Thursday, August 19, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahagian Ketiga Puluh

Kehidupan payah di rumah setinggan.







Sebagai mahasiswa yang berbekalkan separuh gaji saya hanya mampu menyewa sebuah rumah setinggan. Sewanya RM45.00. Di situlah kami berempat beranak menjalani kehidupan selama tiga tahun. Banyak sungguh kenangan dan pengalaman di kawasan rumah setinggan. Cerita payah mereka membina kehidupan bukan asing bagi saya. Itulah cerita bagi mereka yang bukan berupaya untuk mendendangkan cerita senang. kehidupan yang banyak pahit dari manisnya. Rempah hidup yang terkapai-kapa mencari bahagia. mereka hanya mampu melihat dan kecur air liur. Untu menggapaikan tangan, tidak sampai sudahnya. Hidup ini dilalui dengan liku-liku tajam yang jika silap melaluinya pasti robek, tercucuk dan tercakar. Onak dan durinya ada di mana-mana. Kecekalan, keberanian dan hasrat besar menggunung sahaja yang menciptakan kejayaan-kejayaan kecil berimpak besar.





Pada awal tahun-tahun 70an banyak cerita mengenai setinggan. Menjadi tajuk besar kisah setinggan di Tasik Utara Johor Bahru, peneroka di Teluk Gong Selangor, kemiskinan di Baling Kedah. Saya sudah menjadi guru ketika cerita-cerita itu dipaparkan di dada-dada akhbar. Tetapi berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Pengalaman juga yang menginsafkan diri. Berada bersama mereka barulah saya mengerti erti kepayahan mereka. Melihat dari dekat bererti melihat diri saya sendiri. Saya pernah di sana. Pernah merasa cebisan-cebisan rasa kerana rendahnya harga diri antara mereka. Yang dikejar semata-mata kehidupn. Demi untuk hidup. Kelangsungan yang diarah bertatih-tatih. Untuk berlari mengejar ekonomi barangkali terlalu asing dan terasa jauh dan tingginya. Keinsafan yang bertunjangkan kebersamaan hidup. Sama-sama melalui liku-liku kehidupan yang tajam-tajam belaka. Bagi kawasan setinggan itu hanya persinggahan sementara. Saya tahu saya pasti keluar dari situ. Tidaklah terasa sangat himpitan perasaan. Tidak juga ngilunya yang berpanjanan.





Tahun-tahun 70an, ekonomi bukan semewah seperti sekarang. Kemelesetan ekonomi pada tahun 1972-73 sangat mengesankan. Kejatuhan harga bahan mentah dan kenaikan harga barang-barang keperluan seolah-olah mengembalikan zaman kesusahan yang hampir zaman Jepun. Di kampung saya ramai yang hanya makan ubi, pisang, keladi dan keledek. Saya tahu sebab ramai yang membeli ubi dalam jumlah yang banyak. Dalam kekerapan yang melebihi biasa. Ramai yang makan nasi hanya sekali sahaja sehari atau mencampurkannya dengan ubi. Saya melihat seperti suatu kemelaratan menimpa rakyat.





Bila saya jejakkan kaki di kawasan rumah setinggan yang kecil dan daif itu saya kembali lagi ke zaman payah saya. Jika dulu payah sebagai kanak-kanak di kampung. Hidup bersama ibu dan adik serta datuk. Dalam kampung yang memang tidak ada apa-apa. Hidup naif yang belum didatangi pembangunan dan segala istilahnya. Ketika itu saya tidak merasakan payahnya. Kenangan silam itu yang membuai perasaan bahawa saya tidak dilahirkan dengan segala-galanya dihidang on a silver platter. Bak kata orang saya have to toil and soil. Sebab itu mengingat masa lalu memberikan berbagai kesan kepada perasaan dan psikologi. Mengingat yang lama bererti kita kembali ke zaman silam yang mungkin indah dan mungkin tidak berdasarkan persepsi sekarang. Bukan persepsi waktu itu. Waktu itu sejarahnya sangat simple. Tidak ada apa-apa istilah kerana kehidupan memang begitu. Dalam kesetaraan kita tidak pernah membuat perbandingan. Semua yang kita lihat serupa belaka. pada wajah mereka gembira juga yang terpancar.





Mengimbau peristiwa lama memberikan kita keinsafan bahawa hidup ini pernah melalui liku-liku yang tidak mahu dilalui kembali. Andainya liku-liku itu kembali menjengah, pengalaman lama akan memandu untuk melaluinya dengan bijaksana. Kebestarian yang sudah sebati kerana laluannya yang berulang-ulang. Saya berasal dari sana. Untuk kembali ke sana bukan hal yang menyusahkan. Jika kita mendaki dari lurah, jatuh ke lurah kembali tidak memberikan masalah. Memang tempat kita. Cuma hasrat ke puncak belum terlaksana. Kenangan lama juga iktibar, sumber kekuatan bahawa hidup ini harus diharungi dengan cekal dan tabah. Sentiasa membetulkan arah dan kompas. Mendepani halangan-halangan yang memang selalu bersemuka. Laluan-laluan biasa seorang pengembara masa. Masih merentas ruang waktu yang entah bila sudahnya.





Begitulah suatu waktu saya terdampar di kawasan rumah setinggan. Memang banyak payahnya. Dulu-dulu, dari kampung saya ke Kuala Lumpur. Bekerja saya di Kuala Terengganu dan Kluang. Sekarang saya kembali ke Kuala Lumpur. Tetapi kitaran waktu meletakkan saya dalam perspektif yang berbeza. Sewaktu di Institut Bahasa, saya tinggal di bangunan tinggi di Lembah Pantai. Saya melihat kesemua yang lain jauh di bawah. Ingin rasanya tidak mahu turun kerana sudah berada di tempat tinggi. Rupanya tidak. Allah menyediakan kitaran demi kitaran supaya saya lebih insaf bahawa tidak seharusnya saya lupa dari mana saya datang. Saya akan dikembalikan ke asal saya itu dalam zon-zon masa dan ruang tempat yang berbeza. Di rumah setinggan itu saya berempat beranak menumpang teduh. Di situ saya mengenal banyak kepayahan dan kesusahan. Sebahagian rakan-rakan setinggan itu masih di situ dalam suasana yang berbeza tetapi tidak banyak menganjakkan mereka untuk keluar dari ruang lingkup segar dan mewah.





Bila keluarga ada di samping, hidup saya kembali tenang. Dua tahun saya hidup menyendiri. Dua tahun merentasi Kuala Lumpur kerana mengejar sekeping kertas yang berama ijazah. Yang nantinya dijanjikan keindahan hidup. Tidak pula dimaklumkan bahawa untuk senang itu banyak lagi kepayahan yang perlu dilalui. Sekarang ini saya teringat kata-kata almarhum Habib Ali, ahlul bait yang masih saya rindui (al-fatihah untuk rohnya). Jangan takut katanya. Rezeki dari Allah. Ke mana pergi jika mencari kehidupan, bawa isteri. Pengalaman mengajar saya bahawa nasihatnya itu adalah yang hak. Yang benar. Lelaki menjadi tenang bila isteri di sampingnya. Isteri menjadi tenang bila suami di sampingnya. Ayah menjadi tenang bila anak-anak membesar di hadapan matanya. Anak-anak menjadi tenang kerana ayah ada untuk melindunginya. Allah menentukan fitrah keluarga begitu polanya. Melawan fitrah ini tentu banyak mengundang padah perasaan dan psikologi. Malah kesihatan mungkin.