Di Negeri Johor sukar mencari rumah yang bercirikan Melayu. Berukir dan seni. Rumah-rumah lama yang ada sudah menjadi warisan buruk ditelan zaman. Tiada yang menghargai. Anak cucu hanya berebut tanah pesaka. Rumah berukir dan seni jarang jadi rebutan. Mungkin yang memandang sebelah matapun sudah tiada. Ada yang memandang tetapi pandangannya kosong tiada erti. Seni dan ukir bukan lagi nilai yang perlu difikir. Bukan juga untuk dibicara. Bukan untuk diperdebat signifikannya dalam membina bangsa. Arah kita sudah lama tersasar. Bangsa luar yang menjajah menamakan dua aspek yang saling membantu menukar paradigma lama kepada paradigma keluar dari budaya dan tradisi kita. Mereka meminggirkan seni kita. Sebagai gantinya mereka menonjolkan seni mereka. Seni yang katanya semasa. Moden. Kita selalu terpedaya dengan kemodenan. Perkataan moden sudah terlalu lama. Sudah tidak relevan lagi. Orang Barat menggunakan perkataan moden pada kurun yang ke-15 dahulu barangkali. Sudah 600 tahun dahulu. Terlalu lama.
Pada tahun 2004 berlaku banjir besar di Johor. Banyak daerah yang ditenggelami air. Banyak rumah yang tenggelam hingga hilang bumbung. Yang hanyut rosak tidak terkira di Kota Tinggi. Di Batu Pahat tempat yang selalu berlaku banjir is Seri Medan. Kawasan lembah yang suatu ketika dahulu ada sawah padi di suatu tempat yang namanya Perupuk. Arwah datuk saya pernah bersawah di situ. Sekarang hanya kelapa sawit sahaja. Tahan air. Banjir tiada masalah. Dahulunya pokok getah. Malangnya bila banjir ianya tumbang. Bila kemarau terbakar pula. Seri Medan didiami ramai orang Jawa dan Banjar. Berlaku banyak kahwin campur. Lelucon sesama mereka perkahwinan itu melahirkan anak-anak yang dipanggil Banjawak. Banjar campur Jawak (sebutan orang banjar). Oleh kerana kawasan itu selalu banjir maka rumah-rumah mereka bertiang tinggi. Beralas ompak batu. Tiangnya sangat tinggi. Rumah limas orang dahulu tinggi dan besar. Tingginya lebih tinggi dari ketinggian orang dewasa lelaki. Maaflah ramai orang perempuan lebih rendah dari lelaki.
Apabila banjir melanda tiada siapa yang pindah. Air bukan mendesah seperti sekarang. Datangnya deras dan menghanyutkan apa yang berada di laluannya. Dahulu air naik cepat. Namun tiada yang pindah. Rumah mereka tidak pernah ditenggelami air lantainya. Sewaktu dibina ketinggiannya disukat supaya lantainya berada di atas paras air banjir. Selamatlah rumah itu dari dirempuh air. Seingat saya banjir kerap berlaku pada tahun-tahun selepas merdeka. Sejak tahun-tahun 70an hingga melewati alaf baru banjir jarang berlaku. Jika ada tidak tinggi. Tidak membahayakan seperti dahului. Kerana itu ramai orang Seri Medan lupa sejarah orang tua-tua mereka. Lupa sejarah kenapa rumah-rumah dahulu tinggi-tinggi tiangnya. Pendidikan dan kemajuan menghentikan jalan fikir yang rasional. Fitrah alam yang dikawal Allah tidak lagi berada dalam perkiraan. Maka rumah tinggi dahulu dirobohkan. Rumah limas dahulu dikonkritkan. Rumah batu berceracak di kampung-kampung di Seri Medan. Ukiran dan seni datuk moyang dahulu hilang begitu sahaja. Rumah kayu bukan pilihan. Bukan keutamaan.
Banjir besar pada tahun 2004 mengubah paradigma berfikir. Sepatutnya semangat rumah lama dahulu dikekalkan. Pendekatannya diubahsuai. Bentuknya direkabentuk semula. Bahannya diolah lagi. Tingginya biar kekal. Biarlah rumah batu. Bahagian bawahnya untuk parkir dan untuk santai-santaian. Jika banjir rumah tidak tenggelam dalam keadaan biasa. Bila banjir boleh kekal di bahagian atas rumah. Pindah bila perlu sahaja. Yang penting stok makanan banyak dan mencukupi. Ubat-ubatan ada dalam simpanan. Begitulah rumah seorang dari ibu saudara saya. Betul-betul di tepi sungai. Bila banjir terasa-rasa ada buaya lalu di bawah rumah. Terasa tergesel tiang rumah. Rumahnya memang tinggi. Bawah rumah kosong kecuali untuk meletak sampan. Atau basikal sebagai mod pengangkutan darat di kampung-kampung. Selain itu bawah rumah yang lapang dan kemas adalah tempat berehat. Tempat anak cucu bermain. Terlindung dari panas dan hujan. Serbaguna jadinya.
