Tuesday, June 21, 2016

Keindahan Hidup Berseni dan Bersantai



Apabila konsep emotional quotient (kecerdasan emosi) di perkembangkan, ramai manusia yang tertanya-tanya akan pentingnya. Apa perlunya. Apa sudahnya manusia ini. Dalam Islam umpamanya emosi ini perlu sangat-sangat dijaga. Paling rendah ialah emosi amarah. Syaitan temannya kerana syaitan sangat gemar berdamping dengan mereka yang mudah amarahnya. Panas baran. Emosinya tidak dapat dijangka. Emosinya tidak stabil.   Sebenarnya tiada langsung nikmat amarah kepada sesiapa sekalipun. Kepada yang amarah tidak enak. Kepada yang menerima amarah apatah lagi impak negatifnya. Kebanyakan antara kita apabila marah menegangkan urat leher. Menegangkan seluruh tubuh badan. Telinganya nampak merah. Mata dibuka lebar dan dijegilkan. Suara pula ditinggikan. Pendek kata keadaaan emosinya tidak terkawal. Lepas bebas tanpa kawalan. Pada hal marah tidak semestinya dengan menegangkan otot tubuh badan. Ramai mereka yang boleh mengawal emosi. Marah mereka dengan senyum dan tawa. Santai tetapi menusuk ke dalam emosi dan pemikiran. Mereka yang marahnya berupa senyum dan tawa lebih disegani dan ditakuti dari mereka yang marahnya meninggikan suara.

Kata orang tua-tua, mereka yang marah-marah cepat tuanya. Pengamatan orang-orang dahulu. Bukan penyelidikan yang saintifik. Hanya pengalaman yang mengajar mereka. Nampaknya pengamatan itu banyak benarnya. Mereka yang marah, tegang segala otot anggota tubuh badan mereka. Mereka menjadi lebih letih. Banyak kalori yang diperlukan untuk marah. Pada hal untuk senyum dan tertawa, seseorang itu sangat santai. Fizikalnya tidak banyak menuntut tenaga dari dalam atau dari luar. Buka mulut. Lebarkan ke tepi. Atau buka tali suara dan bunyilah tertawanya yang tidak perlu kuat. Namun ramai mereka yang tertawa sehingga keluar air mata. Nikmat yang luar biasa. Kita perlu banyak belajar untuk santai. Untuk berada dalam keadaan selesa. Apapun keadaan yang kita hadapi, berfikir dengan tenang sangat membantu. Menjaga emosi membantu. Menyelamatkan keadaan lebih dihargai.

Banyak yang boleh membuatkan kita marah. Terlalu banyak. Terutamanya apabila kita adalah antara mereka yang perfectionist.  Seorang yang fokus kepada kesempurnaan. Cuma hakikat menunjukkan bahawa sukar mencari mereka yang sempurna dari berbagai aspek. Keinginan yang terlalu mendesak boleh juga mengakibatkan kita marah. Tidak mencapai harapan yang dicita-citakan menjadikan kita kecewa. Kekecewaan dalam hidup bukan sesuatu yang langka. Ramai orang yang mengalaminya. Cuma lain orang lain cara mereka berhadapan dengannya. Tidak ada orang yang boleh memaksakan cara mereka kepada orang lain kecuali hal-hal yang berkaitan hukum-hakam agama. Kita kena patuh kerana itu adalah perintah Allah. Dalam hal lain hidup ini tidak perlu disusahkan. Tidak perlu menjadi payah. Bukankah kita ingin selalu mencari bahagia. Berlapang dada. Tenang fikiran. Terhibur diri. Rehat fizikal dan minda. Emosi yang santai. Emosi yang segalanya mengawal hidup.

Bukankah hidup kita perlu diwarnai dengan keindahannya yang tersendiri? Ada lagu merdu yang menghalwa telinga. Menghambat harapan positif menuju hadapan. Melayani emosi yang tidak menentu menghalang kita menikmati hidup ini dengan sesempurnanya. Tidak perlu mendengus. Tidak perlu sakit hati. Tidak perlu berkata apa-apa. Tidak perlu memikirkan hal-hal yang tiada kaitan dengan kebahagiaan. Tiada pula yang mengganggu kesejahteraan untuk membahagiakan diri. Emosi yang tidak terkawal hanya menyusahkan hati tanpa asbab yang wajar. Perlukah apa orang kata diputarbelit. Dicari makna di sebaliknya. Dicari-cari salahnya. Dicari-cari makna kedua. Atau ketiga. Buat pula andaian-andaian yang di luar konteks. Banyak pula di nisbahkan kepada peristiwa yang dulu-dulu. Kadang-kadang kita terlalu menjaga emosi sendiri hinggakan kita menjadi sasau dengan emosi kita.

