Friday, June 11, 2010

Masa Dulu-Dulu Bahagian Keenam: Bab Kelapan

Ipoh sangat dekat di hati saya. Waktu saya kecil saya tidak pernah mendengar nama Ipoh. Tidak tahu di mana Ipoh. Di sekolah menengah banyak kali Ipoh dibaca. Dalam sejarah, dalam geografi nama Ipoh biasa didengar. Selepas mendapat ijazah, saya bertugas di Politeknik Ungku Omar (PUO). Institusi yang sangat mistri kepada saya pada waktu itu. Selepas tamat pengajian universiti, saya menjangkakan di tempatkan di sekolah menengah dan mengajar tingkatan enam. Rupanya rezeki saya, masa depan saya berubah mengikut ketentuan Allah.


19 Februari 1979 saya jejakkan kaki di PUO. Saya sangat setia dengan tugas saya sebagai guru. Komited sungguh. Setelah tamat pengajian di Universiti Malaya (UM) saya mendapat banyak tawaran kerja. Waktu itu takut sangat untuk lari dari profesion guru. Pecah kontrak besar padahnya. Kena bayar balik pada kerajaan. Ramai rakan-rakan yang nekad. Mereka semua ok sahaja. Kekuatan dan keberanian tidak ada pada saya. Ketika itu terlalu awal untuk mencari jalan keluar dari menjadi guru.

Saya mendapat tawaran menjadi eksekutif sebuah bank besar. Sebuah syarikat minyak yang ulung. Sebuah syarikat elektronik. Semuanya saya ketepikan. Demi guru, demi anak bangsa. Alhamdulillah, saya tidak menyesal. Saya puas menjadi guru. Anak didik saya ada di mana-mana. Ramai yang sudah beranak cucu. Jika berjumpa masih ramai yang kenal. Masih ramai yang ingat. Itulah sahaja hiburan hati mengingat yang lama-lama. Ramai sungguh yang boleh diingat.

Biasalah anak didik yang berbagai. Tidak semuanya sesuai di hati. Ada yang nakal. Ada yang sombong. Ada yang mesra. Ada yang manja. Ada yang mengingat. Ada yang lupa. Panjang senarainya. Akhirnya saya sedar, saya hanya menjalankan tugas. Tidak boleh emosional. Saya berbuat apa yang selayaknya. Yang lain-lain itu kerja Allah. Menjadi pendidik bukan menagih pulangan. Bukan menagih sanjungan. Bukan menagih pujian. Bukan menagih ganjaran. Tidak juga untuk diingt. Tidak juga untuk dikenang. Tidak untuk disenarai sebagai orang yang harus dibukukan.

Bila bertemu dengan bekas pelajar ada sahaja cerita berangkai mengenai yang lain-lain. Ada sekali sewaktu saya berehat di R&R Ulu Bernam saya bertemu dengan seorang bekas pelajar tahun 1982 rasanya. Saya dalam perjalanan pulang dari Ipoh. Biasalah tugas untuk negara. Saya sudah tidak mengenalinya lagi. Dia mendekati saya, "Encik Yusof ke? En Yusof Stanza?" Datsun Stanza adalah kereta pertama saya pada tahun 1982. No Pletnya AAS 8525. Warna merah anggur. Walaupun sudah berpindah ke Johor, ada sahaja yang mengejar bila ternampak kereta itu. Sangat sinonim dengan saya. Masih ada. Saya jual kepada adik ipar saya. Masih boleh memecut, kata ipar saya.

Bila dia sebut namanya, barulah saya ingat. Lama juga membuka fail-fail album lama dalam ingatan. Orang-orang yang mengenali saya dari sejak dulu, bila berjumpa itulah komen mereka. "Encik tidak berubah. Macam dulu." Mungkin pada pandangan mereka begitu. Bila saya pandang cermin, sebenarnya banyak yang berubah. Tahun 1979 berat saya kira-kira 55 kg. Pingang saya bersaiz 27 sekarang pula sudah bersaiz 35. Lapan bezanya. Perut nampak gendut. Boroi sedikit. Namun orang masih kata tak berbeza. Entahlah. Rambut saya nampak hitam sebab saya lama menggunakan minyak rambut Primadona. Dari Indon. Jambang, janggut dan misai semuanya sudah memutih. Stamina jauh menurun. Tulang-tulang di dalam rasa reput. Makan dan minum kena memilih.

Saya rasa komen-komen itu kerana mungkin saya dekat di hati mereka. Sayapun bukan pendidik yang sempurna. Banyak kekurangannya. Cuma dalam bertugas saya pamerkan yang terbaik. Pakaian saya jaga. Guru jadi perhatian pelajar dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Jika ada kecacatan tentulah menjadi perhatian pelajar. Saya elakkan memakai kasut yang comot, baju yang kumal, rambut yang tidak terurus dan kesihatan yang merisaukan. Begitulah saya menjaga fizikal saya. Pakaian saya. Diri saya.

