Wednesday, December 12, 2012

Membaca Membangun Budaya Maju


 
Bayangkan keadaan ini di Malaysia. Semua orang membaca tanpa mengira waktu. Tanpa mengira tempat. Jika ini berlaku di sini pastinya bangsa kita maju fikirannya. Terbuka luas. Keluar dari kotak dan kepompong kejumudan. Sambil menunggu pengangkutan sampai tepat pada masanya, membaca boleh dijadualkan. Pengintegrasian antara semua hal yang melingkari hidup. Masa + pengangkutan + amalan baik.

 
Kita selalu dipaksa untuk membaca. Masanya hanya satu. Apabila peperiksaan atau ujian menjelang tiba. Sebulan yang terakhir buku dan nota mula dibuka. Minggu-minggu yang terakhir sebelum peperiksaan ramai yang mengurangkan tidur. Mulalah perpustakaan diselongkar. Dicari buku yang tidak pernah dibaca. Jika dulu buku red spot bukan pilihan, menjelang peperiksaan red spot itulah yang ditempah berhari-hari. Nota dan ayat dibaca. Acronym dibina. Ayat-ayat yang catchydicipta untuk mengingat fakta. Mengingat prosedur. Mengingat proses. Aduhai banyaknya yang hendak dibaca. Marathon.

Soalnya, mampukah masa yang singkat itu menelan semua yang perlu disimpan di minda. Pengalaman menunjukkan banyak yang diasak dalam satu ketika tidak mungkin masuk semuanya. Sebagai analogi beras yang dimasukkan ke dalam guni tidak boleh dalam satu masa yang pantas.jika itu berlaku guni beras itu tidak padat isinya. Terlalu banyak ruang, udara dan angin. Begitu juga minda kita. Diasak bertubi-tubi dalam satu masa tidak mungkin memadatkan maklumat, fakta dan semua yang diperlukan sebagai bekal untuk apa sekalipun. Membaca di saat akhir hanya menambah serabut jika asasnya tidak dikuasai. Tidak tidur menjalang peperiksaan hanya  menumpulkan fikiran. Idea sukar mengalir pada minda yang terlalu tepu.



Tiada siapa pedulikan orang lain. Dalam satu keadaan iany abaik kerna tidak sibuk ambi tahu hal orang lain. Buat hal masing-masing. Ramai antara mereka membaca. Budaya dan amalam baik. Tetapi tahap sosial dalam keretapi ini terlalu rendah. Tiada sapa menyapa. Tiaa senyum. Tiada ramah mesra. Berlawanan antara baik dan buruk.


 
 

 
Sambil duduk begini tentu santai membaca. Rehat hingga sampai ke setesen yang dituju.
 


Membaca sepatutnya on-going. Istiqamah. Selalu. Sentiasa. Sepanjang masa. Menjadi darah daging. Mengalir pantas melingkari masa dan keadaan. IQ yang paling tinggi sekalipun tidak menjamin tahap intelektuilnya jika tidak digilap terus-terusan. Membaca menimbunkan keupayaan menambah fikir. Menajamkan cara berfikir. Begitulah bangsa yang maju membaca menjadi budaya. Kita masih jauh di belakang. Kedai buku selalu lengang. Yang ramai kanak-kanak membeli alat tulis. Entahlah. Kadang-kadang menajdi mistri kenapa orang kita kurang  yang sangat-sangat dari segi membaca. Pergilah ke rumah orang kita, berapa judul buku yang mereka ada. Berapa peratus orang kita yang membeli buku. Yang benar menjadi pembaca tegar.




 
Berdiri atau duduk bukan isu dalam keretapi. Yang penting membaca diteruskan. Turutan cerita mesti dihabiskan.

 
 
 
 
 
Membaca sebenarnya merihatkan munda. Fizikal dan rohani turut terbuka. Emosi melapang luas. 

 
Dalam sibuk-sibuk mengejar kerjaya mereka masih sempat membaca. Mereka bukan membaca majalah hiburan. Bukan mengejar selebriti. Majoriti antara mereka membaca. Di Malaysia jika ada minoriti membaca, ramai yang menjeling berguling-guling mata.

 
Bukankah lebih baik begini. Membaca menambahkan segala-gala input diri yang perlu. Penumpang tidak kecoh. Tidak ada yang kepoh. Masa diisi dengan manfaat yang sebesar-besarnya.

 
Pelajar Jepun ini membaca pergi dan pulang dari sekolah. Sukar melihat pelajar Malaysia melakukan hal sebegini. Kabanyakannya jika tidak tidur, mereka hanya memandang kosong ke luar tingkap keretapi atau bas. Hidup dan masa seperti tiada gunanya. Mereka lupa emas yang melintas di hadapan mata.
 
 
 
