentera
yang ada sudah tidak berkeupayaan untuk mengawal kenaikan harga. Menakutkan
juga jika jenayah meningkat kerana masing-masing hendak makan.