Saya suka bergaya. Sudah saya tanam sejak kecil lagi. Waktu di darjah enam saya mula menampakkan kecenderungan untuk bergaya. Baju dan seluar selalu saya ubahsuai keadaannya. Cara pemakaiannya. Zaman berkaki ayam, nasi sejuk, belacan goreng, sambal tumis, upih dan daun pisang kering sudah mula berlalu. (Masa Dulu-Dulu: Bahagian Pertama). Di sekolah menengah gaya saya berpakaian semakin dijaga walaupun sekolah saya hanya lelaki sahaja. Walaupun kurus meleding dan hitam legam. Zaman remaja membungakan hati sebab sepanjang jalan ke sekolah biasalah berlintsan dengan pelajar-pelajar perempuan dari sekolah-sekolah lain. Maklumlah sahaja anak bujang, darjah kemiangannya meninggi juga. Melaram juga sepanjang jalan. Tentang berpakaian ini saya teringat seorang seniour saya di UM dahulu. Sewaktu hendak menduduki peperiksaan akhir (akhir tahun tiga - final) saya kerkejut melihatnya berpakaian sungguh kemas. Manakan tidak selalunya dia berseluar jean yang entah berapa hari tidak berbasuh. T-shirtnya juga begitu. Rambut, misai dan janggutnya juga bersepah-sepah. Kasut tidak pernah dipakai. Selekeh memanjang. Bila saya tanya jawapannya juga mengejutkan saya. Katanya, "Hari ini aku periksa. Aku kena respect paper yang aku ambik."


Jenuh saya cuba memahami ungkapan kata-katanya. Akhirnya saya mengambil kesimpulan bahawa secara psikologi pakaian melambangkan keyakinan diri. Tidak cukup kita envy pakaian orang lain. Kita sendiri hendaklah belajar mengenakan pakaian yang menunjukkan kewibawaan kita. Kelayakan kita. Kemampuan kita. Jawatan kita. Organisasi kita. Keluarga kita. Ia lambang-lambang diri kita. Pakaian itulah kita.

Berapakah nilai pakaian seorang pegawai biasa? Seluar panjang berharga RM140. Baju kemeja berlengan panjang berharga RM160. Tali pinggang RM199. Tali leher RM99. Kasut RM360. Telefon RM799. Kacamata RM790. Berapa? Sudah RM2,547. Itu belum masuk setokin, seluar dalam, singlet, jam tangan, pen/fountain pen dan briefcase. Sekitar RM3,000. Tak masuk juga wang dalam dompet. Cincin di jari. Dompet duitnya. Kad kreditnya. Normal. Pakaian dengan nilai normal. Bukan sesuatu yang luar biasa. Pegawai wanita tentulah lebih mahal jika diambilkira cincin, gelang, rantai tangan, jam, rantai leher, subang, loket, gelang kaki dan kerongsang emas. Bukan zulian. Bukan suasa. Bukan nikel bersadurkan emas.

Sewaktu di PUO cara berpakaian saya jauh meningkat. Saya biasa mengenakan pakaian yang paling selesa. Ia menambahkan keyakinan diri. Nampak segak dan bergaya. Daya tarikan untuk memotivasikan pelajar supaya senang mengikuti pengajaran yang saya sampaikan. Guru adalah pelakon paling handal di dalam kelas. Saya pegang prinsip itu. Guru sebenarnya atris. Saya berlakon dengan berbagai watak. Bukan senang menjadi guru yang boleh menyegarkan pelajar sepanjang hari. Di sekolah kelas hanya sekerat hari. Tetapi di IPT seperti PUO kelas hingga pukul 5.00 petang. Di Universiti pula hingga malam kadang-kadang. Sentiasa memasang strategi untuk menyegarkan pelajar pada waktu 2.00 petang hingga 5.00 petang. Waktu paling kondusif untuk tidur. Ketika itu kenalah ubah strategi dan teknik. Alhamdulillah saya ada sifat dan kemahiran kecindan/melawak. Saya boleh melawak pada bila-bila masa. Di mana sahaja. Dengan siapa sahaja. Semua yang saya sentuh boleh jadi bahan lawak. Begitu juga yang saya dengar, lihat, rasa dan hidu. Sukar untuk diterangkan


Suatu ketika seorang pelajar bertanya cara untuk menjadi kecindan. Kata saya, tiada formula tertentu. Yang penting kita kena ada sifat ceria. Sifat menghibur. Sifat kecindan. Bukan senang hendak menjadi Nabil, Saiful Apek, Mr Bean atau P Ramlee. It depands on what you see. How you see itu. What you make out of it. How you relate it to other things. How you expound its concepts. The meaning you want to perceive. Or how you like it. Love it. And how you want to share it with other people. It will be your own perspective. Something that is normal to most people, given a different treatment can be hilarious. Something serious can be humorous.