Kesempatan banyak di hidangkan kepada kita. Orang perempuan lebih banyak peluang itu jika diperhatikan dengan rasa keinsafan. Semasa mengandung, berapa kali seorang isteri berulang alik ke hospital atau pusat kesihatan atau klinik. Menunggu giliran memakan masa berjam-jam lamanya. Paling kurang selama enam bulan. Beraneka jenis buku boleh dibaca. Banyak judul yang mudah mengasak minda. Memenuhi ruang fikiran bukan sahaja ibunya bahkan juga janin yang dalam kandungan. Janin yang memerlukan santapan rohani. Amalan baik si ibu yang merangsang kelahiran seorang bayi bijaksana. Penuh dengan idea. Hidup banyak berencana. Anak soleh yang tercinta dengan ilmu.
Seumur hidup kita berapa lama kita menunggu kenderaan. Selama kira-kira 40 tahun kita berkerjaya rasanya berlori-lori buku boleh dibaca. Lebih 200 hari setahun. Selama 40 tahun bermakna lebih 8,000 hari. Jika dua jam sehari selama 40 tahun kita membaca selama 16,000 jam. Agak-agaknya berapa banyak buku yang kita baca. Kita sayang wang tetapi pada masa yang sama membazirkan masa dan minda. Janganlah baca majalah picisan. Majalah hiburan. Cukup-cukuplah menonton hiburan yang tidak pernah sunyi di sekeliling kita. Banyak keutamaan lain yang jauh lebih mengatasi kedudukan hiburan dan selebriti yang mengisinya. Banyak manusia yang teguh boleh dijadikan contoh terbaik. Melatari hidup intelektuil. Memaparkan moral dan akhlak yang tinggi. Hidup beragama yang ampuh.
Kita cerita tentang perpustakaan. Mengapa agaknya di rumah orang kita perpustakaan merupakan sesuatu yang langka. Biliknya tidak ada kerana tidak berupaya mengadakannya. Ekonomi orang kita masih di takuk daif. Ruangnya tidak ada kerana yang lebih penting ruang untuk anak-anak yang ramai bilangannya. Bukunya tidak ada kerana ekonomi juga yang dibicara. Kita masih melihat vicious circle (kitaran ganas) yang melitupi kehidupan kita. Kemiskinan terus membelenggu kemiskinan. Jika buku dan bahan bacaan yang amat penting tidak upaya diadakan maka bagaimana anak-anak kita boleh menjadi cemerlang sejak mereka dari kecil lagi. Keterbukaan dan pendedahan awal tidak terjadi dalam masyarakat kita.
Di Toronto, antara tempat di negara maju yang saya temui, saya melihat dengan mata kasar saya bagaimana warganya membaca tanpa mengira judul. Tanpa mengira masa. Tanpa mengira tempat. Lazim benar saya lihat apabila mereka berada di atas kenderaan sebelah tangan memegang tiang atau pemegang yang ada, sebelah tangan lagi menyeluk saku. Keluarlah buku tanpa mengira lusuhnya atau barunya. Tekun mereka membaca. Penumpang naik dan turun. Selagi mereka belum sampai di destinasi mereka, membaca tetap diteruskan. Bagaimana ini terjadi. Mereka sudah terlalu biasa dengan masa. Jarak. Jangkamasa. Setesen yang dituju dikira dengan minit. Bukan kilometer. Dengan kadar laju kenderaan mereka boleh mengira berapa mukasurat yang dapat dibaca. Seperti diintegrsikan. Jika setesen itu memerlukan 10 mukasurat maka apabila tamat 10 mukasurat mereka menanda mukasurat itu. Tutup buku. Beberapa detik sahaja selepas itu mereka sampai di setesen. Pintu terbuka. Mereka keluar ke destinasi seterusnya. Begitulah amalan setiap hari.
Nanti waktu balik begitu juga yang dilakukan. Membaca dan membaca. Setiap hari. Saya lihat sekeliling, begitu juga amalan mereka yang lain. Buku ada dalam poket. Keluar dari tas tangan. Dibuka dari beg galas. Bagi eksekutif pula buku keluar dari beg bimbit mereka. Sekarang barangkali bukan buku yang dibaca teatpi I-pad. e-buku. Sebuah alat komunikasi yang lebih memudahkan. Tidak lusuh. Tida koyak. Tidak pudar. Petik sana keluar sini. Tekan punat baca. Yang penting membaca dan membaca. Darinya timbunan ilmu yang penuh fakta. Minda berkembang menerima, memenuhi dan melahirkan idea-idea yang lebih bernas. Yang lebih berjejak di bumi realiti. Skop pemikiran meluas laut. Meninggi gunung. Melepasi awan tinggi apa sahaja yang dapat dijangkau dengan izin Allah.
Kita tidak boleh mengalami semua perkara semasa hidup kita di dunia ini. Kita pinjam pengalaman orang lain. Kita melihat sesuatu melalui mata orang lain. Kita mendengar melalui telinga orang lain. Kita mencitarasa melaui deria orang lain. Perkongsian yang meluas. Merasa apa yang dialami orang lain. Terlalu banyak pengalaman indah yang kita lalui. Orang lain mengalami keindahan yang berlainan. Penggembelingan pengalaman antara beberapa orang itu menambahkan lagi canaian pengalaman yang bersilang dan teranyam. Kita menjadi lebih kaya kerana mengetahui lebih banyak dari orang lain. Lebih dalam dari orang lain. Lebih rencam dari orang lain. Maka keluasan pengalaman itu menciptakan manusia yang lebih setabil. Lebih seimbang. Ada check and balance dalam menimbang yang mana utama dan yang mana tidak. Yang mana besar dan yang mana tinggi nilainya.
Bagi mereka yang masih belajar, membaca adalah kerja utama. Nadi kejayaan. Sumber segala pencarian untuk mengikat label kesarjanaan. Membaca bukan sekadar untuk lulus periksa walaupun nilaian sijil pada kertas sehelai itu dianggap penting pada nilaian manusia. Yang lebih penting membaca menyampaikan kita kepada penemuan-penemuan yang diterokai oleh orang lain. Sebagai sumber sekunder bahan-bahan bacaan melengkapkan kita kepada kekurangan dan ketidakupayaan kita untuk mencipta pengalaman kendiri. Marilah kita berkongsi yang baik. Tinggalkan yang tidak baik. Dunia di luar sana penuh dengan kegemerlapan keindahan yang boleh digarap dan digapai oleh minda kita. Asahlah minda dengan pembacaan yang meningkat ke taraf ilmiah yang paling tinggi. InsyaAllah nikmatnya sangat manis bak madu.