Sunday, November 22, 2015

Antara Hasrat Dunia dan Akhirat



Ada antara kita inginkan sesuatu yang belum kita miliki tetapi ada pada orang lain. Yang lain inginkan sesuatu yang sangat sukar diperolehi. Yang lain bersusah-payah kerana ingin mendapatkan sesuatu yang diidamkan. Ada yang berputus asa kerana merasa sukar dalam usahanya. Ada yang terus-menerus berusaha walaupun ganjarannya seperti tiada. Sementara yang lain berusaha dan berusaha untuk mendapat redha Allah. Kepada mereka Allah adalah sebaik-baik tempat berharap. Dalam senario lain ada orang berjaya kerana keluarganya sudah berjaya. Ia dilahirkan dalam kejayaan. Yang lain berjaya kerana usaha yang tidak pernah mengenal lelah. Ada pula yang menerima dengan penuh kesyukuran apa sahaja yang datangnya dari Allah. Sebagai hamba ia hanya berupaya berusaha dan berusaha, berdoa dan berdoa, memohon dan bermunajat, akhirnya bertawakal menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Jika berjaya disyukuri. Jika beluam berjaya diteruskan usahanya.

Dalam keadaan apa sekalipun perjalanan kita tetap menuju akhirat. Segala yang kita utamakan di dunia akan berakhir. Akan kita tinggalkan. Kita pesakakan kepada waris. Kita serahkan kepada yang berhak untuk mengambilalihnya. Kita pergi yang tidak kembali. Pengakhiran yang mudah-mudahkan husnul khotimah. Pengakhiran yang diterima Allah. Diredhai Allah. Dirahmati Allah. Mendapat ihsan Allah. Dalam hal ini terlalu banyak cerita dan ceritera yang dikisahkan dari dahulu hingga sekarang.

Hadith: Rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya ibarat sebuah kuburan yang gelap gelita dan sunyi sepi.
Pesakit kritikal yang nazak: Permintaan terakhir mereka ialah ingin memegang al-Quran walaupun tidak tahu membacanya.
Pesakit lain: Ingin pengakhiran dirinya dengan mendengar bacaan al-Quran. Ditalqinkan dengan ayat-ayat al-Quran.
Pesakit tenat: Dibacakan al-Quran. Surah Yasiin atau surah-surah yang lain.
Pesakit: Didoakan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran.

Antara sifat al-Quran ialah penyembuh. Sama ada penyakit fizikal atau penyakit rohani. Penyakit hati. Penyakit dalaman yang mengganggu ketenangan, kerungsingan, ketegangan fikiran dan ketidaktenteraman jiwa.

Sebagai Muslim kita telah dididik dengan al-Quran sejak kecil lagi. Malah ada ibu dan bapa yang mendidik janinnya yang masih dalam kandungan lagi. Janin itu tenang mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Semoga lahirnya hanya hidup seperti saranan al-Quran. Menjadi anak yang soleh dan solehah. Mengasihi Allah, RasulNya, kedua ibu dan bapanya, guru-gurunya dan semua Muslimin yang menjadi saudaranya. Apabila dilahirkan anak itu diazan dan iqamahkan. Apabila sudah pandai bertutur kata diajar pula dengan ayat-ayat al-Quran. Membesarlah ia di rumah dan di sekolah dengan belajar al-Quran. Namun begitu sifat kita berubah sedikit demi sedikit. Kebanyakan kita menjauhkan dari dari al-Quran sehinggakan kita tidak mahu lagi berjinak-jinak dengannya untuk:
1                    Lebih dekat lagi dengannya.
2                    Memahirkan bacaan seperti yang dituntut.
3                    Mendalami ilmu berkaitan dengannya.
4                    Memperbaiki kelamahan-kelemahan yang ada pada diri kita dari segi bacaan, kefahaman dan memanfaatkan al-Quran itu sendiri.