Untuk menjadi kecindan kita harus ada sifat itu. You must have the knack for it. But it will be a long hazardous years before you can perfect it to be something natural

Suara adalah aset pendidik paling penting. Tanpa suara bukan guru namanya. Suara kenalah selalu berubah intonasinya. Bermain dengan suara. Power sangat penting bila melontarkan kata-kata. Melawak di sana dan di sini. Sergah pelajar dengan soalan-soalan yang memprovokasi minda. Mencabar bawah sadar mereka. Luaskan skop pengetahuan mereka. Lontarkan pengalaman-pengalaman diri dari pembacaan, perjalanan jauh. Cerita-cerita dari berbagai aspek yang mencakupi muzik, lukisan, sukan, teknologi, ekonomi, politik, agama, sosial, kewangan, perkilangan, pengurusan, pemasaran, hubungan antarabangsa dan berbagai lagi. Sebagai guru pengethuan saya tidak boleh terbatas dengan profesion saya sahaja. Ia harus merentas apa sahaja maklumat yang ada.

Dalam membincangkan tentang muzik umpamanya, saya sebut tentang Bach, Beethoven, Mozart. Bagi peminat muzik klasik concheto in five tentulah tidak boleh dilupa. Lagu-lagu ballet selalu memainkannya. Selain daripada itu tidak sah jika tidak menyebut tentang Leonardo da Vince, Rembrant, Piccaso yang terkenal sebagai tokoh pelukis. Begitu juga konsep-konsep surelism atau naturalism. Seorang guru mestilah menggurui dirinya dahulu. Itu belum fesyen, alat solek, minyak wangi, sukan dan sebagainya, Tahu sedikit tetepi bila bercakap seolah-olah pakar tentangnya.

Walaupun saya mengajar sesuatu subjek tetapi olahannya berbagai. Saya beri melebihi yang sepatutnya mereka terima. Saya mahukan mereka menjadi lebih kerkeupayaan berfikir. Saya suka pelajar menyusun idea mengikut turutannya. Dari mula hingga akhirnya. Barangkali pengalaman dan apa yang saya pelajari di universiti banyak membantu. Teori saintifik penyelesaian masalah dan membuat keputusan, Critical Path Method (CPM), Programme Evaluation and Review Technique (PERT), Simplex Method, Decision Tree dan yang lain-lain saya gunakan untuk membantu pelajar berfikir secara sekuen, teratur, ada mula dan akhir, mencakup semua aspek yang perlu. Saya tumpang gembira kerana ramai bekas pelajar saya yang memegang jawatan tinggi sama ada dalam syarikat swasta atau awam. Ada yang berniaga sendiri. Ada yang menjawat jawatan tinggi di politeknik. Dan banyak lagi.

Saya telah bersara pada 21 Julai 2001. Sudah hampir benar selama sembilan tahun. Saya masih mendidik. Saya kongsikan pengalaman 41 tahun menjadi pendidik yang merentas sekolah menengah, politeknik dan universiti. Saya pernah mengajar di sekolah rendah, sekolah menengah rendah, sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik. Saya rasa pengalaman saya adalah suatu spektrum indah suatu perjalanan seorang pendidik. Pelajar saya selalu komen, saya masih melaram. Sudah mendarah daging. Apa nak buat. Lihat dan pandang bagi yang setuju. Yang tidak setuju, pejamkanlah mata. Takut silau nanti.

Kebetulan tiga orang anak saya sudah menjadi pendidik. Yang sulung walaupun seorang jurutera komputer memilih menjadi guru di sekolah menengah. Yang kedua lulusan Business Studies, mengambil sarjana Bahasa Inggeris dan sekarang di MMU di Cyberjaya. Yang ketiga Sarjana Muda IT, membuat Sarjana Pendidikan dan sekarang di Politeknik Merlimau. Mudah-mudahan ada teladan dari saya yang mereka ambil. Bakat menulis belum ada yang menampakkan potensi kecuali yang kelapan yang sedang berada di Mesir sekarang. Blognya almaurid.blogspot.com. Dari main-main, blognya sudah mula semakin matang. Biasalah anak muda semangatnya berkobar-kobar. Semua perkara menjadi perhatiannya.

Blog saya ini hanya sesuatu yang santai. Namun dalam setiap entry akan ada pengajaran dan iktibar yang saya kongsikan. Suatu pemberian dari saya. Itu sahaja yang boleh saya beri. Mudah-mudahan ada manfaatnya. Kadang-kadang saya terkejut juga walaupun yang menjadi pengikut setakat 28 orang, ramai juga yang membaca terdiri daripada guru, pensyarah, pelajar IPT, kerani, surirumah dan pelajar sekolah menengah yang berumur sekitar 14 tahun. Kadang-kadang saya mendapat feedback itu. Secara kebetulan. Ada yang komen. Ada yang chat. Ada yang bercakap bila bertemu.

Rasanya banyak lagi yang masih saya simpan. Ada yang indah. Ada yang menyesakkan dada. Nantilah. InsyaAllah ada masa kita akan selalu bertemu. Amin.