Pada awal tahun 2012 saya ke sebuah kampung di Rengit, Batu Pahat. Seoramg sahabat mengadakan majlis kenduri kahwin. Di hadapan rumahnya tersergam sebuah rumah kayu yang cantik berukir. Sebuah rumah homestay. Pemiliknya dari Johor Bahru. Saya amat tertarik kerana itu menjadi minat saya. Rumah saya ada semangat itu. Dari get dan pagar hingglah ke pintu dan tingkap. Termasuk tiang dan kerawang di sekeliling rumah. Kayu semuanya. Kayu adalah lebih mahal dari batu. Kayu sudah menjadi komoditi yang langka. Scarce resources. Sesiapa yang membina rumah kayu pastinya berkemampuan. Bukan calang-calang orang. Memang mahal tetapi jika tahu sumbernya harganya jauh lebih murah berbanding di Batu Pahat umpamanya. Seni dan ukirnya menyejukkan mata yang memandang. Menyejukkan hati yang menghayati keindahannya. Sayang! Tradisi yang semakin pupus. Di Kelantan dan Terengganu masih banyak diminati. Di negari-negeri lain sudah payah dicari. Bila bertemu terpegun memandangnya. Sesuatu yang tidak rugi diidamkan. Hatta diimpikan.
Hanya jika kita dapat menghargai seni ukir kita sendiri. Nilainya tinggi.
Dari jauh saya berkenan dengan rumah ini. Rumah sahabat saya di hadapan rumah ini. Saya parkir di tepi rumah ini.
Pondok di penjuru kawasan rumah.
Get daripada kayu.
Porch di hadapan rumah
Bumbung rumah berlapis-lapis. Atap genting. Cucur atap kayu berukir.
Cucur atap yang cukup seri cantiknya. Berjurai ke bawah.
Pagar rumah juga daripada kayu.
Kekisi kayu di teres rumah.
Pintu rumah tersergam. Kayunya dimerahkan.
Isteri saya tidak bergerak kagum terpegun dengan banyak ukiran rumah ini.
Laluan ke teres rumah.
Plak di sisi rumah.
Tangga naik ke atas
Sebuah replika sampan di teres rumah
Teringat sewaktu selalu bermain sampan di sungai pada tahun-tahun 50an dan 60an dahulu
Selain dari kayu berukir banyak pula kerawang di sana sini
Menyerlah warna kayunya
Pemegang pintu ini diperbuat daripada kayu juga. Seperti tetupai.
Kayu bersilang-silang pada pintu tangga rumah.
Siapa yang tidak akan tertarik dengan seni dan ukiran-ukiran ini. Pemiliknya tentu istimewa orangnya.
Tiang ini seperti di atas ompak yang bersalut kayu berukir
Sebuah ukiran di dinding luar
Ruang di bahagian belakang rumah.
Di hujung perabung rumah. Tertancap menegak ke atas. Aduh cantiknya.
Rumah kayu yang berukir memang unik. Tidak banyak di luar Kelantan dan Terengganu. Bila ditemui secara terpencil seperti di atas ianya sangat memukau. Ia hidup pada mata. Pada hati. Pada perasaan. Semoga kesenian seperti ini menjadi warisan terus turun temurun. Khazanah kita, kita yang perlu jaga. Mudah-mudahan seni itu tersemat di hati kita semua.
Ukiran yang sama pada atap terdapat di Istana Melawati Putrajaya. Arkiteknya Dato' Raja Bahrin dari Senibahri Arkitek. Hanya projek beliau yang ada ciri2 Melayu Nusantara. Sampaikan lampu chandelier di banquet hall pun telah di lakar dengan motif kemelayuan kerana rata2 chandelier dipasaran adalah bentuk english classical. Chandelier tersebut kami tempah khas dari Chech Republic yang memang tersohor dengan bohemian crystalnya. Dato juga adalah arkitek untuk Pullman Hotel, Putrajaya yang pada awal pembinaan mempunyai idea yang sgt menarik kerana ingin menengahkan artisan2 ditengah2 hotel membuat ukiran/kraftangan melayu. Tapi saya tak tahu kenapa projek ini tak jadi dan akhirnya Pullman Hotel yang ambil alih. Tapi ciri2 bangunan melayu nustantara masih dikekalkan.
ReplyDeleteSayang, tak ramai pemaju atau usahawan yang ingin mengenengahkan bangunan berkonsep melayu nusantara. Salah satunya mungkin kos adalah lebih tinggi berbanding yang convetional.
Kalau Tuan ingin merasa suasana seperti diatas boleh pergi ke Limas Tiga di Melaka. Mereka ada 3 buah rumah jenis homestay untuk disewa. Tapi dengarnya sampai june dah fully book. Anak2 seronok kesana kerana ia lengkap dengan swimming pool. Hanya untuk Muslim sahaja.
Terima kasih En Ahmad kerana memberi input. Saya teringat dalam filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsudin digagaskan supaya arkitek Melayu khususnya menjadikan seni warisan Melayu sebagai teras untuk binaan dan bangunan di Malaysia. Malangnya idea itu tidak disambut oleh IPT atau mana-mana institusi yang menawarkan kursus senibina. Begitu juga Kementerian yang menjaga warisan juga tidak mengambil inisatif untuk memajukan idea ini. Kerana itu banyak kepincangan budaya dalam pembinaan bangunan-bangunan di Malaysia. Kita ketandusan dari segi ciri, atribut, jatidiri dan nilai kesejagatannya. Mungkin generasi sekarang perlu mengubah paradigmanya. Jik atidak warisan kita cair dan hilang begitu sahaja.
ReplyDelete