Uthman bin Affan telah berkata bahawa sebaik-baik antara kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan kemudian mengajarkannya kepada orang lain. Sesungguhnya ilmu yang disampaikan kepada orang lain adalah antara amal jariah yang tiada tolok bandingnya. Ilmu al-Quran pastinya diajarkan kepada generasi yang berikutnya dari satu generasi hingga generasi selepasnya. Mudah-mudahan mereka yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran al-Quran mendapat saham yang sentiasa menumpuk sehingga datangnya hari pembalasan. Walaupun al-Quran disampaikan secara mutawatirah namun pada hakikatnya, masih ramai antara kita yang belum mencapai tahap mahir dalam membaca al-Quran. Kerap kali ramai yang menolak untuk menjadi imam sewaktu solat berjemaah sama ada di masjid, surau atau di tempat-tempat ramai. Kita menjadi tidak yakin dengan ilmu al-Quran yang kita miliki.

Kita boleh jadi siapa sahaja dalam alam pekerjaan. Dalam kerjaya. Dalam akademik. Dalam politik. Dalam ekonomi. Ketika kita diperlukan untuk menjadi imam dalam solat, kita surut ke belakang. Kita tunduk takut jika ditunjuk oleh jemaah yang lain. Kita berdiri di belakang supaya tiada yang menolak kita ke hadapan. Kita berdiri melekatkan diri di dinding atau tiang masjid. Kita boleh membaca al-Quran walau bagaimana sekalipun tahap kemahirannya. Tetapi apabila keadaan memerlukan kita menjadi imam kita jadi tergamam. Jadi tidak keruan. Andainya boleh, kita ingin berada jauh dari jemaah yang lain. Selepas kedengaran takbir imam barulah kita berdiri, berjalan mendekati mana-mana saf yang di belakang. Kenapa jadi begitu? Ini cerita kaum lelaki. Bukan cerita budak-budak. Bukan cerita wanita. Bukan cerita anak gadis. Bukan cerita sebarang cerita. Cerita bakat menyanyi diketengahkan dari kanak-kanak kecil sehingga mereka yang berusai emas. Cerita mengenai al-Quran hanya peratusan kecil Muslimin yang terlibat.

Banyak paradox dalam cerita al-Quran:
1                    “Malulah nak baca sebab aku tak pandai.”
2                    “Malulah nak belajar sebab aku tak pandai.”
3                    “Aku tak boleh jadi imam sebab bacaan aku tak elok.”
4                    “Malulah solat di belakang imam. Takut-takut imam terbatal. Aku pulak kena ganti jadi imam.”

Kadang-kadang sehingga terjadi sesuatu yang luar biasa:
1                    Imam ditunggu juga walaupun waktu solat semakin ke penghujungnya.
2                    Ditunggu pula jika ada orang yang boleh menjadi imam. Kemungkinannya musafir yang singgah di masjid dan surau itu.
3                    Malah ada masanya solat berjemaah tidak dapat didirikan dan masing-masing solat bersendirian. Hanya kerana ketiadaan mereka yang diiktiraf boleh menjadi imam.
Malangnya keadaan apabila terjadi seperti situasi di atas. Sewajarnya kesemua lelaki Muslim yang sudah melepasi usia baligh boleh menjadi imam. Tidak mengira tempat dan tanpa mengira waktu.

Senario terkini. Ramai guru al-Quran di sekeliling kita. Kita diberi peruntukan masa selama 24 jam sehari semalam. Kesemua antara kita tidak diberi pengecualian dari segi peruntukan masa tersebut. Sama. 24 jam setiap orang. Kita boleh bekerja melebihi lapan jam. Kerja lebih masa. Masa lambor. Membuat dua kerja. Satu rasmi dan satu lagi mencari rezeki tambahan. Mesyuarat tiada mengira masa. Lawatan ke banyak tempat. Ziarah panjang senarainya. Bengkel, forum, seminar dan banyak lagi selagi kita berkerjaya rasmi. Untuk dunia atau untuk akhirat? Sampai ketikanya dunia melambai-lambaikan tangannya dengan gerakan semakin lemah. Akhirat pula menggamit kita semakin giat. Kaki kita sudah mula meninggalkan dunia. Langkah kita menuju akhirat. Pilihan kita ialah kekal dalam dunia yang fana bak mataforgana atau tunduk sayu bahawa akhirat sudah terlalu dekat. Terlalu dekat hingga sudah tidak perlu difikirkan lagi. Sisa usia yang ada perlu terus ditambah manfaatnya. Bekal ke akhirat yang abadi.

