Saturday, February 2, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Anak-Anak Di Masjid Apa Tarbiahnya?

Sudah tiga kali saya menunaikan solat Jumuah di Amman. Di dua masjid yang berbeza. Solat Jumuah bukan banyak karenahnya. Sama di mana-mana. Cuma di Amman sedang sejuk yang amat sangat. Hari ini saya ke masjid dalam suhu 8°C. Saya pakai baju lima lapis. Tebal-tebal belaka. Sejuk juga hingga ke dalam. Selalunya jeket saya memanaskan badan. Kali ini Cuma boleh bertahan sahaja. Di tengah jalan seperti tidak berasa badan. Darah seperti beku. Terpaksa berjalan laju. Hentak kaki. Goyang tangan. Berlari anak. Semuanya untuk menggerakkan anggota tubuh badan. Biar panas. Biar darah mengalir. Sarung tangan dipakai. Masuk dalam poket lagi. Masih juga terasa sejuknya. Di masjid pula tidak dipasang pemanas udara. Di masjid yang sebelum ini hangat dalamnya. Yang ini masjid besar Abu Nuaeir tidak pula begitu. Mungkin saya yang kesejukan. Alhamdulillah jemaah ramai. Tidak sejuk sangat jadinya.
Saya kembali ke Malaysia. Setiap hari Jumaat saya terasa jengkel di hati. Anak-anak kita tidak begitu perihatin dengan kehadiran diri mereka di masjid. Ibu bapa tidak berasa perlu untuk memberi didikan terbaik apabila di masjid. Pengurusan masjid pula kadang-kadang  membuat berbagai halangan kepada anak-anak. Apa yang dapat kita lihat ialah anak-anak yang tidak berada di dalam masjid. Tidak dalam saf yang di hadapan. Tidak nampak gagahnya anak-anak mendokong Islam. Mendokong agama. Ramai yang berkeliaran. Ramai yang berbual. Ramai yang membuat hal-hal yang tiada kaitan dengan hari Jumaat. Itu belum yang bermain telefon. Yang bergurau senda. Solat sudah bermula masih ramai yang hanya sekadar berdiri meramaikan masjid sahaja. Lebih malang lagi mereka yang sudah dalam usia dewasa juga lengah memasuki masjid. Leka merokok atau berbual. Ada pula yang hanya termenung. Khutbah Jumaat entah di mana dengarnya. Pengajaran mingguan tidak tertanam di hati. 
Pendekatan kita barangkali tidak membantu. Hari Jumaat seharusnya hari cuti. Anak-anak dibawa ke masjid dengan pakaian yang sesuai. Bukan dengan pakaian seragam sekolah hari Jumaat. Dilatih menghormati masjid. Menghormati jemaah lain. Menghormati solat. Menghormati khutbah. Menerima pangajaran mingguan dari masjid. Dari penguasa agama. Dari mereka yang arif tentang agama. Kita harus membuang sikap negatif terhadap anak-anak. Mereka bakal pewaris agama. Latih mereka menyanyangi apa sahaja yang ada di masjid. Apa sahaja aktiviti masjid. Apa sahaja yang datangnya dari masjid. Mereka anak-anak lelaki yang bakal menjadi suami, bapa, pemimpin dan peneraju agama. Dari mereka lahirnya bilal dan imam. Pembaca al-Quran yang berwibawa. Maknanya anak-anak itulah yang memastikan berlakunya kesinambungan beragama dengan sewajarnya. Bukan ikut-ikutan semata-mata. Jangan orang buat mereka buat tanpa mengetahui hakikat ibadat itu. Bertaqlid tanpa ilmu yang wajar.
Saya ingin sampaikan apa yang saya lihat dan alami di Amman, Jordan. Seorang bapa diiringi oleh beberapa orang anak lelakinya ke dalam masjid. Besar atau kecil bersama bapa. Di mana bapa itu solat tahiyyatul masjid di saf itulah anak-anaknya solat bersama. Selepas solat sunat ada antara anak-anak tersebut mengambil al-Quran untuk sesiapa sahaja jemaah yang memerlukannya. Anak-anak itu membaca al-Quran untuk memenuhi masa menunggu azan pertama. Maksudnya seorang bapa bertanggungjawab mentarbiahkan anak-anaknya di masjid. Cara masuk ke masjid. Solat sunat bersama. Duduk dengan beradap menghormati masjid. Mengisi masa dengan membaca al-Quran. Anak-anak tidak dibenarkan bersendirian walaupun mereka sudah dikira besar. Dengan cara itu anak-anak dilatih supaya istiqamah akhlaknya di dalam masjid. Di rumah Allah. Rumah terbaik untuk solat Jumuah. Nampak teratur. Cantik. Mendamaikan.
Banyak yang perlu kita lakukan untuk merevolusikan pemikiran kita tentang hari Jumaat. Kita perlu membuat perubahan bermula dengan anak-anak. Bagaimana agaknya jika hari cuti mingguan ditukar kembali kepada hari Jumaat. Kedah, Terengganu dan Kelantan tidak ada masalah tentang cuti mereka. Selama ini negeri atau negara yang bercuti hujung minggu tidak ada yang muflis. Tidak juga menjadi miskin. Tidak juga terkebelakang dalam ekonomi dan teknologi. Negatif kita sahaja yang menimbulkan was-was. Takut dengan bayang sendiri. Apabila bercuti pada hari Jumaat banyak hal yang berkaitan solat Jumuah dapat dipertingkat dan disempurnakan. Pagi-pagi lagi bapa dan anak lelakinya sudah memotong kuku, memperkemas misai, janggut dan jambang. Menyediakan baju tercantik dan terbersih. Mandi sunat Jumaat. Memakai bau-bauan yang menyegarkan supaya semua jemaah selesa dan aman damai di masjid.