Mencari bahagia bukan sesusah mencari ilmu di menara gading.  Bukan pula seperti melombong emas. Tidak pula perlu menyelam mencari mutiara. Kita hanya perlu diam sejenak. Apakah kebaikan yang boleh kita sumbangkan kepada orang-orang yang kita sayang. Orang-orang yang rapat dengan kita. Orang-orang yang ada di sekeliling kita. Kepad amereka yang memerlukan. Kepada sesiapa sahaja yang ada keperluan untuk mendapatkan sesuatu dari kita. Memberi pula tentulah yang terbaik. Yang terindah. Banyak memberi menambahkan kebahagiaaan diri. Bukan menghakis atau menruntuhkan apa yang sudah dibina. Malangnya kita selalu membuat penilaian yang tidak wajar.  Terlalu banyak berdialog negatif dengan diri sendiri. Mungkin juga menyuarakan sesuatu yang pada hemat kita baik tetapi kewajarannya tiada. Hendak memberi jangan berkira. Hendak  menerima barangkali perlu berkira kerana ada orang lain yang lebih memerlukan. Pada kebanyaknan masa kita tidak layak menerima apa-apapun. Orang lain yang lebih memerlukannya. Berilah kebahagiaaan itu kepada orang lain. Nescaya kebahagiaan itu kembali kepada kita.i

Tidak ada kewajaran menanti kebahagiaan dihadiahkan oleh orang lain di sekeliling kita. Hatta dari orang-orang yang terpercaya dan yang paling hampir. Tidak mungkin ditagih dari orang lain. Kebahagiaan perlu dicipta. Perlu direncana. Dihadirkan dalam diri sendiri terlebih dahulu. Dizahirkan untuk memberi impaknya kepada orang lain di skeliling kita. Kebahagiaan bukan semuanya berbentuk mega. Rumah besar bertingkat-tingkat umpamanya. Atau wang yang berkepuk banyaknya. Ianya mungkin hanya sesuatu yang kecil. Senyuman yang paling manis. Sapaan yang paling santai. Bantuan yang tidak seberapa. Membantu sekadarnya. Yang penting ialah ada ada orang lain yang berasa senang. Terhibur. Santai. Lapang dari gangguan emosi yang tidak enak.

Untuk bahagia kita perlu bijak menghiburkan hati. Mungkin menyanyi. Mungkin melukis. Mungkin mendengar kicauan burung. Mungkin memandang mendung yang berarak. Ada orang yang terhibur umpan jorannya dimakan ikan. Menonton acara sukan. Maksudanya hiburan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Apabila kita boleh meraikan perbezaan itu maka kebahagiaan akan terpancar antara kita dan mereka yang berada di sekeliling kita. Tidak perlu berkanasa susah kerana susah itu menyusahkan. Tidak menggembirakan. Tidak menjana kebahagiaan. Apabila usia menganjak tua, kebahagiaan sewajarnya sudah direncana. Sudah dinikmati. Bersalut di mana-mana. Andainya belum ditemui maka banyaklah berdoa semoga ihsan Allah memberi kebahagiaan walaupun hanya sekelumit sahaja.


Kebahagiaan perlu dicari secara santai berencana. Berperingkat-peringkat. Dimulakan dari sedikit. Dipelbagaikan. Disebarkan. Diperkembangkan. Hidup ini menjadi bosan tanpa ragaman aktiviti. Tanpa minat yang berbagai. Mencari senang di mana-mana. Dapatkan kebahagiaan dari berbagai sumber. Ciptalah kesenahteraan diri dan orang-orang yang tersayang. Jika tidak ditemui di mana-mana maka percayalah, bahawa Allah bersama kita. Mohonlah kepadaNya selalu. Buang sifat amarah. Buang sifat tidak stabil emosi. In sya Allah kebahagiaan itu akan hadir jua.