Ayuhlah kuatkan tekad untuk lebih bersemangat:
1                    Mempelajari al-Quran sebanyak-banyaknya. Semakin sukar mempelajarinya semakin banyak pahala yang Allah janjikan. Berdosa jika enggan belajar. Berdosa lagi apabila tidak pandai membacanya.
2                    Mencari guru al-Quran yang sesuai dengan selera kita. Sesuai personalitinya dengan kita.
3                    Berjinak-jinak dengan guru yang mampu mengajar kita.
4                    Cari lagi guru yang lebih tinggi kemahirannya.
5                    Berhjrah mencari guru yang lebih baik dan lebih baik.
6                    Mungkin ke luar negara untuk mendengar al-Quran yang diajar dan dibaca oleh guru-guru berbangsa Arab. Membaca al-Quran dengan berlahjah Arab adalah suatu tuntutan.


Jika kita tidak pandai membaca al-Quran maka kita perlu belajar dari mereka yang lebih pandai dari kita. Jika kita kurang pandai dalam bacaan al-Quran maka cari guru yang lebih hebat untuk kita belajar darinya. Jika kita rasa kita sudah pandai, cari lagi guru lain supaya kelemahan-kelemahan yang masih ada pada diri kita dapat diperbaiki. Dan apabila kita memiliki sedikit ilmu, ajarlah orang lain supaya dapat menikmati ilmu itu. Jika banyak maka banyaklah yang kita curahkan kepada orang lain. Ilmu tidak pernah habis apabila dikongsikan kepada orang lain. Malah ianya semakin berkembang kepadatan dan kedalamannya. Lebih ramai yang terlibat maka lebih ramai yang memanfaatkannya. Sesungguhnya majlis-majlis ilmu adalah raudatul jannah. Taman-taman syurga. Mudah-mudahan ilmu yang kita pelajari dan kita ajarinya kepada orang lain membawa kita ke syurga. In sya Allah. Buanglah sifat malu belajar sehingga kekal dalam kejahilan. Malu bertanya sesat jalan. Kita ingin berjalan lurus berpandaukan kepada ilmu yang kita miliki.

Friday, November 13, 2015

Suara dan Kata Yang Membuka Rahsia Diri



Tak kenal maka tak cinta. Benarkah begitu? Seperti cerita mengenai yang mana dahulu antara telur dan ayam. Tetapi bagaimana kita mengenali seseorang yang sebelumnya tidak kita kenali. Rasanya kita semua maklum bahawa di dalam dunia ini insan yang paling istimewa ialah diri kita sendiri. Sebab itu kadang-kadang kita sukar untuk bersama orang lain. Kita rasa canggung. Tidak serasi. Kata orang putih clash of personality. Banyak yang tidak selari. Jauh berbeza. Nama seseorang tidak menggambarkan apa-apa. Tubuh badan secara fizikal juga hanya sebahagian dari trait yang cuma dapat dilihat. Tetapi pandang pertama jika tidak diteliti dengan betul hanya ilusi sahaja. Ada dua perkara yang selalu terjadi:
1                    Kita mengenali seseorang apabila ia mula membuka mulutnya untuk berkata-kata.
2                    Suaranya menjadi indikator mengenai dirinya.
3                    Intonisasi suaranya memberi impak positif atau negatif.
4                    Bahasa dan gayanya yang menunjukkan tahap pendidikan, latar belakang hidupnya dan pengalamannya berinteraksi dengan orang lain.

Dalam banyak hal suara dinisbahkan kepada bangun fizikal seseorang. Ada masanya kita terfana dengan suara seseorang yang bertenaga, cukup kuatnya dan memiliki daya tarik yang kuat. Berkarisma mungkin. Pada skala yang lain suara seseorang mengakibatkan kita merasa kurang enak. Contohnya:
1                    Terlalu kuat.
2                    Terlalu laju.
3                    Sebutan kurang jelas.
4                    Mendatar atau tiada intonasi.
5                    Terlalu besar sedangkan tubuhnya terlalu kecil.
6                    Terlalu halus sedangkan tubuhnya besar dan agam.
7                    Terlalu serius atau terlalu nostalgik dalam situasi yang santai.
8                    Terlalu syahdu dalam suasana yang meriah dan ceria.