Solat Jumuah adalah hari raya mingguan. Ayat yang Allah perakukan bahawa Islam adalah agama Muhammad dan umatnya diturunkan di Arafah pada hari Jumaat.
 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ  
  عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
Ayat ketiga surah al-Maidah ini diturunkan sewaktu Rasulullah menyampaikan khutbah wida’nya. Itulah haji yang pertama dan terakhir bagi Rasulullah. Sebab itulah umat Islam diwajibkan menunaikan haji sekali sahaja seumur hidup. Jika berulang mengerjakannya sekadar sunat sahaja hukumnya. Seorang Yahudi di Madinah cuba mempersenda umat Islam. Memandangkan ayat tersebut diturunkan pada hari Jumaat jika orang Yahudi yang menerima wahyu itu mereka pasti merayakannya setiap tahun. Sayyidina Umar pantas menjawab. Sebenarnya orang Islam jauh lebih baik dari orang Yahudi. Orang Islam merayakannya setiap hari Jumaat. Setiap minggu. Tanpa kecuali.
Betapa ramainya antara kita yang tidak arif tentang sejarah hari Jumaat ini. Antara peristiwa yang paling besar ialah bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat. Mengetahui bahawa hari Jumaat adalah hari kebesaran Islam maka sewajarnya kita memberi nafas segar sewaktu solat Jumuah. Pakaian yang terbaik. Kebersihan tubuh badan yang terbaik. Memakai wangi-wangian yang termahal dan terharum baunya. Pergi awal. I’tiqaf lama di masjid. Di rumah Allah. Bukan di pasar. Bukan di tempat perayaan manusia biasa. Di rumah Allah. Dituntut berlama-lama. Berzikir. Membaca al-Quran. Bertanya khabar mengenai sahabat dan suadara yang ada. Malangnya hari  Jumaat itu hari kerja di Malaysia. Masing-masing sibuk dengan haluan sendiri. Bapa ke mana. Anak ke mana. Sahabat ke mana. Saudara ke mana. Hari Jumaat tidak dirayakan sewajarnya. Semangat peranyaan tidak ada. Kebanyakan kita sekadar memenuhi tuntutan mingguan menunaikan solat Jumuah.
Berkhatan waktu bayi. Tidak ramai orang kita yang melakukannya. Rasulullah sudah siap berkhatan sewaktu dilahirkan. Mengambil sempena itu elok jika anak-anak kita dikhatankan semasa bayi. Ini bukan soal zalim atau tidak ada belas kasihan. Dari bayi lagi anak itu sudah dalam keadaan suci. Apalagi jika dia disusukan ibunya sahaja tanpa menyentuh makan lain. Beri ibunya makan seenaknya. Beri makanan yang berkhasiat. Bayi menyusu sahaja. Jangan beri makanan lain. Air kencingnya hanya perlu dilap sahaja. Najis yang sangat kecil tarafnya. Renjis air sudh mencukupi. Tidak perlu dijirus seperti anak perempuan. Dengan cara itu sejak kecil lagi anak-anak lelaki sudah boleh berada di saf hadapan bersama bapanya atau abang-abangnya. Tidaklah sejak dari kecil lagi anak-anak disegmentasi atau disegregasi dalam masjid. Tempat yang penuh dengan demokrasi. Siapa dulu wajar berada di saf hadapan. Siapa lewat belakang tempatnya. Pilihan saf tidak mengira usia, pangkat atau kedudukan. Yang sampai dahulu sila ke hadapan. Yang sampai kemudian silalah berada di bahagian belakang. Keadilan yang tidak perlu disoal-soal lagi.
Latihlah anak-anak bersama bapa atau datuk. Bila sampai di masjid bawa mereka ke hadapan. Jika anak itu terlalu kecil letakkan anak di hujung saf. Tidak mengganggu jemaah di belakang atau hadapan. Tidak dikira putus saf. Jemaah dewasa sewajarnya mengajar anak-anak supaya mengisi tempat kosong di hadapan.  Pastikan mereka dilatih solat di saf hadapan. Harus ada sikap berkasih sayang dan membantu anak-anak solat di saf hadapan. Membiarkan anak-anak di bahagian belakang sangat tidak membantu mereka untuk membesar dalam agama. Sebahagianaya menjadi anti agama. Jauh dari mencintai agama. Pengalaman di masjid mengecewakan mereka. Galakkan anak-anak masuk ke masjid sebelum azan. Ramai yang sampai awal tetapi  masjid seolah-olah tidak menerima mereka. Pesan kepada anak-anak supaya memenuhkan saf bahagian hadapan terlebih dahulu. Jika terputus saf, jemaah di belakang terhakis pahalanya. Mereka dikira bukan jemaah. Jemaah di belakang mesti pastikan dirinya dalam jemaah. Jangan terkeluar jemaah hanya kerana suka di saf belakang. Hanya kerana boleh cepat keluar dari masjid mengejar waktu kerja yang menanti.
Banyak semangat hari Jumaat yang hilang dari kira. Sayang kepada Jumaat tidak nampak adanya. Cinta kepada Jumaat ke mana hilangnya. Hormat kepada Jumaat terhijab dengan kesibukan yang tidak tahu di mana habisnya. Kalaulah, kalaulah kita tahu betapa besarnya hari Jumaat itu. Penghulu segala hari.