Kitta kadang-kadang bersua dengan mereka yang istimewa suaranya:
1                    Lemah lembut berbahasa,
2                    Bertenaga (powerful) pada ketika-ketikanya.
3                    Intonasi usranya memiliki rima yang menarik.
4                    Susunan bahasanya yang harmoni dengan majlis yang diadakan.
5                    Perbualannya tidak berlebihan sehingga terlalu peribadi dan tidak pula di luar konteks. Tidak di luar kotak.
6                    Tidak bertingkah atau meningkah suara orang lain.
7                    Mengambil peluang berbicara dan pada masa yang sama memberi peluang orang lain berbicara sama.
8                    Melibatkan orang lain dengan cara bertanya pendapat.
9                    Tidak menilai pendapat orang lain dengan memberikan fakta kontradik umpamanya. Boleh mencemarkan imej seseorang. Boleh dilakukan secara peribadi.

Bukankah bahasa menunjukkan bangsa? Bukan bangsa yang bermaksud nationality. Bangsa bermaksud keluarga, asuhan mereka dan amalan berbahasa dalam keluarga. Keluarga baik-baik lazimnya:
1                    Melahirkan anak-anak yang baik budi bahasanya.
2                    Lembut bila berbicara.
3                    Suaranya cukup kuat untuk didengar audien di hadapannya. Jika ramai kuat sedikit. Jika beberapa orang sahaja maka diperlahankan suaranya.
4                    Menggunakan perkataan, istilah, ungkapan dan ayat yang manis didengar. Mengesankan kepada yang mendengarnya.

Kejayaan dalam perbicaraan merupakan kejayaan dalam berkomunikasi. Berinteraksi antara insan bukan hanya berbalas kata-kata sahaja. Banyak yang perlu dilihat terutamanya suara. Berbisik-bisik pula menimbulkan prasangka atau sangkaan-sangkaan lain. Mungkin boleh menimbulkan fitnah. Kerana itu setiap kali kita membuka mulut harus beringat.
1                    Kata-kata yang tajam maksudnya mungkin menghiris dalam hati pendengar yang selalu rapuh.
2                    Apa salahnya marah dalam senyuman atau dalam tawa yang ringan.
3                    Rajuknya bersahaja.
4                    Sukanya tidak terduga.
5                    Tatap mata sewaktu berkomunikasi dengan orang lain.
6                    Berbicara dalam jarak yang tidak terlalu jauh tetapi tidak pula terlalu dekat.
7                    Selalu menjaga jarak. Terlalu dekat seolah-olah mengganggu privacy orang lain. Atau mungkin menjadi terlalu peribadi.
8                    Terlalu jauh pula seperti tidak mesra.

Selalu beringat tentang apa yang hendak kita ungkapkan. Apa yang hendak kita suarakan. Kata-kata yang bersahaja di kalangan kelompok kita mungkin tidak sesuai dengan kelompok yang lain. Kita mungkin bercakap bersahaja tetapi didengar kasar. Atau meninggi. Jangan sekali-kali apabila kita bercakap dianggap kurang adab pada persepsi orang di sekeliling. Alangkah manisnya:
1                    Walaupun mengetahui sesuatu maklumat, berlakon seolah-olah belum pernah mendengar maklumat itu.
2                    Sentiasa bersedia mendengar apa sahaja yang ingin dibicarakan oleh orang lain. Kepada orang lain kemungkinannya itulah peluang mereka untuk menyampaikannya .  
3                    Jangan suka menyampuk atau membuat kenyataan yang menilai perkataan atau bualan seseorang. Raikan perbezaan walaupun pendapat mereka tidak wajar. Kita ingin berinteraksi dan bermasyarakat. Penilaian peribadi selalunya mengganggu hubungan mesra yang baru hendak dibina.

Kita perlukan latihan yang banyak dan bertubi-tubi. Berkomunikasi perlukan kemahiran tertentu. Banyak buat persediaan peribadi.
1                    Banyak membaca.
2                    Liputi judul yang berbagai.
3                    Beranikan diri dengan yakin.
4                    Hadapi audien seolah-oleh mereka orang yang statusnya setaraf dengan kita.
5                    Berlatih menghilang rasa gugup diri.
6                    Berlatih mengembangkan sesuatu tajuk yang kecil dan tidak signifikan menjadi sesuatu yang besar dan signifikan. Expounding an idea.

Berinteraksi dan berkomunikasi perlukan sikap terbuka yang luas. Kita tidak tahu siapa audien kita.
1                    Tahap pendidikan akademiknya.
2                    Kerjayanya.
3                    Pangkatnya.
4                    Pengalamannya.
5                    Status sosialnya.
6                    Peribadinya.

Masuk mencelah dalam sesuatu sesi perbualan dengan memohon izin terlebih dahulu. Meninggalkan mereka juga dengan izin. Jangan salah topik dalam perbualan. Ada antara mereka yang sensitif mengenai keluarga, kerjaya, gaji, kesihatan dan banyak perkara lainnya. Sewaku kita bertanya hal keluarga mungkin dia belum berumahtangga. Atau baru kehilangan pasangan masing-masing. Atau belum memiliki anak walapun sudah lama berumahtangga. Hal-hal yang sensitif tersangat banyak.  Yang mana topik yang dianggap selamat? Mungkin
1                      Cuaca.
2                      Pertanian.
3                      Dan sebagainya.

Paling baik tentu sahaja bergantung kepada siapa orang itu. Melalui lontaran bahasanya kita mengetahui latar belakang kehidupannya. Tahap pendidikannya. Status sosialnya. Dari situ kita perlu bijak untuk mengetahui hal-hal yang menjadi minatnya. Kadang-kadang kita perlu bijak menjadi exetrovert yang tidak terlalu banyak bercakap. Rasanya tidak ramai orang yang suka mendengar orang yang:
1                    Banyak cakap.
2                    Memonolopi suasana.
3                    Suara terlalu kuat atau terlalu perlahan.
4                    Tidak sesuai dengan tema majlis atau tujuannya.
5                    Apabila bercakap seolah-olah tahu semua perkara atau tergambar ego dirinya. Ada rasa bangga atau sombongan yang dilihat oleh orang lain.
6                    Tidak menatap wajah audien.
7                    Mencipta suasana tegang. Tidak dirasa mesra.
8                    Menunjuk kebijaksanaan yang tidak kena pada tempatnya.

Apaila ada orang lain bertanya, jawablah dengan sopan. Apabila ada yang tidak tahu, berilah pencerahan. Jangan sekali-kali berkata-kata yang kedengaran negatif.
1                    Awak tak tahu! Tugas kita memberitahu. Memaklumkan kedudukan perkara.
2                    Awak tak faham! Berilah orang lain memahaminya sama. Tugas kita memberikan kefahaman yang sewajarnya.
3                    Awak ni susahlah! Senangkan orang itu. Kita bukan hidup sendirian. Orang di sekeliling kita itulah sumber kehidupan kita dan sumber kita bermasyarakat.
4                    Awak ni lainlah! Raikan perbezaan. Manusia memang banyak kelainannya.


Pada kesempatan lain apabila kita berinteraksi dengan orang lain banyaklah fikir dan pertimbangkan dalam hati tentang impak apa yang akan kita ungkapkan. Pertimbangkan positif danb negatifnya. Baik dan buruknya. Membina persahabatan kadang-kadang sangat sukar tetapi meruntuh dan memusnahkan sesebuah persahabatan hanya dengan sepatah perkataan sahaja. Malah kadang-kadang kerana bahasa tubuh yang salah persahabatan hilang serinya. Sama-sama kita jadikan persekitaran persaudaraan dan persahabatan dalam suasana yang santai, damai yang membahagiakan. In sya Allah banyak manfaatnya.